Perspektif IKIM:
Hikmah tersirat dalam ekosistem hutan
Pada Mac setiap tahun, terdapat dua sambutan istimewa bertemakan pemuliharaan
alam sekitar yang diisytiharkan di peringkat global iaitu Hari Hutan Sedunia
(21 Mac) dan Hari Air Sedunia (22 Mac).
Menterjemahkan rasa cinta kepada alam, kebiasaannya hari istimewa ini disambut
atau diraikan dengan aktiviti berbentuk pendidikan serta kesedaran alam sekitar
oleh masyarakat di seluruh dunia.
Kedua-dua sambutan itu antara sebahagian usaha menarik perhatian
masyarakat mengenai kepentingan memulihara ekosistem hutan dan sumber air
bersih kepada seluruh hidupan di atas muka bumi.
Sambutan Hari Hutan Sedunia yang diraikan sehari lebih awal daripada sambutan
Hari Air Sedunia dilihat sangat molek percaturannya memandangkan kedua-dua
sumber ini saling berkait rapat antara satu sama lain.
Hayati fitrah alam
Mungkin timbul persoalan kepada segelintir, bagaimanakah kedua-dua sumber ini
dikatakan mempunyai kesinambungan erat? Elok kita kembali menghayati hikmah dan
fungsi kejadian alam serta komponen hidupan ada dalamnya yang secara fitrah
saling melengkapi satu sama lain.
Hal ini telah dinyatakan dengan jelas
di dalam firman Allah SWT:
“Sesungguhnya
Kami menciptakan
tiap-tiap sesuatu menurut takdir
(yang telah ditentukan).”
(Surah al-Qamar, ayat 49)
Firman-Nya lagi:
“Dan tiap-tiap sesuatu adalah ditetapkan di sisi-Nya kadar
yang tertentu.”
(Surah ar-Ra’ad, ayat 8)
Begitu juga dalam konteks kewujudan ekosistem hutan menghijau yang tidak
terkecuali mempunyai fungsi penting bukan saja terhadap komponen alam lain
tetapi juga memainkan peranan besar menjamin bekalan sumber air bersih kepada
kehidupan manusia.
Selain bertindak sebagai kawasan tadahan hujan bagi mencegah berlakunya hakisan
tanah, ekosistem hutan juga pengawal aliran air yang sangat cekap dan berkesan.
Melalui fungsi ini, ekosistem hutan bertindak sebagai span besar yang menyerap
air hujan dan mengalirkannya secara perlahan-lahan ke dalam anak sungai,
empangan, kolam dan tasik.
Bekal air bersih
Air yang diserap ke dalam tanah di kawasan masih dilitupi hutan akan ditapis
dan dituras secara semula jadi seterusnya menghasilkan bekalan air bersih dan
jernih yang keluar ke permukaan tanah sebagai mata air untuk digunakan manusia
dalam aktiviti seharian.
Banyak ayat al-Quran berhubung saranan supaya manusia sentiasa merenung dan
berfikir mengenai setiap kejadian di atas muka bumi supaya lebih memahami
hikmah di sebaliknya.
Firman Allah SWT:
“Dan Dialah yang menjadikan bumi terbentang luas, dan
menjadikan padanya gunung-ganang (terdiri kukuh) serta sungai-sungai (yang
mengalir). Dan dari tiap-tiap jenis buah-buahan, ia dijadikan padanya pasangan:
dua-dua. Ia juga melindungi siang dengan malam silih berganti. Sesungguhnya
semuanya itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang (mahu)
berfikir. Dan di bumi ada beberapa potong tanah yang berdekatan (tetapi
berlainan keadaannya); dan padanya ada kebun-kebun anggur, dan jenis-jenis
tanaman serta pohon tamar yang berumpun dan yang tidak berumpun; semuanya
disiram dengan air yang sama; dan Kami lebihkan buah setengahnya dari
setengahnya yang lain (pada bentuk, rasa dan baunya).
Sesungguhnya yang
demikian itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang yang (mahu)
berfikir serta memahaminya.”
(Surah ar-Raad, ayat 3-4).
Teruskan membaca..