Sahabat Maya :

Friday, December 23, 2011

CORETAN Kenangan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj




Dunia Buku: Coretan Tunku





pix_gal0





Himpunan 53 artikel tulisan bekas Perdana Menteri pertama sorot sejarah negara





CORETAN Kenangan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menghimpunkan 53 artikel tulisan bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tunku Abdul Rahman yang menyorot sejarah awal penubuhan negara ini sehinggalah kepada perjuangan mengisi kemerdekaan.






Buku yang diterjemah daripada I Looking Back terbitan 1977 ini, sebenarnya tidak disusun secara kronologi tetapi berjaya membuka pemahaman pembaca terhadap pelbagai peristiwa bersejarah yang pernah berlaku di negara ini dengan lebih mendalam.
Ini kerana buku yang asalnya dihimpun daripada artikel yang pernah tersiar di akhbar itu, memaparkan pandangan daripada tokoh yang bukan saja terbabit secara langsung, bahkan memainkan peranan penting dalam setiap peristiwa bersejarah berkenaan.







Lebih menarik, Tunku mengambil kesempatan dalam penulisannya itu, untuk mendedahkan perkara atau fakta yang kurang diketahui umum dalam sejarah negara.







Buku yang dibahagikan kepada tiga bahagian berdasarkan tahun penerbitan 1974, 1975 dan 1976 ini, membuka tirainya dengan catatan pengarang terhadap usaha yang dilakukan untuk menentang pemberontakan komunis yang akhirnya membawa kepada Rundingan Baling selepas Tunku berjaya memujuk kerajaan British supaya ia diadakan.








Tunku menceritakan bagaimana persiapan rapi diadakan supaya rundingan yang diadakan pada 28 dan 29 Disember 1955 itu, berjalan lancar meskipun pada awalnya mengundang reaksi negatif terutama daripada akhbar di Britain.





Daripada sorotan sekitar rundingan antara Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan Parti Komunis Malaya (PKM) itu, buku ini menyelongkar pula usaha pelbagai pihak di Tanah Melayu yang diterajui Tunku untuk mengorak langkah ke arah pemerintahan sendiri apabila pilihan raya pertama diadakan dan membawa kepada penubuhan parti Perikatan.








Pengalaman tidak ternilai itu dikongsi oleh Tunku sehingga menjadikan pembaca berasa lebih akrab dengan usahanya untuk menghantar rombongan ke London bagi melakukan perbincangan dengan pihak British supaya ia menjadi kenyataan.






Masakan tidak, pembaca dapat menikmati catatan pengalaman peribadi Tunku termasuk peristiwa yang melucukan apabila negarawan itu terpaksa tidur sekatil dengan salah seorang ahli rombongan berkenaan.







Buku ini turut berkongsi pandangan Tunku dalam mengamati keadaan ketika negara mencapai kemerdekaan, selain mencatatkan cabaran yang terpaksa dihadapi selepas itu terutama ketika penubuhan Malaysia dan ASEAN.






Tunku juga banyak menceritakan mengenai tokoh lain yang memberi sumbangan besar terhadap usaha ke arah kemerdekaan dan tokoh pemimpin negara lain yang dikaguminya.







Dengan menggunakan banyak petikan daripada akhbar dalam dan luar negara, artikel yang dikumpulkan di dalam buku ini sesuai untuk dijadikan rujukan kepada mereka yang ingin mengkaji sejarah penubuhan negara ini dengan lebih lengkap.






Buku setebal 562 halaman terbitan Jabatan Penerangan Malaysia ini, turut menyelitkan ucapan prakata oleh bekas Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin, selain oleh wakil kerajaan British dan Tunku sendiri.






INFO






Coretan Kenangan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj

Penulis: Tunku Abdul Rahman Putra

Penerbit: Jabatan Penerangan Malaysia

Halaman: 562

Bintang: ***** (5)







Perdana Menteri Pertama






TUNKU Abdul Rahman Putra Al-Haj dilahirkan di Kedah pada 8 Februari 1903, ialah Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu pada 1955 sebelum menjawat Perdana Menteri pertama sejak merdeka sehingga 1970.






Allahyarham adalah anakanda lelaki ketujuh kepada Sultan Kedah yang ke-24, Sultan Abdul Hamid Halim Shah, menerima pendidikan awal di Sekolah Debsurin, Bangkok dan Penang Free School, Pulau Pinang, sebelum melanjutkan pengajian ke Kolej St Catharine di Universiti Cambridge dalam jurusan undang-undang pada 1919.






Pengalamannya menghadapi diskriminasi kaum di England, memperkukuhkan keyakinannya untuk memperjuangkan persamaan hak dan membakar semangat memperjuangkan tanah air yang merdeka.






Tidak hairanlah, semangat dan bakat kepimpinannya itu sudah bernyala di England lagi apabila beliau bersama-sama pelajar Melayu menubuhkan Kesatuan Melayu Great Britain dan dilantik sebagai Setiausaha Kesatuan pertama.






Sekembalinya ke tanahair, Tunku yang menyertai Perkhidmatan Awam Kedah kurang disenangi oleh sebahagian pegawai British disebabkan kelantangannya bersuara dalam mengkritik dan berusaha memperbaiki taraf hidup rakyat.






Hasrat untuk menyelesaikan pengajian di Inner Temple, England pada 1938 terpaksa ditangguhkan kerana Perang Dunia Kedua tetapi beliau menyambungnya lapan tahun kemudian dan kembali dengan kelayakan undang-undang pada 1949.






Pada 26 Ogos 1951, Tunku menjadi Presiden UMNO menggantikan Datuk Onn Jaafar, sekali gus menyambung perjuangan dan membawa kepada lahirnya Perikatan pada 1955.






Tunku menerajui Perikatan untuk memenangi Pilihan Raya Umum pertama pada tahun itu, sebelum dilantik sebagai Ketua Menteri Negara dan Menteri Dalam Negeri yang seterusnya mengetuai misi ke London untuk membincangkan kemerdekaan Tanah Melayu dan mencatatkan sejarah manis negara pada 31 Ogos 1957.






Tunku yang dikurniakan tujuh cahaya mata melalui perkahwinannya dengan Allahyarham Sharifah Rodziah Syed Alwi Barakbah, meninggal dunia pada 6 Disember 1990 dan disemadikan di Makam Diraja Langgar, Alor Setar.






Antara yang pernah dihasilkan ialah Challenging Times: Tunku Abdul Rahman Putra, Malaysia: The Road To Independence, Political Awakening, Pandang Balik dan Sudut Pandangan.






No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...