Sahabat Maya :

Sunday, May 19, 2013

Melahirkan modal insan berkualiti


Melahirkan modal insan berkualiti

Oleh DR AMINUDIN MANSOR 


MELALUI usaha memperkasakan peranan guru akan melahirkan modal insan berkualiti. Itulah antara keutamaan yang dilakukan oleh kerajaan dengan memberikan insentif kepada bidang pendidikan di negara ini.
Oleh itu, untuk melahirkan modal insan, peranan kerajaan dan juga para guru adalah tunggak utama ke arah kejayaannya. Pendidikan pada dasarnya adalah suatu unsur sosial dan proses yang diciptakan oleh masyarakat untuk memudahkan kehidupan sosial dalam masyarakat.
Lantaran itu, pendidikan berlaku di mana sahaja dan selama mana manusia bertindak balas terhadap kehidupan dan pengajaran merupakan sebahagian daripada pendidikan.
Jelaslah, kerajaan tidak mengambil mudah dan memandang ringan usaha memperkasa peranan guru dengan memberikan latihan, kursus, ceramah dan juga motivasi supaya dapat memberikan kesan kepada pelajar melalui pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah. Ini semua bertujuan untuk melahirkan modal insan berkualiti dan cemerlang.
Oleh itu, melalui falsafah pendidikan al-Quran iaitu sebagai guru memberi petunjuk dan motivasi ke arah pemantapan akidah, membentuk akhlak mulia dan pembersihan rohani dan jasmani untuk mencapai martabat insan soleh dan bertakwa kepada Allah SWT.
Seterusnya, berusaha membimbing dan membentuk nilai-nilai keperibadian yang luhur serta dapat mengangkat martabat dan peradaban ummah yang dirahmati Allah SWT.
Beberapa usaha dilakukan untuk melahirkan modal insan cemerlang. Kejayaan dan kecemerlangan murid dan pelajar banyak bergantung pada kehebatan P&P guru di dalam kelas.
Jika guru dapat menyampaikan isi pengajaran dengan baik dan berkesan murid dan pelajar mudah memahaminya dan dapat menjawab soalan dalam peperiksaan dengan cemerlang. Pendidikan juga mestilah menjurus kepada keutamaan berakhlak, jaminan sosial yang baik dan mendidik ke arah menjaga alam persekitaran.
Modal insan merupakan individu yang berilmu, berkeyakinan, mempunyai kemahiran, ke arah kecemerlangan generasi akan datang dalam memperkasa ilmu dan kemahiran untuk tujuan bidang pekerjaan.
Kehidupan manusia akan terancang apabila mereka memiliki sumber yang khusus membimbing ke arah kejayaan hidup di muka bumi ini.
Asas pendidikan dalam kehidupan manusia melalui pendidikan sosial, pendidikan akhlak, pendidikan alam sekitar, pendidikan kejiwaan, pendidikan mental, pendidikan jasmani, pendidikan ilmu, sains dan sebagainya.
Dalam menuntut ilmu dan menyebarkan ilmu umat Islam boleh mengambil contoh Nabi SAW dan juga Imam Syafi'e. Menurut beliau, menuntut ilmu adalah lebih utama daripada ibadah sunah. Beliau mempunyai banyak guru antaranya Malik bin Anas, Sufyan Uyainah, Ibrahim bin Sa'ad dan banyak lagi. Imam Syafi'e yang pintar dan banyak anak muridnya menjadi ulama.
Telah sepakat para ulama bahawa Imam Syafi'e adalah seorang alim besar di Timur dan Barat. Imam agama Islam di dunia. Allah SWT himpunkan padanya apa yang tidak ada pada imam-imam sebelum dan sesudahnya.
Negara sentiasa berusaha menyediakan tenaga kerja berwibawa yang berbekalkan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang, termasuk sains dan teknologi.
Modal insan merupakan individu yang berilmu, berkeyakinan, mempunyai nilai murni, dan moral yang tinggi, beretika, berbudi pekerti, bersopan santun, berdisiplin, dinamik, inovatif, kreatif, sihat, bersemangat patriotik, adil, progresif, cekal dan berdaya saing. Inilah modal insan yang memiliki personaliti unggul. Merekalah yang akan menentukan hala tuju negara pada masa depan.
Seterusnya, sebagai guru aspek-aspek pendidikan menurut al-Quran mestilah dititikberatkan dalam pendidikan iaitu meliputi pendidikan tauhid, ibadah, keimanan, akal, akhlak, jasmani, keterampilan dan kemasyarakatan.
Sikap guru juga mestilah memiliki sikap adil, lemah-lembut, kasih sayang, persamaan, musyawarah, persaudaraan, berdisiplin, boleh dijadikan contoh, memudahkan pengajaran dan mengarak ke masa depan yang maju dan cemerlang.
Realitinya, pihak kerajaan sebagai badan perancang utama telah menyediakan bajet dan peruntukan untuk membangunkan modal insan iaitu pelajar di sekolah.
Manakala, para guru adalah pihak yang akan melaksanakan tujuan ke arah membangunkan modal insan yang berkualiti iaitu berilmu dan berkemahiran tinggi untuk sebuah negara maju yang membangun.
Oleh itu, pendidikan itu ialah satu proses pengajaran, pembelajaran dan bimbingan masyarakat dalam aspek kehidupan manusia.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...