Photobucket

Sahabat Maya :

Sunday, January 3, 2010

Kita Akan Kalah Jika Terus Mengalah



Mingguan Malaysia, 29 November 2009

Ramai orang bertanya, kenapa Lee Kuan Yew berjaya dengan sistem satu aliran pendidikan di Singapura dengan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Lee Kuan Yew dipuji melambung kerana dikatakan sanggup korbankan bahasa ibunda demi kepentingan negara. Betulkah? Jawapan saya, Lee Kuan Yew tidak ada pilihan. Justeru, beliau terpaksa bertindak tegas. Jika ada pilihan, saya yakin beliau tidak akan bertindak sedemikian. Ingat! bahasa Mandarin masih dijadikan subjek penting di sana berbanding bahasa Melayu, dengan alasan mereka adalah majoriti.

Sejarah Singapura perlu difahami kenapa Lee Kuan Yew memilih bahasa Inggeris? Jika Singapura bukan berasal daripada sistem kenegaraan Melayu, saya yakin Lee Kuan Yew tidak akan memilih bahasa Inggeris. Lee Kuan Yew sudah lama dapat membaca pemikiran psikologi orang Melayu. Kebolehan beliau menulis dan membaca jawi sudah dapat mencairkan orang Melayu. Jika bahasa Cina digunakan, sudah tentu ia akan ditentang oleh orang Melayu ketika itu.

Singapura tidak boleh dipisahkan dengan Melayu. Sehingga ke hari inipun saya masih mengatakan Singapura adalah sebuah negara Melayu di Kepulauan Melayu. Kecuali Singapura itu berada di gugusan kepulauan seperti Taiwan, baru saya mengikhtiraf negara itu sebagai negara bangsanya. Lee Kuan Yew hanya mengorbankan bahasa mandarin buat sementara waktu. Janganlah kita buat andaian bahawa Singapura maju kerana menggunakan bahasa Inggeris. Sifat ultra kiasu amat berkait rapat.

Kita pula janganlah terlalu hairan kenapa Singapura boleh keluar sebagai negara maju dalam jangka masa cepat? Jika ditakdirkan Singapura sebesar Malaysia atau Indonesia, saya yakin ia tidak ke mana juga. Singapura bernasib baik sebab faktor lokasi dan saiz banyak membantunya untuk keluar menjadi negara maju. Jangan terlalu kagum dengan kepemimpinan mereka, sehingga kita lupa apa yang telah dilakukan terhadap negara kita sebelum ini. Masih ingatkah sejarah dan titik hitam pemisahan Singapura-Malaysia? Adakah kemasukan Singapura ke dalam Malaysia benar-benar ikhlas? Bacalah sejarah. Apa yang penting hari ini ialah bagaimana untuk menangani sikap ultra kiasu mereka yang amat bahaya kepada politik negara kita. Ingat, pengikut-pengikut ultra kiasu Singapura ini masih ramai berada di negara kita, dengan sebab itu mereka tidak habis-habis menuntut dan mendesak. Apakah kita masih tidak sedar? Ringkasnya, mereka tidak bersendirian.

Lihatlah berapa banyak tanah-tanah strategik yang telah tergadai? Begitu juga dengan rumah-rumah mewah yang telah dibeli? Jangan lupa perjanjian air dan kawasan tadahan air yang dijaga oleh tentera Singapura walaupun berada di Johor. Lee Kuan Yew teramat jarang melawat Malaysia selepas pemisahan, kenapa beliau sanggup ke negara kita baru-baru ini terutama ke Pulau Pinang? Sedarkah kita apa yang dibincangkan secara tersurat dan tersirat? Fikirkanlah. Jangan terlepas pandang pula nasib Melayu di Pulau Pinang? Janganlah bila sudah terhantuk baru mengadah. Sebelum terhantuk perlulah berhati-hati. Bila nasi sudah menjadi bubur sudah terlambat. Perpecahan sesama kita adalah petanda jelas kejayaan mereka.

Sedarlah wahai saudaraku, Melayu Islam di Singapura telah berjaya dicairkan. Hari ini segelintir orang Melayu yang digula-gulakan dengan kuasa sudah tidak seperti Melayu Islam. Mereka bukan sahaja telah cair, tetapi sudah tidak berhati Melayu Islam, kecuali mereka yang masih bertahan di madrasah. Sejauhmana madrasah dapat bertahan? Itu masih menjadi persoalan besar hari ini. Kedudukan madrasah menjadi semakin terhimpit. Begitu juga dengan masjid-masjid mereka. Apakah kita belum sedar? Cukuplah Pulau Batu Putih yang telah terlepas. Janganlah selepas ini kita berputih mata. Ambillah pengajaran ini sebelum terlambat. Mereka yang kuat berjiwa Melayu Islam memang tidak akan terpilih menjadi pemimpin atau menteri di sana. Dengan sebab itu, orang seperti Dr Lily Zubaidah Rahim (2001) terbuang di bumi sendiri. Hanya kerana bercakap menjaga kepentingan Melayu Islam. Apakah kita tidak mengambil pengajaran?

Cuba kita fikir kenapa hari ini Singapura membelanjakan hampir USD11 bilion setahun memperkuatkan sistem pertahanan negaranya dengan populasi hanya 4.6 juta yakni nombor 23 dalam ranking dunia? Lebih dua kali ganda lebih besar daripada perbelanjaan pertahanan Indonesia (USD 4.7 bilion). Perbelanjaan pertahanannya jauh meninggalkan negara kita yang tidak langsung tersenarai dalam ranking dunia. Sedarkah kita sekutu rapat mereka adalah musuh-musuh Islam seperti Israel, Amerika, Australia, Britain dan sebagainya? Tidakkah kita terfikir, apakah agenda mereka sebenarnya kalau bukan kita? Saya yakin kita tidak akan terlepas pulau Batu Putih jika kekuatan kita melebihi kekuatan mereka. Ancaman dan amaran kita sudah cukup untuk menggetarkan mereka. Tetapi kenapa mereka begitu berani dan kurang ajar? Sebab mereka tahu, sejauhmana kekuatan mereka dan telah bersedia menghadapi apa jua situasi. Tendensi untuk mereka menang besar adalah tinggi.

Mungkin pakar-pakar pertahanan tidak bersetuju dengan saya. Tetapi kita mesti ingat, hari ini kita tidak lagi berperang menggunakan manusia, kecanggihan teknologi adalah kekuatannya. Bandingkan teknologi pertahanan perang kita dengan Singapura. Bezanya ibarat langit dengan bumi. Kita sepatutnya membelanjakan wang negara untuk pertahanan. Malangnya, wang ringgit kita banyak digunakan untuk berpolitik daripada mempertahankan negara. Sudah sampai masanya kita kurangkan sedikit berpolitik untuk membina kekuatan pertahanan negara.

Sampai bilakah kita mahu terus bersangka baik dengan mengatakan perang dingin telah tamat, dunia sudah aman? Musuh telah tiada, maka kita tidak perlu menjadi kuat? Tidakkah kita sedar bahawa musuh bertambah kuat dan sentiasa berpakat merancang untuk memusnahkan kita?

Justeru, saya menyerukan supaya kita jangan terlalu berpolitik. Masa dan wang ringgit banyak dihabis untuk menewaskan sesama sendiri. Malangnya, kita tidak hanya berpolitik dalam politik, tetapi dalam bidang lain pun berpolitik juga. Misalnya perebutan jawatan atau kuasa dalam badan-badan awam, berkanun, NGO dan sebagainya. Ini belum termasuk isu rasuah. Pendek kata, dalam bidang apapun diperkatakan, umat Islam kita berpolitik. Politik yang merugikan dan melemahkan. Ultra kiasu ambil kesempatan.

Musuh sentiasa merancangkan untuk melaga-laga kita sesama umat Islam. Hari ini kita dilaga-lagakan dengan Indonesia? Siapakah provokatornya? Marilah kita fikirkan bersama. Logiknya mudah, bila negara-negara Islam berjiran bergaduh sesama sendiri, mudahlah negara ultra kiasu dan orang ultra kiasu ini menyusun strateginya. Janganlah kita terlalu beremosi, takut memakan diri.

Barat telah berjaya melaga-lagakan negara-negara Arab. Hasilnya, negara haram Israel berjaya menguasai negara-negara Arab dengan nisbah 1 orang Israel, lebih 100 orang Arab. 100 Arab tidak dapat mengalah 1 Israel. Sedangkan dari segi logik, akan banjir 1 orang jika 100 orang pakat-pakat kencing ke atas Israel ini. Keadaan berlaku sebaliknya. 1 berjaya mengalahkan 100. Senario Arab-Israel hampir sama dengan negara kepulauan Melayu-Singapura. Mereka sudah bersedia dengan segala kekuatan teknologi. Kita asyik berpolitik tanpa kesudahan.

Kita bernasib baik kerana hari ini kita menjadi pengguna teknologi, bukan pencipta. Kebaikannya, kita tidak perlu lagi menghabiskan masa mencipta teknologi kerana ianya telah tersedia dicipta. Masa mencipta teknologi telah banyak dijimatkan. Tuntutan hari ini adalah menggunakan teknologi tersebut sepenuhnya dan diperkembangkan lagi kehebatan seperti yang cuba dilakukan oleh Iran hari ini. Tetapi Iran cuba dimangsakan oleh barat.

Barat dan ultra kiasu ini telah berjaya membaca pemikiran umat Islam. Mereka tahu teknologi mereka digunakan oleh Islam. Orang Islam akan menjadi kuat jika memperkembangkannya. Justeru, sebelum ia berlaku maka dipecah-belahkan dan dicairkan mereka supaya mudah dikuasai. Ternyata strategi mereka berjaya. Umat Islam berjaya dikuasai dan dipecah-belahkan. Bukan kerana mereka tidak pandai menggunakan teknologi, mereka pandai. Tetapi mereka dihasut supaya mempertikai atau bergaduh sesama sendiri dalam isu-isu remeh temeh seperti tarian pendet Bali. Malangnya, yang tidak bergaduh pula tidak memanfaatkan teknologi, tetapi menggunakannya secara salah. Akhirnya jiwa menjadi kosong dan cair.

Justeru, saya merayu agar kita dapat memulakan langkah pertama dengan menyelesaikan isu-isu asas mengenai pendidikan di negara kita. Ini kerana pendidikan amat penting sebagai benteng pertahanan. Ia harus dimulakan dengan sekolah satu sistem. Asas-asas patriotisme berada di situ. Jangan perjudikan masa depan dan keselamatan negara sistem ini demi untuk mempertahankan kuasa hari ini. Jika dengan kehilangan populariti, masa depan pendidikan boleh dipertahankan, rasanya tidak mengapa kita tidak popular buat sementara waktu. Apa guna populariti, jika masa depan pendidikan dan negara menjadi semakin terhakis. Berundur bukan bererti kita mengalah. Tetapi untuk bersiap sedia dengan kekuatan, daripada kita terus mengalah dan terus kalah. Saya masih teringat kata-kata latin yang berbunyi si vis pacem para bellum, bermaksud jika mahukan keamanan bersedialah untuk berperang. Adakah kita sudah bersedia ke arah itu, di kala orang lain telah lama bersedia? Jika mereka terlalu ultra kiasu, adakah kita akan terus mengalah? Kitapun kena bertindak tegas ke atas mereka untuk kepentingan masa depan. Ingat! kita akan kalah jika terus mengalah.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia


Mingguan Malaysia 22 Nov 2009

Saya amat mengharapkan kerajaan tidak akan tunduk kepada desakan Persekutuan Persatuan-persatuan Cina Malaysia (Hua Zong) supaya membantu 60 Chinese Independent Secondary School serta mengikhtiraf sijil yang dikeluarkan (UEC). Cukuplah dengan lebih 1300 SJKC yang telah sedia ada, dan akan bertambah dari masa ke semasa. Pemisahan di sekolah rendah sudah cukup berat bagi kita untuk memperkasa masa hadapan. Apakah kita mahu terus memisahkan mereka apabila berada di sekolah menengah? Ini belum ditambah dengan IPTS yang berasaskan kaum yang begitu ketara bilangannya, yang menggunakan bahasa ibunda sepenuhnya seperti di Kajang, Kuala Lumpur dan sebagainya. Saya boleh namakan satu persatu. Biarlah saya simpan dahulu. Apakah ini semangat 1Malaysia?

Di sekolah vernakular, bahasa Melayu hanya diajar tiga kali dalam seminggu. Apakah mereka ini boleh menguasai bahasa kebangsaan dengan baik? Buatlah kajian. Lihat sahaja keputusan UPSR pelajar-pelajar ini dalam bahasa Melayu dan kelas peralihan. Itu sudah cukup memberikan gambaran. Selepas itu buatlah bancian di kampung-kampung baharu. Nilailah tahap penguasaan bahasa kebangsaan. Saya bukan anti Cina. Saya amat sayangkan bangsa saya sebab mereka adalah juga kejadian Allah. Jika saya menolak mereka, bermakna saya menolak Allah yang menjadikan saya sebagai orang Cina. Apakah saya anti-Cina bila membangkitkan isu ini?

Biarlah kita bergaduh hari sekarang demi masa depan. Mudah-mudahan anak cucu cicit kita sejahtera hidup selepas ini. Kepentingan mereka mesti diutamakan berbanding kepentingan kita. Sebenarnya, menteri pelajaran mempunyai kuasa penuh untuk menolak semua sekolah vernakular ini. Tetapi kuasa itu tidak digunakan. Fikirkanlah toleransi yang tidak ada tolok bandingnya.

Sebelum tahun 1996, kita ada Akta Pelajaran 1961 Seksyen 21 (1B) yang memberi kuasa kepada menteri pelajaran untuk menutup atau memansuhkan SJKC/T. Akta ini amat ditakuti oleh persatuan-persatuan Cina. Mereka telah merayu dan mendesak kerajaan supaya memansuhkan akta ini. Atas dasar tolak ansur, pada tahun 1995, menteri pelajaran ketika itu mengambil keputusan berani memenuhi hasrat kaum Cina dengan menarik balik kuasa atau peruntukan itu apabila membentangkan Akta Pelajaran baru pada 1996 yang lebih lunak.

Akta Pelajaran 1996 yang diperkenalkan masih lagi tidak dipersetujui oleh segelintir ultra kiasu. Ultra kiasu ini berpendapat, pindaan terhadap Akta Pelajaran 1961 kepada 1996 telah menyelesaikan satu masalah dengan memansuhkan Seksyen 21 (1)(b), tetapi menimbulkan masalah baru dengan tambahan Seksyen 17 (1). Menurutnya, Seksyen 17 (1) telah memberi kuasa baru kepada menteri pelajaran untuk memaksa sekolah vernakular menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.

Ultra kiasu berhujah, akta sebelumnya hanya menghalang sekolah rendah tetapi kini akta baru itu membolehkan kementerian menghalang, daripada pendidikan pra-sekolah hingga kepada pendidikan selepas peringkat menengah. Berdasarkan kepada Seksyen 28 dalam akta baru itu, hanya sekolah vernakular milik kerajaan negeri atau yang diberi ‘kebenaran khas’ oleh menteri pelajaran, yang mungkin dikecualikan daripada peruntukan di bawah Seksyen 17 (1).

Sebenarnya, akta Pendidikan 1996 yang juga dikenali sebagai Akta 550 ‘lebih lembut’ berbanding akta pelajaran 1961 yang dimansuhkan. Tidakkah ini satu toleransi? Sanggup korbankan kuasa semata-mata untuk meraikan orang lain. Kepada golongan ultra kiasu yang selalu menentang saya bacalah akta ini dan bandingkan dengan akta sebelumnya. Siapakah yang menggubal akta ini kalau bukan Perdana Menteri kita hari ini yang ketika itu adalah menteri pelajaran. Menteri pelajaran sebelum itu, langsung tidak mahu bertolak ansur. Siapakah dia? Tanyalah sekutu parti ultra kiasu ini. Sayapun tidak faham kenapa mereka begitu baik hari ini sedangkan sebelum itu akta 1961 yang paling ditakuti ultra kiasu.

Namun, sekumpulan ultra kiasu ini tidak pernah bersyukur, apatah lagi untuk menghargai. Saya tidak nampak beza SJKC dengan sekolah Cina di negeri China dari segi bahasa, kecuali tambahan mata pelajaran bahasa Melayu 3 jam seminggu? Saya teringat kata-kata Khoo Kay Kim, sistem pendidikan hari ini mesti memenuhi keperluan 1Malaysia. Sistem pendidikan pelbagai tidak akan membantu rakyat memahami gagasan tersebut. Kanak-kanak dipisahkan sejak kecil. Bila membesar agak sukar untuk mereka memberikan kerjasama sama antara satu lain. Sekolah vernakular pada asalnya diwujudkan bagi membolehkan orang Cina India belajar asal-usul negara mereka. Tetapi hari ini mereka telah menjadi rakyat Malaysia, sepatutnya keadaan sedemikian tidak perlu wujud lagi. Kay Kim amat kesal dengan segelintir pihak yang mempertahankan sekolah berasaskan kaum ini.

Saya amat mengharapkan mereka yang terlalu banyak bercakap mempertahankan sekolah vernakular ini supaya membuat kajian secara menyeluruh. Jangan asyik menyalahkan kerajaan sahaja. Apakah agenda mereka sebenarnya? Jika mahu mempertahankan warisan nenek moyang, jagalah budaya dan cara hidup semua sekali? Jangan hanya isu bahasa sahaja, sebab isu bahasa adalah masalah negara. Saya minta mereka buat kajian tentang prestasi bahasa Melayu (BM) sekolah vernakular. Pertama, kebolehan dan keupayaan memahami dan bertutur dalam BM. Kedua, peratus kegagalan BM. Ketiga, masalah kelas-kelas peralihan dan masalah komunikasi antara pelajar dalam BM. Keempat, pergaulan pelajar peralihan dengan pelajar Melayu. Kelima, kegagalan dan kelulusan rendah dalam BM peringkat PMR dan SPM. Keenam, kefahaman dan kebolehan BM setelah tamat sekolah menengah. Ketujuh, kebolehan bertutur BM di kalangan bukan Melayu. Kalau tidak mahu buat kajian juga, ambil sampel beberapa pemimpin politik dan NGO yang lantang ini, termasuk pensyarah-pensyarah di jabatan pengajian Tionghua, cubalah uji keupayaan BM mereka?

Kita teramat sedih apabila baru-baru ini, seperti yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar Cina, beberapa pertubuhan Cina seperti Dong Zong, Hua Zong, Persatuan Ketua-ketua Sekolah Cina, Persatuan Alumni Sekolah-Sekolah Cina dan lain-lain persatuan, menentang keras cadangan kementerian pelajaran untuk menyeragamkan silibus Bahasa Melayu di SK dan SJKC. Untuk makluman, silibus BM di SJKC lebih mudah berbanding SK. Begitulah bersatunya mereka. Apabila belajar BM mahukan yang mudah-mudah (cincai). Belajar bahasa sendiri mesti secara terperinci. Adakah kita sebenarnya serius memperkasakan negara? Adakah ini bukan ultra kiasu? Adakah kita masih tidak nampak dan sedar? Alasannya begitu simplistik, pelajar-pelajar SJKC tidak boleh dibebankan dengan BM yang agak susah sebab mereka terpaksa belajar tiga bahasa iaitu bahasa mandarin sebagai utama, bahasa Melayu sebagai bahasa kedua dan bahasa Inggeris sebagai bahasa ketiga. Begini nasib bahasa Melayu di bumi Melayu. Tidakkah kita sedar bahawa BM adalah bahasa yang paling mudah dipelajari di dunia? Memanglah susah kalau hanya diajar tiga kali seminggu di SJKC. Adakah kita serius?

Saya tidak menafikan ada segelintir pelajar Cina yang berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam bahasa Melayu, tetapi bilangan amat kecil. Itupun setelah diwajibkan lulus. Bayangkan jika syarat itu tidak ada. Apakah belajar bahasa Melayu kerana terpaksa belajar atau semangat sayangkan bahasa kebangsaan? Fikirkanlah. Janganlah menegakkan benang yang basah, yang rugi nanti anak cucu cicit kita, ketika itu kita telah tiada. Jangan kerana ego hari ini kita korbankan kepentingan masa hadapan.

Kepada golongan ultra kiasu ini saya ingin bertanya, berikan saya satu contoh negara di dunia ini yang mengamalkan sistem sebegini? Kalau ada saya akan mengalah. Saya tidak akan sentuh soal pendidikan vernakular. Bukankah syurga kita di sini? Jangan selalu gunakan hujah kepelbagaian sebagai satu kekuatan atau unity within diversity. Terlalu banyak berbeza juga tidak membawa kebaikan. Kita perlu mencari banyak persamaan untuk memenuhi matlamat gagasan 1Malaysia. Persamaan itu hanya akan dapat dicapai dengan berkongsi matlamat wawasan negara. Ia bermula dengan berkongsi sekolah satu aliran, tanpa menafikan hak masing-masing. Jika isu asas seperti bahasa ini pun sudah tidak dipersetujui, apakah dalam perkara lain kita boleh bersetuju? Ringkasnya, sekolah satu aliran adalah satu mimpi jika kita terus berlembut. Kiasu itu dibolehkan. Tidak salah. Malahan Islam membenarkan. Tetapi jangan menjadi ultra kiasu. Kita tetap Cina tetapi jangan jadi terlalu ultra Cina, ultra Melayu, ultra India dan lain-lain ultra bangsa di Sabah dan Sarawak. Itu sudah ekstrim dan melampau.

Saya juga tidak nafikan guru-guru sekolah vernakular rajin dan dedikasi. Tetapi itu bukan bermakna kita boleh buat generalisasi bahawa guru-guru sekolah kebangsaan tidak sama standard dengan SJKC. Ingat! Tidak semua guru-guru SJKC bagus-bagus. Saya juga berpengalaman. Saya bukan Cina masuk Melayu atau Cina murtad. Saya hanya mempertahankan kepentingan masa depan dan anak cucu cicit kita. Jangan politikkan pendidikan kerana ia amat bahaya untuk masa depan negara. Jangan nafikan peranan kerajaan terhadap sekolah bantuan modal seperti SJKC. Perlu diingatkan lebih 400 SJKC adalah bantuan penuh dan dibina oleh kerajaan dalam setiap rancangan Malaysia.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Sumber : http://ridhuantee.blogspot.com/


Teruskan membaca..

10 Rekod Dunia Terbaik







APA persamaan yang ada pada sotong raksasa seberat 450 kilogram, peta genom manusia pertama dan pelari pecut Usain Bolt? Jawapannya: Semuanya tersenarai dalam 10 Rekod Dunia Terbaik Buku Guinness sepanjang dekad lalu.

Sejak pelancaran buku tahunan rekod terbaru itu, beribu-ribu pembaca mengundi untuk memilih pencapaian yang mereka anggap mengagumkan, termasuk dalam bidang hiburan, sukan, teknologi dan kejuruteraan.


“Dengan begitu banyak pencapaian dilakukan sepanjang tempoh itu, kami memutuskan untuk membiarkan peminat memilih yang terbaik daripada yang terbaik,” kata Ketua Pengarang Rekod Dunia Buku Guinness, Craig Glenday.

Selepas beribu-ribu undi, pemilihan ‘Rekod Terbaik Sepanjang Dekad Lalu’ memang tidak mengecewakan.



Ciptaan Yang Bukan-Bukan — Rantai Pembungkus Gula Getah Terpanjang

SEJAK 11 Mac 1965, Gary Duschl dari Virginia, Amerika Syarikat membuat rantai pembungkus gula getah. Apabila siap pada 11 Mac 2009, rantai itu berukuran 17,760 meter panjang dan membabitkan 1,370,166 pembungkus, 2,740,322 sambungan dan seberat 365.6 kilogram.


Kemasyarakatan — Presiden kulit hitam pertama Amerika Syarikat

BARACK Hussein Obama II mengangkat sumpah selaku Presiden Amerika Syarikat ke-44 pada 20 Januari 2009 berikutan kempen yang mencatat rekod baru.

Pada September 2008 sebelum pilihan raya, beliau berjaya mengumpul sumbangan pilihan raya berjumlah RM514 juta — satu rekod baru — meningkatkan jumlah sumbangan kepada RM2.1 bilion, juga rekod baru.

Sebahagian besar wang itu digunakan untuk pengiklanan — RM858 dibelanjakan untuk iklan televisyen dalam masa lima bulan, jumlah terbesar pernah dicatatkan. Lebih 136 juta pengundi keluar mengundi pada hari pilihan raya, yang teramai sejak 1960 dan lebih dua juta orang berkumpul di Capitol, Washington untuk menyaksikan beliau mengangkat sumpah, juga rekod baru.


Sains dan teknologi — Peta pertama genom (set penuh kromosom) manusia

PENERBITAN pertama genom manusia sepenuhnya oleh saintis dan juga usahawan, Dr Craig Venter dari Amerika Syarikat. (USA), yang menerbitkan genomnya sendiri. Rekod lengkap genetiknya membabitkan kira-kira enam bilion huruf dan dihasilkan dengan kos kira-kira RM120 juta.


Sukan — 100 meter paling pantas

PADA Sukan Olimpik 2008 di Beijing, China, Usain Bolt mencatat rekod bersejarah apabila membuat larian terpantas 100 meter dalam masa 9.58 saat pada 20 Ogos 2008.


Tubuh Manusia — Lelaki paling pendek

LELAKI dewasa paling pendek ialah He Pingping yang dilahirkan pada 1988 di China. Setelah diukur sepasukan doktor di Hohhot, pedalaman Mongoia di China pada 22 Mac 2008, He disahkan hanya berukuran 74.61 sentimeter.


Pencapaian agung — Masa paling lama menahan nafas dalam air

TOM Sietas dari Jerman, yang memegang pelbagai rekod dalam Persekutuan Menahan Nafas Dalam Air Sedunia (Aida), mencatat rekod baru dunia selepas menahan nafas dalam air selama 17 minit dan 33 saat untuk mencipta Rekod Baru Dunia di Madrid, Sepanyol pada 30 Disember 2008.


Pencatat rekod baru terbanyak — Ashrita Furman

SEJAK 1979, Ashrita Furman mencatat lebih 200 rekod, termasuk Lompatan Pogostick Paling Banyak dalam masa seminit (238 lompatan), Balik Kuang Paling Laju (19 minit 11 saat) dan Senaman Bangun Tubi Paling Banyak dalam Sejam (9,628 kali).

Pengurus kedai makanan kesihatan dari Queens, New York berusia 54 tahun itu mencatat rekod baru hampir di setiap benua, termasuk paling lama berdiri di atas bola di Stonhenge, England hingga ke Mengimbangkan Kiu Snooker sambil Berjalan Paling Jauh di Piramid di Mesir.


Kejuruteraan — Struktur tertinggi

STRUKTUR teringgi di bumi ialah pelantar berkaki Ursa, kemudahan pengeluaran minyak terapung yang dikendalikan syarikat Shell di Teluk Mexico. Puncak pelantar minyaknya berada 1,306 meter di atas lantai laut.

Pelantar itu disambung dengan dasar laut oleh laluan paip minyak dan empat keluli besar pada setiap sudut dengan jumlah berat kira-kira 16,000 tan.


Hidupan menakjubkan — Sotong raksasa paling berat

SOTONG paling berat pernah ditangkap ialah sotong raksasa jantan (Mesonychoteuthis hamiltoni) seberat kira-kira 450 kilogram dan berukuran 10 meter panjang. Ia ditangkap sekumpulan nelayan di Laut Ross di Antartika dan dibawa ke New Zealand untuk kajian, tempat tangkapan itu diumumkan pada 22 Februari 2007. Sotong raksasa biasanya lebih pendek berbanding sotong gergasi, tetapi lebih berat.


Seni dan hiburan — Sitcom paling lama

DARIPADA segi episod, sitcom paling lama dalam sejarah ialah The Simpsons oleh Matt Groening. Kartun itu mula disiarkan dalam segmen pendek melalui Pertunjukan Tracey Ullman pada 19 April 1987 tetapi terbukti cukup popular untuk dijadikan tayangan setengah jam menerusi rancangannya sendiri.

Tayangan setengah jam itu dilancarkan pada 17 Disember 1989 dan mendapat sambutan hangat dalam sekelip mata. Sehingga ini 443 episod ditayangkan dan kini memasuki musim ke-20.

Sumber : myMetro

Teruskan membaca..

Jiasheng kira dalam 54 saat

Genius matematik, Teh Jiasheng berkongsi rahsia kepantasan otaknya mengira angka 10 digit kali 10 digit menggunakan teknik arimetik minda sempoa.




TEH JIASHENG, 17, menarik nafas, memejamkan mata menahan sejenak dan melepaskannya dengan tersekat-sekat. Udara yang disedut masuk ke peparu bagaikan terhalang oleh perasaan gundah gulana yang menyelubungi diri.

Jiasheng menunggu dengan perasaan berdebar-debar tatkala guru tuisyennya, Ang Yin Yin mendapatkan jawapan menggunakan mesin pengira komputer riba 10 digit kali 10 digit sambil diperhatikan seorang pembantu Malaysia Book of Records (MBOR).

Selesai menyebutkan angka-angka jawapan, Yin Yin menggeleng-gelengkan kepala menandakan jawapan yang diberikan Jiasheng tidak tepat untuk kali ketiga.

Jiasheng menelan air liur. Dia hampa. Ada sesuatu yang meruap di fikirannya. Dia sukar membuang resah yang bersarang di hati.

"Boleh saya cuba sekali lagi?" pinta Jiasheng secara tiba-tiba sambil menoleh ke arah Pengarah Urusan MBOR, Datuk Danny Ooi untuk memecahkan rekod Pengira Matematik Terhandal di Malaysia.

Usaha mencatatkan rekod baru itu berlangsung di pejabat MBOR di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur.

Danny kemudiannya mengambil semula kotak nombor berhampirannya. Satu demi satu nombor dikeluarkan tanpa dilihat oleh Jiasheng. Ternyata Jiasheng diberi satu lagi peluang untuk melayakkannya mencipta rekod.


DANNY (kanan) memberi peluang kepada Jiasheng membuat kiraan semula bagi memecah rekod Pengira Matematik Terhandal Malaysia.


Angka sepuluh digit kali sepuluh digit dihulurkan kepada Jiasheng dan pencatat masa mula mengira masa yang diambil Jiasheng untuk mengira angka-angka tersebut.

Dia hanya menyelesaikan pengiraan angka-angka tersebut dengan mencongaknya tanpa bantuan mesin pengira. Kalau ada pun pen dan kertas, ia digunakan Jiasheng untuk menulis jawapan digit-digit yang panjang berjela.

Namun, rezeki tidak menyebelahi Jiasheng. Percaturannya masih gagal.

Bukan mudah untuk Jiasheng mengira angka sebanyak itu. Setiap angka 10 digit kali 10 digit memerlukan jawapan sehingga 20 digit. Mesin pengira pun tidak mampu untuk mengira digit sebanyak itu.

Jiasheng diberi tempoh selama dua minggu oleh Danny Ooi untuk kembali ke situ.

Remaja genius

Pada 30 Disember lalu, Jiasheng berjaya memecah rekod pengira matematik paling handal di Malaysia dengan catatan masa selama 54 saat. Walaupun semasa sesi latihan, Jiasheng mampu mengira angka 10 digit kali sepuluh digit dalam masa 25 saat, namun dia tetap berjaya memecah rekod MBOR.

Jiasheng meleburkan rekod yang dipegang oleh Tee Jun Yong, 21, pada tahun 2003. Ketika itu Jun Yong berusia 14 tahun. Malah Jiasheng memiliki rekod yang lebih baik apabila dia dapat mengira angka yang lebih besar berbanding Jun Yong yang hanya mengira angka 10 digit kali enam digit.

Menyingkap latar belakang anak sulung daripada empat beradik itu, Jiasheng merupakan seorang genius matematik sejak kecil lagi.

Semasa Jiasheng berumur enam tahun, dia sudah pandai mengira angka. Menyedari kelebihan Jiasheng, ibunya, Wang Mei Tyug menghantar Jiasheng belajar di Pusat Tuisyen Bina Jaya Ventures di Batu Pahat, Johor.

Hasilnya, dia tidak pernah memperoleh keputusan B dalam subjek Matematik semasa belajar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cheng Xiu, Batu Pahat, dan Chinese High School Batu Pahat. Semuanya A.




"Biasanya saya dapat markah lebih 90 peratus dalam Matematik," kata Jiasheng.

Jika ada pertandingan mengira atau sesi kuiz di dalam kelas, dia pasti mendahului senarai peserta.

Dia juga menjadi pelajar kesayangan guru kerana kerap muncul sebagai juara dalam pertandingan matematik.

Adakah mengambil makanan tambahan menjadi rahsia kejayaannya? Jiasheng menggeleng-gelengkan kepala.

"Saya makan semua makanan. Tetapi makanan dan minuman yang paling saya suka ialah tauhu dan air soya," katanya.

Belajar sempoa

Di Pusat Tuisyen Bina Jaya, Jiasheng didedahkan dengan teknik mengira menggunakan kaedah aritmetik minda sempoa.

Ia bukan sekadar membantu pelajar menguasai matematik dengan cemerlang bahkan mendedahkan pelajar kepada elemen konsentrasi dan ingatan yang kuat.

"Aritmetik minda sempoa membantu pelajar merangsang otak kiri dan kanan secara serentak bagi membolehkan mereka mendapat jawapan dengan cepat dan tepat," kata Pengarah Pusat Tuisyen Bina Jaya, Ernest Kwek.

Dalam tempoh setahun, Jiasheng mahir dalam teknik sempoa. Pada umur tujuh tahun, Jiasheng tidak lagi memerlukan sempoa untuk mengira. Dia hanya menggunakan otak untuk mencongak beberapa angka mudah.


JIASHENG (kanan) ketika menjuarai Pertandingan Aritmetik Minda Sempoa Antarabangsa 2009 di Genting Highlands baru-baru ini.


"Dia memang seorang kanak-kanak yang luar biasa. Di Pusat Tuisyen Bina Jaya, Jiasheng merupakan pelajar terbaik. Sudah banyak pertandingan matematik yang dimenanginya," ujar Ernest.

Bagaimana Jiasheng mampu mengira tanpa bantuan sempoa mahupun mesin pengira?




"Saya membayangkan sempoa di dalam otak apabila jari-jemari saya menolak manik-manik sempoa sehingga mendapat jawapan," katanya yang rajin melakukan latihan matematik.

Jiasheng akan memperuntukkan masa selama beberapa jam sehari untuk melakukan latihan. Kebanyakan latihan yang dilakukan diperoleh melalui buku rujukan dari Taiwan.

Selain Jiasheng, adik-beradiknya juga mahir dalam matematik.

Bak kata pepatah, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Pepatah itu sentiasa dipegang oleh Jiasheng. Seawal umur tujuh tahun, Jiasheng sudah terdedah dalam pertandingan matematik.

Dia yang juga mahir bermain piano, kerap menjadi johan pertandingan di peringkat kebangsaan, malah turut mengharumkan nama Malaysia di luar negara iaitu Taiwan, Hong Kong dan Thailand.

Antara pertandingan yang disertai Jiasheng sehingga berjaya dinobatkan sebagai juara ialah Pertandingan Aritmetik Minda Sempoa Kebangsaan Chung Hwa (1999 dan 2003), dan Piala Aritmetik Minda Sempoa Khoo Guang Yi (2002).

Dia turut merangkul kejuaraan dalam Pertandingan Aritmetik Minda Sempoa Terbuka Malaysia (2004), Pertandingan Aritmetik Minda Sempoa Antarabangsa Malaysia (2007) dan Pertandingan Aritmetik Minda Sempoa Antarabangsa (2008), selain menjuarai Pertandingan Aritmetik Minda Sempoa Antarabangsa 2009.

Bagaimanapun, semua kejayaan itu bukan diperoleh dengan mudah.

"Saya pernah putus asa semasa mula-mula mempelajari sempoa. Ini kerana selepas saya memvisualkan sempoa di dalam otak, banyak kali jawapan yang saya berikan semasa menjawab soalan matematik adalah salah.

"Saya pernah merasakan teknik ini sukar. Namun, latihan yang kerap di samping tunjuk ajar guru yang bagus, akhirnya saya mampu melaluinya," katanya.

Selepas mahir sempoa, Jiasheng juga pernah berasa bongkak apabila kerap kali menjuarai pertandingan. Akhirnya, pada umur 12 tahun, buat pertama kalinya dia kalah dalam pertandingan aritmetik di Genting Highlands.

Walaupun tewas, tiada sebab untuk Jiasheng berputus asa. Sebaliknya, dia menjadikan pengalaman itu sebagai satu pengajaran dan amaran supaya melipatgandakan usahanya.

"Tiada sebab pelajar tidak boleh mahir matematik. Otak yang dianugerahkan oleh Tuhan adalah sama. Cuma yang membezakan adalah teknik dan latihan yang dipraktikkan oleh seseorang pelajar.

"Selain itu, faktor genetik dan pemakanan yang membina minda seperti vitamin juga boleh mempengaruhi perkembangan minda pelajar," kata Ketua Program Matematik, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Ishak Hashim.

Setiap pelajar yang ingin mahir dalam matematik juga perlu melakukan latihan demi latihan. Jika mereka sudah dilatih sejak kecil, maka mereka akan lebih mahir.

"Tidak guna juga jika kerap melakukan latihan tetapi kaedah yang digunakan tidak betul. Seiringkan kaedah dan juga latihan," katanya.

Sumber : Kosmo!

Teruskan membaca..

Hong Kong dicemari jerebu

Masalah jerebu yang meningkatkan risiko kesihatan dan ‘menelan’ panorama indah Hong Kong menyebabkan setengah juta penduduk mahu meninggalkan bandar raya itu.


JEREBU di Hong Kong dipercayai berpunca daripada pusat janakuasa, enjin kapal dan kenderaan serta asap kilang di wilayah Guangdong, China.


DI atas puncak Victoria Peak, sekumpulan pelancong cuba melihat panorama bangunan pencakar lagit dan pelabuhan Hong Kong yang cantik.

Malangnya, fenomena jerebu hampir-hampir menenggelamkan tarikan pelancongan popular itu.

Keadaan itu nyata mengecewakan para pelancong yang mengunjungi Victoria Peak. Ia sepatutnya menawarkan pemandangan yang cukup indah.

Apabila panorama itu dirakam dan dijadikan penghias kulit depan buku panduan pelancongan, Lonely Planet pada tahun 2002, penggubal undang-undang wilayah itu berasa malu dan terkejut. Imej itu langsung tidak menggambarkan bandar raya selatan China itu yang maju dan moden.

Namun, langit yang berjerebu sudah menjadi perkara biasa dalam kehidupan harian tujuh juta warga Hong Kong.

Statistik daripada Pusat Pemerhatian Hong Kong menunjukkan bahawa jumlah jam tahunan bagi masalah 'penglihatan terhad' naik mendadak daripada 295 jam pada tahun 1988 kepada 1,100 jam pada tahun 2008.

Istilah itu merujuk kepada jarak penglihatan kurang daripada lapan kilometer semasa ketiadaan kabus atau hujan.

"Sekarang sukar hendak lihat langit biru di Hong Kong," komen Profesor Anthony Hedley dari Jabatan Perubatan Komuniti di Universiti Hong Kong.

"Hanya beberapa hari kualiti udara kami menepati tahap selamat yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)."

Jerebu di Hong Kong terbentuk daripada gabungan partikel dan gas-gas yang dikeluarkan oleh pusat janakuasa elektrik, enjin kapal dan kenderaan serta puluhan ribu kilang dari wilayah yang berdekatan dengan Guangdong, Tanah Besar China.

"Ia sangat bertoksik. Partikel itu sangat kecil sehingga ia mudah menembusi paru-paru dan saluran darah. Kalau ini terjadi, ia boleh merosakkan saluran arteri dan pundi udara," kata Hedley.

Kabus dan kabut semula jadi hanyalah komponen kecil dalam jerebu terutama sewaktu cuaca lembap. Masalah itu bertambah buruk di kawasan bandar yang padat seperti Hong Kong kerana dalam kebanyakan masa, bahan pencemar itu terperangkap di antara bangunan-bangunan.

Walaupun kebelakangan ini kerajaan telah berikrar untuk meningkatkan kualiti udara dalam kadar segera, namun para pengkritik berasakan bahawa ia tidak cukup agresif.

"Jika kita bertindak selambat ini, mungkin lima dekad lagi baru kami boleh menghirup udara bersih."

Impak kesihatan

Tahun lalu, Hedley dan pasukannya telah melancarkan Indeks Persekitaran Hedley. Indeks itu menyediakan ukuran pada masa sebenar berkaitan impak kesihatan dan kewangan akibat pencemaran udara di Hong Kong.

Indeks itu menunjukkan bahawa di antara Januari dan pertengahan Disember 2009, masalah kesihatan dan kerugian produktiviti disebabkan oleh pencemaran udara telah mencecah 1.8 bilion dolar Hong Kong (RM793 bilion).

Pasukan itu menganggarkan terdapat sebanyak 5.9 perjumpaan dengan doktor, selain 793 kematian pramatang berlaku akibat pencemaran udara sepanjang tempoh tersebut.

Hasil kajian yang bakal didedahkan dalam beberapa bulan akan datang akan membolehkan sesiapa sahaja untuk menjangkakan bilangan kematian berdasarkan kepada tahap penglihatan pada hari tersebut.

Sementara itu, sekumpulan saintis alam sekitar menaiki sebuah van untuk melawat 18 buah wilayah di bandar raya tersebut bagi mengukur tahap pencemaran di tepi jalan pada setiap hari.

Salah satu objektifnya adalah untuk membandingkan data yang dikumpul oleh stesen-stesen pengukur kualiti udara di tepi jalan.

Chak Chan, pemangku Ketua Divisyen Alam Sekitar di Universiti Sains dan Teknologi Hong Kong yang juga ketua projek itu memberitahu, kadar karbon monoksida, sulfur dioksida dan nitrogen dioksida yang direkodkan di pusat perniagaan biasanya dua atau tiga kali lebih tinggi berbanding data yang dikumpul oleh kerajaan.


LANGIT berjerebu merupakan pemandangan biasa dalam kehidupan harian warga Hong Kong.


"Kami percaya bahawa data yang kami kumpul lebih tepat dan menggambarkan situasi di jalan raya di Hong Kong. Ini kerana alat yang kami gunakan adalah mudah alih sedangkan mereka menggunakan alat yang dipasang di lokasi-lokasi tertentu," kata Chan.

Seorang jurucakap dari Jabatan Perlindungan Alam Sekitar menjelaskan pencemaran udara adalah masalah serantau.

"Kadar penglihatan yang terhad ialah sebahagian daripada masalah pencemaran udara di rantau Pearl River Delta."

Bagaimanapun kajian yang dijalankan oleh sebuah badan pemikir, Civic Exchange mendapati masalah itu timbul akibat pelepasan gas di Hong Kong sendiri dan bukannya kilang-kilang di wilayah China lain.

Biarpun pada tahun 2006 kerajaan telah menetapkan syarat bahawa kereta baru yang didaftarkan mestilah menepati standard pembebasan asap Eropah, tetapi Civic Exchange mendapati 99 peratus daripada bas francais berada di bawah standard Euro4.

Christine Loh, Pegawai Eksekutif Civic Exchange memberi amaran bahawa pencemaran udara telah menghalau keluar mereka yang mempunyai kenangan terhadap kejayaan bandar tersebut.

"Paling mengejutkan ialah kaji selidik kami menunjukkan setengah juta penduduk Hong Kong terutama golongan profesional bercadang untuk meninggalkan Hong Kong. Semuanya gara-gara pencemaran udara," kata Loh.

Hedley menggesa supaya warga Hong Kong terus memberi tekanan kepada kerajaan agar bertindak dengan lebih cepat dan agresif.

"Nasihat saya, hantar mesej kepada Ketua Eksekutif Hong Kong dan beritahu dia kita mahukan udara bersih sekarang. Disebabkan masalah ini, kita terpaksa menanggung beban yang besar dan merugikan." - AFP

Sumber : Kosmo!

Teruskan membaca..

ERTI SEBENAR GURU CEMERLANG

SAYA merujuk kepada kenyataan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, yang menyarankan agar guru-guru menerima sahaja tugasan yang diberi kerana ia akan membentuk sikap bertanggungjawab dan dedikasi kepada tugas sebagai pendidik.

Sebagai guru, saya percaya semua guru bersetuju dengan pandangan beliau. Pendedahan kepada pelbagai bidang tugas memang satu nilai tambah kepada modal insan guru.

Namun begitu, saya berpendapat, sebagai Ketua Pengarah Pelajaran, beliau patut sudah mengetahui tentang bebanan tugas guru yang sudah menyebabkan hampir 80 peratus guru hilang fokus, masa dan tenaga yang sepatutnya ditumpukan kepada tugasan sebenar, iaitu mengajar di dalam kelas. Perkara ini jika berlarutan, kalau ditambah bilangan guru 10 kali ganda pun, tapi kalau semuanya hendak buat kerja pentadbiran, memang tidak berubah keadaan sekolah-sekolah kita.

Inilah yang menimbulkan rungutan guru-guru. Apabila proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) terganggu, murid ketinggalan dalam akademik dan menimbulkan masalah disiplin. Kemudian ibu bapa pula merungut. Padahal sebagai guru, kita sudah melakukan apa yang termampu dengan masa dan tenaga yang terhad.

Tugas perkeranian ini bukan sahaja sudah menyebabkan tumpuan kepada bidang akademik terganggu, malah ia telah mengelabui mata para pentadbir dalam bidang pendidikan juga, bermula dari pentadbir sekolah, sehinggalah ke peringkat jabatan pelajaran negeri-negeri.

Malah, pada pendapat saya, pelantikan Ketua Pengarah Pelajaran dari kalangan guru yang merupakan orang akademik (yang akhirnya terpaksa duduk di pejabat membuat tugasan pentadbiran) ialah bukti bagaimana fokus kepada akademik telah dilonggarkan, kerana tuntutan kerja-kerja pentadbiran. Bayangkanlah kalau seseorang pada tahap kematangan dan pengalaman yang ada pada Alimuddin, duduk di dalam kelas untuk mengajar. Beliau barangkali boleh menghasilkan beratus-ratus lagi anak bangsa yang bakal menyumbang kepada negara. Tapi akhirnya beliau diletakkan di pejabat.

Kenapa tidak kita berikan kerja pentadbiran kepada orang pentadbiran, dan kita orang akademik, buatlah kerja akademik. Kenapa guru yang sudah berpengalaman bertahun-tahun akhirnya disuruh membuat kerja pentadbiran? Bukankah pengalaman dan pengetahuan mereka boleh membantu lebih ramai murid menjadi cemerlang? Adakah menjadi orang akademik terhebat masih rendah tarafnya berbanding orang pentadbiran yang duduk di pejabat?

Lihatlah bagaimana pemberian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, prestasi melintang (sudah tidak akan diamalkan lagi) pelantikan guru pakar, guru bestari dan guru cemerlang. Adakah mereka yang diberi semua penghargaan ini dilantik di kalangan guru yang anak murid mereka menunjukkan peningkatan prestasi akademik? Tidak!

Kebanyakan penerima anugerah dan pentadbir-pentadbir sekolah, pejabat pelajaran daerah dan jabatan pelajaran negeri dilantik di kalangan orang yang menonjol di bidang pentadbiran semata-mata. Sebab itulah kita lihat masih ada murid yang gagal subjek-subjek tertentu walaupun diajar oleh guru pakar, guru cemerlang dan guru bestari. Ini kerana yang ‘bestari’, ‘cemerlang’ dan ‘pakar’ ialah kerja pentadbiran guru itu, bukan teknik P&Pnya. Sekarang ini dengan peperiksaan PTK, guru yang malas masuk kelas pun boleh dapat kenaikan gaji dan pangkat.

Malah, saya sendiri pernah melihat seorang guru yang sangat konsisten. Guru ini setiap tahun (selama hampir 18 tahun) mencatatkan peratus lulus subjek Sains melebihi 95 peratus di semua kelas yang diajarnya, walau pun saban tahun mendapat kelas paling hujung, walaupun mengajar murid yang buta huruf, walaupun format peperiksaan kerap bertukar.

Beratus-ratus muridnya daripada tidak mengenal huruf, akhirnya mendapat A dalam subjek Sains SPM. Tetapi guru ini tidak pernah diberi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, hanya kerana guru ini tidak mempunyai hubungan baik dengan pentadbir sekolah yang hanya mementingkan kerja pentadbiran. Guru ini pula memang menolak kerja pentadbiran kerana kerja pentadbiran akan menyebabkan dia mengabaikan murid-muridnya, sesuatu yang guru ini enggan lakukan.

Bagi saya, sekalipun guru ini dilihat ‘melawan ketua’, tetapi komuniti kecil guru-guru dan murid-murid sekolah menyanjung dan menghormati guru ini kerana keberaniannya meletakkan fokus pada apa yang berhak, iaitu murid-murid. Guru ini juga tidak lokek membantu guru-guru muda dari segi memberi bimbingan tentang teknik P&P yang berkesan. Bagi guru muda seperti saya, inilah guru dalam erti kata sebenar.

Bagaimana boleh berlaku, dalam Kementerian Pelajaran Malaysia, guru yang pandai mengajar diketepikan berbanding guru yang hanya pandai menaip dan mengemas fail? Di manakah profesionalisme guru? Bagi saya, seorang guru itu profesional jika dia pandai mengajar kerana itulah sebenarnya tugas hakiki seorang guru. Tapi hari ini, guru yang membuat kerja yang betul tidak diberi penghargaan sepatutnya, dan guru yang tidak pandai mengajar pula yang diletakkan di tempat tinggi, diberi elaun, kuasa dan jawatan. Bagaimanakah guru-guru yang setiap hari berhempas-pulas dengan murid di dalam kelas hendak menghormati pentadbir mereka yang tidak pandai mengajar pun?

Malah, pentadbir itu pula yang akan duduk di belakang kelas menilai sama ada guru lain pandai mengajar atau tidak. Hanya kerana mereka pentadbir, mereka ada kuasa memberi markah. Tapi mereka menjadi pentadbir bukan kerana mereka pandai mengajar, tapi pandai membuat kerja lain selain mengajar. Bagaimanakah pentadbir sekolah seperti ini layak menuntut penghormatan daripada warga guru? Saya pernah melihat seorang pengetua sekolah yang diletakkan mengajar hanya dua waktu seminggu, terpaksa meminta guru lain mengambil alih kelasnya kerana dia terlalu kerap keluar dan tidak ada di sekolah.

Jika hari ini masyarakat melihat guru sebagai tidak professional, itu ialah kerana hampir semua guru terpaksa membuat kerja menaip dan mengemas fail, suatu kerja yang boleh dibuat oleh budak lepasan SPM.

Jika hari ini masyarakat melihat guru tidak berilmu, ia adalah kerana guru asyik mengisi borang, bukan mengisi dada dengan ilmu.

sumber : Utusan Malaysia online, forum 3 Dis 2009
Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...