Berfikir Menjana Ilmu
BERFIKIR ialah suatu aktiviti akliah dan rohaniah
yang berlaku pada seseorang akibat adanya
kecenderungan mengetahui dan mengalami.
Ia disusun dengan teratur supaya lahirnya
makna, fakta dan kefahaman.
Akal manusia berfungsi
untuk mengingat, berfikir dan menaakul.
Daripadanya kegiatan berfikir berlaku.
Manusia diberi daya kognitif
yang membolehkannya berfikir.
Manusia juga diberi daya efektif
yang membolehkan
emosi, perasaan dan kerja hati
berhubung dengan daya kognitif.
Daripadanya lahir pemikiran.
Pemikiran yang berkembang
boleh memberi asas
kepada lahirnya ilmu.
Pada diri manusia
terdapat sumber ilmu.
Persekitaran yang ada
pada diri manusia
terkandung ilmu.
Pohon-pohon yang subur,
haiwan pelbagai jenis, sumber-sumber hasil bumi
yang banyak terkandung ilmu.
Peristiwa yang berlaku,
perubahan yang terjadi,
rahmah dan nikmat yang banyak
terkandung ilmu.
Allah jadikan semuanya
adalah untuk manfaat manusia.
Ia mendorong manusia berfikir
kerana daripada aktiviti berfikir
manusia akan dapat
manfaat ilmu.
Ilmu
menyebabkan manusia tahu dan menerima
makna akan sesuatu.
Akhirnya dengan ilmu
manusia tahu nilai guna sesuatu
dan hikmah daripada
sesuatu kejadian.
Para remaja
perlu menyuburkan naluri ingin tahu
dengan cara berfikir.
Berfikir harus dipandu oleh
maklumat, fakta dan ilmu.
Sejarah pemikiran
bukanlah sesuatu yang baru.
Sejak Nabi Adam, manusia pertama,
proses berfikir sudah berlaku.
Sebab itu Allah ajarkan Nabi Adam
tentang nama-nama sesuatu
supaya dengan mengetahui
nama-nama tersebut menjadikannya
serba tahu dan ia amat bermakna
untuk memandu kehidupan.
Remaja
tidak tiba-tiba dewasa dan matang
dalam berfikir apalagi
mempunyai nilai yang betul
tentang sesuatu perkara.
Proses bertatih dalam berfikir
adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.
Naluri ingin tahu, ingin mencuba,
ingin mengkaji harus tumbuh
dalam hati remaja supaya sesuatu
yang dilihat dan diperhati
tidak hanya berlaku begitu saja
tetapi menyebabkan
aktiviti berfikir berlaku.
Dengan membaca, menonton,
berkomunikasi, melihat gelagat
dan masalah manusia yang silih berganti,
ia membolehkan
remaja berfikir.
Aktiviti berfikir
membolehkan remaja mendapat jawapan,
melakukan analisis dan ia memberikan asas
yang baik untuk remaja
mencari jalan keluar,
meneliti akar masalah dan akhirnya
mampu menghasilkan
sudut pandangan
terhadap sesuatu.
Ibnu Nafis, Ibnu Sina,
Al-Batani, Az-Zahrawi,
Newton, Einstein, Kepler, Plato, Aristotle
dan ramai lagi ahli ilmu,
ahli falsafah dan ahli fikir
memulakan aktiviti saintifiknya dengan berfikir.
Genius ini memiliki kekuatan berfikir yang luar biasa.
Bila melihat langit, bintang-bintang,
cakerawala yang beredar, hujan yang turun,
petir kilat sambar menyambar,
sakit dan kematian,
ia mendorong mereka berfikir.
Hasil daripada pemikiran
lahirlah tanggapan dan kesimpulan
terhadap sesuatu.
Daripadanya
ilmu subur dan hidup lebih bermakna.
Dalam tradisi orang Barat
sejak zaman Plato, Aristotle dan Socrates
membawa ke zaman Galileo,
Bruno sehinggalah ke zaman Descartes,
Kant, Derrida dan Michel Foucou
pada abad ini,
manusia tidak pernah berhenti berfikir.
Pemikiran mereka
berkembang berasaskan pemerhatian,
kajian, dapatan, renungan yang bersandar
kepada akal dan pengalaman.
Faktor agama, kitab dan kenabian
tidak dijadikan sandaran utama.
Akhirnya hipotesis dan teori
tentang sesuatu dibina atas
asas rasional dan saintifik
bukan berasaskan
autoriti wahyu atau pun agama.
Wahyu
Dalam tradisi Islam
akal itu adalah sesuatu yang penting.
Berfikir menerusi pemerhatian dan uji kaji
tidak pula ditolak.
Tetapi akal itu dipandu oleh
nilai dan ilmu yang jauh lebih tinggi
daripada apa yang diketahui oleh manusia.
Akal manusia dan pancaindera manusia
tidak mampu mencapai segala-gala.
Walaupun banyak kehebatan
dicetuskan oleh akal
namun keterbatasannya tidak menjadikan
manusia memiliki kudrat dan kuasa
terhadap alam dan kehidupan
ini secara mutlak.
Tradisi Islam
meletakkan sumber-sumber wahyu
sebagai hikmah dan pedoman
untuk manusia berfikir.
Sumber wahyu tidak saja
menyatakan perkara-perkara yang nyata
tetapi juga hal-hal yang ghaib.
Yang ghaib tetap wujud
walaupun sifatnya tidak maujud.
Keyakinan manusia kepada benda
yang nyata dan wujud semata-mata
belum melengkapi sifat dan hakikat
kejadian itu sendiri.
Roh manusia
adalah sesuatu yang wujud dan tidak maujud
dalam bentuk benda.
Namun,
manusia yang hidup
boleh berkata-kata dalam melakukan
pelbagai kegiatan dan ia adalah
gambaran adanya roh
pada tubuh badan manusia.
Sekiranya roh telah tiada,
sehebat mana pun akal manusia,
hati manusia dan ketangkasan
jasmani manusia,
ia akan kaku dan mati.
Roh ialah ciptaan Allah, bukannya manusia.
Yang diketahui oleh manusia
tentang roh amat sedikit.
Para remaja
harus melihat bahawa
berfikir adalah suatu fitrah.
Fitrah ini mesti dipandu oleh ilmu dan nilai.
Ilmu wahyu dan nilai agama
menjadikan proses berfikir lebih bermakna.
Proses berfikir
menjadikan remaja lebih berilmu,
menjadi tahu dan menerima makna
akan sesuatu dengan merujuk
kepada
kebesaran dan keperkasaan Allah.
Apabila sandaran berfikir
sifatnya kerana Allah,
hikmah berfikir akan memberi
rahmat kepada remaja.
Remaja akan dilatih
tidak saja berfikir secara zahir
tetapi faktor batini akan sentiasa
menjadi aspek penting dalam kehidupan.
Bila remaja melihat dan mengkaji sesuatu
dengan mata zahir,
ia juga harus menghubungkan
objek kajian dan pemerhatian
dengan mata hati dan mata batin.
Sekiranya remaja berasa kagum
dengan muzik popular Barat,
pemikiran yang ada tidak saja
untuk hiburan mengisi kehendak hawa nafsu
semata-mata tetapi tuntutan
batini dan hati yang berasaskan
asas rohaniah yang tinggi
mahukan hiburan yang tidak membawa
kepada lagha dan melalaikan.
Ia harus mampu mencetuskan
minda dan hati
dalam titik harmoni
yang mendorong manusia
mentertibkan hawa nafsu,
menyuburkan nilai-nilai adab dan apresiasi
dan menghasilkan keinsafan yang tinggi
terhadap kekuasaan Allah s.w.t..
Ilmu inilah
yang sebenarnya harus dijana
oleh remaja hasil berlakunya
proses fikir dan zikir yang membimbing
remaja supaya dekat kepada
Allah.
- PROF. DR. SIDEK BABA ialah pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Sumber: Bicara Agama --- Utusan Online -- 6 Ramadan 1427 --- 29 September 2006
No comments:
Post a Comment