Photobucket

Sahabat Maya :

Tuesday, December 6, 2011

DBP cetak 15.9 juta buku teks



DBP cetak 15.9 juta buku teks

Termuzi (kanan) bersama Dr Azman merasmikan Program Setitik Budi Selautan Kasih di DBP, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Termuzi (kanan) bersama Dr Azman
merasmikan Program Setitik Budi Selautan Kasih di DBP,
Kuala Lumpur baru-baru ini.





DEWAN Bahasa dan Pustaka (DBP) mencetak kira-kira 15.9 juta buku teks termasuk 7.9 juta buku cetakan baru untuk edaran semua sekolah seluruh negara mengikut jadual.



Semua kerja berkenaan selesai sejak sebulan lalu dan semua buku berkenaan sedia diagihkan sebelum sesi persekolahan bermula awal tahun depan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Termuzi Abdul Aziz, berkata proses pengedaran buku teks ke Sabah dan Sarawak selesai sepenuhnya manakala di semenanjung proses penghantaran buku teks membabitkan cetakan baru akan selesai dalam tempoh terdekat.
Beliau berkata, DBP begitu mengutamakan penghantaran ke Sabah dan Sarawak memandangkan lokasinya jauh.



Proses penghantaran di kedua-dua negeri itu katanya, menggunakan perkhidmatan empat kapal terbang iaitu dua pesawat kargo Boeing 747 dan Airbus dengan kapasiti muatan masing-masing 100 tan dan 65 tan.



“Sebanyak 818,782 buku teks cetakan baru membabitkan 44 tajuk diedarkan ke Sabah manakala di Sarawak (673,164) sudah diedarkan.



“Sesi penghantaran di kedua-dua negeri itu selesai sepenuhnya pada 2 November lalu,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Setitik Budi Selautan Kasih anjuran bersama Badan Keluarga DBP dan Fakulti Pengurusan Maklumat Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.



Turut hadir, Timbalan Dekan Fakulti Pengurusan Maklumat UiTM, Dr Azman Mat Isa dan Pengerusi Badan Keluarga DBP, Kusni Ahad.



Termuzi berkata, penghantaran buku cetakan baru ke sekolah di Semenanjung masih berbaki 20 peratus dan dijangka diselesaikan dalam tempoh terdekat.



“Proses penghantaran sudah 80 peratus selesai kerana kita mula mengedarkan ke Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) sejak 15 November lalu dan ada dalam kalangan murid sudah menerima buku teks masing-masing sebelum cuti sekolah.



“Jika ada sekolah yang belum menerima buku teks ini. Itu mungkin atas pertimbangan JPN negeri yang belum memberikan kepada sekolah atas pelbagai sebab atau masalah banjir,” katanya.



Mengulas proses mencetak 15.9 juta buku membabitkan 200 tajuk buku cetakan semula, Termuzi berkata, pihaknya tiada masalah mengenainya kerana semua tajuk berkenaan termasuk 53 tajuk buku baru disiapkan mengikut jadual.



Kerjasama daripada Bahagian Buku Teks DBP dan Bahagian Kurikulum Kementerian Pelajaran begitu memuaskan dan mencetaknya dapat dipercepatkan.





No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...