Photobucket

Sahabat Maya :

Friday, April 19, 2013

Bahasa Melayu wahana perpaduan


Bahasa Melayu wahana perpaduan

 

OLEH DR AMINUDIN MANSOR



BAHASA Melayu adalah bahasa yang menyatukan semua kaum di negara ini. Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Bahasa rasmi dan bahasa pengantar di sekolah. Ini mestilah menjadi agenda semua pihak terutama di sekolah dan di universiti tidak mengira apa juga peringkat dari rakyat biasa hinggalah kepada pemimpin atasan.




Bahasa Melayu sewajarnya dijadikan medium utama dalam membentuk perpaduan di negara ini. Usaha ini sepatutnya tidak berhenti setakat di sekolah membabitkan para pelajar dan guru-guru sahaja.




Bahasa Melayu antara enam bahasa di dunia yang mampu bertahan dalam tempoh 100 tahun akan datang, malahan mampu hidup selama-lamanya jika bahasa Melayu mempunyai kuasa ekonomi.




Hal ini terbukti melalui kata-kata cendekiawan silam yang berbunyi, "Sungguh luas tersebarnya bahasa Melayu itu sehingga kalau kita memahaminya tidaklah mungkin kita kehilangan jejak, kerana bahasa itu bukan sahaja dimengerti di Parsi bahkan lebih jauh daripada negeri itu dan di sebelah timurnya sehingga Kepulauan Filipina".




Bahasa Melayu digunakan oleh lebih 300 juta orang di seluruh dunia. Bahasa Melayu turut berkembang apabila terdapatnya pelbagai suku kaum Melayu menjalar hingga ke Sri Lanka, Arab Saudi, China dan Afrika Selatan.




Menurut Sarjana Belanda, Francois Valentijn pada abad ke-16, "Bahasa mereka bahasa Melayu, bukan sahaja dituturkan di daerah pinggir laut, tetapi juga digunakan di seluruh kepulauan Melayu dan di negeri-negeri Timur; sebagai suatu bahasa yang difahami di mana-mana sahaja oleh setiap orang, tidak ubah seperti bahasa Perancis atau Latin di Eropah, atau sebagai bahasa Lingua Franca di Itali atau di Levent."
Dari sehari ke sehari, peningkatan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat dunia Melayu dan di luar dunia Melayu kian ketara sehingga wujud banyak pusat pengajian Melayu di pelbagai universiti luar Negara.




Sejarah membuktikan betapa bahasa Melayu telah melalui detik kegemilangan terutama pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Ketika itu, peranan bahasa Melayu menjadi penghubung dalam kalangan pedagang dan sebagai wahana budaya serantau untuk mengungkapkan pelbagai bidang ilmu.




Lantaran itu, tidak hairanlah bahasa Melayu turut termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, Indonesia, dan Brunei sebagai Bahasa Kebangsaan. Di Malaysia, kedudukan bahasa Melayu termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Para pelajar juga harus difahamkan secara mendalam. Selepas negara ini mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, bahasa Melayu telah berkembang dengan pesat seiring dengan kepesatan pembangunan negara khususnya dalam bidang pendidikan.




Melalui pendidikan, bahasa Melayu mampu merentasi segala cabaran untuk dinobatkan sebagai bahasa yang dapat diterima dan digunapakai di seluruh dunia. Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan termasuklah di institusi pengajian tinggi membuktikan yang bahasa ini juga berupaya menjadi bahasa ilmu selain penggunaan bahasa Inggeris, bahasa Arab dan lain-lain.




Za'ba menyatakan kepada anak-anak Melayu yang bernasib baik mendapat pelajaran tinggi di universiti, gunakan pengalaman dan pengajian yang diperoleh itu untuk memimpin, mengajar anak bangsa kita untuk mengembang dan mempertingkatkan taraf pelajaran dan pengajian Melayu.
Bahasa Melayu di negara ini juga dapat dipertahankan dan diperkembangkan berdasarkan pelbagai akta. Ringkasnya, pelaksanaan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan di Malaysia.




Dasar bahasa Melayu melalui sistem pendidikan jelas terlihat dalam pelaksanaan dasar bahasa di sekolah, maktab dan universiti. Cabaran besar bahasa Melayu pada hari ini ialah kemampuan untuk memupuk perpaduan antara pelajar pelbagai kaum. Bagi mencapai matlamat mewujudkan perpaduan antara kaum, Penyata Razak telah mengesyorkan beberapa perkara antaranya Bahasa Melayu mestilah diajar di semua sekolah dan dijadikan satu syarat untuk menerima sebarang bantuan yang diberi oleh kerajaan di dalam semua sekolah. Satu lagi, di sekolah-sekolah menengah jenis kebangsaan dicadangkan supaya bahasa Melayu dan Inggeris diwajibkan



Selepas Penyata Razak, Laporan Rahman Talib 1960 menegaskan semula syor untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai mata pelajaran wajib dalam kurikulum di semua peringkat persekolahan.



Justeru, bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah telah dimulakan perancangannya sejak sebelum merdeka lagi. Seterusnya penggunaan bahasa Melayu telah diperkukuhkan lagi dengan pelaksanaan menerusi Laporan Jawatankuasa Mengkaji Dasar Pelajaran Kebangsaan 1979 dan Akta Pendidikan 1996.








[IMAGE0019.BMP][mainpix1.jpg]

Thanks google :)
Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...