Sahabat Maya :

Thursday, February 23, 2012

Sahkan naik pangkat sebelum laksana SBPA




Sahkan naik pangkat sebelum laksana SBPA






KGMMB dakwa ramai guru kanan tak pasti status




KESATUAN guru mendesak Kementerian Pelajaran mengesahkan terlebih dahulu mengenai kenaikan pangkat yang sudah dinilai mengikut Sistem Saraan Malaysia (SSM) sebelum menguatkuasakan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).





Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) mendakwa sejumlah jawatan kanan masih belum mendapat pengesahan kementerian walaupun penilaian, temu duga dan pembentangan sudah dilaksanakan pada Jun dan Julai tahun lalu.





Warga pendidikan kini serba salah kerana selepas menandatangani SBPA, syarat kenaikan pangkat berbeza berbanding SSM sedangkan mereka sudah dinilai mengikut SSM. - Abdullah Mamat, Pengerusi KGMMB.





Pengerusi KGMMB Cawangan Terengganu, Abdullah Mamat, berkata sebagai contoh beberapa penjawat Pengetua gred DG48 masih menunggu surat pengesahan kenaikan gred DG52, iaitu Pengetua Cemerlang.




“Apa yang berlaku guru, penolong kanan dan pengetua diberi notis singkat pada Disember lalu untuk menandatangani opsyen sebelum 28 Disember dan menerima SBPA.




“Warga pendidikan kini serba salah kerana selepas menandatangani SBPA, syarat kenaikan pangkat berbeza berbanding SSM sedangkan mereka sudah dinilai mengikut SSM,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur baru-baru ini.




Abdullah berkata, Kementerian Pelajaran harus mewujudkan tempoh peralihan yang memadai untuk menyelesaikan semua kenaikan pangkat atau pelantikan jawatan kanan sebelum menguatkuasa SBPA.




Sementara itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) percaya Bahagian Sumber Manusia , Kementerian Pelajaran akan menyelesaikan isu berkenaan secara adil kepada semua pihak.




Presidennya, Adnan Hashim, berkata sebarang perjanjian yang sudah ditandatangani warga pendidikan di bawah SSM akan terpakai walaupun mereka menerima opsyen SBPA.




Beliau berkata, isu penangguhan pelantikan ke jawatan lebih tinggi itu membabitkan segelintir pegawai kanan manakala sebahagian besar warga pendidikan terutama guru biasa menyambut baik SBPA.



“Skim baru ini menyediakan gaji lebih lumayan kepada guru sekolah rendah atau menengah dan saya percaya kebanyakan guru menyambut baik SBPA,” katanya.



Berdasarkan SBPA, guru bukan siswazah menerima kenaikan gaji sehingga 39 peratus, manakala guru siswazah menerima kenaikan 37.7 peratus.



Sebagai contoh, gaji maksimum guru bukan siswazah gred DGA34 dinaikkan daripada RM3,860 di bawah SSM kepada RM5,370 mengikut SBPA.



Bagi guru siswazah pula, gaji maksimum gred DG48, di bawah SSM ialah RM6,325 menjadi RM8,710 mengikut SBPA.












No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...