Photobucket

Sahabat Maya :

Sunday, October 2, 2011

Usaha ITNM dalam memartabatkan bahasa Melayu



Usaha ITNM dalam memartabatkan bahasa Melayu



SIAPAKAH yang bertanggungjawab menterjemah dan menerbitkan 130 judul buku sains dan matematik demi memartabatkan bahasa Melayu dan memperkukuh bahasa Inggeris? Jawapannya: Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM).



Siapakah yang menterjemah karya Presiden Obama berjudul The Audacity of Hope (Keberanian Menggapai Harapan) dan The End of History And The Last Man (Penamat Sejarah Dan Manusia Terakhir) oleh Francis Fukuyama? Jawapannya: Institut Terjemahan Negara Malaysia.



Ia juga telah menerbitkan buku mengenai pelbagai perjanjian dan dokumen lama Malaysia dari zaman Kesultanan Melayu hingga Pemasyhuran Malaysia dan Pemisahan Singapura (1791-1965).



Lalu dari Perjanjian Pulau Pangkor 1874 dicatat ayat pertama berbunyi: “Bahawasanya keadaan huru-hara sedang berlaku dalam Kerajaan Perak disebabkan oleh ketiadaan pemerintah yang tetap di negeri itu dan tidak wujud kuasa yang berkesan untuk melindungi rakyat dan untuk menjamin hasil usaha mereka.



Bahawasanya sesetengah pembesar kerajaan Perak telah menyatakan ketidakmampuan mereka mengawal kacau-bilau yang melanda sekarang ini dan bersama-sama dengan mereka yang berkepentingan dalam perusahaan negeri ini telah memohon bantuan”.



Ayat akhir pula berbunyi: “Perjanjian ini dibuat dan diikat di Pulau Pangkor dalam Tanah Jajahan British pada dua puluh hari bulan Januari tahun Masihi satu ribu lapan ratus tujuh puluh empat, disempurnakan di hadapan saya, Andrew Clarke, Gabenor,”.



Maka diulangi bagi para pembaca dewasa ini - para pelajar dan guru, sejarawan dan golongan intelektual, para petugas kerajaan dan swasta dan gembong-gembong politik - masa lampau adalah prolog.



Antara lain-lain perjanjian dan dokumen lama yang dihimpun bagi kali pertama ialah Perjanjian Sir Stamford Raffles 1819, Perjanjian Belanda 1824, Perisytiharan Panglima Tentera Jepun 1942 (setelah menewaskan angkatan tentera British), Ordinan Peraturan Darurat 1948, Pemasyhuran Kemerdekaan 1957 serta Pemasyhuran Malaysia 1963.



Lain-lain cabaran dihadapi oleh negara masyarakat majmuk, termasuk pendaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.



Acap kali dibicarakan kini ialah pelajaran Sains dan Matematik. Nyaring bersuara ialah yang mahu pelajaran tersebut dalam bahasa Inggeris.



Terbitan terbaru majalah ITNM memuatkan kata-kata Seulas Pinang dari Mohd Khair Ngadirun, Pengarah Urusan, berjudul, Ilmu Dan Misi Mencerdikkan Akal Budi Bahasa:



“Hakikatnya, dunia kami di ITNM segala-galanya berteraskan ilmu. Kami mencarinya dan bertanggungjawab menyampaikannya kepada masyarakat.



“Bersama-sama seluruh pasukan dalam organisasi ini, kami berjuang membangunkan industri terjemahan - dengan kesedaran serta penuh mengerti bahawa tiada cara lain untuk membangunkan bidang ini melainkan dengan meningkatkan produktiviti.



Intelektual


“Kami berpegang kepada kepercayaan bahawa setiap halaman yang diterjemah dan diterbitkan mempunyai pengaruh ke atas semua aspek intelektual, kerohanian dan kehidupan sosial khalayak pembaca”.



Dalam satu temu ramah pula Encik Khair menegaskan: “Kami juga berharap supaya usaha ini dapat menangkis tanggapan pesimis sesetengah pihak terhadap bahasa Melayu - yang dianggap tidak berkeupayaan dalam terma subjek Sains dan Matematik”.



Katalog buku terbitan Institut Terjemahan Negara Malaysia untuk sekolah rendah dan sekolah menengah serta lain-lain jurusan meliputi segala aspek sains, arkeologi, angkasa lepas, sistem suria, bintang dan planet, alam semulajadi, dunia ledakan gunung berapi, tenaga elektrik, hukum gerakan (oleh Isaac Newton), teknologi perubatan, kanser, sains forensik, sempadan ilmu pembedahan dan yang berjudul, 1,000 Perkara Kamu Patut Tahu Tentang Sains.



Semestinya disebut ialah terjemahan dari bahasa-bahasa Perancis, Sepanyol, Korea, Belanda, Rusia, Mandarin dan Jerman.



Dan jawapan Najib dalam bahasa Inggeris, Cina, Tamil dan Melayu.



Tan Sri Mazlan Nordin ialah Karyawan Tamu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).







Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...