Photobucket

Sahabat Maya :

Tuesday, March 16, 2010

Qari Muda-Muhammad Thaqif






Most people are about as happy as they make up their minds to be. ---Abraham Lincoln



Perjalanan juara tilawah Al-Quran




SUASANA ruang tamu di salah sebuah kuarters kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Jalan Bangsar yang didiami oleh pasangan Fajuri Mamat, 43, dan isterinya Haniza. Abd Jalil, 42 agak hening seketika.

Sayup-sayup kedengaran suara seorang remaja lelaki sedang membaca ayat-ayat suci al-Quran dengan lagu yang merdu dan mengasyikkan.

Daripada raut wajah remaja itu jelas dia sedang khusyuk menyudahkan baris-baris akhir ayat-ayat yang tertera dalam kitab suci di hadapannya itu.

Bagaimanapun dia tidak berseorangan, seorang lelaki berkopiah putih berada bersamanya, meneliti setiap baris ayat yang dibacakannya sambil sesekali menganguk-anggukkan kepala.

Bagi Muhammad Thaqif, 13, atau lebih mesra dengan panggilan Thaqif itulah rutin hariannya sejak berusia lima tahun lagi.

Bapanya, Fajuri atau lebih dikenali sebagi Ustaz Fajuri di kalangan kakitangan TNB merupakan seorang pegawai agama dan guru pertama yang mengajarnya tentang al-Quran. Bermula daripada proses mengenal huruf sehinggalah beliau boleh membaca sambil bertaranum.

Menurut anak ketiga daripada tujuh beradik itu, proses tersebut tidak berlaku sekelip mata, sebaliknya memerlukan latihan selama bertahun-tahun, malah sehingga kini pun beliau masih belajar dan memperbaiki corak bacaan yang dilakukan.


FAJURI (kanan) akan memastikan anak-anaknya termasuk Thaqif membaca al-Quran sekurang-kurangnya satu muka selepas solat Subuh.


Kata Thaqif, antara perkara rutin yang sering dilakukan oleh mereka ialah wajib membaca sekurang-kurang satu muka al-Quran selepas solat Subuh.

"Sebagai guru, bapa seorang yang tegas, dia tidak akan berkompromi jika ada antara kami yang ingkar. Jika ada kesempatan, saya akan mengaji secara bersendirian di dalam bilik untuk memperbaiki bacaan dan memperbaiki kelemahan-kelemahan bacaan," katanya yang sudah khatam al-Quran lebih sepuluh kali.

Bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Bukit Bandaraya, Bangsar itu memberitahu, beliau banyak didedahkan dengan bacaan al-Quran secara bertaranum berserta qiraat ketika keluarganya tinggal di Mesir beberapa tahun lalu.

Ketika itu, bapanya sedang melanjutkan pelajaran dalam pengajian Takhassus al-Quran wal-Qiraat di salah sebuah pusat pengajian tinggi Islam di sana.

Selain sering mengikuti pertandingan tilawah al-Quran, Thaqif juga sering dibawa ke Masjid Saidina Hussein tempat bapanya menjalani kuliah.

Tradisi masyarakat Mesir yang sering memanggil qari dan qariah terkemuka Mesir seperti Dr. Ahmad Naina dan Syaikh Mustaffa Ismail membaca al-Quran pada majlis-majlis rasmi atau upacara kematian menyebabkan Thaqif semakin berminat mendalami bidang taranum.

Sekembalinya keluarga Thaqif ke Malaysia, Thaqif mula berguru daripada bapanya di samping mendengar kaset bacaan qari dan qariah terkemuka pada waktu yang terluang.



Serlahkan bakat

Dari situ, bakatnya semakin teserlah dan dia mula didedahkan dengan pelbagai pertandingan tilawah al-Quran yang diadakan bermula di peringkat TNB, sekolah dan seterusnya mewakili Wilayah Persekutuan.

Antara kejayaan manis yang pernah dicapai ialah menjadi Johan Tilawah al-Quran Peringkat Sekolah-Sekolah Agama Wilayah Persekutuan (2007/2008); Johan Tilawah al-Quran peringkat kebangsaan TNB bagi kategori kanak-kanak (2007/2009) dan Naib Johan Tilawah al-Quran peringkat kebangsaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada tahun 2008.

Terbaru, kejayaan yang dicapainya ialah menjadi Johan Majlis Tadarus al-Quran Sekolah-Sekolah Peringkat Kebangsaan, KPM pada tahun 2009.




Mengambil juara Akademi al-Quran (AQ) musim pertama, Abdullah Fahmi Che Nor sebagai idolanya, Thaqif kini sedang melanjutkan pelajaran di Mahaad Tahfiz al-Quran Wal Qiraat, Pulai Chondong, Kelantan. Thaqif juga berguru dengan Ustaz Yahya Daud dan Ustaz Muhyiddin Daud yang pakar dalam bidang berkenaan.

''Saya memasang impian untuk menjadi seorang tahfiz pada masa hadapan di samping ingin memperbaiki corak dan kaedah bacaan sekali gus berpeluang mewakili Malaysia di peringkat kejohanan tilawah antarabangsa suatu hari nanti," katanya yang terlibat sebagai qari jemputan khas dan berpeluang memperdengarkan bacaan al-Quran sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan di Putrajaya baru-baru ini.

Kini, Thaqif baru sahaja menghasilkan sebuah video cakera padat, Qari Emas: Bacaan al-Quran Bertaranum yang mengandungi beberapa surah yang dijual di pasaran.

Beliau memberitahu, mereka sekeluarga tidak pernah terlepas untuk menonton tilawah al-Quran yang disiarkan di kaca televisyen.

Pengalaman Thaqif turut dilalui oleh Siti Aisyah Baain, 13, yang merupakan pelajar Mahad Tahfiz Darul Ulum Al-Basriah, Kuantan.

Anak keempat daripada tujuh beradik itu memberitahu, dia mula membaca al-Quran pada umur lima tahun selepas mendapat tunjuk ajar daripada ayahnya, Baain Ali, 46, seorang pesara tentera.



Mahir taranum

Khatam al-Quran buat kali pertama ketika berusia lapan tahun, dia kemudian didedahkan dengan kaedah pembacaan secara bertaranum oleh ayahnya itu.

"Ketika itu saya didedahkan dengan pelbagai tilawah al-Quran di peringkat sekolah dan berjaya menjadi johan dalam beberapa kategori yang diadakan," katanya yang ditemui pada uji bakat program realiti AQ baru-baru ini.

Antara kejayaan tertinggi yang pernah dicapainya ialah menjadi Juara Tilawah al-Quran Angkatan Tentera Malaysia kategori kanak-kanak pada 2007.

Selain dibimbing oleh ayahnya, beliau turut mengikuti kelas yang dianjurkan oleh Johan Qariah Tilawah al-Quran peringkat antarabangsa 2009, Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohd. Badiuzzaman ketika berusia 11 tahun.

Berguru hampir satu tahun, dia mengakui telah banyak mempelajari kaedah bertaranum yang betul di samping teknik suara dan nafas ketika ketika membaca al-Quran.

"Bertaranum memerlukan latihan yang berterusan di samping stamina yang tinggi, jika tidak belum habis ayat lagi sudah habis nafas," ujarnya yang turut belajar kiraat di samping Pensyarah al-Quran di Darul Quran, Mohd. Nazri Abdullah.

Siti Aisyah yang bercita-cita menjadi tahfiz dan qariah terkemuka suatu hari nanti meluangkan masa dua atau tiga jam berlatih secara bersendirian.

"Jika dahulu saya gugup ketika berhadapan dengan di khalayak ramai, kini berkat latihan yang diamalkan ia boleh dianggap alah biasa tegal biasa," katanya yang semakin mahir dan mampu menguasai empat daripada tujuh jenis taranum.

Kosmo!

Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...