Berfikir Dalam Zikir
BERFIKIR adalah suatu fitrah.
Allah memberi manusia akal
membolehkan manusia berfikir.
Allah mengurniakan manusia pancaindera
membolehkan manusia memandang, memerhati,
melihat, menyaksikan, mendengar, menghidu,
merasa dan menyentuh supaya darinya manusia
memperolehi maklumat, pengalaman dan juga tanggapan.
Darinya manusia berusaha
untuk melakukan kajian dan penelitian
supaya manusia dapat memahami apa yang ada
di sekitarnya dan apa yang diperlukan
dalam hidup ini.
Alam ini Allah jadikan seluas-luasnya
untuk mengajak manusia
berfikir dan mengetahui kebesaran-Nya.
Planet bumi
di mana manusia hidup dilimpahkan
rahmat dan nikmat yang amat banyak.
Setiap kejadian yang Allah ciptakan
terkandung hikmah yang amat
luar biasa sifatnya.
Apa yang mampu
dikaji dan diteliti dan
dinikmati oleh manusia masih sedikit.
Bayangkan alam yang terlalu luas
dengan rahsia yang belum diteroka
oleh manusia tentunya mengandungi hikmah
yang amat menakjubkan.
Allah memberikan kita al-Quran
supaya manusia mendapat
pertunjuk dan pedoman bagaimana
memahami benda yang nyata dan benda yang ghaib,
bagaimana manusia dapat berfikir tentang sesuatu
di sekitarnya dan menghubungkannya dengan Pencipta.
Inilah asas berfikir dalam zikir
bagi orang-orang yang beriman.
Para remaja
amat perlu membina tradisi berfikir
dalam zikir supaya asas berfikir yang sebenar
dapat dirasai dan dinikmati.
Berfikir secara akliah semata-mata
selalunya tersisih dengan hikmah mengenai sesuatu.
Ia hanya menghubungkan
pemikiran dengan asas yang
rasional dan logik
pada pertimbangan akal semata.
Sesuatu yang di luar batas akal
dianggap tidak rasional dan tidak logik
dan ia ditolak.
Keyakinan remaja
kepada kuasa Pencipta
sudah tentu tidak sama dengan
keupayaan manusia dengan
akal dan pancaindera yang terbatas.
Sekiranya akal manusia dan kemampuan berfikir
adalah segala-gala sudah tentu manusia
berupaya menyelesaikan banyak masalah
kehidupan yang kelihatan semakin parah
dan membimbangkan.
Apa daya manusia
menyelesaikan pelbagai jenis penyakit
yang datang silih berganti
kalau hanya bergantung dengan
akal semata-mata.
Apa daya manusia
mengatasi masalah kerosakan akhlak
kalau hanya bergantung
dengan pertimbangan akal semata.
Dan apakah daya manusia
mengatasi musibah banjir, gempa bumi,
ribut dan taufan kalau hanya
berpandu dengan
kajian dan penelitian sahaja.
Para remaja
yang menggunakan pendekatan
berfikir dalam zikir
tentunya mengetahui bahawa
tidak semua yang terdapat dalam alam ini
diketahui manusia dan tidak semua
yang berlaku dalam alam ini
di bawah
kudrat dan kawalan manusia.
Mengajak remaja berfikir dalam zikir
bermakna menghubungkan alam ini
dengan Pencipta dan menghubungkan
kejadian dan peristiwa
dengan kuasa Pencipta.
Berfikir dalam zikir
bagi remaja bermakna
bagaimana remaja sejak awal umur lagi
didedahkan dengan jalan berfikir
yang mengingati kebesaran Allah.
Memahami faktor ghaibiyyat
dalam hidup remaja
harus dihubungkan dengan
tanda-tanda kebesaran Allah
yang terdapat di mana-mana di muka bumi
apalagi di angkasa.
Al- Quran
memberi remaja
pedoman dan panduan
bagaimana memahami kebesaran
Allah dengan menyaksikan
tanda-tandanya.
Kejadian siang dan malam,
hujan dan panas yang berlaku silih-berganti,
kehidupan manusia dan faktor alamiah
yang berpasang-pasang,
diturunkan hujan menghidupkan
pohon-pohon dan haiwan
adalah tanda-tanda kebesaran-Nya
bagi remaja yang berfikir.
Manusia tidak mampu
menguruskan perjalanan kejadian tersebut
malah menerima saja apa yang berlaku
dengan urus tadbir yang terbatas.
Zikir
Berfikir dalam zikir
membimbing remaja untuk memahami
bahawa seluruh kejadian alam ini
adalah di bawah urus tadbir
Allah s.w.t.
Manusia yang diberi
amanah sebagai khalifah
perlu melakukan urus tadbir
mengikut pedoman yang Allah telah berikan
menerusi kalam-Nya al-Quran
supaya ia menjadi pertunjuk bagi manusia.
Mengingkari akan menyebabkan
kerosakan kepada
kehidupan dan muka bumi ini.
Berfikir dalam zikir
bagi remaja mampu mendekatkan remaja
kepada kebesaran Allah.
Berzikir dalam erti kata yang luas
bermaksud mengingati dan mengakui
kebesaran dan keagungan Allah.
Bila remaja melafazkan kalimah zikir
subahanallah atau Allahu Akbar,
ia tidak hanya terpancar
dengan kalimah dan dibenarkan atau ditasdikkan
dalam hati semata tetapi lafaz kalimah itu
memberi dorongan ilmu mengenai
rahsia kebesaran Allah dalam alam ini
yang perlu dikaji oleh remaja
supaya manfaatnya dapat
dirasai oleh manusia.
Sains dalam tradisi Barat
mengkaji sesuatu benda seadanya
dan mengkaji sesuatu fenomena seadanya.
Dalam tradisi berfikir dan zikir
mengkaji sesuatu benda tidak saja dikaji seadanya
tetapi dikaji hikmah di sebalik kejadiannya.
Apalagi bila mengkaji fenomena sesuatu kejadian
ia tidak hanya dikaji mengenai kejadian itu
tetapi berfikir dalam zikir
memberikan pedoman,
hikmah dan iktibar
di sebalik sesuatu kejadian supaya manusia
mendapat pengajaran dan pertunjuk
dari sesuatu benda dan kejadian.
Mengapa manusia
dilahirkan ke dunia kemudian dimatikan,
mengapa manusia yang sihat
kemudian jatuh sakit,
mengapa manusia yang zaman mudanya cerdik
dan sampai terlalu tua hilang ingatan,
mengapa manusia suatu ketika kaya
kemudian tiba-tiba jatuh miskin,
mengapa suatu ketika manusia berada di tempat
yang amat berkuasa
kemudian jatuh sebagai
manusia yang hina.
Mengapa manusia di suatu zaman
membina tamadun yang hebat
tetapi kini menjadi penciplak kepada tamadun orang lain,
adalah gambaran fenomena kejadian manusia
sejak dari dahulu sehingga kini.
Memahami fenomena ini
dalam fikir dan zikir
memberikan remaja iktibar
tentang kejadian dan kuasa Allah
yang seharusnya manusia
mengambil iktibar darinya.
Penyakit
Hal yang sama juga berlaku
terhadap pelbagai jenis penyakit
yang sedang menghinggapi manusia kini,
keadaan cuaca yang tidak menentu,
lapisan ozon yang semakin menipis,
sungai-sungai yang tercemar,
udara yang semakin kotor
adalah gambaran tentang ketidakseimbangan
yang berlaku dan sebahagiannya adalah
akibat perbuatan
tangan-tangan manusia.
Berfikir dalam zikir bagi remaja
membawa remaja ke arah dorongan
mengkaji dan menyelidik
tidak saja dalam batas benda yang nyata
tetapi harus memiliki pedoman dari
Pencipta tentang pedoman-pedoman mengurus
yang betul supaya wujud pemahaman
yang seimbang bahawa sesuatu itu
adalah kejadian dan milik Allah.
Manusia diberi amanah
untuk mengurusnya dengan baik dan betul.
Darinya lahir sifat amanah yang tinggi
dan terjadinya sesuatu ia ada hikmah
yang membimbing manusia berfikir
tentang upayanya yang terbatas
dan upaya Allah
yang tidak terbatas.
Berfikir dalam zikir
meningkatkan keyakinan dan keimanan remaja
tentang kekuasaan dan kebesaran Allah
kerana tidak ada sesuatu yang
terjadi dan diciptakan di alam ini
tanpa kuasa-Nya.
Ilmu yang ada pada remaja
hanya sedikit dan kalau yang sedikit itu
remaja tidak bersyukur dengan-Nya
malah sesetengah remaja
sombong dan takbur terhadap-Nya,
ia menyebabkan remaja
akan kehilangan pedoman ilmu
dan hikmah dan akhirnya
remaja akan merasakan
ia adalah segala-gala
dan ia bakal menjerumuskan remaja
ke arah kerosakan dan kebinasaan
peribadi dan pemikiran.
- PROF. DR. SIDEK BABA ialah pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Sumber: Bicara Agama-- Utusan Online --- 28 Syaaban 1427 -- 21 September 2006
No comments:
Post a Comment