Photobucket

Sahabat Maya :

Thursday, October 13, 2011

Tokoh Pejuang Bahasa Melayu 2011: Prof Wu Dari China



Prof Wu Dari China Dinobat Sebagai Tokoh Pejuang Bahasa Melayu Antarabangsa



MELAKA: Bahasa Melayu mempunyai keistimewaan dan kekuatan tersendiri sebagai bahasa kebangsaan dan antarabangsa jika ia dimartabatkan sebaik mungkin, kata Profesor Wu Zongyu yang dinobat sebagai Tokoh Pejuang Bahasa Melayu Antarabangsa.



Beliau yang merupakan Pengarah Pusat Pengajian Melayu Universiti Pengajian Bahasa-bahasa Asing Beijing (BFSU), berkata rakyat negara ini perlu mengagungkan budaya dan memartabatkan bahasa Melayu seiring dengan perkembangan ekonomi kerana pengaruh bahasa itu semakin terserlah dari sehari kesehari.



"Jika bahasa Melayu boleh merapatkan dua negara seperti Indonesia dan Malaysia, ia juga berupaya menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum di negara ini sekali gus dapat menjana perkembangan dan kestabilan ekonomi dan politik yang lebih baik. "Kita dapat lihat juga bahawa kepentingan bahasa Melayu ini semakin hari semakin terserlah di mana rantau yang menggunakan bahasa ini semakin maju dan pesat membangun dari segala segi," katanya kepada pemberita selepas menerima anugerah tersebut pada majlis pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2011 peringkat kebangsaan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini, Khamis.



Beliau menerima RM50,000, buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka serta Watikah Penghargaan Negara. Penganugerahan tersebut sebagai menghargai dan mengiktiraf tokoh bahasa dan pengajian Melayu dari luar rumpun dunia Melayu yang berjaya meningkatkan martabat bahasa dan persuratan Melayu di peringkat antarabangsa melalui kerjasama pakar dan aktiviti sedunia dalam bidang penyelidikan, penerbitan, promosi dan pelbagai kegiatan kebangsaan.



Mengenai perjuangan beliau memartabatkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa, tokoh bahasa yang berusia 72 tahun itu berkata beliau amat gembira dan terharu apabila usahanya itu diterima baik dan diperakui di peringkat antarabangsa.



"Saya belajar bahasa Melayu dan mendekati jiwa bangsa Melayu kerana saya amat minat dengan budaya Melayu dan tamadun Melayu.



"Ini akan menjadi usaha berterusan saya selagi termampu dalam usaha untukmemartabatkan bahasa negara kerana saya percaya bahasa ini mampu mengubah sesuatu bangsa dan negara itu," katanya.



Wu juga diberi gelaran Laksamana Cheng Ho Kedua kerana peranannya dalam menjalin dua tamadun besar iaitu Melayu dan China dan merupakan individu yang bertanggungjawab memperkenalkan bahasa Melayu versi Tanah Melayu di China iaitu dengan menubuhkan Jurusan Bahasa Melayu di BFSU pada 1962.



Kejayaan besar beliau dalam mengembangkan Pengajian Melayu di China adalah dengan penubuhan dua Kursi Pengajian Melayu yang seterusnya membawa peningkatan program ilmiah termasuk penubuhan program pascasiswazah di tujuh buah universitidi negara itu. Beliau yang dilahirkan di Shanghai, telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan pada majlis konvokesyen ke-50 Universiti Malaya pada 3 Oktober lepas.

- BERNAMA











Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...