Sahabat Maya :

Friday, December 23, 2011

Tingkatan Empat Bukan Masa Berehat


Tingkatan Empat Bukan Masa Berehat





TAHNIAH diucapkan kepada pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan semalam. Kepada yang kurang berjaya, jangan putus asa.




Belajar dari kesilapan dan cuba untuk memperbaiki pencapaian anda dalam peperiksaan yang jauh lebih penting iaitu peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Kumpulan pelajar yang memperoleh keputusan PMR ini akan melangkah masuk ke peringkat menengah atas.




Ramai yang berpendapat Tingkatan Empat ialah tahun honeymoon. Tanggapan ini perlu diperbetulkan. Tiada istilah bulan madu atau honeymoon dalam usaha memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan seterusnya yang lebih mustahak.




Sebahagian soalan dikemukakan dalam peperiksaan SPM dalam semua mata pelajaran seperti Matematik, Sejarah, Biologi dan Sains ialah soalan dalam topik yang diajar ketika mereka berada dalam Tingkatan Empat walaupun peperiksaan SPM hanya diambil ketika mereka berada pada tahap Tingkatan Lima.



Justeru teruskan momentum kecemerlangan anda apabila melangkah masuk ke Tingkatan Empat. Dengan menguasai topik dalam apa jua mata pelajaran yang diajar ketika mereka berada dalam Tingkatan Empat, jadi beban untuk menguasai konsep sesuatu mata pelajaran yang diajar dalam Ting-katan Empat dan Tingkatan Lima sedikit sebanyak dalam dikurangkan ketika mereka berada di Tingkatan Lima.




Di samping itu, strategi pembelajaran yang berkesan perlu dipraktikkan agar sesuatu konsep yang dipelajari dapat dikuasai untuk jangka yang panjang.




Pelajar Tingkatan Tiga yang bakal memasuki Tingkatan Empat kebiasaannya akan memilih aliran yang mereka minati. Kebiasaannya pelajar yang memperoleh keputusan yang baik dalam PMR lebih cenderung memilih aliran sains tulen dan kejuruteraan.
Pelajar yang berada dalam kumpulan yang kurang bernasib baik lebih cenderung untuk memilih aliran vokasional dan sebagainya. Justeru, pelajar perlu bijak memilih aliran mengikut tahap kebolehan dan minat mereka.




Jangan memilih aliran tertentu disebabkan mengikut kawan sedangkan diri sendiri tidak berminat dengan aliran berkenaan.




Banyak kajian yang membuktikan sikap mempengaruhi pencapaian pelajar dalam sesuatu mata pelajaran. Begitu juga terdapat sebilangan pelajar yang memilih aliran yang lebih ‘glamour’ seperti sains tulen dan kejuruteraan sedangkan aliran itu tidak sepadan dengan tahap kemampuan mereka. Jadi pelajar perlu ‘ukur baju di badan sendiri’ supaya aliran yang bakal dipilih tidak menjadi beban untuk diikuti sehinggalah ke peperiksaan SPM. ada dua belas mata pelajaran.




ABDUL HALIM ABDULLAH,


Fakulti Pendidikan,


Universiti Teknologi Malaysia,


Skudai, Johor.





No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...