Photobucket

Sahabat Maya :

Saturday, October 29, 2011

Jangan lupa malam ni..









Terengganu jadi pilihan, NS mantap



KUALA LUMPUR – Terengganu menjadi pilihan untuk menjulang Piala Malaysia pada final di Stadium Shah Alam hari ini.


Berita penuh di sini


Utusan Malaysia Online





Perlawanan akhir Piala Malaysia 2011

secara online di Live Streaming RTM TV1 .




Lawak Bola










Teruskan membaca..

Guru menang Anugerah Apicta Terbaik Perdana Menteri


Guru menang


Anugerah Apicta Terbaik


Perdana Menteri




KUALA LUMPUR 25 Okt. - Kaedah e-Pembelajaran menerusi blog bagi mendidik anak Orang Asli melayakkan seorang guru dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Teknologi Maklumat dan Komunikasi Asia Pasifik MSC Malaysia (Apicta) Terbaik Perdana Menteri, tahun ini.



Penerimanya, Muhamad Hafiz Ismail, 25, merupakan seorang guru Matematik di Sekolah Kebangsaan Kampung Kenang, Sungai Siput (Utara), Perak berjaya mengetepikan kira-kira 250 calon lain dalam kategori yang sama.



Anak kelahiran Kedah itu memenangi anugerah tersebut dengan blog www.apistakkisah.blogspot.com yang bertajuk Life Through My Eyes: A teacher's little steps towards perfection dengan menceritakan pengalaman tahun pertamanya di sekolah berkenaan.



"Saya ingin berkongsi pengalaman suka-duka bersama rakan yang lain dalam dunia pendidikan mengenai kaedah yang digunakan oleh saya untuk mendidik murid terutama anak Orang Asli supaya mereka dapat memberikan tumpuan sepenuhnya di dalam kelas.




"Blog ini juga merupakan satu bentuk jaringan untuk guru meluahkan dan berkongsi apa sahaja mengenai pengalaman mereka memandangkan di negara ini agak jarang adanya jaringan bagi menghubungkan warga pendidik," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, hari ini.



Tambah Muhamad Hafiz, kandungan dalam blognya itu turut telah dibukukan oleh penerbit Universiti USCI dan MPH.



Bagi Anugerah Projek Pelajar kategori Menengah dimenangi oleh Sekolah Menengah Foon Yew, Kulai, Johor manakala kategori Rendah dimenangi oleh Sekolah Kebangsaan Dua Sungai, Mukah, Sarawak.



Sementara itu, Idottv Sendirian Berhad pula memenangi merit bagi Anugerah Teknologi Hijau Terbaik dengan memperkenalkan produk bil 'hijau' yang akan memasuki pasaran pada akhir tahun ini.



Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azrin Mohd. Noor berkata, fokus produk itu adalah bagi mengurangkan penggunaan kertas ke atas bil telefon bimbit oleh syarikat telekomunikasi.



"Dengan adanya bil hijau ini, pengguna boleh menyemak penggunaan alat komunikasi menerusi telefon atau online bagi mengurangkan pergantungan dan penggunaan kertas yang berlebihan.



"Kajian juga menunjukkan setiap tahun penggunaan kertas bil telefon mampu membentuk 222 Menara Berkembar Petronas (KLCC) dengan anggaran 10 juta pengguna," ujarnya.



Kesemua pemenang berjaya membawa pulang sebuah trofi dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili yang turut dihadiri Pengerusi Multimedia Davelopment Corporation, Tan Sri Halim Ali.






Sumber : Utusan Malaysia







Teruskan membaca..

Belajar Jahitan Manik



How to sew bead flower















Teruskan membaca..

Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.






Perkasa


Bahasa Melayu Sebagai


Bahasa Ilmu, Kemajuan


– Muhyiddin




KUALA LUMPUR, 29 Okt – Rakyat perlu memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan kemajuan serta pada masa yang sama mempelajari bahasa asing untuk menguasai ilmu yang ada dalam bahasa itu, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.



Beliau berkata masyarakat wajar mengambil iktibar daripada sejarah orang Eropah dahulu yang mempelajari bahasa Arab untuk menguasai ilmu yang terdapat dalam bahasa itu.



Katanya orang Eropah mempelajari sesuatu bahasa untuk menguasai ilmu yang ada dalam bahasa itu tanpa merendahkan kemampuan bahasa mereka sendiri dan mempunyai rasa bangga yang amat kental terhadap bahasa mereka.



“Orang Eropah kemudiannya menggunakan bahasa mereka sendiri untuk memperkayakan ilmu yang diperolehi. Mereka menulis karya-karya agung dalam bahasa mereka sendiri. Universiti-universiti didirikan untuk mengajar ilmu yang baru ditemui dalam bahasa-bahasa Eropah.



“Hari ini, orang Eropah tidak perlu lagi mempelajari bahasa Arab untuk menguasai ilmu, terutamanya dalam bidang sains dan teknologi. Mereka telah berjaya mencipta ilmu dalam bahasa mereka sendiri dan mengembangkannya ke seluruh dunia dan akhirnya bangsa Eropah menjadi bangsa yang maju dan bahasa mereka juga menjadi bahasa yang maju,” katanya.



Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu VIII yang dianjurkan oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini hari ini.



Beliau berkata para pejuang bahasa mempunyai peranan penting untuk memartabatkan bahasa Melayu dengan memupuk sikap positif rakyat terhadap bahasa kebangsaan itu.



“Pejuang bahasa tidak harus lagi bertindak sebagai kumpulan pendesak semata-mata dan perlu sentiasa turun padang, berada di tengah-tengah masyarakat, menjadi penggerak kesedaran rakyat pelbagai kaum untuk membina keyakinan mereka terhadap kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan kemajuan,” katanya.



Para ilmuan di negara ini juga perlu mempergiatkan usaha untuk berkarya dalam bahasa Melayu selain usaha-usaha penciptaan istilah sains dan teknologi dalam bahasa itu, katanya.



“Kerajaan juga akan memperkukuhkan peranan Institut Terjemahan Negara yang akan bertanggungjawab untuk memperhebatkan lagi usaha penterjemahan buku-buku ilmiah antarabangsa yang berkualiti sebagai langkah menambah khazanah keilmuan dalam bahasa Melayu.



“Saya juga menyambut baik pengumuman Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin baru-baru ini bahawa penerbitan dalam bahasa Melayu akan dijadikan salah satu kriteria kenaikan pangkat ahli akademik di institusi pengajian tinggi awam tempatan,” katanya.



Muhyiddin turut mencadangkan agar Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, Akademi Pengajian Bahasa Melayu Universiti Malaya dan DBP menjalin kerjasama untuk menawarkan latihan dan kursus dalam bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa.



“Untuk memastikan akses yang lebih luas dan mudah serta kos yang lebih efektif, teknologi digital boleh dimanfaatkan dengan menawarkan kursus-kursus dalam bentuk pembelajaran atas talian,” katanya.



Beliau berkata kerajaan juga akan menghantar tenaga pengajar bahasa Melayu ke negara-negara luar dan melatih rakyat Malaysia di luar negara sebagai munsyi bahasa Melayu mulai tahun depan. -MediaUMNO







Pemansuhan PPSMI


perkasa bahasa Melayu



2011/10/29





PERSATUAN Linguistik Malaysia (PLM) merakam ucapan tahniah dan syabas kepada Kementerian atas penyataan tegas berkaitan pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) (seperti yang tersiar dalam akhbar) terbukti membawa banyak keburukan dan mudarat kepada pelajar seluruh negara dan bahasa Melayu khususnya berbanding kebaikan yang dihasratkan.




PLM tidak akan mengulang alasan yang sudah diberikan Kementerian, cuma sekadar mengingatkan banyak cara atau kaedah yang belum dan dapat dilakukan untuk memandaikan anak Malaysia dengan bahasa Inggeris dan jangan hendaknya dipilih cara yang dapat menjejaskan peranan dan upaya sedia ada akan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu termasuk sains dan teknologi dan bahasa pembina tamadun di negara ini.
Tidak ada negara lain yang membuang bahasanya sendiri kecuali beberapa kerat negara yang berterusan mengekalkan penggunaan bahasa asing (penjajahnya) sebagai bahasa pentadbiran dan bahasa penyebar ilmu di sekolah dan universiti.




Jelas terbukti bahasa Inggeris bukan bahasa mutlak untuk kemajuan. Semua bahasa berpotensi sebagai bahasa kemajuan dan di bahu bangsanya dan negaranya terpikul tanggungjawab itu. Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu sudah terbukti sejak lama dulu dan cuma perlu dipergiat lagi bagi bidang sains dan teknologi sesuai perkembangan masa kini.




Sejak tertubuhnya pada 1970, PLM berkeyakinan, tidak pernah dan tidak akan surut pendirian bahasa Melayu sememangnya berupaya memajukan bangsa dan negara ini seperti terbukti selama 30 tahun Dasar Pendidikan Kebangsaan dilaksanakan di semua peringkat sekolah dan malah di universiti iaitu sejak tahun 1970 sehingga 2002 (sebelum pelaksanaan PPSMI).




PLM juga menyedari penguasaan satu bahasa saja tidak mencukupi malah satu tragedi malang. Anak Malaysia perlu menguasai bahasa asing dengan cara atau kaedah betul seperti Korea, Jepun, Mandarin, Arab, Perancis dan sebagainya serta tidak terhad kepada bahasa Inggeris saja.




PLM tidak jumud dalam hal ini malah sudah menerbitkan penyataan menyokong saranan Timbalan Perdana Menteri agar bahasa Inggeris diwajibkan lulus pada peringkat SPM dengan syarat mengambil kira segala faktor perlu yang sudah dinyatakan PLM sebelum ini termasuk serentak dengan itu mewajibkan kelulusan tahap kepujian bagi mata pelajaran bahasa Melayu kerana statusnya sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara ini.


KAMAL SHUKRI ABDULLAH SANI,

Timbalan Presiden PLM.








Teruskan membaca..

19 jam menghadap Internet



OUTONO

Mangsa dibuli di laman sosial




Remaja dan kanak-kanak menghabiskan
purata 19 jam masa menghadap Internet.



PENGALAMAN mangsa buli di alam siber ini diceritakan sendiri oleh seorang pelajar tingkatan empat, Asraf (bukan nama sebenar) yang kini belajar di sebuah sekolah menengah di Selangor.



Asraf memberitahu, biasanya perbuatan buli itu dilakukan oleh sekumpulan pelajar yang biasanya menggunakan laman sosial seperti Facebook (FB) untuk membuli rakan dan juga guru.



Melalui perbuatan tersebut, kumpulan pelajar terbabit akan menceroboh laman sosial rakan-rakan dan guru mereka dengan meletakkan pelbagai status dan komen yang memalukan.



Dalam kes Asraf, pada pandangan rakan-rakan dan saudara mara dia melayari laman sosial itu sepanjang masa. Ini berdasarkan statusnya yang dikemas kini hampir setiap minit.



Tetapi realitinya, Asraf langsung tidak melayari Internet pada hari berkenaan. Malah rumahnya juga tidak ada kemudahan Internet. Dia juga tidak mengunjungi kafe siber. Kalau pergi pun akan ditemani bapa dan ibunya. Telefon bimbitnya pula tidak ada capaian Internet.



Maknanya, Asraf telah menjadi mangsa buli di Internet oleh rakan-rakan sekolahnya.



‘‘Sukar untuk meneka siapa yang terlibat kerana mereka ini bergerak dalam kumpulan. Mereka menggunakan kafe siber untuk melakukan kerja-kerja menggodam FB saya,’’ katanya.



Kata Asraf, ada rakannya mengalami nasib yang lebih teruk lagi apabila gambar dan profil dalam FB ditukar.



Katanya, perbuatan itu memang memalukan, tetapi mangsa hanya berdiam diri kerana bimbang akan dibuli lebih teruk.



Jelas Asraf, guru kelasnya juga turut menjadi mangsa hingga terpaksa menukar kata laluan ke akuan FB.



Namun, ia masih gagal untuk menghalang kumpulan pelajar nakal terbabit daripada terus menceroboh ke akaun guru tersebut.



‘‘Yang peliknya setiap kali guru saya menukar kata laluan baru di akaun FB mereka ia berjaya dikesan oleh kumpulan pelajar ini.



‘‘Pelajar-pelajar ini begitu bijak dalam menceroboh kata laluan di FB sesiapa sahaja yang mereka kehendaki,” katanya.



Atas pengalaman itu, Asraf memberitahu dia tidak lagi berminat melayari laman sosial itu kerana bimbang diperhatikan oleh kumpulan itu yang menunggu masa untuk membuli.



Cerita Asraf itu merupakan salah satu daripada beribu-ribu jenayah siber yang menyasarkan kanak-kanak sebagai mangsa.



Daya tarikan Internet memang kuat sehingga menjadi kegilaan bukan saja pada kanak-kanak bahkan orang dewasa.



Disebabkan ketagihan kepada Internet terutama pada laman-laman sosial seperti FB, Fanpage, blog dan sebagainya menyebabkan mereka terdedah kepada kejadian buli siber.



Laporan Keluarga Norton Online 2010 menunjukkan kanak-kanak di Malaysia telah menghabiskan secara purata 19 jam seminggu di Internet.



Tetapi ibu bapa hanya beranggapan anak-anak mereka menggunakan Internet selama 11 jam seminggu.



Laporan tersebut juga mendapati hanya empat daripada 10 ibu bapa mengetahui apa yang dicapai dan dilayari oleh anak-anak mereka di Internet.



Peluang untuk melayari Internet juga tidak terhad dengan penggunaan komputer meja atau riba sahaja.



Kemunculan komputer yang lebih kecil dan senang dipegang seperti tablet, iPad dan telefon bimbit memudahkan capaian anak-anak kepada Internet.



Ia diburukkan lagi dengan sikap ibu bapa yang begitu mudah menyediakan kemudahan untuk anak-anak mereka melayari dunia siber tanpa sebarang panduan dan pengawasan.



Kajian yang sama menunjukkan sembilan daripada 10 kanak-kanak di Malaysia pernah terdedah kepada pengalaman negatif menerusi penggunaan dalam talian.



Ketua Perhubungan Korporat Telekomunikasi Digi, Zaiton Idrus berkata, senario itu sebenarnya memberikan kesan negatif terhadap emosi mereka.



‘‘Sekalipun ingin membelikan telefon bimbit atau iPad untuk anak-anak, ibu bapa perlu mengingatkan mereka supaya berhati-hati ketika melayari Internet untuk mengelak sebarang masalah,’’ katanya.



Beliau berkata, hanya ibu bapa sahaja yang dapat memberikan panduan dan bimbingan supaya anak-anak dapat melayari Internet dengan beretika.



‘‘Ibu bapa perlu ingat bahawa memberikan peluang anak melayari Internet juga umpama membenarkan mereka bermain di padang permainan di mana perlu ada panduan keselamatan,’’ katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Cara Mengurus Anak Celik Digital sempena seminar Perlindungan Untuk Kanak-Kanak di Online (Child Online Protection) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.



Jelas Zaiton, panduan dan bimbingan itu dapat membantu mereka supaya tidak terjebak dengan perkara negatif di dunia siber termasuk membuli pengguna yang yang lain.



Sehubungan itu, katanya, ibu bapa perlu memperuntukkan masa memeriksa dari semasa ke semasa setiap kenalan anak mereka menerusi laman web sosial seperti FB dan sebagainya.



‘‘Kawalan ini tanggungjawab ibu bapa supaya anak masing-masing tidak dipengaruhi oleh rakan siber dan pelbagai anasir jahat yang lain,’’ katanya.



Jelasnya, Digi sebagai syarikat telekomunikasi di negara ini turut bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan pelanggan daripada terjebak dengan sebarang jenayah siber.



‘‘Antaranya ‘Perlindungan Keluarga McAfee’ merupakan perisian keselamatan Internet dibina untuk memberi kuasa kepada ibu bapa untuk menjaga, mengetahui bahawa mereka ini akan selamat kerana belajar dan meneroka di dunia siber,’’ katanya.



Katanya, teknologi canggih perisian tapisan menghalang kanak-kanak daripada terdedah kepada kandungan yang tidak sesuai seperti video yang tidak sesuai dan sebagainya.



‘‘Jika ibu bapa selalu sibuk mereka akan maklumkan melalui emel mengenai apa-apa akses kepada laman web tidak sesuai yang telah dilayari oleh anak-anak,’’ katanya.



Sementara itu Pengasas dan Pengarah Eksekutif, Persatuan Kebajikan Generasi Gemilang (Generasi Gemilang), Daniel Tan Kok Keat berkata, ikatan kekeluargaan yang rapat merupakan kaedah terbaik supaya kanak-kanak sebagai generasi akan datang selamat ketika melayari Internet.



‘‘Ibu bapa adalah guru terbaik yang boleh mengajar anak-anak supaya mematuhi panduan yang berasaskan kepada prinsip dan nilai di dalam sesebuah kehidupan itu ketika melayari Internet,’’ katanya.



Sehubungan itu, katanya, ibu bapa mesti sedia maklum laman web yang sesuai untuk dilayari oleh anak-anak atau sebaliknya.



‘‘Anak-anak juga dari semasa ke semasa perlu diingat berhati-hati dalam melayari Internet supaya tidak terjerumus ke laman web yang tidak wajar di dalam usia mereka,’’ katanya dalam kertas kerja bertajuk Realiti Dunia Siber di Malaysia.



Daniel berkata, ibu bapa perlu mendidik anak-anak supaya dapat melayari alam siber secara positif.



‘‘Mereka perlu diingatkan supaya bertanggungjawab bukan sahaja untuk menjaga keselamatan diri sendiri malah juga keluarga dan juga rakan-rakan,’’ katanya.



Sumber : Utusan Malaysia




Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...