Photobucket

Sahabat Maya :

Thursday, August 16, 2012

Madrasah Ramadan lahir insan takwa






Madrasah Ramadan

lahir insan takwa



Ramadan sudah berada di penghujungnya. Bagaimanakah pengajaran yang diperoleh sepanjang bulan Ramadan ini? Ramadan adalah bulan latihan atau madrasah, yang pada umumnya bertujuan untuk melatih umat Islam agar bertakwa, bersyukur dan mendapat petunjuk Ilahi.






Menurut Yusuff al-Qardawiy dalam bukunya al-Ibadah fil-Islam (2003), madrasah Ramadan bertujuan untuk menambah kekuatan kerohanian, bulan untuk melawan nafsu dan bulan persediaan untuk jihad.





Profesor Dr Wahbah Zuhaili (1999) dalam Fiqh al-Islam wa adillatuh menyebut bahawa ibadah puasa adalah ‘madrasah’ yang bertujuan untuk melahirkan insan bertakwa berlandaskan ayat 183 surah al-Baqarah bermaksud:





“Wahai orang yang beriman!


Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana


diwajibkan atas orang yang dulu daripada kamu,


supaya kamu bertakwa”.






Menurut Dr Wahbah Zuhaili lagi, madrasah itu juga untuk membina takwa melalui pendekatan berikut:






  • Berpuasa mendidik jiwa untuk takut kepada Allah dalam keadaan sembunyi atau terbuka.




  • Mengekang nafsu syahwat daripada menguasai diri.




  • Membina cetusan naluri yang peka dan sensitif.




  • Memulihkan dan membina kekuatan struktur dalaman tubuh badan serta menguatkan kesihatan jasad daripada unsur yang memudaratkan.

    Bina kekuatan al-madi, al-ruhi


    Bagi Dr Mustaffa Siba’i (1956) pula menerusi bukunya, Ahkamu syiam wa falsafat fi dhu al-Quran wa al-sunnah menjelaskan ibadat puasa sebagai madrasah atau pusat latihan untuk membina kekuatan dari aspek al-madi (kebendaan) dan kekuatan al-ruhi (roh). Dalam aspek kebendaan ia mencakupi aspek harta dan juga jasmani sementara aspek roh ia meliputi iman dan pemikiran.

    Dalam konteks ini bagaimanakah sewajarnya kita sebagai umat Islam dapat mengambil pengajaran atau iktibar dalam tempoh sebulan dalam melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadan dan dapat diterjemahkan pengajaran Ramadan atau latihan (madrasah) yang sama-sama dilalui itu untuk dibawa dalam kehidupan atau pun profesyen kerjaya yang diceburi.


    Tingkat motivasi


    Selain itu, madrasah Ramadan juga mampu meningkatkan motivasi untuk melakukan pembaikan diri atau tazkiyah, meningkatkan kualiti diri menerusi penghayatan nilai unggul yang dinamakan takwa.


    Dari aspek psikologi manusia terdiri dari empat komponen yang utama iaitu aspek fizikal, emosi, kognitif dan spiritual. Berdasarkan komponen itu, madrasah Ramadan diharapkan dapat melatih fizikal, emosi, kognitif dan spiritual untuk melakukan transformasi diri ke arah kebaikan yang dituntut berlandaskan kehendak Islam.

    Perubahan atau tindakan yang perlu dilakukan itulah yang dikategorikan sebagai sukatan pelajaran atau silibus yang perlu dilalui oleh setiap individu. Melalui latihan atau sukatan pelajaran yang dilalui dalam bulan Ramadan itu, diharapkan ia dapat membina generasi yang mantap dan kukuh secara luaran dan dalaman individu, dalam konteks kehidupan dan diharap sekali gus melahirkan generasi yang mantap iaitu generasi yang bukan dimanjakan, atau generasi yang berada di keadaan serba selesa, tetapi generasi yang dididik dengan sifat mujahadah, bersedia melawan hawa nafsu dan cabaran dan godaan sekeliling.


    Falsafahnya mudah, jika mampu mendidik dan mengalahkan nafsu, sudah pasti ia mampu mengatasi masalah dan cabaran yang dihadapi dalam hidup dan sebaliknya. Jika gagal melawan nafsu, sudah pasti banyak cabaran dan dugaan yang mendatang gagal diharungi.


    Perkara ini penting disebut, kerana diharapkan madrasah Ramadan ini benar-benar dapat meningkatkan lagi semangat daya juang dalam kehidupan seperti Ali bin Abi Talib, yang mempamerkan semangat daya juang dan keberanian yang tinggi dengan tidur di rumah nabi dalam peristiwa Hijrah.

    Penulis ialah pegawai KAGAT dan kini bertugas di Sel Psikologi dan Kaunseling Markas Tentera Darat Malaysia, Kementerian Pertahanan.



  • Sumber






    Teruskan membaca..

    LinkWithin

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...