Photobucket

Sahabat Maya :

Sunday, July 4, 2010

Proses belajar melalui peperiksaan.



Proses belajar melalui peperiksaan


APABILA sesuatu keputusan ujian atau peperiksaan

yang dijalankan di peringkat sekolah itu

tidak mencapai tahap memuaskan,

maka kebiasaannya murid akan berkata

bahawa peperiksaan itu tidak penting

kerana ia bukannya peperiksaan akhir tahun

atau

peperiksaan sebenar.





Walau apa sahaja alasan yang diberikan,

latihan, ujian atau peperiksaan

bukan sahaja bertujuan untuk

melihat gred yang diperoleh,

tetapi merupakan proses belajar

(learning process) untuk mengenal pasti

tahap pencapaian mengikut

kebolehan masing-masing.

Dalam hal ini,

setiap kesilapan yang dilakukan

perlu dikaji di manakah kelemahan

serta apakah bentuk usaha

yang perlu ditambah lagi.





Proses untuk mengenal pasti

kelemahan diri tidak akan dapat dilakukan

dengan berkesan jika seseorang murid

menganggapkan peperiksaan ini tidak penting

dan tidak membuat persiapan yang secukupnya

untuk peperiksaan tersebut.

Sesungguhnya

kita banyak mendapat ilmu dan bimbingan

melalui kesilapan yang dilakukan sebelum itu.

Setiap kesilapan yang dilakukan

mampu memberi kita panduan,

mengelakkan kita mengulangi kesilapan tersebut

serta memberi satu ilmu baru

dalam membuat persiapan diri

menghadapi peperiksaan.





Sebenarnya

tidak ada istilah peperiksaan sebenar

atau peperiksaan olok-olok.

Setiap peperiksaan menguji kita

sejauhmana persediaan yang dilakukan

ke arah mencapai kehendak piawaian

yang ditetapkan.

Selain dari itu

peperiksaan juga memberi ruang

dan peluang kepada murid-murid

manfaatkan beberapa

perkara seperti berikut:






• Pergerakan minda:

Minda harus digerakkan agar

apa yang dipelajari dapat dimasukkan

ke dalam memori jangka panjang

yang membolehkan murid-murid

mengingati pelajaran tersebut

dalam jangka masa yang panjang.

Apabila terdapatnya latihan,

ujian atau peperiksaan,

maka murid-murid

dengan secara tidak langsung

akan bersedia membuat ulang kaji

lantas menggerakkan

minda kita.






• Motivasi diri:

Melalui keputusan yang diterima,

ia mampu memberi satu bentuk kepuasan diri.

Malah kepuasan ini

akan meningkatkan lagi

aras motivasi diri

dalam proses

mengulang kaji pelajaran.






• Peringatan diri:

Jika keputusan peperiksaan tersebut

tidak mencapai tahap cemerlang

maka ia seolah-oleh memberi satu isyarat

dan peringatan kepada murid-murid

agar usaha perlu digandakan lagi.

Andai kata

murid-murid hanya menganggapkan

hanya peperiksaan sebenar itu sahaja

yang penting,

maka tidak berlakulah

proses motivasi diri

atau peringatan diri

yang memberi ruang

untuk bertindak membaikinya

di peringkat awal.

Jika keputusan tidak memuaskan

ia akan berakhir

dengan penyesalan.






Justeru,

setiap ujian atau peperiksaan itu

penting dan perlulah diberi perhatian

yang sepenuhnya.

Peperiksaan bukan sahaja

bertujuan untuk melihat prestasi

dalam bentuk skor

pada gred tetapi merupakan

satu proses belajar

yang bertujuan untuk membuat

penambahbaikan pada

diri sendiri.



Sumber : http://www.tutor.com.my/tutor/dunia.asp?y=2010&dt=0625&pub=DuniaPendidikan&sec=Motivasi&pg=mo_01.htm
Teruskan membaca..

Saturday, July 3, 2010

Berfikir Kerana Allah



Berfikir Kerana Allah


Maksud kerana Allah ialah ikhlas.
Ikhlas memberikan sandaran terhadap reda Allah.
Berfikir adalah aktiviti akal untuk sesuatu maksud.






Berfikir kerana Allah
adalah menggunakan
kekuatan akal dan daya taakulan
untuk berfikir ke arah sesuatu yang Allah reda.
Menggunakan akal untuk melihat
tanda-tanda kebesaran Allah kemudian
melakukan kajian dan penyelidikan
berasaskan jiwa tadabbur yang tinggi
menyebabkan hasil pemikiran membimbing
kedekatan manusia dengan
Penciptanya.






Menggunakan kekuatan akal
untuk menyuburkan maklumat yang dipandu
oleh asas-asas yang benar tentunya
bakal membimbing manusia
suka dan cintakan kebenaran.
Menggunakan akal bagi membuat
sesuatu pertimbangan yang menuntut
keadilan dengan merujuk faktor pemikiran
dan faktor syarak ia bakal mempedoman manusia
ke arah natijah yang baik.







Oleh itu
maksud berfikir kerana Allah
adalah menghubungkan proses dan natijah pemikiran
selari dengan pedoman dan petunjuk Allah.
Akal saja tidaklah segala-gala.
Akal yang dipandu oleh hikmah
yang terungkap dalam al-Quran
memberikan sumber
yang memandu manusia berfikir.
Daripadanya lahir kegiatan berfikir
tidak semata-mata kerana berfikir
tetapi berfikir
yang selari dengan petunjuk Allah,
tidak bercanggah dengan
syarak dan mendapat reda-Nya.






Menjadi suatu tuntutan
kepada para remaja untuk membina
tradisi berfikir kerana Allah
dan berhikmah kepada manusia.
Ia bermakna
para remaja harus ada asas-asas
ilmu Islam yang baik.
Ilmu ini akan memandu remaja
dalam proses berfikir.






Ilmu Islam
memberi remaja suluh supaya
aktiviti akal tidak hanya berkembang
begitu saja tanpa arah dan matlamat
tetapi dipandu oleh sumber
hikmah atau al-Quran
supaya matlamat berfikir bakal
memberi manfaat kepada yang lain.






Ramai remaja
kini amat terpengaruh dengan
pemikiran semasa yang bercorak popular.
Tidak pula salah bagi remaja
mengetahui asas-asas ilmu
daripada sumber Barat dan Timur
untuk maksud berbanding.
Tetapi sebagai remaja Islam
keupayaan berfikir yang dipandu
oleh sumber hikmah atau wahyu
menjadi terlalu penting
supaya pemikiran berkembang dan subur
atas maksud kebaikan dan manfaat.
Inilah asas berfikir kerana Allah
yang amat diperlukan
oleh para remaja.






Remaja tentunya
selalu berfikir tentang hiburan, cinta,
makna kebahagiaan, kejayaan dan kecemerlangan,
sahabat dan persaudaraan.
Berfikir ke arah itu adalah sesuatu yang fitrah.
Tetapi sebagai remaja Islam
apakah sandaran berfikir tentang hiburan
yang dikaitkan dengan reda Allah
sekiranya hiburan difikir dan difahamkan
sebagai alat mengisi kekosongan
hati dan keceriaan diri secara nafsu-nafsi,
menyubur keinginan yang menyebabkan
hilang malu dan jati diri,
pengagum kepada hiburan popular Barat
hingga menjadikan remaja tidak berfikir
ke arah memperkasakan
budaya sendiri.






Remaja tentunya berfikir tentang cinta.
Berfikir tentang cinta seadanya
boleh menjerumuskan remaja
ke arah cinta kenafsian dan haiwani.
Remaja akan mudah terpengaruh
dengan pemikiran cinta dangkal
yang hanya sekadar ingin merasai
kelazatan emosi yang sifatnya nafsu-nafsi
lalu melampiaskan lafaz dan hajat
yang mengheret remaja ke arah kerosakan.







Berfikir tentang cinta kerana Allah,
membimbing remaja ke arah
meletakkan Allah sebagai sumber
yang tertinggi di mana puncak cinta
kepada Allah membawa remaja
kepada asas ketaatan dan kepatuhan
kepada pedoman yang Allah berikan.
Dalam pergaulan,
Allah memberikan sempadan dan batasan
kepada yang bukan mahram.
Allah memberikan landasan syarak
supaya cinta yang fitrah
tersalur dengan jalan yang terarah.
Mematuhi asas yang telah
dipedomankan oleh Allah
membawa kepada asas redanya.
Dan percintaan
yang terjalin atas reda Allah
bakal membawa berkat
terhadap kehidupan itu sendiri.







Begitu juga pemikiran
ke arah kebahagiaan
yang berasaskan nilai-nilai Rabbani
membimbing remaja memahami
maksud bahagia
tidak saja dari sudut perasaan dan kenafsuan
tetapi bahagia dalam erti kata
yang sebenar dicapai dari sudut rohaniah
yang tinggi
melakukan kebaikan terhadap
diri dan orang lain
supaya asas kebahagiaan
menepati jalan yang
Allah reda.








*Kebahagiaan







Berbahagiakah
hidup seorang remaja
yang melakukan sesuatu tanpa mengambil kira
reda Allah yang menyebabkan
perlanggaran terhadap hukum-hakamnya
dan akhirnya kebahagiaan hanya berbentuk kenafsian,
terhasil sesuatu yang sifatnya sementara
dan tidak membawa kepada kebahagiaan yang abadi.
Kebahagiaan yang abadi
menghubungkan remaja dengan Allah
iaitu patuh akan pedomannya
dan taat akan larangannya.







Oleh itu,
berfikir kerana Allah
memberikan remaja beberapa
pedoman yang penting.
Pertama,
harus ada asas keikhlasan
dalam membina jalan berfikir.
Kedua,
sandarkan berfikir kerana Allah
dan hikmahnya kembali semula
kepada remaja dan orang lain.
Ketiga,
pemikiran yang berasaskan
ilmu tentang Allah
supaya tanda-tanda kebesaran Allah
menjadikan remaja kerdil dan kecil di sisi-Nya.
Keempat,
menjadikan reda Allah
sebagai sumber kekuatan
dalam berfikir supaya apa yang difikir
oleh remaja sentiasa bersandarkan
keselariannya dengan batas syarak
yang dipedomankan oleh Allah.
Kelima,
harus ada rasa bersyukur
dalam proses berfikir remaja
kerana tanpa rasa syukur
remaja mudah lupa akan diri
dan
boleh membawa kepada
riak dan ujub.







Asas-asas di atas
amat perlu bagi remaja
dalam menjalankan kegiatan berfikir
supaya kekuatan akliah yang dipandu
oleh kekuatan nakliah
bakal menemukan titik keseimbangan
antara fitrah remaja dengan
Sunnatullah atau ketentuan Allah.
Allah mengatur alam ini
di atas titik keseimbangan.
Tanpanya
planet dan bintang-bintang
akan berlaga dan membawa kepada
bencana.







Fitrah remaja
mahukan kebaikan dan keindahan dalam hidup.
Ia hanya mampu dicapai
sekiranya sandaran kebaikan dan keindahan itu
terlihat pada faktor alam
yang menurunkan hujan,
faktor air yang menghidupkan ikan-ikan,
faktor bumi yang menghidupkan pohon-pohon,
faktor udara yang membolehkan remaja bernafas.
Itulah rahmat dan nikmat Allah
yang di luar kemampuan
manusia menciptakannya,
dilimpahkan kepada kita
untuk menikmatinya.
Ia membimbing remaja berfikir
betapa besarnya kuasa Allah
yang membimbing remaja
rukuk dan sujud
mengakui kebesaran-Nya
dan menjadikannya
sebagai sumber amanah
untuk
kesejahteraan diri dan orang lain.










*Prof. Dr. Sidek Baba ialah pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.






Bicara Agama --- Utusan Online -- 12 Ramadan 1427 -- 5 Oktober 2006







Teruskan membaca..

Berfikir Menjana Ilmu



Berfikir Menjana Ilmu



BERFIKIR ialah suatu aktiviti akliah dan rohaniah
yang berlaku pada seseorang akibat adanya
kecenderungan mengetahui dan mengalami.
Ia disusun dengan teratur supaya lahirnya
makna, fakta dan kefahaman.






Akal manusia berfungsi
untuk mengingat, berfikir dan menaakul.
Daripadanya kegiatan berfikir berlaku.







Manusia diberi daya kognitif
yang membolehkannya berfikir.
Manusia juga diberi daya efektif
yang membolehkan
emosi, perasaan dan kerja hati
berhubung dengan daya kognitif.
Daripadanya lahir pemikiran.
Pemikiran yang berkembang
boleh memberi asas
kepada lahirnya ilmu.






Pada diri manusia
terdapat sumber ilmu.
Persekitaran yang ada
pada diri manusia
terkandung ilmu.
Pohon-pohon yang subur,
haiwan pelbagai jenis, sumber-sumber hasil bumi
yang banyak terkandung ilmu.
Peristiwa yang berlaku,
perubahan yang terjadi,
rahmah dan nikmat yang banyak
terkandung ilmu.
Allah jadikan semuanya
adalah untuk manfaat manusia.
Ia mendorong manusia berfikir
kerana daripada aktiviti berfikir
manusia akan dapat
manfaat ilmu.






Ilmu
menyebabkan manusia tahu dan menerima
makna akan sesuatu.
Akhirnya dengan ilmu
manusia tahu nilai guna sesuatu
dan hikmah daripada
sesuatu kejadian.






Para remaja
perlu menyuburkan naluri ingin tahu
dengan cara berfikir.
Berfikir harus dipandu oleh
maklumat, fakta dan ilmu.
Sejarah pemikiran
bukanlah sesuatu yang baru.
Sejak Nabi Adam, manusia pertama,
proses berfikir sudah berlaku.
Sebab itu Allah ajarkan Nabi Adam
tentang nama-nama sesuatu
supaya dengan mengetahui
nama-nama tersebut menjadikannya
serba tahu dan ia amat bermakna
untuk memandu kehidupan.






Remaja
tidak tiba-tiba dewasa dan matang
dalam berfikir apalagi
mempunyai nilai yang betul
tentang sesuatu perkara.
Proses bertatih dalam berfikir
adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.
Naluri ingin tahu, ingin mencuba,
ingin mengkaji harus tumbuh
dalam hati remaja supaya sesuatu
yang dilihat dan diperhati
tidak hanya berlaku begitu saja
tetapi menyebabkan
aktiviti berfikir berlaku.
Dengan membaca, menonton,
berkomunikasi, melihat gelagat
dan masalah manusia yang silih berganti,
ia membolehkan
remaja berfikir.






Aktiviti berfikir
membolehkan remaja mendapat jawapan,
melakukan analisis dan ia memberikan asas
yang baik untuk remaja
mencari jalan keluar,
meneliti akar masalah dan akhirnya
mampu menghasilkan
sudut pandangan
terhadap sesuatu.









Ibnu Nafis, Ibnu Sina,
Al-Batani, Az-Zahrawi,
Newton, Einstein, Kepler, Plato, Aristotle
dan ramai lagi ahli ilmu,
ahli falsafah dan ahli fikir
memulakan aktiviti saintifiknya dengan berfikir.
Genius ini memiliki kekuatan berfikir yang luar biasa.
Bila melihat langit, bintang-bintang,
cakerawala yang beredar, hujan yang turun,
petir kilat sambar menyambar,
sakit dan kematian,
ia mendorong mereka berfikir.
Hasil daripada pemikiran
lahirlah tanggapan dan kesimpulan
terhadap sesuatu.
Daripadanya
ilmu subur dan hidup lebih bermakna.





Dalam tradisi orang Barat
sejak zaman Plato, Aristotle dan Socrates
membawa ke zaman Galileo,
Bruno sehinggalah ke zaman Descartes,
Kant, Derrida dan Michel Foucou
pada abad ini,
manusia tidak pernah berhenti berfikir.
Pemikiran mereka
berkembang berasaskan pemerhatian,
kajian, dapatan, renungan yang bersandar
kepada akal dan pengalaman.






Faktor agama, kitab dan kenabian
tidak dijadikan sandaran utama.
Akhirnya hipotesis dan teori
tentang sesuatu dibina atas
asas rasional dan saintifik
bukan berasaskan
autoriti wahyu atau pun agama.






Wahyu





Dalam tradisi Islam
akal itu adalah sesuatu yang penting.
Berfikir menerusi pemerhatian dan uji kaji
tidak pula ditolak.
Tetapi akal itu dipandu oleh
nilai dan ilmu yang jauh lebih tinggi
daripada apa yang diketahui oleh manusia.
Akal manusia dan pancaindera manusia
tidak mampu mencapai segala-gala.
Walaupun banyak kehebatan
dicetuskan oleh akal
namun keterbatasannya tidak menjadikan
manusia memiliki kudrat dan kuasa
terhadap alam dan kehidupan
ini secara mutlak.






Tradisi Islam
meletakkan sumber-sumber wahyu
sebagai hikmah dan pedoman
untuk manusia berfikir.
Sumber wahyu tidak saja
menyatakan perkara-perkara yang nyata
tetapi juga hal-hal yang ghaib.
Yang ghaib tetap wujud
walaupun sifatnya tidak maujud.
Keyakinan manusia kepada benda
yang nyata dan wujud semata-mata
belum melengkapi sifat dan hakikat
kejadian itu sendiri.
Roh manusia
adalah sesuatu yang wujud dan tidak maujud
dalam bentuk benda.






Namun,
manusia yang hidup
boleh berkata-kata dalam melakukan
pelbagai kegiatan dan ia adalah
gambaran adanya roh
pada tubuh badan manusia.
Sekiranya roh telah tiada,
sehebat mana pun akal manusia,
hati manusia dan ketangkasan
jasmani manusia,
ia akan kaku dan mati.
Roh ialah ciptaan Allah, bukannya manusia.
Yang diketahui oleh manusia
tentang roh amat sedikit.






Para remaja
harus melihat bahawa
berfikir adalah suatu fitrah.
Fitrah ini mesti dipandu oleh ilmu dan nilai.
Ilmu wahyu dan nilai agama
menjadikan proses berfikir lebih bermakna.
Proses berfikir
menjadikan remaja lebih berilmu,
menjadi tahu dan menerima makna
akan sesuatu dengan merujuk
kepada
kebesaran dan keperkasaan Allah.






Apabila sandaran berfikir
sifatnya kerana Allah,
hikmah berfikir akan memberi
rahmat kepada remaja.
Remaja akan dilatih
tidak saja berfikir secara zahir
tetapi faktor batini akan sentiasa
menjadi aspek penting dalam kehidupan.
Bila remaja melihat dan mengkaji sesuatu
dengan mata zahir,
ia juga harus menghubungkan
objek kajian dan pemerhatian
dengan mata hati dan mata batin.






Sekiranya remaja berasa kagum
dengan muzik popular Barat,
pemikiran yang ada tidak saja
untuk hiburan mengisi kehendak hawa nafsu
semata-mata tetapi tuntutan
batini dan hati yang berasaskan
asas rohaniah yang tinggi
mahukan hiburan yang tidak membawa
kepada lagha dan melalaikan.
Ia harus mampu mencetuskan
minda dan hati
dalam titik harmoni
yang mendorong manusia
mentertibkan hawa nafsu,
menyuburkan nilai-nilai adab dan apresiasi
dan menghasilkan keinsafan yang tinggi
terhadap kekuasaan Allah s.w.t..






Ilmu inilah
yang sebenarnya harus dijana
oleh remaja hasil berlakunya
proses fikir dan zikir yang membimbing
remaja supaya dekat kepada
Allah.









- PROF. DR. SIDEK BABA ialah pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).





Sumber: Bicara Agama --- Utusan Online -- 6 Ramadan 1427 --- 29 September 2006

Teruskan membaca..

Berfikir Dalam Zikir



Berfikir Dalam Zikir


BERFIKIR adalah suatu fitrah.
Allah memberi manusia akal
membolehkan manusia berfikir.
Allah mengurniakan manusia pancaindera
membolehkan manusia memandang, memerhati,
melihat, menyaksikan, mendengar, menghidu,
merasa dan menyentuh supaya darinya manusia
memperolehi maklumat, pengalaman dan juga tanggapan.





Darinya manusia berusaha
untuk melakukan kajian dan penelitian
supaya manusia dapat memahami apa yang ada
di sekitarnya dan apa yang diperlukan
dalam hidup ini.





Alam ini Allah jadikan seluas-luasnya
untuk mengajak manusia
berfikir dan mengetahui kebesaran-Nya.
Planet bumi
di mana manusia hidup dilimpahkan
rahmat dan nikmat yang amat banyak.
Setiap kejadian yang Allah ciptakan
terkandung hikmah yang amat
luar biasa sifatnya.





Apa yang mampu
dikaji dan diteliti dan
dinikmati oleh manusia masih sedikit.
Bayangkan alam yang terlalu luas
dengan rahsia yang belum diteroka
oleh manusia tentunya mengandungi hikmah
yang amat menakjubkan.
Allah memberikan kita al-Quran
supaya manusia mendapat
pertunjuk dan pedoman bagaimana
memahami benda yang nyata dan benda yang ghaib,
bagaimana manusia dapat berfikir tentang sesuatu
di sekitarnya dan menghubungkannya dengan Pencipta.
Inilah asas berfikir dalam zikir
bagi orang-orang yang beriman.






Para remaja
amat perlu membina tradisi berfikir
dalam zikir supaya asas berfikir yang sebenar
dapat dirasai dan dinikmati.
Berfikir secara akliah semata-mata
selalunya tersisih dengan hikmah mengenai sesuatu.
Ia hanya menghubungkan
pemikiran dengan asas yang
rasional dan logik
pada pertimbangan akal semata.
Sesuatu yang di luar batas akal
dianggap tidak rasional dan tidak logik
dan ia ditolak.





Keyakinan remaja
kepada kuasa Pencipta
sudah tentu tidak sama dengan
keupayaan manusia dengan
akal dan pancaindera yang terbatas.
Sekiranya akal manusia dan kemampuan berfikir
adalah segala-gala sudah tentu manusia
berupaya menyelesaikan banyak masalah
kehidupan yang kelihatan semakin parah
dan membimbangkan.





Apa daya manusia
menyelesaikan pelbagai jenis penyakit
yang datang silih berganti
kalau hanya bergantung dengan
akal semata-mata.
Apa daya manusia
mengatasi masalah kerosakan akhlak
kalau hanya bergantung
dengan pertimbangan akal semata.
Dan apakah daya manusia
mengatasi musibah banjir, gempa bumi,
ribut dan taufan kalau hanya
berpandu dengan
kajian dan penelitian sahaja.






Para remaja
yang menggunakan pendekatan
berfikir dalam zikir
tentunya mengetahui bahawa
tidak semua yang terdapat dalam alam ini
diketahui manusia dan tidak semua
yang berlaku dalam alam ini
di bawah
kudrat dan kawalan manusia.






Mengajak remaja berfikir dalam zikir
bermakna menghubungkan alam ini
dengan Pencipta dan menghubungkan
kejadian dan peristiwa
dengan kuasa Pencipta.






Berfikir dalam zikir
bagi remaja bermakna
bagaimana remaja sejak awal umur lagi
didedahkan dengan jalan berfikir
yang mengingati kebesaran Allah.
Memahami faktor ghaibiyyat
dalam hidup remaja
harus dihubungkan dengan
tanda-tanda kebesaran Allah
yang terdapat di mana-mana di muka bumi
apalagi di angkasa.






Al- Quran
memberi remaja
pedoman dan panduan
bagaimana memahami kebesaran
Allah dengan menyaksikan
tanda-tandanya.
Kejadian siang dan malam,
hujan dan panas yang berlaku silih-berganti,
kehidupan manusia dan faktor alamiah
yang berpasang-pasang,
diturunkan hujan menghidupkan
pohon-pohon dan haiwan
adalah tanda-tanda kebesaran-Nya
bagi remaja yang berfikir.





Manusia tidak mampu
menguruskan perjalanan kejadian tersebut
malah menerima saja apa yang berlaku
dengan urus tadbir yang terbatas.






Zikir





Berfikir dalam zikir
membimbing remaja untuk memahami
bahawa seluruh kejadian alam ini
adalah di bawah urus tadbir
Allah s.w.t.
Manusia yang diberi
amanah sebagai khalifah
perlu melakukan urus tadbir
mengikut pedoman yang Allah telah berikan
menerusi kalam-Nya al-Quran
supaya ia menjadi pertunjuk bagi manusia.
Mengingkari akan menyebabkan
kerosakan kepada
kehidupan dan muka bumi ini.






Berfikir dalam zikir
bagi remaja mampu mendekatkan remaja
kepada kebesaran Allah.
Berzikir dalam erti kata yang luas
bermaksud mengingati dan mengakui
kebesaran dan keagungan Allah.






Bila remaja melafazkan kalimah zikir
subahanallah atau Allahu Akbar,
ia tidak hanya terpancar
dengan kalimah dan dibenarkan atau ditasdikkan
dalam hati semata tetapi lafaz kalimah itu
memberi dorongan ilmu mengenai
rahsia kebesaran Allah dalam alam ini
yang perlu dikaji oleh remaja
supaya manfaatnya dapat
dirasai oleh manusia.






Sains dalam tradisi Barat
mengkaji sesuatu benda seadanya
dan mengkaji sesuatu fenomena seadanya.
Dalam tradisi berfikir dan zikir
mengkaji sesuatu benda tidak saja dikaji seadanya
tetapi dikaji hikmah di sebalik kejadiannya.
Apalagi bila mengkaji fenomena sesuatu kejadian
ia tidak hanya dikaji mengenai kejadian itu
tetapi berfikir dalam zikir
memberikan pedoman,
hikmah dan iktibar
di sebalik sesuatu kejadian supaya manusia
mendapat pengajaran dan pertunjuk
dari sesuatu benda dan kejadian.






Mengapa manusia
dilahirkan ke dunia kemudian dimatikan,
mengapa manusia yang sihat
kemudian jatuh sakit,
mengapa manusia yang zaman mudanya cerdik
dan sampai terlalu tua hilang ingatan,
mengapa manusia suatu ketika kaya
kemudian tiba-tiba jatuh miskin,
mengapa suatu ketika manusia berada di tempat
yang amat berkuasa
kemudian jatuh sebagai
manusia yang hina.






Mengapa manusia di suatu zaman
membina tamadun yang hebat
tetapi kini menjadi penciplak kepada tamadun orang lain,
adalah gambaran fenomena kejadian manusia
sejak dari dahulu sehingga kini.






Memahami fenomena ini
dalam fikir dan zikir
memberikan remaja iktibar
tentang kejadian dan kuasa Allah
yang seharusnya manusia
mengambil iktibar darinya.






Penyakit





Hal yang sama juga berlaku
terhadap pelbagai jenis penyakit
yang sedang menghinggapi manusia kini,
keadaan cuaca yang tidak menentu,
lapisan ozon yang semakin menipis,
sungai-sungai yang tercemar,
udara yang semakin kotor
adalah gambaran tentang ketidakseimbangan
yang berlaku dan sebahagiannya adalah
akibat perbuatan
tangan-tangan manusia.






Berfikir dalam zikir bagi remaja
membawa remaja ke arah dorongan
mengkaji dan menyelidik
tidak saja dalam batas benda yang nyata
tetapi harus memiliki pedoman dari
Pencipta tentang pedoman-pedoman mengurus
yang betul supaya wujud pemahaman
yang seimbang bahawa sesuatu itu
adalah kejadian dan milik Allah.






Manusia diberi amanah
untuk mengurusnya dengan baik dan betul.
Darinya lahir sifat amanah yang tinggi
dan terjadinya sesuatu ia ada hikmah
yang membimbing manusia berfikir
tentang upayanya yang terbatas
dan upaya Allah
yang tidak terbatas.






Berfikir dalam zikir
meningkatkan keyakinan dan keimanan remaja
tentang kekuasaan dan kebesaran Allah
kerana tidak ada sesuatu yang
terjadi dan diciptakan di alam ini
tanpa kuasa-Nya.






Ilmu yang ada pada remaja
hanya sedikit dan kalau yang sedikit itu
remaja tidak bersyukur dengan-Nya
malah sesetengah remaja
sombong dan takbur terhadap-Nya,
ia menyebabkan remaja
akan kehilangan pedoman ilmu
dan hikmah dan akhirnya
remaja akan merasakan
ia adalah segala-gala
dan ia bakal menjerumuskan remaja
ke arah kerosakan dan kebinasaan
peribadi dan pemikiran.





- PROF. DR. SIDEK BABA ialah pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).





Sumber: Bicara Agama-- Utusan Online --- 28 Syaaban 1427 -- 21 September 2006









Teruskan membaca..

Friday, July 2, 2010

Berfikir Proaktif




Berfikir Proaktif



BERFIKIR proaktif
ialah suatu kemahiran berfikir secara positif
yang melibatkan perancangan teliti dan rapi
supaya hasilnya menjadi.
Berfikir proaktif tidak saja respons
kepada sesuatu masalah yang dihadapi tetapi difikirkan
bagaimana sesuatu masalah itu dapat
dileraikan dan jalan keluarnya dicari.
Sesuatu masalah tidak hanya dilihat sebagai masalah,
ia dikaji dan diteliti sebab-musababnya,
dicari jalan keluarnya dan diberi alternatifnya.






Seorang remaja umpamanya,
mengalami masalah kenakalan,
merosakkan harta awam adalah
remaja yang bermasalah.
Berfikir proaktif membawa seseorang
mendekati remaja itu,
melakukan komunikasi dan nasihat,
mendengar masalah dan rintihannya,
menawarkan jalan keluar,
berkawan dengannya dan akhirnya remaja itu
mungkin kembali semula ke
jalan yang baik.






Seorang pelajar
yang bosan untuk belajar
kerana perpecahan dalam keluarga
didekati oleh rakan yang prihatin,
memberikannya galakan dan nasihat,
membantunya dalam kerja-kerja sekolah,
berkawan dengannya dan akhirnya pelajar itu
yakin semula tentang pentingnya ilmu dan pendidikan.






Seorang remaja lain
yang baru belajar menghisap rokok,
didampingi oleh sahabat baiknya
dengan nasihat yang berterusan
supaya menghentikan rokok
dengan menyatakan akibat buruk merokok
secara perlahan-lahan dapat diselamatkan
akibat terpengaruh dengan
rakan yang lain.






Semua perbuatan baik
yang dinyatakan di atas adalah
langkah proaktif yang dilakukan
supaya suatu keadaan yang mulanya tidak baik
bertukar menjadi baik semula.
Berfikir ke arah sesuatu yang positif,
pembaikan dan penyelesaian dikatakan
sebagai berfikir proaktif.






Dalam tradisi Islam,
berfikir proaktif adalah sesuatu yang amat digalakkan.
Rasulullah s.a.w. dalam usaha dakwah awalnya di Mekah,
mendekati bapa saudaranya Abu Talib
untuk menyatakan kebenaran terhadap Islam
sebagai agama tauhid.






Rasulullah tidak saja
melihat bapa saudaranya sebagai seseorang
yang mempunyai hubungan darah
tetapi yang lebih utama bagaimana
bapa saudaranya boleh kembali
menganut ajaran yang benar dan diredai
Allah.






Tugasnya sebagai daie atau pendakwah
adalah tanggungjawab yang utama,
Pemberi hidayah adalah kerja yang Maha Berkuasa.
Ikhtiar adalah usaha manusia,
membukakan hatinya untuk menerima Islam
adalah kerja Allah s.w.t.






Muaz bin Jabal
apabila ingin dihantar oleh Rasulullah
sebagai Gabenor ke Yaman
ditanya oleh baginda tentang bagaimana
urusan kenegaraan dapat
dilakukan dengan baik.






Muaz bin Jabal mengatakan bahawa
akan menggunakan al-Quran sebagai sumber utama.
Kalau tidak ada di dalam al-Quran,
ia akan menggunakan sunah Rasulullah s.a.w.
dan kalau tidak ada sunah Rasulullah,
ia akan mengggunakan ijtihad.
Rasulullah amat berpuas hati
dengan kenyataan Muaz itu.
Itulah pemikiran proaktif
yang dimiliki oleh seorang Gabenor
dalam mengurus negara Yaman.






Remaja Islam
harus memiliki upaya berfikir
secara proaktif yang tinggi.
Para remaja hari ini
sering berdepan dengan berbagai cabaran
sama ada yang berkaitan dengan cita-cita,
perasaan, tekanan hidup, keremajaan,
pergaulan apalagi percintaan.
Berfikir proaktif boleh membimbing remaja
supaya tidak hilang pedoman
apabila berdepan dengan
cabaran dan masalah,
bersikap positif terhadap sesuatu perkara
yang berlaku walaupun ia pedih dan pahit
dan sentiasa memikirkan jalan penyelesaian
kepada masalah.







Berfikir





Tanpa memiliki upaya berfikir yang proaktif,
para remaja boleh buntu dalam berdepan
dengan sesuatu masalah, hilang pedoman
bila menghadapi kebuntuan atau melakukan
sesuatu tanpa banyak pertimbangan hingga
menyebabkan keadaan menjadi lebih buruk.
Jalan keluar kepada sesuatu masalah
tidak ada dan akhirnya
kebinasaan yang ditempa.






Sebelum melakukan sesuatu
remaja harus terlebih dahulu
memikirkan buruk baiknya sesuatu.
Ada ketikanya
akibat dorongan naluri dan nafsu
remaja melakukan sesuatu
kerana ingin mencuba,
hasrat yang meluap-luap,
terpengaruh dengan rakan sebaya
atau
ingin melepaskan rasa kekecewaan dan
kehampaan terhadap sesuatu.






Akhirnya para remaja terjebak
dengan amalan salahguna dadah atau pergaulan
yang lepas bebas.
Akibatnya para remaja
hilang arah dan buntu mencari jalan kembali.
Bila ini berlaku
remaja merasa lazat dan seronok
yang sementara dan akhirnya timbul ketagihan
yang berkekalan dan akan membawa
akibat buruk terhadap
diri remaja.






Sebelum mengambil dadah
atau terjebak dalam pergaulan
yang lepas bebas,
remaja harus berfikir dulu
tentang baik-buruknya
perbuatan tersebut.






Banyak bukti dan banyak musibah
yang boleh disaksikan tentang
betapa bahayanya dadah dan pergaulan
yang lepas bebas.
Sebab itulah para remaja Islam
perlukan asas agama dan akhlak
supaya mereka memiliki benteng dan sempadan
memilih yang buruk atau pun yang baik.
Tanpa asas agama
dan
pertimbangan akhlak
para remaja mudah terjebak
dengan amalan salah laku.






Berfikir proaktif
harus dikaitkan dengan nilai syarak.
Maksud kepada peraturan syarak ialah
untuk menjaga agama, maruah, akal fikiran, harta
dan juga keturunan.






Sekiranya remaja kita
berfikir secara syarie iaitu
mematuhi hukum-hakam Allah,
ia berkait rapat dengan
maslahah atau kepentingan remaja sendiri.
Islam tidak menyekat
para remaja untuk bergaul.






Berfikir secara syarie dan proaktif
membawa remaja berfikir
bahawa ditahap remaja
yang nafsunya meluap-luap,
tanpa batasan pergaulan boleh
mendorong perkara-perkara
yang tidak baik.






Islam mengambil pendekatan
pencegahan lebih baik dari mengubati.
Sekiranya sesuatu telah terjadi,
selalunya payah untuk dihentikan atau diubati.
Nafsu-nafsi sudah menguasai diri
dan pertimbangan akal
tidak memberi makna apa-apa.
Yang dipentingkan ialah
kesedapan dan kelazatan
yang sementara.






Berfikir proaktif secara syarak
boleh membawa remaja berfikir
di sebalik batasan hukum dan halangan syarak
ada hikmah besar iaitu
bagi menjaga maslahah remaja
supaya tidak terjebak dengan
perangkap nafsu nafsi
yang kadang-kadang tidak mengenal
batasan akibat.






Remaja Islam
yang berfikir proaktif
sentiasa mengatur
jalan hidupnya
secara terancang.
Apabila bercita-cita tinggi
ia membangunkan cita-citanya
dengan usaha dan kesungguhan,
dengan perancangan dan persiapan
dan akhirnya cita-cita itu
dapat dipenuhi.







Cabaran






Apabila berdepan dengan cabaran,
ia tidak mudah putus asa.
Dicarinya jalan bagaimana
cabaran dapat diatasi dan jalan cita-cita tetap dilalui.
Apabila bertemu kegagalan,
ia tidak putus harap
sebaliknya terus berusaha
memperbaiki keadaan,
membina strategi bijaksana supaya
cita-cita tetap dipenuhi.







Remaja yang berfikir proaktif
akan sentiasa mempunyai
jalan keluar dalam hidup.
Ia tidak mudah buntu
dalam menghadapi kerenah hidup.
Ia tidak mudah putus asa
apabila menghadapi kegagalan.






Kerenah hidup baginya
adalah pengalaman yang berguna
dan kegagalan adalah ujian
yang perlu dilalui.
Sikap proaktif menjadikan remaja
tetap yakin bahawa dihujung terowong
akan ada cahaya yang menanti.







Dihujung setiap usaha akan ada hasilnya.
Dan dihujung cita-cita akan ada kejayaannya.
Tanpa berfikir proaktif
remaja akan tewas sebelum perjalanan
sampai dan remaja akan terjebak
dalam belitan hidup sehingga
tidak mampu melepaskan diri lagi.
Berfikir proaktiflah
yang boleh membantu remaja
memilih jalan yang
baik atau sebaliknya.






- PROF. DR. SIDEK BABA ialah pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak.







Sumber: Bicara Agama -- Utusan Online -- 10 Rejab 1427 --- 4 Ogos 2006



Teruskan membaca..

Thursday, July 1, 2010

Berfikir Reaktif


Berfikir Reaktif

REAKTIF bermaksud
tindak balas
terhadap
sesuatu yang berlaku.
Sesuatu yang berlaku
menyebabkan manusia
terusik
dan melakukan tindakbalas.
Tindak balas yang berlaku selalunya
bersifat spontan

tanpa pemikiran dan kajian
yang mendalam.
Sikap reaktif
selalunya berkait rapat
dengan
keadaan
emosi seseorang.









Sekiranya emosi seseorang tidak stabil,
tindak balas akan menjadikan
keadaan atau sesuatu itu tidak stabil.
Kalau emosinya resah dan kacau
jalan berfikirnya penuh dengan kekacauan.
Faktanya mungkin tidak lengkap.
Analisisnya tidak tepat.
Kesimpulan yang diambil juga
tidak membayangkan adanya pemikiran
yang mendalam
terhadap
sesuatu isu atau perkara.






Berfikir reaktif
boleh membawa kepada kegopohan.
Berfikir dalam suasana gopoh
boleh menyebabkan
kesilapan berlaku.
Orang yang berfikir reaktif
cepat membuat kesimpulan.
Kadang-kadang
mengambil pendekatan
menghukum
lebih daripada
pendekatan memahami
mengapa ia berlaku,
bagaimana mengatasinya dan
faktor-faktor apa
yang boleh
memberikan alternatif
terhadap
isu atau masalah yang berbangkit.






Berfikir reaktif
menjadikan sesuatu keputusan
yang dibuat
dalam keadaan
tidak masak atau separuh masak.
Ia kadang-kadang
membudaya pada diri seseorang.
Bila menghadapi sesuatu masalah,
mendepani sesuatu isu,
mengalami sesuatu kebuntuan,
ia tidak berfikir secara kritikal,
strategik ataupun kreatif
sebaliknya
melakukan sesuatu
berasaskan
apa yang terlintas
pada minda dan emosi
dan
kadang-kadang ledakan minda dan emosi

menyebabkan keadaan menjadi
lebih bercelaru.





Dalam tradisi Islam
kestabilan minda dan celik emosi
adalah asas
yang sangat penting
bagi seseorang manusia.

Cerdas akal saja tidak cukup.

Ia memerlukan kecelikan emosi
(emotionally literate)
untuk mengenal,
memahami,
membuat pertimbangan
yang terbaik
supaya penyelesaian
kepada masalah dan jawapan
terhadap isu berada di tahap yang terbaik.
Ajaran Islam memberitahu kita
sekiranya kita mendapat perkhabaran
daripada orang yang fasik,
sila periksa terlebih dahulu
sama ada
perkhabaran itu
benar atau salah.





Rasulullah s.a.w.
apabila menerima perintah Allah
untuk berpindah dari Mekah ke Madinah,
baginda tidak bersifat emosional atau reaktif.
Sebaliknya Rasulullah merancang
strategi bijaksana hingga akhirnya
baginda selamat sampai ke Madinah.






Para remaja pada tahap umur muda
berada dalam tahap kesuburan emosi
yang tinggi
dan idealisme yang hebat.
Kesuburan emosi yang tidak diimbangi
dengan ilmu dan pengalaman
boleh menyebabkan remaja
bersikap
reaktif dan kadang-kadang
melampaui batas.
Idealisme yang hebat
kadang-kadang menjadikan remaja
mendekati sesuatu isu secara hitam putih.
Lalu jalan mudah adalah
menghukum dan melakukan labelling
atau mengecap seseorang
dengan sesuatu yang jelik.
Kepuasan emosi yang sifatnya amarah
menjadi kepuasan baginya
tetapi
jelik bagi orang lain.






Tidak salah remaja
membina idealisme dalam hidupnya.

Hasil berfikir, membaca dan memerhati,
remaja tidak dapat mengelakkan diri
daripada bersikap ideal.
Jiwa berontak yang ada pada remaja
kadang-kadang menuntut jalan keluar
dan alternatif yang gopoh.
Tetapi idealisme yang ada pada remaja
harus diimbangi dengan keupayaan
memahami realiti.
Realiti adalah medan sebenar remaja
membaca masalah, mengkaji isu,
meneliti sebab-musabab dan memikirkan
jalan keluar
yang terbaik dan bijaksana.
Remaja tidak hanya bersikap reaktif
lalu keputusan yang dibuat
selalunya
bersikap melulu
dan membawa
akibat
yang sebaliknya.






Menjadikan idealisme
sebagai sumber memahami
faktor-faktor
dalam realiti
sebagai asas
memahami masalah,
ia membolehkan remaja bersikap
matang dan dewasa.
Kematangan dan kedewasaan di sini
merujuk kepada kekuatan ilmu,
analisis yang tepat dan keputusan
yang berwibawa.
Menjadikan realiti sebagai asas
tanpa didukung oleh idealisme,
ia boleh menyebabkan
keputusan kehilangan arah.





Ibarat bunga kiambang





Idealisme dan realiti
ibarat bunga kiambang
yang cantik
di permukaan tetapi akarnya
tidak terjunam pada lumpur.
Bila ditolak arus ia mungkin hanyut.
Pemikiran remaja yang reaktif juga
boleh berlaku sedemikian.
Idealisme yang tinggi tanpa pedoman
memahami realiti
boleh mendorong
para remaja
berfikir
emosional dan gopoh.






Para remaja harus menjadi
seorang yang idealis sekali gus realis,
baru pedoman terbaik dalam pemikiran
memandu remaja ke arah memahami realiti.
Hal yang sama juga perlu
dalam konteks seorang remaja

yang realis atau terpikat
dengan aliran realiti
yang harus juga
memiliki idealisme
yang baik
supaya ia memiliki
pedoman dan arah.





Para remaja
adalah tenaga
yang berpotensi
untuk membangun negara.
Salah satu cabaran
yang bakal dihadapi
oleh remaja
adalah
menghubungkan nilai-nilai baik
dengan realiti yang serba
bejat atau pincang.

Remaja tidak boleh mengelak diri
daripada menghadapi faktor hidup
dan kehidupan yang dinamik berubah.
Remaja juga adalah tenaga modal insan
yang amat berpotensi bagi menentukan
hala tuju pembangunan umat
yang lebih terarah.





Reflektif
terhadap kehebatan tamadun silam
semata-mata tidak memadai
untuk
membuat kesimpulan
mengapa umat Islam
hari ini
tidak menjadi hebat
seperti yang berlaku
pada masa yang lalu.
Kalau dulu boleh mengapa
hari ini tidak boleh?

Lalu, para remaja
cuba menggunakan berfikir reaktif
iaitu menghukum realiti hari ini
dengan mengambil contoh
masa silam.






Contoh masa silam
memenuhi prasyarat yang diperlukan
untuk membina tamadun.
Ketika puncak tamadun silam,
ulama dan umara’ (pemimpin)
melakukan sinergi atau kerjasama erat,
ilmuan meneroka dan membangunkan ilmu
yang sifatnya integratif,
tradisi pengkaryaan berkembang
dalam keadaan yang luar biasa
dan keterbukaan untuk belajar
daripada sumber-sumber tamadun
yang bermanfaat daripada orang lain.






Tetapi realiti hari ini
dalam dunia Islam tidak begitu.
Berfikir reaktif terhadap apa yang ada
dengan menghubungkan kekuatan silam
yang memenuhi prasyarat tamadun
menyebabkan kita mengambil
pendekatan
hitam putih dan ia tidak
membawa
kita ke mana-mana.






Para remaja
harus mempersiapkan diri dengan ilmu.
Ilmu Barat dan Timur
yang berkembang harus dipelajari.
Ada faedah berbanding
yang boleh diambil daripada
sumber-sumber tersebut.
Islam tidak mengambil
sikap anti-Barat
semata-mata
kerana mereka adalah Barat.
Umat Islam harus hati-hati
tentang proses pembaratan
yang sedang berjalan.
Berfikir reaktif
menyebabkan apa saja
yang berlaku di Barat
menjadi contoh kepada kita.
Ia meletakkan diri kita sebagai
umat pengguna
bukan umat penyumbang.
Berfikir reaktif di kalangan remaja
menjadikan ukuran Barat
sesuatu yang hebat.






Pakaian cara Barat
melambangkan kemajuan dan kemodenan.
Hiburan cara Barat
boleh menghilangkan
resah dan tekanan diri.
Malah terdapat remaja yang menganggap
Islam sebagai kolot, menyekat kemajuan
dan
tidak maju seperti Barat maju.
Untuk menjadi maju,
remaja mesti berfikiran liberal,
harus memerdekakan diri
dari belenggu agama supaya hidup
lepas bebas
menjadikan remaja maju.
Ini sikap reaktif melulu
yang menyebabkan remaja Islam
terus terjebak dengan perangkap pembaratan
dalam pelbagai
bentuk dan dimensi.






Tidak celik hati




Memberi reaksi

terhadap sesuatu perkara adalah baik.
Ramai di kalangan remaja pada hari ini
sudah mewarisi penyakit mati rasa
dan tidak celik hati.
Akalnya mungkin cerdas
tetapi hatinya tidak celik.
Ia menyebabkan sebahagian dari remaja
membina gaya hidup dengan mengikut arus,
dibelenggu oleh perkembangan fesyen,
memperagakan bakat dan kebolehan secara negatif
dan akhirnya
tidak menyumbang apa-apa
untuk pembangunan diri dan juga masyarakat.
Sebahagiannya menjadi
beban kepada negara.








Reaktif terhadap sesuatu
mestilah diikuti dengan pemahaman
yang baik terhadap punca,
sebab dan jalan mengatasinya.
Pendekatan sebegini boleh menjadikan
remaja tidak gopoh
dalam membuat sesuatu
keputusan atau kesimpulan.







Mereka juga sentiasa dipandu
oleh data dan fakta,
pemahaman yang baik antara
idealisme dan realiti,
memiliki pemikiran strategik dan reflektif
mendekati sesuatu masalah dan akhirnya
mempunyai perancangan yang rapi
dan teliti
bagaimana sesuatu isu
dapat ditangani
dengan bijaksana
dan sesuatu masalah
dapat diselesaikan
dengan baik.
Inilah asas pemikiran proaktif
yang patut dikembangkan
di kalangan remaja.









- PROF. DR. SIDEK BABA ialah pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak.




Sumber: Bicara Agama, Utusan Online -- 2 Rejab 1427 -- 27 Julai 2006
Teruskan membaca..

Adab Berbicara Dalam Islam


1. Hendaklah bercakap dengan nada
yang jelas tanpa rasa
keraguan dan tidak bercakap
dengan nada yang samar-samar.





2. Jika seseorang sedang makan,
maka janganlah bercakap tentang sesuatu
yang menjijikkan atau yang tidak disukainya.




3. Jangan bercakap mengenai hal orang lain,
mencaci dan membuat fitnah
(walaupun bercakap tentang
perkara buruk yang benar-benar sah
dilakukannya, ianya termasuk
di dalam kategori mengumpat).



4. Jangan memanggil seseorang
dengan panggilan nama yang
tidak menyenangkannya atau
yang boleh memalukannya.




5. Jangan bercakap tentang sesuatu
perkara yang anda sendiri masih kurang pasti
mengenai perkara tersebut.




6. Hendaklah bercakap secara berdepan
dengan bertentangan mata atau tidak bercakap
di belakang untuk mengelakkan timbulnya
keraguan dan salah faham.





7. Jika seseorang sedang bercakap
tentang sesuatu topik
atau topik tersebut belum habis
dibincangkan maka janganlah
mengutarakan topik baru
atau memintas
perbincangan tersebut.




8. Jangan meniru gaya percakapan
orang-orang jahil tentang agama




9. Jangan bercakap di depan orang
yang sedang sakit tentang sesuatu
yang mendukacitakan
sebaliknya ucaplah sesuatu
yang menggembirakannya.




10. Jangan memanggil orang yang lebih tua
daripada kita dengan panggilan
nama sebaik-baiknya panggillah
dengan nama yang
memuliakan mereka.





“Jika engkau berada di rumah orang,

hendaklah jaga matamu,

jika engkau berada di antara orang ramai

hendaklah jaga LIDAHMU

dan

jika engkau berada di dalam sesuatu majlis,

hendaklah jaga perangaimu.”




(Daripada: Ali bin Abi Talib R.A)

Teruskan membaca..

Wednesday, June 30, 2010

PERANGKAP TIKUS



Gambar lawak

Seekor tikus

mengintip di balik celah

di tembok untuk mengamati

sang petani dan isterinya,

saat membuka sebuah bungkusan.

Ada makanan fikirnya?

Tapi, dia terkejut sekali,

ternyata bungkusan itu berisi perangkap tikus.

Lari kembali ke ladang pertanian itu,

tikus itu menjerit memberi peringatan;



"Awas,

ada perangkap tikus di dalam rumah,

hati-hati,

ada perangkap tikus di dalam rumah!"




Sang ayam dengan tenang

berkokok dan sambil mengais-ngais tanah,

mengangkat kepalanya dan berkata,

"Ya maafkan aku Pak Tikus.

Aku tahu ini memang masalah besar bagi kamu,

tapi buat aku secara peribadi

tidak ada masalahnya.

Jadi jangan buat aku sakit kepalalah

mendengarkan pekikkanmu itu."




Tikus berbalik dan pergi

menuju sang kambing.

Katanya,

"Ada perangkap tikus di dalam rumah,

sebuah perangkap tikus di rumah!"




"Wah,

aku menyesal dengar perkhabaran ini,"

si kambing menghibur dengan penuh simpati,

"Tetapi tak ada sesuatu pun

yang bisa kulakukan kecuali berdoa.

Yakinlah,

kamu sentiasa ada dalam doa-doaku!"

kata si kambing dengan nada yang sinis.




Tikus kemudian berbelok menuju si lembu.

"Oh, sebuah perangkap tikus?

Jadi saya dalam bahaya besar ya?"

kata lembu itu sambil ketawa,

berleleran air liur.




Jadi tikus itu kembalilah ke rumah,

dengan kepala tertunduk

dan merasa begitu patah hati,

kesal dan sedih,

terpaksa menghadapi

perangkap tikus itu sendirian.

Ia merasa sungguh-sungguh sendiri.




Malam tiba,

dan terdengar suara bergema

di seluruh rumah,

seperti bunyi perangkap tikus

yang berjaya menangkap mangsa.

Isteri petani berlari

pergi melihat apa yang terperangkap.

Di dalam kegelapan itu

dia tak boleh melihat

bahawa yang terjebak itu

adalah seekor ular berbisa.

Ular itu sempat mematuk

tangan isteri petani itu.

Petani itu bergegas membawanya

ke rumah sakit.




Si isteri kembali ke rumah

dengan tubuh menggigil, demam.

Dan, sudah menjadi kebiasaan,

setiap orang sakit demam,

ubat pertama adalah memberikan sup ayam

segar yang hangat.

Petani itu pun mengasah pisaunya,

dan pergi ke kandang,

mencari ayam untuk bahan supnya.




Tapi, bisa itu sungguh jahat,

si isteri masih belum sembuh.

Banyak jiran dan tetangganya

yang datang mengunjunginya,

dan tamu pun tidak putus-putus

ke rumahnya.

Ia pun harus menyiapkan makanan,

dan terpaksa, kambing di kandang

dia dijadikan gulai.

Tapi, itu tak cukup untuk dihidangkan

kepada tetamu yang datang.

Si isteri mati,

dan beratus-ratus orang datang

untuk mengurus pemakaman, juga selamatan.

Tak ada cara lain,

lembu di kandang pun dijadikan habuan,

untuk ratusan pelawat.




Kawan,

apabila kita mendengar ada seseorang

yang menghadapi masalah

dan difikirkan itu tidak ada kaitannya dengan kamu,

ingatlah bahwa

apabila ada "perangkap tikus"

di dalam rumah,

seluruh "ladang pertanian" ikut menanggung risikonya.

Sikap mementingkan diri sendiri

lebih banyak keburukan dari baiknya.

Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...