Sahabat Maya :

Tuesday, December 6, 2011

Luqman Haziq, Nasri raih Anugerah Media 2011


Luqman Haziq, Nasri raih Anugerah Media 2011


ABDUL Ghani Othman (tengah) bersama para penerima anugerah
dari Kumpulan Utusan, termasuk Raja Jaafar Raja Ali (kanan)
dan Nasri Jamaluddin (dua dari kanan) di Danga Konvensyen,
Johor Bahru, malam kelmarin.




JOHOR BAHRU 6 Dis. - Kumpulan Utusan mengungguli dua daripada enam kategori yang dipertandingkan bagi media cetak Bahasa Melayu dalam Anugerah Media Johor 2011 yang diadakan buat kali kedua di sini, malam tadi.



Ketua Biro Johor, Luqman Haziq Abdullah memenangi tempat pertama kategori Laporan Berita Ekonomi Terbaik manakala Penolong Ketua Biro Kosmo, Nasri Jamaluddin memenangi tempat pertama bagi kategori Laporan Berita Sukan.



Anugerah Media Johor turut menyaksikan jurugambar Utusan Malaysia, Raja Jaafar Ali berjaya meraih hadiah saguhati bagi kategori Fotografi Minat Insani Terbaik.



Kemenangan tersebut membolehkan mereka masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, trofi dan sijil bagi hadiah utama serta RM500 dan sijil bagi saguhati.



Hadiah kemenangan disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Belia dan Sukan negeri, Md. Jais Sarday dan Presiden Kelab Media Johor, Mohamad Fauzi Ishak.



Mengulas mengenai anugerah tersebut, Abdul Ghani berkata, ia merupakan inisiatif untuk menghargai peranan dan sumbangan pengamal media cetak dan elektronik.



"Golongan ini sering bersama-sama dengan pihak kerajaan, khususnya dalam memberikan publisiti melalui pelaporan dan penyiaran berita mengenai pembangunan, kemajuan dan kejayaan negeri sepanjang tahun ini.



"Semoga anugerah tahunan ini menjadi landasan kepada para pengamal media massa di negeri ini untuk terus cemerlang, malah menjadi wadah untuk melengkapkan diri dengan ilmu dan informasi bagi menghasilkan berita yang terbaik," katanya.



Sebanyak 330 penyertaan bagi kategori media cetak dan elektronik melibatkan laporan berita mewakili empat bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil yang disiarkan sepanjang tahun lalu diterima bagi dinilai oleh Institut Akhbar Malaysia (MPI) untuk Anugerah Media Johor kali ini.



Bagi radio pula, terdapat lima kategori dipertandingkan iaitu Penyiar Radio Terbaik, Liputan Berita Radio Terbaik, Majalah Radio Terbaik, Bicarawara Radio Terbaik dan Jingle Pengumuman Awam Radio Terbaik.



Sementara itu, televisyen pula terdapat empat kategori iaitu Wartawan TV terbaik, Liputan Berita TV Terbaik, Liputan Berita Pelancongan TV Terbaik dan Jurukamera TV Terbaik.




Sumber










No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...