Photobucket

Sahabat Maya :

Saturday, July 3, 2010

Berfikir Kerana Allah



Berfikir Kerana Allah


Maksud kerana Allah ialah ikhlas.
Ikhlas memberikan sandaran terhadap reda Allah.
Berfikir adalah aktiviti akal untuk sesuatu maksud.






Berfikir kerana Allah
adalah menggunakan
kekuatan akal dan daya taakulan
untuk berfikir ke arah sesuatu yang Allah reda.
Menggunakan akal untuk melihat
tanda-tanda kebesaran Allah kemudian
melakukan kajian dan penyelidikan
berasaskan jiwa tadabbur yang tinggi
menyebabkan hasil pemikiran membimbing
kedekatan manusia dengan
Penciptanya.






Menggunakan kekuatan akal
untuk menyuburkan maklumat yang dipandu
oleh asas-asas yang benar tentunya
bakal membimbing manusia
suka dan cintakan kebenaran.
Menggunakan akal bagi membuat
sesuatu pertimbangan yang menuntut
keadilan dengan merujuk faktor pemikiran
dan faktor syarak ia bakal mempedoman manusia
ke arah natijah yang baik.







Oleh itu
maksud berfikir kerana Allah
adalah menghubungkan proses dan natijah pemikiran
selari dengan pedoman dan petunjuk Allah.
Akal saja tidaklah segala-gala.
Akal yang dipandu oleh hikmah
yang terungkap dalam al-Quran
memberikan sumber
yang memandu manusia berfikir.
Daripadanya lahir kegiatan berfikir
tidak semata-mata kerana berfikir
tetapi berfikir
yang selari dengan petunjuk Allah,
tidak bercanggah dengan
syarak dan mendapat reda-Nya.






Menjadi suatu tuntutan
kepada para remaja untuk membina
tradisi berfikir kerana Allah
dan berhikmah kepada manusia.
Ia bermakna
para remaja harus ada asas-asas
ilmu Islam yang baik.
Ilmu ini akan memandu remaja
dalam proses berfikir.






Ilmu Islam
memberi remaja suluh supaya
aktiviti akal tidak hanya berkembang
begitu saja tanpa arah dan matlamat
tetapi dipandu oleh sumber
hikmah atau al-Quran
supaya matlamat berfikir bakal
memberi manfaat kepada yang lain.






Ramai remaja
kini amat terpengaruh dengan
pemikiran semasa yang bercorak popular.
Tidak pula salah bagi remaja
mengetahui asas-asas ilmu
daripada sumber Barat dan Timur
untuk maksud berbanding.
Tetapi sebagai remaja Islam
keupayaan berfikir yang dipandu
oleh sumber hikmah atau wahyu
menjadi terlalu penting
supaya pemikiran berkembang dan subur
atas maksud kebaikan dan manfaat.
Inilah asas berfikir kerana Allah
yang amat diperlukan
oleh para remaja.






Remaja tentunya
selalu berfikir tentang hiburan, cinta,
makna kebahagiaan, kejayaan dan kecemerlangan,
sahabat dan persaudaraan.
Berfikir ke arah itu adalah sesuatu yang fitrah.
Tetapi sebagai remaja Islam
apakah sandaran berfikir tentang hiburan
yang dikaitkan dengan reda Allah
sekiranya hiburan difikir dan difahamkan
sebagai alat mengisi kekosongan
hati dan keceriaan diri secara nafsu-nafsi,
menyubur keinginan yang menyebabkan
hilang malu dan jati diri,
pengagum kepada hiburan popular Barat
hingga menjadikan remaja tidak berfikir
ke arah memperkasakan
budaya sendiri.






Remaja tentunya berfikir tentang cinta.
Berfikir tentang cinta seadanya
boleh menjerumuskan remaja
ke arah cinta kenafsian dan haiwani.
Remaja akan mudah terpengaruh
dengan pemikiran cinta dangkal
yang hanya sekadar ingin merasai
kelazatan emosi yang sifatnya nafsu-nafsi
lalu melampiaskan lafaz dan hajat
yang mengheret remaja ke arah kerosakan.







Berfikir tentang cinta kerana Allah,
membimbing remaja ke arah
meletakkan Allah sebagai sumber
yang tertinggi di mana puncak cinta
kepada Allah membawa remaja
kepada asas ketaatan dan kepatuhan
kepada pedoman yang Allah berikan.
Dalam pergaulan,
Allah memberikan sempadan dan batasan
kepada yang bukan mahram.
Allah memberikan landasan syarak
supaya cinta yang fitrah
tersalur dengan jalan yang terarah.
Mematuhi asas yang telah
dipedomankan oleh Allah
membawa kepada asas redanya.
Dan percintaan
yang terjalin atas reda Allah
bakal membawa berkat
terhadap kehidupan itu sendiri.







Begitu juga pemikiran
ke arah kebahagiaan
yang berasaskan nilai-nilai Rabbani
membimbing remaja memahami
maksud bahagia
tidak saja dari sudut perasaan dan kenafsuan
tetapi bahagia dalam erti kata
yang sebenar dicapai dari sudut rohaniah
yang tinggi
melakukan kebaikan terhadap
diri dan orang lain
supaya asas kebahagiaan
menepati jalan yang
Allah reda.








*Kebahagiaan







Berbahagiakah
hidup seorang remaja
yang melakukan sesuatu tanpa mengambil kira
reda Allah yang menyebabkan
perlanggaran terhadap hukum-hakamnya
dan akhirnya kebahagiaan hanya berbentuk kenafsian,
terhasil sesuatu yang sifatnya sementara
dan tidak membawa kepada kebahagiaan yang abadi.
Kebahagiaan yang abadi
menghubungkan remaja dengan Allah
iaitu patuh akan pedomannya
dan taat akan larangannya.







Oleh itu,
berfikir kerana Allah
memberikan remaja beberapa
pedoman yang penting.
Pertama,
harus ada asas keikhlasan
dalam membina jalan berfikir.
Kedua,
sandarkan berfikir kerana Allah
dan hikmahnya kembali semula
kepada remaja dan orang lain.
Ketiga,
pemikiran yang berasaskan
ilmu tentang Allah
supaya tanda-tanda kebesaran Allah
menjadikan remaja kerdil dan kecil di sisi-Nya.
Keempat,
menjadikan reda Allah
sebagai sumber kekuatan
dalam berfikir supaya apa yang difikir
oleh remaja sentiasa bersandarkan
keselariannya dengan batas syarak
yang dipedomankan oleh Allah.
Kelima,
harus ada rasa bersyukur
dalam proses berfikir remaja
kerana tanpa rasa syukur
remaja mudah lupa akan diri
dan
boleh membawa kepada
riak dan ujub.







Asas-asas di atas
amat perlu bagi remaja
dalam menjalankan kegiatan berfikir
supaya kekuatan akliah yang dipandu
oleh kekuatan nakliah
bakal menemukan titik keseimbangan
antara fitrah remaja dengan
Sunnatullah atau ketentuan Allah.
Allah mengatur alam ini
di atas titik keseimbangan.
Tanpanya
planet dan bintang-bintang
akan berlaga dan membawa kepada
bencana.







Fitrah remaja
mahukan kebaikan dan keindahan dalam hidup.
Ia hanya mampu dicapai
sekiranya sandaran kebaikan dan keindahan itu
terlihat pada faktor alam
yang menurunkan hujan,
faktor air yang menghidupkan ikan-ikan,
faktor bumi yang menghidupkan pohon-pohon,
faktor udara yang membolehkan remaja bernafas.
Itulah rahmat dan nikmat Allah
yang di luar kemampuan
manusia menciptakannya,
dilimpahkan kepada kita
untuk menikmatinya.
Ia membimbing remaja berfikir
betapa besarnya kuasa Allah
yang membimbing remaja
rukuk dan sujud
mengakui kebesaran-Nya
dan menjadikannya
sebagai sumber amanah
untuk
kesejahteraan diri dan orang lain.










*Prof. Dr. Sidek Baba ialah pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.






Bicara Agama --- Utusan Online -- 12 Ramadan 1427 -- 5 Oktober 2006







1 comment:

  1. salam cikgu...saya dah letak link blog cikgu di blog saya, sudi kiranya cikgu letakkan link blog saya di sini...terima kasih...

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...