
Kenapa sejarah dianggap membosankan?
PERSEPSI negatif terhadap mata pelajaran Sejarah, yang wajib lulus
dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dilihat menjadi antara halangan
proses pembinaan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.
Bagi menyingkirkan persepsi itu Kementerian Pendidikan melaksanakan
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang antara lain
untuk memperkasakan mata pelajaran yang dilabelkan sebagai membosankan,
kaku dan tiada nilai komersial itu.
Ahli akademik dan sejarah berharap proses tranformasi melalui PPPM
itu dapat membantu membina kekuatan jati diri yang unggul dalam kalangan
generasi muda dan seterusnya melahirkan warganegara yang mempunyai
identiti nasional.
Namun persoalannya, sejauhmana mata pelajaran wajib lulus bermula
tahun lepas itu dapat membantu pembentukan bangsa Malaysia yang
berkualiti kerana ia sering dianggap ketinggalan zaman, sukar dan
membosankan.
Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Sejarah Malaysia, Tan Sri
Omar Mohd. Hashim berpendapat krisis identiti yang berlaku di kebanyakan
negara menyebabkan rakyatnya tidak memahami siapa diri mereka dan
apakah peranan dan tanggungjawab yang sepatutnya dimainkan.
Ini berikutan cabaran dunia tanpa sempadan yang semakin hebat
menyebabkan generasi muda begitu mudah terdedah kepada perubahan dan
keterbukaan yang boleh melunturkan kesetiaan terhadap negara dan bangsa.
Pelbagai kajian dilakukan di seluruh dunia mendapati sebahagian
rakyat negara tertentu jahil sejarah sehingga menjadi fenomena sosial
global yang paling mendapat perhatian sejak akhir ini.
Melihat kepada keruncingan itu, dunia mula melihat sejarah sebagai
satu medium penting dalam dasar awam untuk menangani permasalahan isu
identiti dan memperkasakan perpaduan.
Negara-negara Asia seperti Korea Selatan, Hong Kong, Taiwan, China
dan Singapura telah ke hadapan dalam transformasi pendidikan sejarah ke
arah yang lebih progresif.
Malaysia tidak seharusnya ketinggalan untuk menerapkan aspek
kemahiran pemikiran sejarah sebagai satu kompenan utama dalam proses
pembelajaran dan pengajaran di peringkat sekolah.
Menurut Omar, kebanyakan negara mula mengamalkan kurikulum yang
berorientasikan transformatif bagi membolehkan pendidikan sejarah
difokuskan untuk kemahiran berfikir.
Melalui PPPM, Kementerian Pendidikan telah mengenalpasti kemahiran
abad ke-21 bagi melahirkan modal insan yang berkualiti tinggi yang mampu
bersaing di peringkat antarabangsa.
Pemikiran ke atas pendekatan dan orientasi kurikulum sejarah juga
harus diberi perhatian yang besar," katanya dalam ucaptama Sidang
Kemuncak Sejarah yang diadakan di Wisma Sejarah baru-baru ini.
Penumpuan hendaklah diberikan kepada usaha memperbaiki keberkesanan
pendidikan sejarah di sekolah terutama menekankan dari segi kurikulum,
tahap profesional guru yang tinggi, pembelajaran yang lebih aktif dan
kreatif.
Tegasnya, keadaan semakin mendesak untuk memantapkan kandungan kurikulum yang menjurus kepada pembinaan bangsa dan negara.
Sudah tiba masanya, pendidikan pembinaan sejarah perlu digiatkan
sebagaimana usaha-usaha meningkatkan mata pelajaran lain yang dianggap
penting sepertimana Bahasa Inggeris, Sains dan Matametik.
Teknik menghafal membosankan
Namun, usaha melihat subjek Sejarah berperanan dalam pembinaan bangsa
masih kabur, sekiranya rungutan-rungutan yang dilontarkan pelajar
berhubung mata pelajaran itu tidak dapat diatasi. Kaedah memaksa pelajar
menghafal fakta yang dipraktikkan dalam pengajaran mata pelajaran itu
sejak sekian lama menjauhkan lagi pelajar dengan sejarah.
Kajian Meningkatkan Kemahiran Menjawab Soalan Esei Sejarah yang
dilakukan oleh Rozita Ngah Mohamed dan Zaliza Md. Zali pada tahun 2005
ke atas 30 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Convent, Jalan Peel
mengenalpasti beberapa masalah pelajar terhadap mata pelajaran itu.
Antaranya sikap para pelajar yang malas membaca, sukar mengingati
fakta, tidak berminat dengan mata pelajaran Sejarah, tidak menguasai apa
yang diajar serta pembelajaran kurang berkesan.
Keadaan ini dikatakan berpunca daripada buku teks yang terlalu
menekankan fakta selain kurangnya kemahiran guru untuk menghurai dan
mentafsir satu-satu peristiwa sejarah yang berlaku.
Sementara itu, pensyarah pengkomputeran dan teknologi maklumat Dr.
Wong Seng Yue dari Universiti Taylors dalam kajiannya ke atas 582
pelajar tingkatan empat dan 15 guru sejarah di lima buah sekolah di
Kajang mendapati mereka sukar mengingati fakta sejarah.
Katanya, apabila penekanan hanya kepada bahan teks semata-mata, ia
menyebabkan pelajar tidak mendapat gambaran jelas tentang peristiwa
sejarah yang berlaku sekaligus menyukarkan mereka memahami dan
menghayatinya.
Dalam menangani permasalahan itu, PPPM yang dilancarkan Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat berupaya menjadi wadah
penyelesaian kepada permasalahan itu.
Bagaimanapun, pelan yang mewajibkan mata pelajaran Sejarah wajib
lulus dalam SPM bermula tahun lepas menjadi kebimbangan dalam kalangan
ahli akademik kerana ia dilihat sebagai satu paksaan dan bukannya
penyelesaian masalah.
Ini juga sekaligus menjejaskan proses menyemai minat dan penghayatan
pelajar terhadap sejarah sebagai medium pembinaan bangsa kerana ia kini
menjadi satu lagi mata pelajaran merebut kecemerlangan dalam
peperiksaan.
Guru-guru pastinya akan menggunakan pelbagai kaedah bagi membantu
pelajar menghadapi peperiksaan termasuk latih tubi bagi membolehkan
pelajar mengingati tarikh, nama tokoh dan peristiwa yang berlaku.
Ia dilihat tidak akan merubah bentuk pengajaran yang diamalkan
sebelum ini dan pastinya membantutkan usaha untuk melahirkan pelajar
yang mampu berfikir secara analisis dan kritikal seperti yang mahu
dilahirkan dalam PPPM.
Kajian sebelum ini mendapati masih ramai pelajar sekolah terutama di
peringkat menengah rendah masih minimum penguasaan mereka dalam
mengenali sejarah sebagai elemen patriotisme, mengumpul dan merekodkan
fakta sejarah.
Ini diperoleh melalui kajian Kemahiran Dan Keyakinan Pelajar Dalam
Perlaksanaan Kerja Kursus Sejarah (KKS) Di Sekolah oleh Prof. Dr. Chan
Yuen Fook dari Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Mara (UiTM).
KKS wajib diambil setiap calon Peperiksaan Menengah Rendah (PMR)
berbentuk tugasan projek luar bilik darjah bagi memenuhi keperluan
persijilan dengan matlamat untuk melahirkan pelajar yang peka dan minat
terhadap sejarah serta mampu mengamalkan unsur-unsur patriotisme.
Kajian yang dijalankan di beberapa buah sekolah di sembilan buah
negeri itu turut mengenalpasti punca masalah itu termasuk ada pelajar
yang tidak mendapat bimbingan yang cukup daripada guru selain lemah
dalam Bahasa Melayu serta tidak mahir membuat rumusan dan menghuraikan
fakta.
Ini menunjukkan, pelajar-pelajar belum mencapai kemahiran abad ke-21
yang menuntut pemikiran kritikal, menganalisis serta berkebolehan
menguasai pelbagai bentuk komunikasi.
Kajian itu turut mencadangkan perlunya penambahbaikan dalam
menjadikan KKS lebih menarik dan berupaya memotivasikan pelajar seperti
mengadakan aktiviti lawatan sambil belajar ke tempat bersejarah.
Kini, sudah tiba masanya persepsi negatif dalam kalangan pelajar
terhadap sejarah perlu diubah sekiranya ingin melahirkan warga negara
yang utuh jati diri nasionalnya.
Anjakan paradigma ini memerlukan kerjasama seluruh pihak dalam
memasyarakat dan meremajakan lagi pengajaran mata pelajaran sejarah
supaya tidak lagi dianggap sebagai satu mata pelajaran membosankan dan
tidak bermanfaat kepada mereka.
Justeru, tumpuan penuh disandarkan kepada PPPM dalam merealisasikan
matlamat berkenaan namun tetap menjadi persoalan tentang sejauhmanakah
ia mampu mencorakkan satu penyelesaian terhadap polemik yang telah lama
diperdebatkan ini. - BERNAMA
Teruskan membaca..

Sastera Melayu pemangkin perpaduan
SUMBANGAN dunia kesusasteraan kebangsaan dalam menyemai benih cinta
perpaduan serta mengintegrasi rakyat negara ini menjadi satu 'keluarga
besar' sememangnya sudah sekian lama terbukti.
Pengaruhnya begitu ampuh dan tiada siapa dapat menyangkal akan kuasa
mata pena kreatif ini 'berbicara' mengenai penyatuan bangsa yang
diterjemahkan dalam kepelbagaian karya sastera seperti novel, puisi
mahupun cerpen dengan penggunaan bahasa rasmi iaitu bahasa Melayu.
"Esoknya kuih pau dan ketupat bertukar pinggan, mereka saling
menerima dan memberikan kepunyaan", hasil nukilan kreatif tokoh
Sasterawan Negara Allahyarham Datuk Dr. Usman Awang, memberi tumpuan
kepada perpaduan antara kaum.
Rangkap ini dipetik melalui karya puisi beliau berjudul Suasana yang menggambarkan kemesraan jalinan kehidupan antara keluarga Melayu dan Cina.
Biarpun ia hanyalah sekadar lakaran kata-kata, namun puisi itu
berjaya menerobos jauh ke dalam tembok pemisah antara kaum sekali gus
mendekatkan lagi jiwa antara satu sama lain, kata tokoh sastera, Prof.
Madya Dr. Lim Swee Tin kepada Bernama.
"Sajak ini meninggalkan pesan perpaduan secara sangat halus bahawa
kita mempunyai banyak ruang dan kesempatan untuk menjalinkan hati dan
jiwa.
"Sesungguhnya, karya-karya kesusasteraan berperanan penting sebagai jambatan perpaduan bangsa," katanya.
Selain Suasana, beliau menjelaskan ada banyak lagi contoh
karya kesusasteraan yang kaya dengan mesej berbaur perpaduan serta
menjurus ke arah kebangkitan semangat kebersamaan masyarakat.
Umpamanya, novel Sangeetha karya Azizi Abdullah, Pemuda dan Gadis Tionghoa (puisi Dr. Usman) serta cerpen Estet dan Kuarters Batu 13
hasil karya Zainal Rashid Ahmad berpotensi merapatkan kerenggangan
serta menamatkan polemik yang cuba mengapi-apikan sensitiviti perkauman.
Istimewanya, hasil karya kreatif ini tidak hanya melatari sumbangan
daripada pengarang berketurunan Melayu. Malahan turut disumbangkan oleh
pengarang bukan Melayu seperti Saroja Theavy Balakrishnan, E Pian Pro
Poul (pengarang masyarakat Siam), Soo Cham dan Kathirina Susanna Tati.
Masing-masing atas satu tujuan, bersama-sama memupuk semangat
perpaduan selain kedudukan bahasa Melayu itu dijadikan sebagai wahana
penyatuan.
Bagaimanapun, negara masih memerlukan lebih ramai pengarang sastera
Melayu (karya menggunakan bahasa kebangsaan) terutama dalam kalangan
bukan Melayu untuk mempertingkatkan lagi penerbitan karya-karya yang
menzahirkan aspirasi hidup sesuatu kaum itu.
Keperluan ini amat penting sebenarnya, kerana pembacaan karya-karya
sedemikian dapat merapatkan hubungan sesama kita memandangkan sastera
mampu menyeberangi sempadan pemikiran politik kaum yang sempit.
Lebih ramai
"Setiap bangsa di negara ini mempunyai aspirasi, pengalaman,
pengetahuan dan budaya berlainan. Contohnya, apabila pengarang Cina
menulis mengenai aspirasi kehidupan masyarakat itu sendiri.
"Apabila dibaca oleh kaum lain, ini akan membuatkan mereka lebih
memahami apakah keinginan dan budaya masyarakat Cina. Biasanya, karya
sastera mempunyai kesan lebih mendalam untuk menyedarkan mengenai
perasaan dan corak kehidupan sesuatu bangsa itu," jelas Dr. Lim.
Menurutnya, majoriti karya-karya kesusasteraan pada masa kini
disumbangkan oleh pengarang Melayu walhal adalah sebaiknya penghasilan
karya pengarang daripada kaum-etnik itu sendiri dapat dipertingkatkan.
Ini kerana, mereka lebih memahami pandangan berkaitan dengan dunia
kaumnya sendiri, justeru pengisian kandungan sesuatu karya itu mungkin
adalah lebih tepat.
Aspek ini seharusnya tidak dipandang ringan. Khususnya, selepas
berakhir Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang menampakkan kerapuhan
terhadap ikatan yang terjalin selama ini.
Bersandarkan kepada landasan karya sastera, pengukuhan perpaduan akan
terasa lebih 'kemanisannya' apabila setiap daripada kita saling
memahami antara satu sama lain.
Apabila sudah mula mengenali latar belakang, budaya, maka
terbentuklah toleransi dan pewujudan rasa perkongsian hidup bersama
secara harmoni di bawah payung Malaysia.
Dalam melayari penyemaian semangat kebersamaan, penerbitan karya
kreatif daripada pengarang bukan Melayu ini juga sebenarnya dapat
menarik minat pembacaan daripada kaum mereka sendiri.
Dan, ini secara tidak langsung akan mempertingkatkan penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan mereka.
Tidak terkecuali, Dr. Lim berkata karya kesusasteraan yang turut
menyentuh nilai murni kehidupan seperti kesopanan, tidak berdengki akan
kejayaan sesuatu kaum lain akan membantu membentuk personaliti seseorang
individu itu.
"Sejak beberapa hari ini, orang banyak bercerita tentang prinsip
rukun negara yang kelima - Kesopanan dan Kesusilaan - yang kian menipis.
Karya sastera sebenarnya sudah lama menawarkan elemen sedemikian.
Disebabkan itulah terdapatnya keperluan untuk menggerakkan usaha,
sama ada melalui kerjasama dan perancangan pelbagai pihak untuk
melahirkan lebih ramai penulis dalam kalangan bukan Melayu yang bersedia
berkarya atas nama perpaduan.
Dalam usaha ini, pihak yang berperanan memartabatkan bahasa
kebangsaan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mengambil beberapa
langkah antaranya menambahkan jumlah penerbitan buku daripada
bahasa-bahasa sukuan ke bahasa Melayu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Awang Sariyan ketika berucap pada majlis
perasmian Seminar Sastera Pelbagai Kaum 2013, di Akademi Seni Budaya
dan Warisan Kebangsaan (Aswara) baru -baru ini berkata usaha itu turut
meliputi program pemupukan bahasa, bengkel penulisan dan pertandingan
penulisan.
Bagaimanapun, Dr. Lim merasakan usaha itu juga perlu dimainkan oleh
pihak lain dan tidak menyerahkan matlamat pencambahan penulis bukan
Melayu itu kepada pihak DBP semata-mata.
Contohnya, Aswara boleh mengambil inisiatif dengan menubuhkan sebuah Akademi Pengarang.
"(Dengan) menghimpunkan di sini pengarang-pengarang yang bersedia
berkarya atas nama perpaduan bangsa, tidak terkecuali integrasi nasional
dalam konteks perpaduan yang lebih luas.
"Hasilkan sebanyak mungkin karya berimpak demi perpaduan dan rasa
muhibah berkekalan. Karya sastera mampu mengikis dan menangkis rasa
curiga mencurigai antara satu sama lain," katanya. — BERNAMA
Sumber
Teruskan membaca..

Bahasa Melayu wahana
perpaduan
OLEH DR AMINUDIN MANSOR
BAHASA Melayu adalah
bahasa yang menyatukan semua kaum di negara ini. Bahasa Melayu sebagai Bahasa
Kebangsaan, Bahasa rasmi dan bahasa pengantar di sekolah. Ini mestilah menjadi
agenda semua pihak terutama di sekolah dan di universiti tidak mengira apa juga
peringkat dari rakyat biasa hinggalah kepada pemimpin atasan.
Bahasa Melayu sewajarnya
dijadikan medium utama dalam membentuk perpaduan di negara ini. Usaha ini
sepatutnya tidak berhenti setakat di sekolah membabitkan para pelajar dan
guru-guru sahaja.
Bahasa Melayu antara
enam bahasa di dunia yang mampu bertahan dalam tempoh 100 tahun akan datang,
malahan mampu hidup selama-lamanya jika bahasa Melayu mempunyai kuasa ekonomi.
Hal ini terbukti melalui
kata-kata cendekiawan silam yang berbunyi, "Sungguh luas tersebarnya
bahasa Melayu itu sehingga kalau kita memahaminya tidaklah mungkin kita
kehilangan jejak, kerana bahasa itu bukan sahaja dimengerti di Parsi bahkan
lebih jauh daripada negeri itu dan di sebelah timurnya sehingga Kepulauan
Filipina".
Bahasa Melayu digunakan
oleh lebih 300 juta orang di seluruh dunia. Bahasa Melayu turut berkembang
apabila terdapatnya pelbagai suku kaum Melayu menjalar hingga ke Sri Lanka,
Arab Saudi, China dan Afrika Selatan.
Menurut Sarjana Belanda,
Francois Valentijn pada abad ke-16, "Bahasa mereka bahasa Melayu, bukan
sahaja dituturkan di daerah pinggir laut, tetapi juga digunakan di seluruh
kepulauan Melayu dan di negeri-negeri Timur; sebagai suatu bahasa yang difahami
di mana-mana sahaja oleh setiap orang, tidak ubah seperti bahasa Perancis atau
Latin di Eropah, atau sebagai bahasa Lingua Franca di Itali atau di
Levent."
Dari sehari ke sehari,
peningkatan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat dunia Melayu dan
di luar dunia Melayu kian ketara sehingga wujud banyak pusat pengajian Melayu
di pelbagai universiti luar Negara.
Sejarah membuktikan
betapa bahasa Melayu telah melalui detik kegemilangan terutama pada zaman
Kesultanan Melayu Melaka. Ketika itu, peranan bahasa Melayu menjadi penghubung
dalam kalangan pedagang dan sebagai wahana budaya serantau untuk mengungkapkan
pelbagai bidang ilmu.
Lantaran itu, tidak
hairanlah bahasa Melayu turut termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, Indonesia,
dan Brunei sebagai Bahasa Kebangsaan. Di Malaysia, kedudukan bahasa Melayu
termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan bahasa
Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Para pelajar juga harus
difahamkan secara mendalam. Selepas negara ini mencapai kemerdekaan pada 31
Ogos 1957, bahasa Melayu telah berkembang dengan pesat seiring dengan kepesatan
pembangunan negara khususnya dalam bidang pendidikan.
Melalui pendidikan,
bahasa Melayu mampu merentasi segala cabaran untuk dinobatkan sebagai bahasa
yang dapat diterima dan digunapakai di seluruh dunia. Bahasa Melayu sebagai
bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan termasuklah di institusi
pengajian tinggi membuktikan yang bahasa ini juga berupaya menjadi bahasa ilmu
selain penggunaan bahasa Inggeris, bahasa Arab dan lain-lain.
Za'ba menyatakan kepada
anak-anak Melayu yang bernasib baik mendapat pelajaran tinggi di universiti,
gunakan pengalaman dan pengajian yang diperoleh itu untuk memimpin, mengajar
anak bangsa kita untuk mengembang dan mempertingkatkan taraf pelajaran dan
pengajian Melayu.
Bahasa Melayu di negara
ini juga dapat dipertahankan dan diperkembangkan berdasarkan pelbagai akta.
Ringkasnya, pelaksanaan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan di Malaysia.
Dasar bahasa Melayu
melalui sistem pendidikan jelas terlihat dalam pelaksanaan dasar bahasa di
sekolah, maktab dan universiti. Cabaran besar bahasa Melayu pada hari ini ialah
kemampuan untuk memupuk perpaduan antara pelajar pelbagai kaum. Bagi mencapai
matlamat mewujudkan perpaduan antara kaum, Penyata Razak telah mengesyorkan
beberapa perkara antaranya Bahasa Melayu mestilah diajar di semua sekolah dan
dijadikan satu syarat untuk menerima sebarang bantuan yang diberi oleh kerajaan
di dalam semua sekolah. Satu lagi, di sekolah-sekolah menengah jenis kebangsaan
dicadangkan supaya bahasa Melayu dan Inggeris diwajibkan
Selepas Penyata Razak,
Laporan Rahman Talib 1960 menegaskan semula syor untuk menjadikan bahasa Melayu
sebagai mata pelajaran wajib dalam kurikulum di semua peringkat persekolahan.
Justeru, bahasa Melayu
sebagai bahasa pengantar di sekolah telah dimulakan perancangannya sejak sebelum
merdeka lagi. Seterusnya penggunaan bahasa Melayu telah diperkukuhkan lagi
dengan pelaksanaan menerusi Laporan Jawatankuasa Mengkaji Dasar Pelajaran
Kebangsaan 1979 dan Akta Pendidikan 1996.
Thanks google :)
Teruskan membaca..
Melabelkan buku terlaris
Oleh WAHBA
BUKU best seller boleh difahami sebagai buku
paling laris yang diterbitkan pada jangka masa tertentu. Buku paling
laris ini boleh dikategorikan dalam bidang tertentu seperti buku fiksyen
atau non-fiksyen. Setiap buku yang diterbitkan ada peminatnya
tersendiri.
Secara amnya best ertinya baik dan seller bermakna terjual. Oleh itu best seller boleh difahami sebagai buku yang paling banyak terjual atau dibeli oleh pembaca.
Menurut sejarah, best seller adalah istilah bagi jualan buku yang pertama digunakan di Kansas pada 1889. Di Barat pada abad ke-16 dan 17, buku Robinsoe Crusoe (1719) dan The Adventure of Roderick (1748) adalah novel pendek yang suka dibaca oleh orang ramai dan dianggap terlaris.
Ada banyak kriteria yang menentukan buku terlaris. Ia bergantung pada
penerbit yang menjalankan perniagaan buku itu. Misalnya sesebuah
penerbit itu menentukan kriteria buku terlaris adalah hasil ulang cetak
dan jumlah yang dicetak dalam waktu tiga bulan sejak terbit pertama
kali.
Pengiraan ini dibuat pada setiap minggu, bulan atau tahun. Buku-buku
ini dikategorikan sebagai novel, buku agama, buku pengetahuan atau
sebagainya. Label buku terlaris itu boleh ditentukan selepas buku
tersebut mendapat sambutan pembaca dan terpaksa diulang cetak beberapa
kali atas permintaan pembaca. Label itu dilekatkan di kulit buku untuk
menarik perhatian pembaca.
Meletakkan label buku terlaris dianggap sesetengah pihak sebagai amat
wajar. Ini kerana ia dilihat sebagai usaha mempromosikan buku tersebut
supaya mencatatkan lebih banyak jualan.
Menurut kajian, perkara ini dilakukan atas dorongan untuk mengaut
keuntungan. Ada fakta menyebutkan bahawa buku-buku yang dijual terpaksa
dicetak berulang kali kerana ada pembaca lebih terpengaruh dengan label
buku terlaris yang diletakkan.
Di Indonesia ada kajian menunjukkan pada 2010, daripada 85.1 peratus
penduduk Indonesia, seramai 240.271.522 juta orang beragama Islam, 9.2
peratus Protestan, 3.5 peratus Katolik, 1,8 peratus Hindu dan 0.4
peratus Buddha.
Daripada statistik penduduk di atas,
buku atau kitab suci terlaris
yang dijual
sepanjang tahun di negara tersebut
adalah seperti berikut:
1. Al-Quran
2. Injil
3. Veda (Kitab suci agama Hindu)
4. Vinaya Pitaka, Sutta Pitaka, Abhidhamma Pitaka
(Kitab suci agama Buddha)
Al-Quran terlaris kerana majoriti penduduk Indonesia ialah penganut
agama Islam. Hampir setiap rumah memiliki al-Quran. Begitu juga di
Malaysia, selain buku umum, kitab suci adalah yang terlaris.
Di Eropah dan Amerika Syarikat (AS), kitab suci al-Quran mula dibeli
dan dibaca oleh warga Inggeris selepas tercetusnya Islamofobia.
Berjuta-juta naskhah dijual kepada pembaca yang ingin mengetahui ajaran
Islam.
Selain al-Quran, Wikipedia mencatatkan antara buku umum terlaris dunia adalah A Tale of Two Cities oleh Charles Dicken yang diterbitkan pada 1859 dengan jualan 200 juta naskhah di seluruh dunia.
Buku-buku lain termasuk The Little Prince karangan Antoine de Saint Exuper terbit 1943 terjual lebih 140 juta naskhah, The Hobbit karya J.R.R.Tolkein terbit 1937 terjual 100 juta naskhah, Dream of the Red Chamber karya Cao Xueqin ditulis dalam bahasa Cina pada 1754-1791 terjual 100 juta naskhah, begitu juga buku And Then There None karya Agatha Christie yang terbit tahun 1939 juga terjual 100 juta naskhah di seluruh dunia.
Pada 2012 di negara kita,
antara buku umum terlaris adalah
seperti berikut:
1 A Doctor In The House: The Memoirs Of Tun Dr. Mahathir Mohammad oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad
2 Wisdom From Laughter: 500 Jokes
With Life Lessons oleh Oh Teik Bin & Lee Kiang Wui
3 Ubat, Doa & Penyembuhan Serta
Khasiat Surah Al-Quran oleh Ustaz Sharhan Safie
4 Marketing Halal: Creating New
Economy, New Wealth oleh Liow Ren Jan & Jamil Bidin
5 Mydin di Sebalik Tabir oleh Dr.Siti
Hawa Mohd.
6 Ensiklopedia Solat: Kombinasi Fakta
Hukum Dan Sains (Fiqah, Falsafah, Sejarah, Saintifik) (Ilustrasi & Foto Menarik) oleh Datuk Hashim Yahaya.
7 Hotshots- 40 Years Of Great News
Images oleh The Star
8 Travelog Kewartawanan Islam oleh
Roslan Hamid
9 Memoir Perjuangan Politik Syed
Husin Ali oleh Dr. Syed Husin Ali.
10 The Best Of Chef Wan: A Taste Of
Malaysia oleh Chef Wan.
MPH Book Store pula mencatatkan
buku terlaris akhir 2012 antaranya:
1 Tuhan Sedang Menguji Kita oleh Ustaz
Kazim Alias.
2 Di Mana Dia Di Hatiku oleh Pahrol
Mohd. Juoi.
3 Penawar Duka Pengubat Sengsara
oleh Dr. Asri Zainal Abidin.
4 Rothschild: Yahudi Kepercayaan Dajal
oleh Ibnu Yaacob.
5 400 Kesalahan Dalam Solat oleh
Muhammad al Misri
6 Ensiklopedia Solat-Kombinasi Fakta,
Hukum dan Sains oleh Datuk Hashim Yahaya.
7 Diari Hamil: Menanti Detik Keindahan
Bersama Mu oleh Khariul Nisa Zakaria
8 Sebelum Aku Berikan-Berusaha
Mencapai Mampu oleh Haikal Asyraf
9 Ziarah ke Alam Barzah oleh Al Imam
Jalaluddin As Sayuti
10 Di Hamparan Shahrukh - Ku Seru
Nama Mu oleh Hasrizal Abdul Jamil
Dari catatan di atas kita dapati buku-buku agama dan memoir
personaliti terkemuka tanah air menjadi buku terlaris. Namun begitu ia
belum dapat mengatasi jualan buku kategori novel cinta yang mencapai
ratusan ribu naskhah dan diulang cetak berulang kali.
Berdasarkan
hakikat ini industri penerbitan buku boleh digerakmajukan dan bilangan
pembaca boleh digandakan sekiranya kita bersedia melakukan sesuatu yang
boleh menghidupkan suasana pembacaan dalam kalangan orang ramai.
Mengadakan label buku terlaris antara usaha yang boleh dijalankan.
Teruskan membaca..

Mewah Bahasa:
Panjar sara hidup
Rosliza: Puan Roza panggil saya yea? Puan Roza: A’ah … pasal pergi luar daerah ni.
Rosliza: Eh! Kenapa? Tak jadi ke?
Puan Roza: Jadi!! Mana tak jadi pulak.
Rosliza: Oooo …. Ingatkan tak jadi.
Puan Roza: Kenapa? Tak suka ke?
Rosliza: Bukan tak suka, tapi ….
Puan Roza: Eh! Hari tu masa temu duga,
kata sanggup kerja luar daerah?
Jawatan ni memang kena keluar,
sebulan mau dua tiga kali kerja luar daerah.
Kadang-kadang kejap aje, kadang-kadang mau
sampai dua tiga minggu. Kan, dah dimaklumkan
masa temu duga dulu?!
Rosliza: Tapi saya ni baru kerja ….
Puan Roza: Memang kita cari orang muda, orang bujang!
Senang nak kerja luar daerah ni. Tak susah-susah
fikir pasal keluarga. Kerja luar ni untung,
banyak dapat pendapatan tambahan, ada komisyen,
ada elaun perjalanan, sara hidup.
Masa inilah kalau kita nak kumpul duit ….
Rosliza: Tapi saya ni baru sangat lagi ….
Puan Roza: Kenapa pulak?
Rosliza: Yalah, nak keluar ni kena banyak pakai duit.
Saya tak ada duit lebih, gaji bulan-bulan lepas tu
cukup-cukup untuk sewa rumah, makan dan hantar kampung sikit.
Nak keluar ni kena pakai banyak duit,
tambang kapal terbang, hotel, belanja ….
Puan Roza: Aaaa …. Itu le sebabnya saya panggil ni!
Rosliza: Ha?! Sebab itu? Eh! Takkan sebab saya
keberatan nak pergi kerja luar daerah, dah nak kena pecat?
Saya bukannya tak nak pergi ….
Puan Roza: Bukan nak pecatlah!! Tapi nak bagi tiket ni, tiket kapal terbang …. Rosliza: Tiket kapal terbang? Puan Roza: Ha’ah!! Kena naik kapal terbanglah!
Kalau naik kereta, tak kan sampainya ke Kota Kinabalu tu!!
Haa …. Dengan panjar sekali ni!
Rosliza: Ooo … ya! Tiket ek?! Saya pergi berapa orang? Puan Roza: Sorang laa ... kan hari tu masa
mesyuarat kita dah setuju Ros pergi sorang?! Rosliza: Puan kata tadi dengan panjar? Puan Roza: Yalah! Kalau tak ada panjar,
macam mana nak belanja di sana nanti?
Nak tidur mana? Tak kan nak tidur masjid, kut?!
Tadi Ros yang cakap tak ada duit …. Rosliza: Boleh saya tau? Puan Roza: Nak tau apa? Rosliza: Panjar ni siapa? Puan Roza: Tak de siapa-siapa aih!! Rosliza: Tadi Puan kata saya kena pergi dengan dia. Puan Roza: Dengan siapa?
Eh! Apa dah merepek-repek ni? Rosliza: Aih! Tadi Puan Roza yang kata saya pergi dengan panjar.
Siapa panjar ni? Lelaki ke, perempuan? Puan Roza: Laa …. Ros sangka panjar tu orang ke? Hehehee …. Rosliza: Bukan orang ke? Habis tu apa? Puan Roza: Hehehe … nak pecah perut saya ni Ros! Hahahaa …. Rosliza: Kenapa pulak? Apa yang lucunya? Puan Roza: Hahahaa … bukan oranglah! Tapi duit …. Rosliza: Duit? Puan Roza: Ha’ah! Duit, duit pendahuluan …. Rosliza: Duit pendahuluan? Saya tak fahamlah …. Puan Roza: Kan Ros yang kata, tak ada duit
untuk pergi kerja luar daerah. Memang syarikat ni pun tahu,
staf yang pergi kerja luar daerah tu tak cukup duit.
Itu sebabnya setiap kali staf pergi kerja luar daerah
diberi tiket kapal terbang dan panjar, untuk belanja di sana. Rosliza: Jadi duit belanjalah tu? Puan Roza: Ya! Duit pendahuluan untuk sewa hotel dan
belanja masa di sana. Nanti balik boleh tuntut pula
ikut kelayakan sebenar. Rosliza: Ooo ... maknanya saya ni dapat
tiket kapal terbang dan duit belanjalah yek? Puan Roza: Ha’ah! Ambil panjar dulu, untuk belanja …. Rosliza: Hehehee …. Saya ingatkan panjar ni nama orang! Glosari Panjar - wang pendahuluan Nota Kaki Kolum Mewah Bahasa memperlihatkan
adanya beberapa cara untuk menyampaikan
sesuatu konsep yang sama dengan perkataan berbeza
disebabkan perbezaan slanga, dialek, taraf sosial dan generasi.
Dialog menggunakan dialek dan juga bahasa pertuturan
yang mungkin tidak sama dengan tatabahasa baku.
Prof Madya Dr Nor Hisham Osman
adalah
Pensyarah Jabatan Linguistik,
Akademi Pengajian Melayu (APM),
Universiti Malaya
Teruskan membaca..