Berfikir Proaktif
BERFIKIR proaktif
ialah suatu kemahiran berfikir secara positif
yang melibatkan perancangan teliti dan rapi
supaya hasilnya menjadi.
Berfikir proaktif tidak saja respons
kepada sesuatu masalah yang dihadapi tetapi difikirkan
bagaimana sesuatu masalah itu dapat
dileraikan dan jalan keluarnya dicari.
Sesuatu masalah tidak hanya dilihat sebagai masalah,
ia dikaji dan diteliti sebab-musababnya,
dicari jalan keluarnya dan diberi alternatifnya.
Seorang remaja umpamanya,
mengalami masalah kenakalan,
merosakkan harta awam adalah
remaja yang bermasalah.
Berfikir proaktif membawa seseorang
mendekati remaja itu,
melakukan komunikasi dan nasihat,
mendengar masalah dan rintihannya,
menawarkan jalan keluar,
berkawan dengannya dan akhirnya remaja itu
mungkin kembali semula ke
jalan yang baik.
Seorang pelajar
yang bosan untuk belajar
kerana perpecahan dalam keluarga
didekati oleh rakan yang prihatin,
memberikannya galakan dan nasihat,
membantunya dalam kerja-kerja sekolah,
berkawan dengannya dan akhirnya pelajar itu
yakin semula tentang pentingnya ilmu dan pendidikan.
Seorang remaja lain
yang baru belajar menghisap rokok,
didampingi oleh sahabat baiknya
dengan nasihat yang berterusan
supaya menghentikan rokok
dengan menyatakan akibat buruk merokok
secara perlahan-lahan dapat diselamatkan
akibat terpengaruh dengan
rakan yang lain.
Semua perbuatan baik
yang dinyatakan di atas adalah
langkah proaktif yang dilakukan
supaya suatu keadaan yang mulanya tidak baik
bertukar menjadi baik semula.
Berfikir ke arah sesuatu yang positif,
pembaikan dan penyelesaian dikatakan
sebagai berfikir proaktif.
Dalam tradisi Islam,
berfikir proaktif adalah sesuatu yang amat digalakkan.
Rasulullah s.a.w. dalam usaha dakwah awalnya di Mekah,
mendekati bapa saudaranya Abu Talib
untuk menyatakan kebenaran terhadap Islam
sebagai agama tauhid.
Rasulullah tidak saja
melihat bapa saudaranya sebagai seseorang
yang mempunyai hubungan darah
tetapi yang lebih utama bagaimana
bapa saudaranya boleh kembali
menganut ajaran yang benar dan diredai
Allah.
Tugasnya sebagai daie atau pendakwah
adalah tanggungjawab yang utama,
Pemberi hidayah adalah kerja yang Maha Berkuasa.
Ikhtiar adalah usaha manusia,
membukakan hatinya untuk menerima Islam
adalah kerja Allah s.w.t.
Muaz bin Jabal
apabila ingin dihantar oleh Rasulullah
sebagai Gabenor ke Yaman
ditanya oleh baginda tentang bagaimana
urusan kenegaraan dapat
dilakukan dengan baik.
Muaz bin Jabal mengatakan bahawa
akan menggunakan al-Quran sebagai sumber utama.
Kalau tidak ada di dalam al-Quran,
ia akan menggunakan sunah Rasulullah s.a.w.
dan kalau tidak ada sunah Rasulullah,
ia akan mengggunakan ijtihad.
Rasulullah amat berpuas hati
dengan kenyataan Muaz itu.
Itulah pemikiran proaktif
yang dimiliki oleh seorang Gabenor
dalam mengurus negara Yaman.
Remaja Islam
harus memiliki upaya berfikir
secara proaktif yang tinggi.
Para remaja hari ini
sering berdepan dengan berbagai cabaran
sama ada yang berkaitan dengan cita-cita,
perasaan, tekanan hidup, keremajaan,
pergaulan apalagi percintaan.
Berfikir proaktif boleh membimbing remaja
supaya tidak hilang pedoman
apabila berdepan dengan
cabaran dan masalah,
bersikap positif terhadap sesuatu perkara
yang berlaku walaupun ia pedih dan pahit
dan sentiasa memikirkan jalan penyelesaian
kepada masalah.
Berfikir
Tanpa memiliki upaya berfikir yang proaktif,
para remaja boleh buntu dalam berdepan
dengan sesuatu masalah, hilang pedoman
bila menghadapi kebuntuan atau melakukan
sesuatu tanpa banyak pertimbangan hingga
menyebabkan keadaan menjadi lebih buruk.
Jalan keluar kepada sesuatu masalah
tidak ada dan akhirnya
kebinasaan yang ditempa.
Sebelum melakukan sesuatu
remaja harus terlebih dahulu
memikirkan buruk baiknya sesuatu.
Ada ketikanya
akibat dorongan naluri dan nafsu
remaja melakukan sesuatu
kerana ingin mencuba,
hasrat yang meluap-luap,
terpengaruh dengan rakan sebaya
atau
ingin melepaskan rasa kekecewaan dan
kehampaan terhadap sesuatu.
Akhirnya para remaja terjebak
dengan amalan salahguna dadah atau pergaulan
yang lepas bebas.
Akibatnya para remaja
hilang arah dan buntu mencari jalan kembali.
Bila ini berlaku
remaja merasa lazat dan seronok
yang sementara dan akhirnya timbul ketagihan
yang berkekalan dan akan membawa
akibat buruk terhadap
diri remaja.
Sebelum mengambil dadah
atau terjebak dalam pergaulan
yang lepas bebas,
remaja harus berfikir dulu
tentang baik-buruknya
perbuatan tersebut.
Banyak bukti dan banyak musibah
yang boleh disaksikan tentang
betapa bahayanya dadah dan pergaulan
yang lepas bebas.
Sebab itulah para remaja Islam
perlukan asas agama dan akhlak
supaya mereka memiliki benteng dan sempadan
memilih yang buruk atau pun yang baik.
Tanpa asas agama
dan
pertimbangan akhlak
para remaja mudah terjebak
dengan amalan salah laku.
Berfikir proaktif
harus dikaitkan dengan nilai syarak.
Maksud kepada peraturan syarak ialah
untuk menjaga agama, maruah, akal fikiran, harta
dan juga keturunan.
Sekiranya remaja kita
berfikir secara syarie iaitu
mematuhi hukum-hakam Allah,
ia berkait rapat dengan
maslahah atau kepentingan remaja sendiri.
Islam tidak menyekat
para remaja untuk bergaul.
Berfikir secara syarie dan proaktif
membawa remaja berfikir
bahawa ditahap remaja
yang nafsunya meluap-luap,
tanpa batasan pergaulan boleh
mendorong perkara-perkara
yang tidak baik.
Islam mengambil pendekatan
pencegahan lebih baik dari mengubati.
Sekiranya sesuatu telah terjadi,
selalunya payah untuk dihentikan atau diubati.
Nafsu-nafsi sudah menguasai diri
dan pertimbangan akal
tidak memberi makna apa-apa.
Yang dipentingkan ialah
kesedapan dan kelazatan
yang sementara.
Berfikir proaktif secara syarak
boleh membawa remaja berfikir
di sebalik batasan hukum dan halangan syarak
ada hikmah besar iaitu
bagi menjaga maslahah remaja
supaya tidak terjebak dengan
perangkap nafsu nafsi
yang kadang-kadang tidak mengenal
batasan akibat.
Remaja Islam
yang berfikir proaktif
sentiasa mengatur
jalan hidupnya
secara terancang.
Apabila bercita-cita tinggi
ia membangunkan cita-citanya
dengan usaha dan kesungguhan,
dengan perancangan dan persiapan
dan akhirnya cita-cita itu
dapat dipenuhi.
Cabaran
Apabila berdepan dengan cabaran,
ia tidak mudah putus asa.
Dicarinya jalan bagaimana
cabaran dapat diatasi dan jalan cita-cita tetap dilalui.
Apabila bertemu kegagalan,
ia tidak putus harap
sebaliknya terus berusaha
memperbaiki keadaan,
membina strategi bijaksana supaya
cita-cita tetap dipenuhi.
Remaja yang berfikir proaktif
akan sentiasa mempunyai
jalan keluar dalam hidup.
Ia tidak mudah buntu
dalam menghadapi kerenah hidup.
Ia tidak mudah putus asa
apabila menghadapi kegagalan.
Kerenah hidup baginya
adalah pengalaman yang berguna
dan kegagalan adalah ujian
yang perlu dilalui.
Sikap proaktif menjadikan remaja
tetap yakin bahawa dihujung terowong
akan ada cahaya yang menanti.
Dihujung setiap usaha akan ada hasilnya.
Dan dihujung cita-cita akan ada kejayaannya.
Tanpa berfikir proaktif
remaja akan tewas sebelum perjalanan
sampai dan remaja akan terjebak
dalam belitan hidup sehingga
tidak mampu melepaskan diri lagi.
Berfikir proaktiflah
yang boleh membantu remaja
memilih jalan yang
baik atau sebaliknya.
- PROF. DR. SIDEK BABA ialah pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak.
Sumber: Bicara Agama -- Utusan Online -- 10 Rejab 1427 --- 4 Ogos 2006
No comments:
Post a Comment