Photobucket

Sahabat Maya :

Sunday, March 10, 2013

Koleksi Rencana








Sekolah aspirasi bangsa Malaysia 



patut diwujud

 

 


Bangsa Malaysia ialah konsep yang menggambarkan perpaduan dalam negara kita yang mempunyai ciri kepelbagaian etnik. Masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik memerlukan unsur persamaan dan memahami perbezaan antara satu sama lain. Pembentukan perpaduan adalah usaha berpanjangan sejak mencapai kemerdekaan. Pendidikan mempunyai peranan penting dalam usaha berkenaan. 









Sekolah menjadi institusi asas pembinaan perpaduan dari peringkat awal. Di sekolah, kanak-kanak daripada pelbagai latar belakang dapat bertemu dan bergaul. Persoalan kini adakah sama ada sekolah telah benar-benar dapat menyediakan ruang dan persekitaran untuk berlakunya interaksi antara etnik. 







Kepelbagaian aliran




 


Sistem persekolahan Malaysia berbeza dengan negara lain kerana kewujudan sekolah pelbagai aliran. Banyak pihak mengaitkan sekolah pelbagai aliran pada peringkat rendah sebagai punca berlarutannya masalah perpaduan. Kepelbagaian aliran sekolah dianggap menjadi penghalang berlakunya proses interaksi antara etnik. 










Memang tidak dapat dinafikan polarisasi dari segi pemilihan sekolah oleh etnik berbeza begitu ketara. Ibu bapa semakin cenderung menghantar anak ke sekolah beraliran bahasa ibunda. Data Kementerian Pelajaran menunjukkan setiap tahun bilangan mereka yang memilih sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil semakin meningkat. Pelbagai sebab diutarakan mengenai pemilihan sekolah berkenaan. Namun kajian menunjukkan sebab utama adalah kepentingan budaya dan bahasa ibunda yang ingin dikekalkan. 









Fenomena memilih sekolah mengikut etnik tidak boleh dihalang. Perlu diakui bahawa kewujudan SJK adalah sebahagian daripada keperluan etnik yang terbabit. Dari segi sejarah, sekolah aliran ibunda telahpun wujud sebelum merdeka. Kini Akta Pendidikan secara jelas menyatakan SJK tidak boleh ditutup kecuali kumpulan etnik berkenaan sendiri yang mahu berbuat demikian. Dalam senario semasa, agak mustahil menutup SJK memandangkan permintaan terhadapnya bukan semata-mata daripada komuniti Cina dan India, tetapi juga Melayu. 








Kritikan terhadap kewujudan SJK hanya akan menimbulkan polemik berpanjangan. Etnik berkenaan tentu akan terus mempertahankannya. Namun kita juga harus menyedari kesan pengelompokan di sekolah apabila dalam jangka panjang ia boleh menjejaskan perpaduan. Sikap prejudis dan prasangka akan tertanam dalam diri sekiranya pelajar tidak berpeluang mengenali etnik lain secara lebih rapat. 








Jalan penyelesaian perlu dicari untuk mengatasi fenomena pengelompokan. Memandangkan sekolah rendah tidak dapat menyediakan ruang interaksi antara etnik dengan memuaskan, sekolah menengah adalah alternatifnya. Majoriti murid masih melanjutkan persekolahan peringkat menengah di sekolah kebangsaan. Walaupun terdapat permintaan terhadap sekolah pelbagai aliran dan persendirian pada peringkat menengah, bilangannya masih terkawal. 








Isunya kebelakangan ini terdapat desakan yang mahukan penambahan bilangan sekolah menengah pelbagai aliran dan persendirian. Maka dikhuatiri matlamat perpaduan bangsa Malaysia tidak tercapai sekiranya pemilihan sekolah mengikut aliran berleluasa hingga ke peringkat menengah. 









Sehingga kini diperhatikan kebanyakan sekolah begitu menumpukan kecemerlangan akademik melebihi aspirasi pembentukan bangsa Malaysia. Misalnya Sekolah Bestari, Sekolah Cemerlang, Sekolah Kluster, Sekolah Bitara dan sekolah berasrama penuh (SBP) adalah untuk kecemerlangan akademik. Belum ada sekolah yang benar-benar memberi fokus kepada interaksi etnik di samping kecemerlangan akademik. 









Masukkan unsur etnisiti



 

Kajian menunjukkan terdapat ciri-ciri bersama sekolah menengah yang dikehendaki dalam memenuhi hasrat kumpulan etnik. Sekolah yang dikehendaki dalam konteks kepelbagaian adalah sekolah yang juga memasukkan unsur etnisiti ke dalam persekitarannya. Selain daripada kecemerlangan akademik, sekolah perlu mempunyai antaranya komposisi etnik berbeza, ketrampilan bahasa ibunda, pengiktirafan budaya dan pentadbiran yang memahami. Oleh itu, perlu diwujudkan sekolah menengah sebagai model di mana ia mempunyai elemen kepelbagaian yang memberi ruang kepada kecemerlangan dan interaksi antara etnik. 











Fokus sekolah menengah dimaksudkan adalah memupuk perpaduan yang dalam jangka panjang memberi kesan kepada pembentukan bangsa Malaysia. Sekolah Bangsa Malaysia memberi peluang kepada pelajar berinteraksi serta memahami etnik lain dan diberi ruang untuk meneruskan elemen budaya serta bahasa masing-masing. Sekolah menengah bercirikan bangsa Malaysia diharapkan menjadi pemangkin kepada usaha menjadikan semua etnik bersama-sama mempunyai semangat kekitaan sebagai rakyat Malaysia. 







 

 

Penulis ialah

 Prof Madya Sosiologi dan Pendidikan

 di Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, 

Universiti Pendidikan Sultan Idris






 




  

A QUOTE FROM SUN TZU 
 Thanks google :)

Teruskan membaca..

:) lawak ker..



Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...