Photobucket

Sahabat Maya :

Showing posts with label Koleksi Buku Pilihan.. Show all posts
Showing posts with label Koleksi Buku Pilihan.. Show all posts

Saturday, July 27, 2013

Tingkat keupayaan berfikir




Tingkat keupayaan berfikir






DI kulit depan buku Kuasai Dunia Dengan Berfikir tertera ayat "Pekerjaan yang paling mahal gajinya di dunia ini adalah berfikir". Kerja berfikir memang ganjarannya lumayan tetapi bukan semua orang sanggup memikul tugas ini.








Sindrom malas berfikir adalah perkara yang lumrah di mana-mana pun juga. Dalam sesebuah organisasi ramai orang suka menjadi pengikut daripada menjadi seorang pemimpin yang tugasnya adalah berfikir bagi menjana idea-idea yang kreatif.







Sikap pemikiran yang jumud melahirkan individu yang pasif serta tidak dinamik. Sikap sedemikian akan menimbulkan kesan negatif kepada organisasi yang disertainya. Lantaran itu budaya mengikut tradisi atau status quo jika diterapkan dalam bidang perniagaan misalnya hanya akan mengundang kerugian kerana gagal bersaing dalam pasaran terbuka. 







Kuasai Dunia Dengan Berfikir boleh dianggap sebagai manual teknik berfikir yang boleh diaplikasikan dalam sebarang situasi. Ainon Mohd dan Abdullah Hassan, dua pengarang buku ini bukanlah pertama kali berganding tenaga menghasilkan karya tentang minda dan teknik berfikir. Dua penulis ini cukup gigih menghasilkan karya tentang berfikir secara kreatif dan kritis seperti Teknik Berfikir: Konsep dan Proses (1994), Kepintaran Daya Cipta dan Kemahiran Berfikir (1995), dan Belajar berfikir : Teknik Menajamkan Daya Fikiran (1996). 






Kemahiran berfikir adalah proses kognitif yang menjadi satu keperluan dalam kehidupan manusia. Menerusi penguasaan teknik berfikir yang berkesan kita mampu mengatasi tiga cabaran penting iaitu penyelesaian masalah, pembuatan keputusan dan mempengaruhi orang lain. 










Selain itu kemahiran berfikir jika diasah dengan betul akan melahirkan insan yang berfikiran kreatif. Dunia yang semakin mencabar pada hari ini memerlukan individu yang mampu menempuh sebarang dugaan dengan minda yang terbuka dan kreatif. Hal ini kerana penyelesaian masalah secara kreatif boleh melahirkan idea baru untuk penambahbaikan. 







Jika kita meneliti semula pelbagai rekaan teknologi yang telah wujud sejak beberapa kurun lalu semuanya tercetus gara-gara idea yang tidak masuk akal dan berlaku secara tidak sengaja. Sebagai contoh Leo Gernstenzang telah mencipta putik kapas setelah peristiwa isteri beliau mencuci lubang telinga anak mereka dengan menggunakan hujung batang kayu pencungkil dengan kapas. 






Tetapi dalam banyak keadaan idea akan tercetus menerusi sesi percambahan idea yang melibatkan sekumpulan individu melontarkan pelbagai idea tanpa mengambil kira idea tersebut logik atau tidak.
Oleh yang demikian penulis buku ini telah berkongsi beberapa teknik berfikir secara berkumpulan yang diamalkan masyarakat Jepun seperti kumpulan kreatif, kaedah Mitsubishi, kaedah NHK, dan kaedah KJ.
Ketika membincangkan aspek penyelesaian masalah pula penulis mengupas pandangan tentang kecenderungan manusia menggunakan pemikiran tidak logik. Penyelesaian masalah dengan kaedah tidak logik bermakna seseorang itu akan menggunakan pedoman am seperti pengalaman silamnya sebagai rujukan dalam menyelesaikan masalah. 






Misalnya jika seorang pengembara tiba-tiba berhadapan dengan seekor harimau di dalam hutan pasti tidak munasabah pengembara tersebut tidak akan membuat analisis terperinci tentang apakah alternatif-alternatif yang boleh dipertimbangkan untuk melepaskan diri daripada harimau itu.
Penyelesaian yang yang ada ialah terus melarikan diri tanpa berfikir panjang. Namun demikian teknik penyelesaian masalah secara logik lebih praktikal digunakan bagi masalah yang berkaitan fungsi-fungsi menyelenggara sistem dan prosedur kerja. 





Dalam kehidupan ini kita pasti akan berhadapan dengan situasi kebekuan mental iaitu sikap enggan berubah atau berfikir di luar kotak. Antara faktor yang menyebabkan hal ini berlaku ialah kerana sikap tidak suka mengambil risiko, tidak suka perkara yang kelam kabut dan sikap suka menilai dengan persepsi bukan menyumbangkan idea. Oleh yang demikian setiap individu dikehendaki berfikiran dengan melihat sesuatu secara keseluruhan dan tidak melihat sesuatu masalah berdasarkan perspektif peribadi yang berkemungkinan dipengaruhi oleh rasa prejudis. 





Ainon dan Abdullah turut mendedahkan kesan psikologi terhadap pemikiran. Salah satu daripada perkara yang disentuh ialah kesan maklum balas terhadap impian dan cita-cita kita. Andainya kita melakukan sesuatu dan mendapat respons yang positif dari orang sekeliling maka ia akan meningkatkan keyakinan diri.
Sebaliknya jika respons negatif dilontarkan maka ia akan melunturkan semangat kita. Fenomena ini sudah pun dibuktikan menerusi beberapa kajian yang dijalankan sebelum ini.




Teruskan membaca..

Tuesday, February 12, 2013

Pembinaan watak bermula di sekolah


 

Pembinaan watak

 bermula di sekolah



Pendidikan 6 tahun di sekolah rendah
 penting bina minda kelas pertama
Selepas lebih 50 tahun meninggalkan Sekolah Kebangsaan Jementah, Sagamat, baru-baru ini saya telah diundang untuk mewakili alumni menyampaikan ucapan sempena Majlis Menyambut Maulidur Rasul. Bangunan kayu tempat pertama kali saya menjejakkan kaki ke sekolah telah dirobohkan dan diganti dengan dua blok bangunan konkrit bertingkat. Suasananya banyak berubah, tetapi Sungai Jementah yang mengalir di belakang sekolah masih kelihatan seperti dahulu, cuma ia semakin menyempit dan airnya berkurangan.



Jemputan ini sangat bermakna bagi saya. Terima kasih kepada Mohmad Jaafar Maskor insan prihatin yang menjemput saya, serta pengetua sekolah Sharuddin Adanan dan guru yang telah menerima saya dengan tangan terbuka. Kehadiran saya di Sekolah Kebangsaan Jementah ini sangat nostalgik sehingga mencetus perasaan untuk berkongsi dengan anda apa yang telah saya sampaikan ketika berucap di hadapan pelajar, guru dan ibu bapa sekolah itu.


Saya telah berkongsi tiga peristiwa manis yang masih segar dalam ingatan ketika belajar di sekolah berkenaan dari 1958 hingga 1964. Pertama, ketika Darjah (sekarang disebut Tahun) Satu belajar Ilmu Hisab (Matematik), seluruh kelas telah dimarahi dan diminta berdiri di atas bangku oleh seorang guru yang sangat tegas, kerana kami tidak menyelesaikan kerja rumah. Guru itu ialah Cikgu Abdul Majid Madisan, kebetulan ayah saudara saya. Peristiwa itu telah menyentuh hati kecil saya sehingga berazam tidak akan mengabaikan tanggungjawab menyelesaikan semua kerja rumah. Sejak itu, saya telah mendapat markah penuh untuk mata pelajaran Ilmu Hisab sejak Tahun Satu hingga Enam.

Titik pemula kejayaan

Apabila masuk ke sekolah menengah rendah dan seterusnya ke sekolah menengah atas, Matematik sentiasa menjadi kegemaran saya. Saya telah mendapat keputusan cemerlang dalam subjek Matematik dan Matematik Tam-bahan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Keputusan penuh Matematik dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) adalah faktor utama membolehkan saya diterima masuk ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Bagi saya, peristiwa berdiri di atas bangku ketika tahun pertama di sekolah rendah adalah titik pemula kejayaan saya untuk meneruskan pengajian pada peringkat universiti.

Peristiwa kedua ialah apabila saya dipilih oleh sekolah untuk menyertai sukan lompat jauh antara sekolah rendah seluruh daerah Segamat ketika berada di Darjah Empat. Saya sememangnya telah menjuarai beberapa acara sukan olahraga di Sekolah Kebangsaan Jementah sejak dari Darjah Satu lagi. Tetapi ketika itu saya mengetahui ia adalah juara kampung yang hanya membabitkan rakan sekolah yang semuanya saya kenali. 

Apabila sampai ke Segamat dan berjumpa dengan pelajar dari beberapa sekolah rendah di seluruh Segamat, hati saya mulai berdebar dan seolah-olah seluruh anggota badan saya tidak bermaya. Lebih-lebih lagi, pada ketika itu, hanya saya seorang yang melakukan lompat jauh berkaki ayam. Pelajar lain semuanya lengkap dengan pakaian olahraga dan kasut berpaku (spike). Beberapa lompatan awal saya jauh tertinggal di belakang berbanding jarak lompatan pelajar lain.

Atasi perasaan rendah diri

Bagaimanapun, pada lompatan keempat, saya berjaya mengatasi perasaan rendah diri, dan membuat lompatan yang jauh sehingga berjaya menjuarai kejohanan itu. Peristiwa ini telah membuka minda saya mengenai bakat sukan yang ada pada saya yang turut mencetus kepada kejayaan dalam pelbagai bidang sukan ketika berada di sekolah menengah dan universiti.

Peristiwa ketiga berlaku ketika di Darjah Enam iaitu apabila saya dipilih untuk mewakili sekolah dalam Majlis Syarahan sempena Bulan Bahasa Kebangsaan. Saya berjaya menjadi juara daerah Segamat, dan seterusnya mewakili daerah untuk pertandingan seluruh negeri Johor. Oleh kerana masa yang diberikan sangat terhad dan saya tidak mampu menghafal semua kandungan utama syarahan, Cikgu Roslan, guru Darjah Enam yang ditugaskan membawa saya pulang ke rumah dan melatih saya menghafal fakta dan memberikan saya kopi pekat supaya boleh bertahan tidak mengantuk hingga jam 2 pagi.

Keesokan paginya, kami perlu bertolak ke Johor Bahru untuk menyertai pertandingan. Walaupun saya tidak berjaya menjadi johan, peristiwa ini agaknya yang mencetus keinginan untuk menjadi seorang pensyarah.

Tiga peristiwa ini memainkan peranan penting dalam pencetus hala tuju kehidupan saya. Minat yang berterusan dalam bidang Matematik telah membina gaya pemikiran logik sehingga membawa saya menjejakkan kaki ke universiti.

Apa yang ingin diperkatakan, pendidikan selama enam tahun di sekolah rendah adalah sangat penting untuk membina asas dan perwatakan seorang pelajar. Jika kita inginkan warga negara yang menunjukkan sikap positif, kecemerlangan serta kewibawaan yang tinggi, didikan asasnya adalah di sekolah rendah.

Pengetua dan guru di sekolah rendah adalah warga pendidik yang penting dan perlu diberikan keutamaan. Kementerian Pelajaran perlu melihat kembali perancangan mereka untuk membina warga minda kelas pertama pada peringkat sekolah.

 

Penulis ialah 
Naib Canselor,
 Universiti Malaysia Terengganu 
 







  


 https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiq48Ltg_51rbJN_ZLeFI-0F_9kUIgcFHRfc9dIfQ6Tg59p7HIJ4KERu6sOhISe5C1iiE1wFynaek8jMXmue0LjdctGIAOTugphZArxeEM1Sa3_kxypzgA6rqfIeO6uTHEExYzgWKeWtGXs/s1600/N13.jpg

Teruskan membaca..

Monday, July 16, 2012

Lawak la pulak :)

















" Ada dua perkara

yang jika kita amalkan,

kita akan mendapatkan kebaikan dunia dan akhirat:



1) Menerima sesuatu yang tidak kita sukai,

jika sesuatu itu disukai Allah.





2) Dan membenci sesuatu yang kita sukai,

jika sesuatu itu dibenci oleh Allah.”





(Abu Hazim)

















Teruskan membaca..

Friday, December 23, 2011

Cara terindah untuk mati tersenyum





Ulasan Buku :


Setiap yang bernyawa pasti akan mati kerana mati itu pasti. Setiap hari kita berdoa agar dikurniakan kesudahan yang Husnul Khatimah (baik) dan dihindarkan daripada kesudahan yang buruk dan sia-sia. Bagaimana caranya untuk mencapai kesudahan yang baik atau untuk mati tersenyum?




Setiap manusia diberikan dua pilihan syurga atau neraka. Terpulang kepada kita sendiri untuk menempuhi jalan yang mana satu sebagai pilihan. Namun begitu amat penting bagi kita semua adalah persiapan dan kemahuan kita dalam memilihnya.








Buku merupakan salah satu cara dan persiapan kita untuk memilih haluan yang mana satu. Kita mesti menguatkan keazaman kita untuk mencapai apa yang kita impikan. Sudah pasti setiap orang yang beriman mengimpikan kesudahan yang, baik dan matinya dalam tersenyum kerana syurga sentiasa melebarkan pintunya menyambut kedatangan orang mengasihi dan dikasihi Allah S.W.T. Haruman bau syurga akan sentiasa semerbak pada mereka yang merinduinya.



Tajuk : Cara terindah untuk mati tersenyum


Publisher : Abu Huzaifah Ibrahim Ibn Muhammad


Penerbit : Al-Hidayah













Teruskan membaca..

Ingati mati insafkan diri


ADAKAH kita sudah bersedia menghadapi kematian?




Nabi Muhammad sendiri sering menasihatkan sahabat supaya sentiasa mengingati mati.





Tiada seorang pun manusia mengetahui baki masa mereka hidup di dunia ini.





Di mana-mana saja, sesiapapun dan dalam keadaan apa sekalipun kematian itu pasti akan menghampiri. Ali al-Hadi berkata:




“Ketahuilah,

kematian itu seperti bilik mandi.

Itu peluang terakhir kita

membersihkan diri bagi menghilangkan

segala kekotoran dan keburukan.”






Selagi kita diberi peluang untuk hidup dan bernafas lagi di atas muka bumi ini, Allah sentiasa membuka peluang seluas-luasnya kepada kita untuk menyucikan diri.


Peluang itu wujud dalam bentuk taubat bersungguh-sungguh dengan menyesali perbuatan buruk dan berazam memperbaiki diri.




Nabi Muhammad mengajar satu doa:




“Ya Allah,

aku memohon kepada-Mu keampunan

atas dosa-dosa yang aku sedari

dan dosa-dosa yang tidak aku sedari,

dosa-dosa yang aku ketahui

serta yang tidak aku ketahui.”






Selalu mengingati mati kerana apabila individu itu dihimpit masalah dalam kehidupannya, dia pasti akan keluar daripada kesempitan hidupnya.






Ramai manusia yang leka dengan mengumpul harta, kemudian harta mereka kumpul itu akhirnya binasa dan angan-angan mereka berkaitan dunia itu lenyap begitu saja.





Ramai juga individu yang berharap hari terakhirnya nanti dilalui dengan baik dan ramai juga yang menanti-nantikan kedatangan hari esok tetapi Allah tidak mengizinkannya.





Abu Hurairah menyatakan, Rasulullah berkata:



“Selalu mengingati kejadian atau peristiwa


yang menghancurkan semua kelazatan,


iaitu mati.”

(Hadis diriwayatkan At-Tirmizi).




Ibnu Sabit melaporkan, ada individu yang berzikir di sebelah nabi dan nabi memujinya. Beliau berkata:



“Bagaimana cara dia mengingati mati?”

Kemudian nabi sendiri menjawab:

“Mengingati mati adalah seperti kamu berzikir.”

(Hadis riwayat Ahmad).





Mengingati serta menghayati tanda besar dan kecil perihal kematian, masa kematian menghampiri dan selepas kematian dapat memberi kesan positif ke dalam diri manusia.





Kesan itu pasti terpahat dalam diri lalu memberi banyak hikmah yang menyihatkan rohani dan jiwa antaranya melembutkan hati, menjauhkan diri daripada angan-angan kosong, mewujudkan sifat waspada serta memperteguhkan keimanan, keislaman, keihsanan, ketauhidan dan ketakwaan kepada Allah.


INFO:

Tajuk: Cara Terindah Untuk Mati


Penulis: Rachmat Ramadhana Al-Banjari


Penerbit: PTS Millenia Sdn Bhd


Cetakan: Pertama


Harga: RM17 (Semenanjung) RM19 (Sabah dan Sarawak)


Muka Surat: 242 muka surat





Sumber











Teruskan membaca..

CORETAN Kenangan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj




Dunia Buku: Coretan Tunku





pix_gal0





Himpunan 53 artikel tulisan bekas Perdana Menteri pertama sorot sejarah negara





CORETAN Kenangan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menghimpunkan 53 artikel tulisan bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tunku Abdul Rahman yang menyorot sejarah awal penubuhan negara ini sehinggalah kepada perjuangan mengisi kemerdekaan.






Buku yang diterjemah daripada I Looking Back terbitan 1977 ini, sebenarnya tidak disusun secara kronologi tetapi berjaya membuka pemahaman pembaca terhadap pelbagai peristiwa bersejarah yang pernah berlaku di negara ini dengan lebih mendalam.
Ini kerana buku yang asalnya dihimpun daripada artikel yang pernah tersiar di akhbar itu, memaparkan pandangan daripada tokoh yang bukan saja terbabit secara langsung, bahkan memainkan peranan penting dalam setiap peristiwa bersejarah berkenaan.







Lebih menarik, Tunku mengambil kesempatan dalam penulisannya itu, untuk mendedahkan perkara atau fakta yang kurang diketahui umum dalam sejarah negara.







Buku yang dibahagikan kepada tiga bahagian berdasarkan tahun penerbitan 1974, 1975 dan 1976 ini, membuka tirainya dengan catatan pengarang terhadap usaha yang dilakukan untuk menentang pemberontakan komunis yang akhirnya membawa kepada Rundingan Baling selepas Tunku berjaya memujuk kerajaan British supaya ia diadakan.








Tunku menceritakan bagaimana persiapan rapi diadakan supaya rundingan yang diadakan pada 28 dan 29 Disember 1955 itu, berjalan lancar meskipun pada awalnya mengundang reaksi negatif terutama daripada akhbar di Britain.





Daripada sorotan sekitar rundingan antara Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan Parti Komunis Malaya (PKM) itu, buku ini menyelongkar pula usaha pelbagai pihak di Tanah Melayu yang diterajui Tunku untuk mengorak langkah ke arah pemerintahan sendiri apabila pilihan raya pertama diadakan dan membawa kepada penubuhan parti Perikatan.








Pengalaman tidak ternilai itu dikongsi oleh Tunku sehingga menjadikan pembaca berasa lebih akrab dengan usahanya untuk menghantar rombongan ke London bagi melakukan perbincangan dengan pihak British supaya ia menjadi kenyataan.






Masakan tidak, pembaca dapat menikmati catatan pengalaman peribadi Tunku termasuk peristiwa yang melucukan apabila negarawan itu terpaksa tidur sekatil dengan salah seorang ahli rombongan berkenaan.







Buku ini turut berkongsi pandangan Tunku dalam mengamati keadaan ketika negara mencapai kemerdekaan, selain mencatatkan cabaran yang terpaksa dihadapi selepas itu terutama ketika penubuhan Malaysia dan ASEAN.






Tunku juga banyak menceritakan mengenai tokoh lain yang memberi sumbangan besar terhadap usaha ke arah kemerdekaan dan tokoh pemimpin negara lain yang dikaguminya.







Dengan menggunakan banyak petikan daripada akhbar dalam dan luar negara, artikel yang dikumpulkan di dalam buku ini sesuai untuk dijadikan rujukan kepada mereka yang ingin mengkaji sejarah penubuhan negara ini dengan lebih lengkap.






Buku setebal 562 halaman terbitan Jabatan Penerangan Malaysia ini, turut menyelitkan ucapan prakata oleh bekas Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin, selain oleh wakil kerajaan British dan Tunku sendiri.






INFO






Coretan Kenangan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj

Penulis: Tunku Abdul Rahman Putra

Penerbit: Jabatan Penerangan Malaysia

Halaman: 562

Bintang: ***** (5)







Perdana Menteri Pertama






TUNKU Abdul Rahman Putra Al-Haj dilahirkan di Kedah pada 8 Februari 1903, ialah Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu pada 1955 sebelum menjawat Perdana Menteri pertama sejak merdeka sehingga 1970.






Allahyarham adalah anakanda lelaki ketujuh kepada Sultan Kedah yang ke-24, Sultan Abdul Hamid Halim Shah, menerima pendidikan awal di Sekolah Debsurin, Bangkok dan Penang Free School, Pulau Pinang, sebelum melanjutkan pengajian ke Kolej St Catharine di Universiti Cambridge dalam jurusan undang-undang pada 1919.






Pengalamannya menghadapi diskriminasi kaum di England, memperkukuhkan keyakinannya untuk memperjuangkan persamaan hak dan membakar semangat memperjuangkan tanah air yang merdeka.






Tidak hairanlah, semangat dan bakat kepimpinannya itu sudah bernyala di England lagi apabila beliau bersama-sama pelajar Melayu menubuhkan Kesatuan Melayu Great Britain dan dilantik sebagai Setiausaha Kesatuan pertama.






Sekembalinya ke tanahair, Tunku yang menyertai Perkhidmatan Awam Kedah kurang disenangi oleh sebahagian pegawai British disebabkan kelantangannya bersuara dalam mengkritik dan berusaha memperbaiki taraf hidup rakyat.






Hasrat untuk menyelesaikan pengajian di Inner Temple, England pada 1938 terpaksa ditangguhkan kerana Perang Dunia Kedua tetapi beliau menyambungnya lapan tahun kemudian dan kembali dengan kelayakan undang-undang pada 1949.






Pada 26 Ogos 1951, Tunku menjadi Presiden UMNO menggantikan Datuk Onn Jaafar, sekali gus menyambung perjuangan dan membawa kepada lahirnya Perikatan pada 1955.






Tunku menerajui Perikatan untuk memenangi Pilihan Raya Umum pertama pada tahun itu, sebelum dilantik sebagai Ketua Menteri Negara dan Menteri Dalam Negeri yang seterusnya mengetuai misi ke London untuk membincangkan kemerdekaan Tanah Melayu dan mencatatkan sejarah manis negara pada 31 Ogos 1957.






Tunku yang dikurniakan tujuh cahaya mata melalui perkahwinannya dengan Allahyarham Sharifah Rodziah Syed Alwi Barakbah, meninggal dunia pada 6 Disember 1990 dan disemadikan di Makam Diraja Langgar, Alor Setar.






Antara yang pernah dihasilkan ialah Challenging Times: Tunku Abdul Rahman Putra, Malaysia: The Road To Independence, Political Awakening, Pandang Balik dan Sudut Pandangan.






Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...