30 tahun rancang tunai haji
BUKAN daripada kalangan umatku sesiapa yang tidak prihatin keadaan umat Islam yang lain. Itu antara maksud sabda Rasulullah.
Ramai di kalangan kita hari ini suka dilayan tapi tidak mahu pula melayan, suka dihormati tetapi berat hendak menghormati.
Kita juga suka orang lain beri perhatian kepada kita tetapi kita tidak suka beri perhatian kepada orang lain. Umat Islam sebenarnya laksana satu badan, jika satu anggota sakit maka yang lain turut terasa dan menderita.
Jika kaki kita tersepak tunggul, mulut dengan spontan mengeluh, aduh sakitnya!
dan air mata pun mengalir. Jika hendak diikutkan kaki yang sakit tetapi kenapa anggota lain turut melakukan tindak balas.
Sepatutnya kaki yang tersepak, mulut menyebut, hai! buta ke... kamu sepak kamu tanggung saja la... Mari kita sama-sama menghayati kisah prihatin dalam sejarah yang menyentuh perasaan.
Suatu hari pada musim haji, Abdullah bin Mubarak melaksanakan ibadah haji di tanah suci tertidur di Masjidil Haram. Dalam tidurnya, beliau bermimpi bertemu dengan seorang malaikat yang memberitahunya antara orang mendapat haji mabrur pada tahun itu adalah seorang tukang kasut bekerja di pasar Baghdad.
Selepas itu, Mubarak terjaga dari tidurnya. Sungguh terkejut sekali beliau dengan mimpi itu dan sangat hairan kenapa tukang kasut itu hadir dalam mimpi berkenaan.
Apakah yang dilakukan tukang kasut itu hingga melayakkan dia mendapat haji mabrur. Beliau kemudiannya mencari dan akhirnya menemui tukang kasut itu serta memintanya menceritakan apakah amalan yang dilakukannya hingga dia masuk dalam mimpinya dengan membawa perkhabaran mendapat haji mabrur.
Tukang kasut pun menceritakan peristiwa dia bersama isterinya selama 30 tahun merancang untuk naik haji. Selama itu, hampir setiap hari, minggu dan bulan dia menabung dan mengumpulkan wang dengan menjalankan kerja-kerja upah memperbaiki kasut.
Tahun ini tabungan hajinya bersama isteri sudah cukup dan dia buat keputusan untuk naik haji. Namun apa yang terjadi? Suatu hari, isterinya mencium bau harum masakan dari jirannya.
Disebabkan hairan dengan haruman masakan itu isterinya memberanikan diri menghampiri rumah jirannya dengan harapan untuk meminta sedikit masakan itu.
“Wahai jiran yang baik, hari ini saya mencium harumnya masakan kamu, bolehkah saya rasa sedikit masakan itu?” pinta isteri tukang kasut itu kepada jirannya.
“Tuan puteri yang baik, masakan ini tidak halal bagimu,” jawab jirannya.
“Mengapa tidak halal?” tanya isteri tukang sepatu itu dengan terkejutnya.
“Daging yang kami masak adalah bangkai yang kami temukan di jalan. Kami tidak tahan melihat anak-anak kami kelaparan. Kami sudah membanting tulang mencari makanan yang lebih baik, tapi kami tidak berjaya juga.
Akhirnya hanya bangkai ini yang kami dapat, lalu kami masak demi melihat anak-anak dan keluarga kami tidak semakin menderita,” kata jirannya itu.
Mendengar cerita itu, isteri tukang kasut itu pulang dan menceritakannya kepada suaminya. Si tukang kasut itu tanpa banyak bicara segera membuka tabungan haji yang dikumpulkannya selama 30 tahun dan dibawa ke rumah jirannya itu.
“Wahai jiran yang baik, ambillah semua wang ini untuk keperluan makan kamu dan keluargamu, inilah haji kami”, kata tukang kasut itu.
Perbuatan mulia tukang kasut itulah yang masuk dalam mimpi orang alim terkenal, Abdullah bin al-Mubaarak sebagai memberitahu haji mabrur yang diperolehinya walaupun dia belum lagi pergi ke Makkah.
Kisah di atas, menceritakan betapa hati yang mulia dan baik selalu mendapat tempat yang mulia di sisi Allah. Hati yang baik menghantarkan kepada pemiliknya kepada perbuatan yang baik dan terpuji.
Hati yang baik mendatangkan pahala dan kurnia Allah tidak hanya untuk si pemiliknya, namun untuk seluruh umat manusia. Benarlah kata Rasulullah “Sesungguhnya dalam jasad ada segumpal darah, kalau itu baik, maka baiklah seluruh anggota tubuh”.
Hati yang baik itulah yang melahirkan keprihatinan luar biasa. Tidak hanya mementingkan diri sendiri, malah cerita ini menunjukkan mengutamakan mereka yang sangat memerlukan pertolongan pasti mendapat ganjaran pahala yang amat luar biasa sekali daripada Allah.
Bayangkan tukang kasut yang tidak pergi ke Makkah sekalipun tetapi mendapat pahala haji mabrur. Itulah ganjaran keprihatinan.
No comments:
Post a Comment