Sahabat Maya :

Saturday, July 27, 2013

Tingkat keupayaan berfikir




Tingkat keupayaan berfikir






DI kulit depan buku Kuasai Dunia Dengan Berfikir tertera ayat "Pekerjaan yang paling mahal gajinya di dunia ini adalah berfikir". Kerja berfikir memang ganjarannya lumayan tetapi bukan semua orang sanggup memikul tugas ini.








Sindrom malas berfikir adalah perkara yang lumrah di mana-mana pun juga. Dalam sesebuah organisasi ramai orang suka menjadi pengikut daripada menjadi seorang pemimpin yang tugasnya adalah berfikir bagi menjana idea-idea yang kreatif.







Sikap pemikiran yang jumud melahirkan individu yang pasif serta tidak dinamik. Sikap sedemikian akan menimbulkan kesan negatif kepada organisasi yang disertainya. Lantaran itu budaya mengikut tradisi atau status quo jika diterapkan dalam bidang perniagaan misalnya hanya akan mengundang kerugian kerana gagal bersaing dalam pasaran terbuka. 







Kuasai Dunia Dengan Berfikir boleh dianggap sebagai manual teknik berfikir yang boleh diaplikasikan dalam sebarang situasi. Ainon Mohd dan Abdullah Hassan, dua pengarang buku ini bukanlah pertama kali berganding tenaga menghasilkan karya tentang minda dan teknik berfikir. Dua penulis ini cukup gigih menghasilkan karya tentang berfikir secara kreatif dan kritis seperti Teknik Berfikir: Konsep dan Proses (1994), Kepintaran Daya Cipta dan Kemahiran Berfikir (1995), dan Belajar berfikir : Teknik Menajamkan Daya Fikiran (1996). 






Kemahiran berfikir adalah proses kognitif yang menjadi satu keperluan dalam kehidupan manusia. Menerusi penguasaan teknik berfikir yang berkesan kita mampu mengatasi tiga cabaran penting iaitu penyelesaian masalah, pembuatan keputusan dan mempengaruhi orang lain. 










Selain itu kemahiran berfikir jika diasah dengan betul akan melahirkan insan yang berfikiran kreatif. Dunia yang semakin mencabar pada hari ini memerlukan individu yang mampu menempuh sebarang dugaan dengan minda yang terbuka dan kreatif. Hal ini kerana penyelesaian masalah secara kreatif boleh melahirkan idea baru untuk penambahbaikan. 







Jika kita meneliti semula pelbagai rekaan teknologi yang telah wujud sejak beberapa kurun lalu semuanya tercetus gara-gara idea yang tidak masuk akal dan berlaku secara tidak sengaja. Sebagai contoh Leo Gernstenzang telah mencipta putik kapas setelah peristiwa isteri beliau mencuci lubang telinga anak mereka dengan menggunakan hujung batang kayu pencungkil dengan kapas. 






Tetapi dalam banyak keadaan idea akan tercetus menerusi sesi percambahan idea yang melibatkan sekumpulan individu melontarkan pelbagai idea tanpa mengambil kira idea tersebut logik atau tidak.
Oleh yang demikian penulis buku ini telah berkongsi beberapa teknik berfikir secara berkumpulan yang diamalkan masyarakat Jepun seperti kumpulan kreatif, kaedah Mitsubishi, kaedah NHK, dan kaedah KJ.
Ketika membincangkan aspek penyelesaian masalah pula penulis mengupas pandangan tentang kecenderungan manusia menggunakan pemikiran tidak logik. Penyelesaian masalah dengan kaedah tidak logik bermakna seseorang itu akan menggunakan pedoman am seperti pengalaman silamnya sebagai rujukan dalam menyelesaikan masalah. 






Misalnya jika seorang pengembara tiba-tiba berhadapan dengan seekor harimau di dalam hutan pasti tidak munasabah pengembara tersebut tidak akan membuat analisis terperinci tentang apakah alternatif-alternatif yang boleh dipertimbangkan untuk melepaskan diri daripada harimau itu.
Penyelesaian yang yang ada ialah terus melarikan diri tanpa berfikir panjang. Namun demikian teknik penyelesaian masalah secara logik lebih praktikal digunakan bagi masalah yang berkaitan fungsi-fungsi menyelenggara sistem dan prosedur kerja. 





Dalam kehidupan ini kita pasti akan berhadapan dengan situasi kebekuan mental iaitu sikap enggan berubah atau berfikir di luar kotak. Antara faktor yang menyebabkan hal ini berlaku ialah kerana sikap tidak suka mengambil risiko, tidak suka perkara yang kelam kabut dan sikap suka menilai dengan persepsi bukan menyumbangkan idea. Oleh yang demikian setiap individu dikehendaki berfikiran dengan melihat sesuatu secara keseluruhan dan tidak melihat sesuatu masalah berdasarkan perspektif peribadi yang berkemungkinan dipengaruhi oleh rasa prejudis. 





Ainon dan Abdullah turut mendedahkan kesan psikologi terhadap pemikiran. Salah satu daripada perkara yang disentuh ialah kesan maklum balas terhadap impian dan cita-cita kita. Andainya kita melakukan sesuatu dan mendapat respons yang positif dari orang sekeliling maka ia akan meningkatkan keyakinan diri.
Sebaliknya jika respons negatif dilontarkan maka ia akan melunturkan semangat kita. Fenomena ini sudah pun dibuktikan menerusi beberapa kajian yang dijalankan sebelum ini.




No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...