Photobucket

Sahabat Maya :

Sunday, February 26, 2012

35,000 guru, pelajar jadi ejen antidadah



35,000 guru, pelajar jadi ejen antidadah




Haniff Hassan menyampaikan hadiah kepada Haziq Abdullah
dari Perlis di majlis Alumni Sahabat PPDa-Petronas peringkat Kebangsaan 2011
di Bukit Gambang Resort City Kuantan, Pahang baru-baru ini.







Seramai 35,000 guru dan pelajar telah dilatih sebagai ejen perubahan pencegahan dadah di sekolah di seluruh negara sejajar dengan matlamat Kementerian Pelajaran Malaysia Sekolah Bebas Dadah 2012.




Pengurus Besar Bahagian Hal Ehwal Korporat Kumpulan Petronas, Haniff Hassan berkata, bagi memastikan matlamat murni itu tercapai, Pemuafakatan Program Pencegahan Dadah (PPDa) antara Kementerian Pelajaran Malaysia dan Petronas telah dilaksanakan.




Menurutnya, fokus pelaksanaan program adalah kepada aktiviti-aktiviti luar bilik darjah yang memberi peluang kepada pelajar mengetahui dengan lebih mendalam tentang akibat penyalahgunaan dadah dan langkah pencegahan untuk menghindari diri daripada aktiviti penyalahgunaan dadah.




"Ia juga selari dengan usaha membangunkan modal insan yang memiliki ketahanan dan jati diri yang tinggi dalam kalangan pelajar dari segi fizikal, emosi, mental dan rohani.




"Selain itu, ia membentuk nilai PPDa iaitu budaya sihat, tingkah laku positif, amalan nilai murni dan sikap benci dadah di kalangan warga sekolah sejak dari kecil lagi," katanya ketika berucap pada majlis Malam Anugerah Program Sahabat PPDa-Petronas 2011 di Bukit Gambang Resort Kuantan, Pahang baru-baru ini.




Perasmian program telah disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pelajaran Malaysia, Datuk Mazlan Mohamad yang turut dihadiri Pengarah Pelajaran Pahang, Yahya Zainal Abidin.




Haniff memberitahu, tujuan program ini juga adalah untuk mewujudkan permuafakatan warga sekolah dengan masyarakat luar sekolah dalam usaha mencegah dadah selain menyediakan alternatif yang berfaedah supaya dapat menyekat pelajar daripada terlibat dengan dadah.




Tambah beliau, melalui permuafakatan tersebut ia memberi peluang penglibatan ramai pelajar dan memberi pengalaman kepada pelajar untuk meningkatkan motivasi ke arah kecemerlangan hidup.




Katanya, usaha pihak sekolah menyediakan sama ada bilik sumber dan sudut/lorong PPDa dengan pelbagai informasi berkaitan pendidikan dadah, rokok, inhalan, arak dan HIV/Aids adalah usaha yang sangat baik.




"Majlis Anugerah Alumni Sahabat PPDa-Petronas kemuncak kepada program Sahabat PPPDa-Petronas yang mula diwujudkan sejak tahun 2009 dalam membantu Kementerian Pelajaran menghapuskan penyalahgunaan dadah pada tahun 2012," jelasnya.




Hal ini ujarnya, adalah tanggungjawab sosial Petronas seperti mewujudkan Universiti Petronas atau Petrosains kepada pelajar supaya rakyat Malaysia lebih berpendidikan serta celik sains, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).











Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0220&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_02.htm












Teruskan membaca..

Saturday, February 25, 2012

Katak pokok Rabbs’ fringe-limb pupus di habitat rimba






KATAK pokok Rabbs’ fringe-limb yang ditemui di hutan Panama.


Katak pokok Rabbs’ fringe-limb

tinggal seekor di dunia








ATLANTA, Amerika Syarikat – Beberapa pegawai Zoo Atlanta

menyatakan seekor katak daripada spesies

yang dipercayai pupus di habitat rimba,

terpaksa dihapuskan selepas ia jatuh sakit.




Sebelum ini, Zoo Atlanta memelihara sepasang katak

berkenaan yang dikenali sebagai

katak pokok Rabbs’ fringe-limb.




Saintis-saintis percaya perkembangan tersebut

menyebabkan kini terdapat cuma seekor katak berkenaan di dunia.




Kelmarin, beberapa pegawai Zoo Atlanta memberitahu,

seekor katak itu terpaksa dihapuskan bagi mengelakkan

ia terus menderita selain mengekalkan bahan genetik amfibia

berkenaan bagi tujuan penyelidikan.




Spesies katak tersebut ditemui oleh kurator herpetologi Zoo Atlanta,

Joseph Mendelson semasa lawatan beliau ke Panama dalam tahun 2005.




Mendelson berkata,

spesies berkenaan di habitat rimba pupus

akibat jangkitan sejenis patogen yang dikenali

sebagai kulat chytrid. – AP










SUMBER












Teruskan membaca..

Friday, February 24, 2012

Beri label negatif mempersenda boleh cetus permusuhan






Beri label negatif mempersenda

boleh cetus permusuhan







KEWUJUDAN segelintir manusia bersifat mazmumah seperti cepat berhasad, kuat berdengki, menimbulkan khianat, menyembunyikan kenyataan sebenar, suka melihat individu dicela, dipulau, diperkatakan peribadinya dan dinafikan hak seterusnya tersisih adalah sukar dibendung.






Kehadiran golongan ini sukar dielakkan di dalam komuniti perjawatan, masyarakat, persekitaran tempat kerja dan penempatan manusia. Menangani golongan ini terlalu sukar kerana sifat sedemikian hanya dapat diatasi dengan memiliki kesedaran beragama dan rasa tanggungjawab sebagai mukmin sejati yang mengetahui natijah timbul akibat sesuatu tindakan, perbuatan dan amalan negatif dilakukan seperti maksud hadis Rasulullah SAW.










Daripada Abu Hurairah ra bahawa sabda Nabi Muhammad SAW bermaksud:








“Janganlah kamu dengki-mendengki,

janganlah tipu-menipu, janganlah benci-membenci,

janganlah berpaling muka, dan janganlah berjual beli di atas jualan orang lain.

Dan jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara.

Orang Islam dengan orang Islam adalah bersaudara.

Mereka tidak boleh menzalimi, tidak boleh membiarkan dalam kehinaan,

tidak boleh berbohong dan menghina sesama Islam.

Takwa itu ada di sini.

Kata Nabi Muhammad SAW

menepuk sebanyak tiga kali ke dadanya.

Memadai seseorang itu dianggap jahat apabila dia

menghina saudaranya.

Setiap orang Islam ke atas orang Islam lain

haram darah, harta dan kehormatan."



(Riwayat Muslim)













" Janganlah kamu dengki-mendengki,

janganlah tipu-menipu, janganlah benci-membenci,

janganlah berpaling muka, dan janganlah berjual beli

di atas jualan orang lain. Dan jadilah kamu

hamba Allah yang bersaudara. "




- Riwayat Muslim








Dalam menjalani kehidupan seharian di rumah, pejabat, masjid, kampus dan taman perumahan biasanya wujud pengasingan aktiviti disebabkan beberapa alasan seperti perbezaan fahaman parti, minat, kecenderungan serta tingkat kedudukan dan pangkat seseorang. Jelas, perpecahan umat Islam kerana pergeseran politik, menimbulkan keretakan, perselisihan dan prasangka sejak dulu lagi sudah cukup menjadi barah terhadap perkembangan kemasyarakatan di negara kita.







Selain itu, ada manusia memiliki kedudukan, atau lebih berkuasa dalam masyarakat sering mengeluarkan kenyataan, pendapat dan tanggapan label yang boleh memecahbelahkan perpaduan tanpa memikirkan kesannya. Paling keji, apabila ada sesetengah pihak sanggup mencipta istilah dan memberi label lebih menjurus kepada maksud negatif yang boleh melahirkan pelbagai fahaman, persepsi dan tafsiran bersifat liar dan tidak tepat kepada seseorang yang ditujukan.







Individu yang diberikan label tertentu, atau ungkapan buruk sudah pasti akan menerima hukuman selamanya dan istilah itu akan merantai kehidupannya. Sikap gemar melabel dengan ungkapan tidak baik ini sudah cukup berkesan dalam memecahbelahkan keharmonian masyarakat dan memberikan tekanan kuat kepada golongan yang ditujukan. Justeru, orang berkedudukan atau berpengaruh perlu berhati-hati mengeluarkan kenyataan, pendapat dan tafsiran tertentu kerana apa diperkatakan olehnya akan menjadi pegangan yang diikuti orang ramai.







Larangan amalan, perbuatan, dan perkataan yang mengandungi unsur penghinaan, celaan dan bahan cemuhan dijelaskan dalam ayat al-Quran.











Firman Allah SWT bermaksud:








“Wahai orang yang beriman,

janganlah sekumpulan orang lelaki

merendahkan kumpulan yang lain,

boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik daripada mereka.

Dan jangan pula sekumpulan perempuan

merendahkan kumpulan lainnya,

boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik.

Dan janganlah

suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil

dengan gelaran yang mengandung ejekan.

Seburuk-buruk panggilan adalah

(panggilan) yang buruk

sesudah iman dan barang siapa yang tidak bertaubat,

maka mereka itulah orang yang zalim.”


(Surah al-Hujurat, ayat 11).






Dalam persekitaran tempat kerja juga wujud budaya melabel bertujuan menghalang saingan dalam mengharapkan imbuhan, jawatan, anugerah dan pembahagian tugas. Dalam hal ini, jika seseorang pekerja diberikan label tertentu oleh pihak berpengaruh, individu itu biasanya akan tersisih atau dipinggirkan pekerja lain, malah tidak mendapat perhatian dari pihak pengurusan.










Justeru, pembinaan falsafah kemuliaan diri boleh dibina dengan sentiasa memahami maksud ayat al-Quran yang boleh menjadikan seseorang berfungsi dengan baik walau di mana dia berada, bekerja dan bergaul.














Firman Allah SWT bermaksud:










“Dan

sembahlah Allah dan janganlah kamu menyekutukan-Nya

dengan sesuatu apa juga.

Dan berbuat baiklah kepada kedua-dua ibu bapa,

dan kaum kerabat dan anak-anak yatim, dan orang miskin,

dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh,

dan rakan sejawatan, dan orang musafir yang terlantar,

dan juga hamba yang kamu miliki.

Sesungguhnya

Allah tidak suka orang yang sombong dan membanggakan diri”.




(Surah an-Nisa, ayat 36)
























Sumber















Teruskan membaca..

Guru dipaksa derma kepada sekolah: NUTP



Guru dipaksa derma

kepada sekolah:

NUTP



KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) hari ini melaporkan sebuah sekolah di Johor memaksa guru gred 44 di sekolah itu menyumbang RM50 setahun sebagai dana kewangan sekolah berkenaan.








Presidennya, Hashim Adnan, berkata sehubungan itu wakil guru sekolah di Batu Pahat tersebut sudah membuat laporan kepada NUTP Rabu lalu.







Pentabir sekolah dikatakan mengeluarkan arahan kepada 50 guru berkenaan untuk membuat sumbangan berikutan kenaikan gred mereka ke gred tersebut.








"Tujuan kutipan wang tersebut tidak diberikan penjelasan yang lengkap dan kaedah pengumpulan itu hanya tertera kepada guru yang memegang jawatan itu," katanya pada sidang media di sini hari ini.









Hashim berkata, sebarang kutipan wang dari pihak sekolah, sama ada membabitkan guru atau ibu bapa perlu mengikut prosedur dan mendapat kelulusan Kementerian Pelajaran.









"Segala urusan pengumpulan wang harus mempunyai persetujuan semua pihak terutamanya bagi yang terbabit dan pihak sekolah perlu mengeluarkan keterangan lengkap berkenaan kegunaan wang itu," katanya.







Hashim turut membangkitkan mengenai aduan daripada guru sebuah sekolah di Senai, Johor yang dipaksa hadir di sekolah 15 minit sebelum 7 pagi, berbeza dengan peraturan biasa yang guru hanya harus berada di kawasan sekolah pada 7.40 pagi atau 7.50 pagi.
"Guru-guru ini terpaksa keluar lebih awal dari rumah untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah atau di rumah penjaga anak sebelum bergegas untuk ke sekolah," katanya.







Beliau berkata, ini secara tidak langsung memberi tekanan kepada guru dan menganggu keberkesanan pengajaran mereka di bilik darjah. - BERNAMA







Teruskan membaca..

11 April hari kelepasan am tambahan






11 April

hari kelepasan am tambahan




KUALA LUMPUR: Hari pertabalan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada 11 April depan diisytiharkan sebagai hari kelepasan am tambahan bagi seluruh negara.








Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan, berkata pengisytiharan hari kelepasan am itu dibuat berdasarkan Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan Am 1951 (Akta 369) bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.






"Bagi Sabah dan Sarawak, tindakan diambil oleh kerajaan-kerajaan negeri tersebut mengikut undang-undang negeri masing-masing," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.






Sidek berkata dua acara utama akan diadakan sempena pertabalan Seri Paduka iaitu Istiadat Pertabalan pada sebelah pagi dan Majlis Santapan Diraja pada sebelah malam, kedua-duanya di Istana Negara.






Tuanku Abdul Halim dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 13 Disember lalu, menggantikan Sultan Mizan Zainal Abidin yang tamat tempoh pemerintahan pada 12 November 2011. - BERNAMA







Teruskan membaca..

Thursday, February 23, 2012

Najib bakal buat pengumuman adil, saksama bagi penjawat awam



File:Dato Sri Mohd Najib Tun Razak.JPG



Najib bakal buat pengumuman adil,

saksama bagi penjawat awam







PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka membuat pengumuman yang adil dan saksama berkaitan perkhidmatan awam, termasuk mengenai Skim Saraan Malaysia (SSM) dan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).







Perkara itu dinyatakan Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman selepas mengadakan pertemuan hampir dua jam dengan Perdana Menteri di pejabatnya di sini, hari ini.





Pertemuan itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.
"Perkara itu akan diumumkan dalam waktu terdekat dan dijangka memberikan keadilan dan kebaikan untuk semua penjawat awam," katanya tanpa mengulas lanjut mengenai perkara yang bakal diumumkan itu.






Omar berkata, CUEPACS sendiri akan menyambut baik apa sahaja perkara yang bakal diumumkan serta mengucapkan terima kasih di atas kesudian serta kesediaan Perdana Menteri untuk mengadakan perbincangan dan mendengar cadangan demi kebaikan penjawat awam.






"Pertemuan hari ini menyentuh mengenai secara keseluruhan apa tuntutan serta pandangan yang dikemukakan Cuepacs selama ini berhubung permasalahan penjawat awam termasuk mengenai isu SBPA," katanya.





Omar berkata, Perdana Menteri turut menyatakan kesediaan untuk menghadiri perhimpunan besar-besaran yang akan mengumpul seramai 15,000 penjawat awam yang akan diadakan di Stadium Bukit Jalil pada 12 Mac depan. - BERNAMA







Teruskan membaca..

Sahkan naik pangkat sebelum laksana SBPA




Sahkan naik pangkat sebelum laksana SBPA






KGMMB dakwa ramai guru kanan tak pasti status




KESATUAN guru mendesak Kementerian Pelajaran mengesahkan terlebih dahulu mengenai kenaikan pangkat yang sudah dinilai mengikut Sistem Saraan Malaysia (SSM) sebelum menguatkuasakan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).





Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) mendakwa sejumlah jawatan kanan masih belum mendapat pengesahan kementerian walaupun penilaian, temu duga dan pembentangan sudah dilaksanakan pada Jun dan Julai tahun lalu.





Warga pendidikan kini serba salah kerana selepas menandatangani SBPA, syarat kenaikan pangkat berbeza berbanding SSM sedangkan mereka sudah dinilai mengikut SSM. - Abdullah Mamat, Pengerusi KGMMB.





Pengerusi KGMMB Cawangan Terengganu, Abdullah Mamat, berkata sebagai contoh beberapa penjawat Pengetua gred DG48 masih menunggu surat pengesahan kenaikan gred DG52, iaitu Pengetua Cemerlang.




“Apa yang berlaku guru, penolong kanan dan pengetua diberi notis singkat pada Disember lalu untuk menandatangani opsyen sebelum 28 Disember dan menerima SBPA.




“Warga pendidikan kini serba salah kerana selepas menandatangani SBPA, syarat kenaikan pangkat berbeza berbanding SSM sedangkan mereka sudah dinilai mengikut SSM,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur baru-baru ini.




Abdullah berkata, Kementerian Pelajaran harus mewujudkan tempoh peralihan yang memadai untuk menyelesaikan semua kenaikan pangkat atau pelantikan jawatan kanan sebelum menguatkuasa SBPA.




Sementara itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) percaya Bahagian Sumber Manusia , Kementerian Pelajaran akan menyelesaikan isu berkenaan secara adil kepada semua pihak.




Presidennya, Adnan Hashim, berkata sebarang perjanjian yang sudah ditandatangani warga pendidikan di bawah SSM akan terpakai walaupun mereka menerima opsyen SBPA.




Beliau berkata, isu penangguhan pelantikan ke jawatan lebih tinggi itu membabitkan segelintir pegawai kanan manakala sebahagian besar warga pendidikan terutama guru biasa menyambut baik SBPA.



“Skim baru ini menyediakan gaji lebih lumayan kepada guru sekolah rendah atau menengah dan saya percaya kebanyakan guru menyambut baik SBPA,” katanya.



Berdasarkan SBPA, guru bukan siswazah menerima kenaikan gaji sehingga 39 peratus, manakala guru siswazah menerima kenaikan 37.7 peratus.



Sebagai contoh, gaji maksimum guru bukan siswazah gred DGA34 dinaikkan daripada RM3,860 di bawah SSM kepada RM5,370 mengikut SBPA.



Bagi guru siswazah pula, gaji maksimum gred DG48, di bawah SSM ialah RM6,325 menjadi RM8,710 mengikut SBPA.












Teruskan membaca..

Tuesday, February 21, 2012

Ekspresi bakat pelajar sekolah



Ekspresi bakat pelajar sekolah


Program inisiatif ekspresi belia DiGi ini menggalakkan remaja untuk
tampil ke hadapan dan menonjolkan bakat kreatif yang dimiliki.







REMAJA dan muzik sukar dipisahkan. Malah, kreativiti mereka terhadap elemen itu menjangkaui pemikiran dan punya tarikan tersendiri. Menyedari hakikat itu, DiGi Telecommunications Sdn. Bhd. (DiGi) mengambil langkah memperkenalkan program DiGi Live Sekolahku Berbakat bagi mencungkil potensi yang ada dalam diri mereka untuk diketengahkan menerusi seni pentas.






Program inisiatif ekspresi belia DiGi itu diadakan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bagi menggalakkan mereka yang berumur antara 12 hingga 19 tahun menampilkan kreativiti diri dalam cara yang menyeronokkan dan kreatif melalui muzik dan tarian.






Menurut Ketua Pemasaran Segmen DiGi, Moharmustaqeem Mohammed, menerusi penglibatan mereka dengan golongan belia sebelum ini, banyak bakat dinamik dan unik sama ada individu mahupun berkumpulan berjaya ditemui terutama dalam bidang muzik.






“Justeru, ini telah memberikan kami sebab terbaik untuk mewujudkan satu platform di mana mereka boleh menampilkan kemampuan dan kreativiti mereka hingga ke peringkat nasional.






“Apa yang membezakan Sekolahku Berbakat daripada program persembahan bakat yang lain adalah tahap penglibatan yang disediakan kepada semua peserta. Dengan kerjasama KPM, kami akan menganjurkan bengkel kreativiti, tata rias dan persembahan bukan sahaja untuk murid-murid, malah juga guru-guru pilihan kementerian.






“Ini bertujuan untuk mewujudkan persekitaran kondusif yang menyokong dan memupuk pembangunan bakat para pelajar di sekolah-sekolah tempatan,” kata beliau sewaktu melancarkan program berkenaan di Studio DiGi House di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.






Lantaran itu, inisiatif DiGi Live Sekolahku Berbakat melengkapi saranan Kementerian Pelajaran dengan hasrat supaya murid-murid menjadi serba boleh dan memiliki cara hidup yang seimbang antara pelajaran dan aktiviti kokurikulum.







Program DiGi Live Sekolahku Berbakat telah bermula sejak 28 Februari lalu dan peringkat akhirnya akan berlangsung pada 8 Mei ini. Ia terbuka kepada semua pelajar sekolah di Malaysia berusia 12 hingga 19 tahun.






Untuk menyertai pertandingan itu, pelajar perlu membentuk kumpulan yang mempunyai dua hingga enam ahli dan mendaftarkan kumpulan mereka menerusi sekolah masing-masing atau dalam talian di www.digi.com.my/digilive bagi salah satu daripada lima kategori berikut, iaitu nyanyian, kugiran, kugiran instrumental, tarian atau tradisional.






Uji bakat akan diadakan di enam buah negeri iaitu Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur dan Johor. Sepuluh kumpulan akan dipilih dari setiap negeri untuk bertanding di peringkat akhir bagi negeri tersebut.






Dua kumpulan teratas dari setiap negeri pula layak menyertai pertandingan ke peringkat akhir kebangsaan yang akan berlangsung pada 8 Mei 2011 di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.






Pada setiap tahap pertandingan, kumpulan yang layak perlu menghadiri satu kem yang menampilkan latihan motivasi, sesi berhias diri dan raptai untuk menyediakan mereka ke peringkat akhir.






Bagaimanapun, kumpulan dari luar kawasan enam negeri tersebut boleh menyertai pertandingan ini sama ada dengan menghadiri uji bakat di lokasi yang telah ditetapkan atau menerusi penyertaan wildcard.






Mereka boleh memuat naik video uji bakat ke dalam laman Facebook Belia DiGi, www.facebook.com/digiyouths. Penyertaan wildcard itu juga termasuk bagi kumpulan yang tidak berjaya melepasi uji bakat di negeri masing-masing.






Hanya dua kumpulan daripada penyertaan wildcard di laman Facebook ini akan dipilih untuk bertanding di peringkat akhir kebangsaan berdasarkan undian popular daripada orang ramai.







Untuk maklumat lanjut mengenai program DiGi Live Sekolahku Berbakat, layari laman web www.digi.com.my/digilive.









Sumber










Teruskan membaca..

UPSI laksana transformasi lonjak kecemerlangan



UPSI


laksana transformasi


lonjak kecemerlangan






Merangka Pelan Strategik Pembangunan Empat Tahun





UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merangka Pelan Strategik Pembangunan Empat Tahun bermula tahun ini dalam usahanya mengekalkan kecemerlangan universiti pendidikan ulung negara.





Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Zakaria Kasa, berkata pelan itu adalah kerangka berfikir yang dirumus dengan pelbagai idea berlandaskan keupayaan swadaya mandiri, swadaya intelektual, material dan spiritual.






Faktor itu kata beliau, menjadi asas tindakan dan gerak kerja bagi melonjakkan kecemerlangan UPSI dan pastinya terlaksana pada 2015.





Asas tindakan itu katanya, sebagai transformasi UPSI bagi tempoh jangka panjang merangkumi tujuh teras mengikut bidang keutamaan UPSI selaras dengan bidang keberhasilan Utama Negara ( NKRA).




“Usaha merangkumi peluasan akses dan meningkatkan ekuiti, menambah baik kualiti pengajaran dan pembelajaran, memperteguhkan penyelidikan dan pembangunan serta memperkasakan UPSI sebagai institusi pendidikan guru.



“Sasaran termasuk usaha mempergiat aktiviti pengantarabangsaan, membudayakan pembelajaran sepanjang hayat serta memperkukuhkan sistem penyampaian,” katanya pada majlis amanat tahun baru UPSI di Tanjong Malim, Perak, baru-baru ini. Zakaria berkata, penyelidikan yang menjadi teras akademia mengungguli keilmuan diharap dapat menyumbang pertambahan ilmu baharu untuk dimanfaatkan kerajaan bagi membangunkan negara.



Beliau berkata, UPSI akan meningkatkan kuantiti penyelidikan, aktiviti perundingan, budaya inovasi dan pengkomersilan, memperkasa kualiti penerbitan, meningkatkan jaringan akademik serta menambah anugerah dan pingat penyelidikan.



Tahun lalu, katanya jumlah dana penyelidikan diraih UPSI berjumlah RM1.5 juta membabitkan 580 pensyarah aktif. Tahun ini jumlah dana disasar pada jumlah RM2 juta.



“Sepanjang tempoh 10 tahun lalu, penyelidik membelanjakan lebih RM8.5 juta untuk membiayai penyelidikan menerusi pembiayaan geran UPSI manakala dana luar pula mencecah RM6.7 juta.


“Jumlah keseluruhan geran penyelidikan tahun lalu termasuk geran universiti dan pembiayaan luar berjumlah 168 penyelidikan berbanding tahun sebelumnya iaitu 88,” katanya.













Teruskan membaca..

Monday, February 20, 2012

CUEPACS mahu tarikh kuat kuasa SBPA kekal 1 Januari



CUEPACS


mahu tarikh kuat kuasa


SBPA kekal 1 Januari



PUTRAJAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu tarikh kuat kuasa Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dikekalkan pada 1 Januari lalu dan tunggakan gaji dibayar kepada semua penjawat awam dari tarikh itu.







Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata permintaan itu adalah wajar kerana kerajaan sebelum ini menetapkan tarikh kuat kuasa SBPA bermula 1 Januari tetapi pelaksanaan sahaja ditangguhkan berikutan semakan semula beberapa perkara dalam skim baru itu.
"Jadi permintaan CUEPACS ialah supaya tarikh kuat kuasa SBPA pada 1 Januari itu dikekalkan. Itu yang kita mahu.





"Ia juga adalah satu perbincangan sewaktu saya bertemu dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) tempoh hari. Jadi kekalkan tarikh kuat kuasa itu, tangguh pelaksanaan, semak semula dan sehingga dapat penyelesaian dalam tempoh tiga bulan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.






Beliau yakin lima tuntutan CUEPACS dapat diterima selepas pembentangan kertas cadangannya kepada pasukan petugas khas semakan semula SBPA pada mesyuarat ketiganya yang dijadualkan Rabu ini.






Lima tuntutan CUEPACS itu ialah mengkaji semula prinsip pemindahan gaji penjawat Gred 54 ke bawah; mengekalkan status kekananan penjawat dalam Skim Saraan Malaysia (SSM); mengkaji semula tangga gaji maksimum; menyenaraikan penjawat yang layak memperoleh kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus dan menyemak semula penstrukturan kenaikan gaji bagi semua gred.






Omar berkata, satu perhimpunan besar membabitkan penjawat awam dari semua gred akan diadakan pada akhir bulan depan bagi memberi penerangan secara terperinci mengenai intipati SBPA.





Terdahulu, beliau bersama anggota Kelab UMNO Pesara (Kumpulan Pelaksana) kerajaan Malaysia (KUPEKMAS) mengunjungi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, di bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana di sini. - BERNAMA










Sumber












Teruskan membaca..

Sunday, February 19, 2012

Sel garam ganti bateri



Sel garam ganti bateri


Pemenang pingat emas Pameran Rekacipta Remaja Antarabangsa (IYIE) 2012 di Tainan, Taiwan,
Mohamad Nazmi Muhamad Norrizal, Muhammad Dhiyauddin Asyraf Abd. Jalal dan Mohd. Syafiq Abd Aziz
bergambar dengan Haslina Jaafar (tiga dari kiri), Wan Rohila Wan Hassan (tujuh dari kiri)
dan guru-guru MRSM Terendak, Melaka yang banyak memberikan sokongan dan galakan.












SEGALANYA bermula semasa cuti persekolahan tahun lepas, ketika sekumpulan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Terendak, Melaka cuba menggunakan konsep sel voltaik yang dipelajari dalam kelas Kimia semasa Tingkatan Empat.






Dengan bimbingan guru Biologi, Wan Rohila Wan Hassan, pelajar Tingkatan Lima iaitu Mohd. Syafiq Abd. Aziz, Muhammad Dhiyauddin Asyraf Abd. Jalal dan Mohamad Nazmi Muhamad Norrizal berjaya menghasilkan sel garam menggantikan bateri kering.






Ramai yang bertanya mengapa perlu menggantikan bateri kering dengan sel garam?







Selama ini banyak barangan kecil seperti lampu picit, lampu hiasan dan juga jam dinding menggunakan bateri kering. Tetapi tidak ramai yang tahu kaedah melupuskan bateri dengan baik selepas peranti itu tidak lagi mampu mengalirkan kuasa.





Ramai yang tidak membuang bateri dengan betuk selepas digunakan dan hanya melontarkan ke dalam tong sampah. Pembuangan bateri yang tidak betul menyebabkan pencemaran toksik plumbum tersebar secara meluas.







Jika plumbum memasuki tubuh, ia akan menyingkir logam-logam lain yang berguna di dalam tubuh manusia lalu menyebabkan kesan buruk.






Bertitik-tolak daripada kesedaran itu, selain teruja dengan dasar kerajaan ke arah teknologi hijau mendorong tiga remaja pintar ini menghasilkan produk 'Sel Garam: Sumber Tenaga Alternatif.






Produk berkenaan berjaya memikat hati juri sehingga membolehkan mereka membawa pulang pingat emas semasa Pameran Rekacipta Remaja Antarabangsa (IYIE) 2012 di Tainan, Taiwan dari 11 hingga 13 Februari lalu.






Tapi bolehkah garam menghasilkan tenaga yang sama seperti bateri?






Menurut Dhiyauddin Asyraf, sel garam mampu menggantikan bateri kerana boleh menghasilkan voltan.







"Malah garam boleh menghasilkan voltan lebih tinggi berbanding bateri biasa dan beroperasi lebih lama," katanya semasa ditemui di sekolahnya baru-baru ini.






Mohd. Syafiq pula berkata, bateri sel garam dapat mengurangkan pencemaran yang terhasil daripada bateri sekali gus menjaga alam sekitar.






"Sel garam hanya menggunakan kepingan logam kuprum dan magnesium dalam proses elektrolisis dan garam sebagai elektrolit, arus elektrik dapat dihasilkan," katanya.





Penggunaan sel garam amat mudah kerana hanya memerlukan air garam dengan kepekatan tertentu yang disambungkan kepada dua kepingan logam.






Larutan garam tadi diletakkan di dalam bekas yang dibahagikan kepada empat bahagian yang direka khas dengan kerjasama Universiti Teknikal Malaysia (UTeM), Melaka.





"Bekas berkenaan diperbuat daripada bahan ABS tetapi sebenarnya ia boleh menggunakan apa saja jenis bahan kecuali logam," katanya.






Cara menggunakan sel garam kata Mohamad Nazmi amat mudah.






"Hanya bancuh garam dengan kepekatan yang ditentukan, sediakan satu kepingan logam magnesium dan kuprum.






"Dalam satu bahagian, letakkan dua kepingan logam yang mewakili satu sel bateri kemudian sambung kepada wayar dan lampu hiasan LED sudah menyala," katanya.






Lampu yang menggunakan sel garam boleh digunakan selama dua hari jika dipasang dengan berterusan.






Menurut Mohamad Nazmi, ramai yang berminat dengan produk sel garam yang dipamerkan kerana garam yang digunakan boleh dibancuh sendiri oleh pengguna.






Selain garam, pengguna hanya perlu menggantikan kepingan magnesium selepas tujuh kali penggunaan.






"Kos bagi satu sel garam ini amat murah hanya RM6.60 selain mesra alam dan mengurangkan pencemaran akibat pembuangan bateri yang tidak betul," katanya.






Mengulas kejayaan yang dikecapi di Taiwan, Muhammad Dhiyauddin berkata, semasa di sana banyak syarikat yang berminat dengan inovasi mereka.






"Sel garam adalah satu prototaip dan masih boleh diperbaiki untuk kegunaan peralatan elektrik lain yang mudah alih," katanya.






Sementara itu Timbalan Pengetua Hal Ehwal Akademik MRSM Terendak, Melaka, Hazlina Jaafar berkata, pihaknya amat berbangga dengan kejayaan pelajarnya mengharumkan nama sekolah berkenaan sejak 29 tahun penubuhannya.






"Kami berharap kejayaan ini dapat membuka jalan kepada pelajar lain untuk mencipta lebih banyak kejayaan pada masa hadapan," katanya.








Sumber















Teruskan membaca..

Friday, February 17, 2012

Al-Quran dedah tembelang Yahudi hancurkan Islam





Al-Quran dedah


tembelang Yahudi


hancurkan Islam



Oleh Amran Zakaria





SAIDINA Ali Abi Talib pernah menzahirkan kata-kata
tersimpan maksud yang amat mendalam melalui pengucapannya
iaitu ‘orang yang berakal itu ialah orang yang mahu mengambil iktibar
dan pengajaran daripada kisah pengalaman orang lain’.









Sebenarnya, kisah kaum bani Israel
banyak dirakamkan dalam al-Quran bertujuan
mendedahkan tembelang mereka dalam isu
keagamaan dan kemanusiaan sejagat.
Usah ada daripada kita yang cuba menutup sebelah mata
kononnya bersedia mengiktiraf mereka di sebalik matlamat
untuk mendapatkan sokongan moral golongan yang telah
hilang perasaan serta sifat kemanusiaan ini.
Perkataan Israel pada asalnya bererti
pilihan adalah satu sebutan khusus bagi Nabi Yaakub.
Oleh itu, bani Israel ialah susur galur keturunan Nabi Yaakub
tetapi sekarang mereka lebih dikenali dengan sebutan Zionis.









Allah SWT berfirman bermaksud:







“Sesungguhnya,

bani Israel ini adalah satu kaum

yang dimuliakan Allah SWT suatu ketika dulu.

Kebanyakan daripada keturunan bani Israel

atau kaum Yahudi, mempunyai kebijaksanaan

dan kelebihan yang tidak diberikan terhadap kaum lain.”



(Surah Al-Baqarah, ayat 85)









Sebagai bangsa pilihan,
mereka dilimpahi nikmat Allah yang tidak diberikan kepada bangsa lain.
Antara nikmat itu ialah diutuskan ramai nabi dan rasul yang berasal
di kalangan mereka, selain diselamatkan daripada kezaliman
Firaun dan bala tenteranya.







Allah SWT berfirman bermaksud:






“Wahai bani Israel!

Kenangkanlah kamu akan segala nikmat

yang-Ku berikan kepadamu, dan sempurnakanlah perjanjian (kamu)

dengan-Ku supaya Aku sempurna perjanjian-Ku dengan kamu;

dan kepada Akulah saja hendaklah kamu merasa gerun takut,

(bukan kepada sesuatu yang lain).”



(Surah al-Baqarah, ayat 40)








Walaupun Allah SWT melimpahkan pelbagai nikmat kehidupan,
mereka berubah menjadi bangsa lupa diri, sombong, takbur,
mempermainkan ayat Allah dan ajaran agama,
bahkan tergamak membunuh pendakwah serta nabi
mereka sendiri yang sentiasa menyeru ke arah kebaikan
dan kesejahteraan hidup.







Al-Quran mendedahkan kejahatan mereka

yang langsung tiada sifat manusia.

Dalam diri mereka ini tersemat beraneka kejahatan

yang tersembunyi dalam hati mereka yang diterjemahkan

dengan sifat serta perlakuan jahat.







Dalam satu kisah sahabat,
pada suatu hari Abu Ubaidah al-Jarrah bertanya
kepada Rasulullah SAW:






“Wahai Rasulullah,

siapakah manusia paling dahsyat azabnya pada hari kiamat?

Baginda menjawab:

Seseorang yang membunuh nabi atau orang

yang melaksanakan amar makruf nahi mungkar.”







Kemudian Baginda membaca ayat al-Quran bermaksud:






“Sesungguhnya orang yang kufur ingkar

ayat keterangan Allah dan membunuh Nabi dengan jalan tidak benar,

serta membunuh orang yang menyeru manusia berbuat adil,

maka sampaikanlah berita kepada mereka dengan azab pedih.”



(Surah al-Imran, ayat 21)








Baginda meneruskan ceritanya dengan bersabda:






“Wahai Abu Ubaidah,

ketahuilah bahawa bani Israel

sudah membunuh 43 nabi

pada sebelah pagi dalam satu masa.


Kemudian ada 170 orang Israel

yang mengajak mereka membunuh nabi berkenaan

yang menyeru kepada makruf dan mencegah mereka

daripada mungkar tapi mereka membunuhnya

pada sebelah petang.”




(Riwayat Abu Hatim dan Ibn Jarir).








Sejarah Islam juga mencatatkan kaum Yahudi
terkenal dengan sifat khianat dan mungkir janji.
Hampir semua perjanjian yang termeterai antara mereka
dengan Rasulullah SAW, dikhianati.








Tidak menghairankan seandainya rejim Yahudi di Israel kini
kekal mempamerkan sifat yang menjadi darah daging mereka
iaitu mengulangi perbuatan khianat dan mungkir janji
seperti dilakukan nenek moyang mereka dulu.








Mereka bukan saja mengkhianati seluruh isi perjanjian damai
dengan bangsa Palestin, malah dengan angkuh dan sombong
tidak bersedia untuk tunduk kepada resolusi diputuskan
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)
berkaitan isu perdamaian Asia Barat.







Kisah pengkhianatan kaum Yahudi dulu dan sekarang
sekali gus membuktikan kebenaran al-Quran
yang mendedahkan tembelang dan sikap kaum Yahudi
sebenarnya terhadap isu keagamaan,
kemanusiaan dan keamanan sejagat.










Mereka ialah golongan yang tidak boleh dipercayai sama sekali.
Justeru, tidak perlu lagi diusahakan sebarang rundingan
ataupun perjanjian damai, apatah lagi diadakan hubungan diplomatik
serta perdagangan dengan mereka.









Bahkan, umat Islam di bumi Palestin yang dizalimi dan ditindas
oleh rejim Zionis itu wajib berjihad demi mempertahankan maruah,
harta benda, tanah air serta agama mereka.
Penjajahan haram Yahudi yang begitu laparkan tanah di bumi Palestin
bertindak melebar penguasaan mereka hasil daripada
‘dasar penaklukan yang menggila’ itu.






Kaum Yahudi sentiasa berusaha dengan pelbagai cara dan helah,
sama ada secara terang-terangan mahupun sulit agar kaum Muslimin
meninggalkan ajaran agama mereka dan kembali menjadi kufur.
Perilaku jahat kaum Yahudi berkenaan dirakamkan dalam al-Quran
untuk dijadikan pengajaran kepada umat Islam selepasnya.







Firman Allah bermaksud:







“Banyak di antara Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani)

suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu

menjadi kafir selepas kamu beriman kerana dengki

yang timbul dalam diri mereka sendiri,

sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad SAW).”



(Surah al-Baqarah, ayat 109).









Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...