Photobucket

Sahabat Maya :

Sunday, October 31, 2010

Kelantan juara baru



Kelantan juara baru


KETUA pasukan Kelantan, Indra Putra Mahayuddin bersama rakan sepasukan menjulang Piala Malaysia selepas mengalahkan Negeri Sembilan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi. Turut kelihatan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan (kiri), Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah serta Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (kanan). – MINGGUAN/IDZHAM JAAFAR


KUALA LUMPUR – Sejarah tercipta dan dendam terbalas, malah temasya besar berhak dirayakan oleh Kelantan apabila menjulang anugerah berprestij bola sepak negara, Piala Malaysia buat kali pertama setelah menewaskan Negeri Sembilan 2-1 dalam perlawanan akhir edisi ke-44, semalam.

Malah Wira Merah mengakhiri penantian yang sekian lama selepas dihampakan dalam perlawanan akhir 1955, 1970 dan tahun lalu sekali gus mengekori Perak, Selangor, Pulau Pinang, Pahang, Johor, Kuala Lumpur, Kedah, Terengganu, Perlis dan Negeri Sembilan sebagai 11 negeri pemilik Piala Malaysia sejak 1967.

Gegak gempita sorakan serta dentuman mercun melanda Stadium Nasional, Bukit Jalil yang menyambut kejayaan skuad bimbingan B. Sathianathan menebus kehampaan 3-1 kepada lawan dan di gelanggang sama tahun lalu, hasil jaringan Hairuddin Omar dan Badri Radzi.

Sebaliknya Negeri Sembilan terlepas peluang untuk merangkul gelaran berganda musim ini selepas Piala FA, April lalu biarpun mengejutkan lawan dengan sepakan penalti penyerang bidan terjun, Shahurain Abu Samah pada babak pertama.

Malah mereka mampu mendahului lebih awal andainya penyerangnya, Idris Karim lebih kuat menyepak umpanan lambung S. Kunanlan dari sebelah kanan, ketika cuma berdepan Khairul Fahmi Che Mat, yang sempat menyambut tolakannya pada minit keenam.

Dalam satu serangan balas pantas yang dilancarkan Kunanlan minit ke-12, Kelantan tergamam sehingga penjaga golnya, Khairul Fahmi terpaksa membentes sayap kanan Negeri Sembilan dan menghadiahkan sepakan penalti buat juara bertahan.

Biarpun diarahkan pengadil Subkhiddin Salleh supaya mengambil semula sepakan penalti yang berjaya disudahi, Shahurain Abu Samah tetap tenang menolak ke kiri gawang Kelantan untuk mencipta gol pembukaan Si Rusa, seminit kemudian.

Namun, Si Kijang masih tidak mahu mengalah, setelah rembatan jauh Zairul Fitree Ishak tersasar tinggi pada minit ke-11, Badri Radzi pula terlepas menyamakan kedudukan apabila rembatannya sempat disekat bek tengah lawan, Shukor Adan pada minit ke-35.

Enam minit kemudian menyaksikan kehampaan berterusan Idris gara-gara dipersalahkan pengadil ketika cuba menyambut umpanan lambung Ching Hong Aik dengan tandukan walaupun, hanya perlu mengatasi Khairul Fahmi yang sempat mendakap bola.

Tiga minit masa kecederaan turut merakamkan kegagalan percubaan sayap kanan Wira Merah, Nor Farhan Muhammad dalam kotak penalti sementara rembatan jauh ketua pasukan Indra Putra Mahayuddin pula berjaya ditepis penjaga gol Si Rusa, Sani Anuar Kamsani.

Dalam dua minit babak kedua bersambung, Kelantan kian garang memburu gol penyamaan, namun kedua-dua percubaan Badri dan Hairuddin Omar sekadar mencemaskan Sani Anuar tetapi belum dapat menembusi kubu terakhir pasukan bimbingan Wan Jamak Wan Hassan itu.

Gol penyamaan idaman Wira Merah tiba juga pada minit ke-57 hasil umpanan lambung Norshahrul Idlan Talaha dari sebelah kanan yang cukup tepat disudahi dengan tandukan kencang Hairuddin tanpa mampu digapai Sani Anuar lagi.

Bersemangat tinggi dengan gol itu, Kelantan mengasak lagi, lalu Badri menggembirakan dan menghadiahkan majoriti hadirin Stadium Nasional yang membentuk Lautan Merah dengan jaringan kedua minit ke-64 setelah mendapat lorongan Nor Farhan dari belakangnya.

Wira Merah beroleh satu lagi peluang keemasan setelah penyerang gantian, Akmal Rizal Rakhli dikasari Alif Shamsuddin tetapi sepakan bebas Indra Putra menghampakan pasukan dan peminat mereka kerana melewati palang gol pada minit ke-83.

KELANTAN: Khairul Fahmi Che Mat, Daudsu Jamaludin (Akmal Rizal Rakhli), Farisham Ismail, Rizal Fahmi Rosid, Zairul Fitree Ishak, Nor Farhan Muhammad, Badri Radzi, Shakir Shaari (Khairan Eroza Razali), Indra Putra Mahayuddin, Norshahrul Idlan Talaha (S. Chanturu), Hairuddin Omar.

NEGERI SEMBILAN: Sani Anuar Kamsani, Tengku Qayyum Ubaidillah Tengku Ahmad, Shukor Adan, Aidil Zafuan Radzak (Firdaus Azizul), Ching Hong Aik (Asyraf Al Japri), Alif Shamsuddin, Idris Karim, Halim Zainal, S. Kunanlan, Shahurain Abu Samah, Qhairul Anwar Roslaini (Shaffik Rahman).

==================



Semangat pemain julang Red Warriors


PARA pemain Kelantan meraikan kejayaan menjulang trofi Piala Malaysia selepas menewaskan Negeri Sembilan 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.


KESUNGGUHAN para pemain untuk muncul juara dianggap jurulatih Kelantan, B. Sathianathan sebagai kunci utama kejayaan skuad Red Warriors itu menundukkan Negeri Sembilan 2-1 malam tadi.

Kata-kata Sathianathan di bilik persalinan ketika waktu rehat separuh masa pertama nyata membuatkan para pemain tidak patah semangat biarpun mereka ketinggalan 0-1 menerusi sepakan penalti Shahurain Abu Samah pada minit ke-13.

Read More Kosmo!

===============


Negeri Sembilan terlepas gelaran


PARA pemain Negeri Sembilan tidak dapat menahan kecewa selepas tewas 1-2 kepada Kelantan pada final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.


KELANTAN akhirnya berjaya mencipta sejarah baru apabila muncul selaku juara Piala Malaysia buat julung kalinya sejak 89 tahun lalu.

Kejayaan itu dicatat selepas menang tipis 2-1 ke atas juara bertahan, Negeri Sembilan pada aksi final edisi ke-84 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.

Disaksikan kira-kira 75,000 penonton kedua-dua pasukan, Kelantan menamatkan penantian untuk menjadi pasukan ke-14 berjaya menjuarai kejohanan berprestij yang mula diperkenalkan pada tahun 1921 itu.

Selepas tiga kali gagal di pentas final iaitu pada tahun 1955, 1970 dan 2009, kejayaan itu turut dianggap hadiah paling istimewa buat Sultan Muhammed Ke-V yang baru saja ditabalkan sebagai Sultan Kelantan yang baru pada 13 September lalu.

Bagi Negeri Sembilan pula, mereka kempunan untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu, sekali gus gagal untuk muncul juara buat kali ketiga setelah kali pertama melakukannya pada tahun 1948.

Read More Kosmo!


==================



Sejarah tercipta

pix_gal0
The Red Warriors tamat badi 40 tahun

The Red Warriors tamat badi 40 tahun

PEMAIN Kelantan me­­lutut dan berdoa tan­­da syukur sejurus wisel penamat apabila mencipta bangga muncul juara baru Piala Malaysia menewaskan Negeri Sembilan 2-1 dalam final di Stadium Nasional, Bukit Jalil, ma­­lam tadi.

Dua gol menerusi tandukan padu Hairuddin Omar pada minit ke-57 dan Mohd Badhri Mohd Radzi, m-65 berjaya mengikis jari­­ngan awal lawan menerusi sepakan penalti oleh Shahurain Abu Samah (m-13) - sekali gus menamatkan badi 40 tahun yang diiri­­ngi dentuman mercun me­­ngiringi kejayaan manis The Red Warriors.
Kejayaan ini memboleh­­kan Kelantan meletakkan diri dalam kumpulan unik yang kini bertambah kepada 14 pasukan yang pernah menjulang piala keagungan bola sepak tanah air itu termasuk sebelum ini yang dikenali Piala HMS Malaya dan Piala Malaya.

Namun, skrip itu tidak kelihatan begitu pada awal saingan babak pertama apabila Shahurain yang dinaikkan kepada posisi serangan berikutan ke­­tandusan penye­­rang akibat kecederaan yang menimpa Zaquan Adha Abd Radzak me­­ngulangi jaringan awal ke atas lawan sama, apabila mudah menyempurnakan penalti mengatasi Khairul Fahmi Che Mat selepas penjaga gol itu menjatuhkan S Kunalan dalam ko­­­­tak penalti.

Shahurain yang mele­­dakkan gol cantik dalam laluan kejayaan 3-1 musim lalu berjaya mengelirukan penjaga gol itu yang semakin meningkat naik dalam skuad kebangsaan pada percubaan kedua selepas pengadil, Sub­­khiddin Mohd Salleh me­­ngarahkannya diambil semula.

Pada masa kecederaan babak pertama, gerakan pantas Mohd Badri Mohd Radzi dengan Indra Putra Mahayuddin hampir menjelmakan gol penyamaan, tetapi tendangan lencong kapten Kelantan itu berjaya ditumbuk penjaga gol, Sani Anuar Kamsani.
Hairuddin menceriakan pasukan apabila berjaya mengelakkan diri daripada kawalan pertahanan untuk menghalakan han­­taran lintang Norshahrul dengan jaringan penya­­maan menerusi tandukan untuk menghidupkan api perjuangan the Red Warriors dan hampir 60,000 penyokong mereka.

Momentum beralih arah kepada Kelantan yang mengambil alih tam­­puk penguasaan de­­ngan Mohd Badri men­­cetuskan dentuman mer­­cun oleh penyokong hasil gol kemenangan buat mencipta sejarah baru mereka.



Read More Berita Harian On Line
Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...