Photobucket

Sahabat Maya :

Friday, June 15, 2012

KATA PUJANGGA








KATA PUJANGGA





  • Berbuat baik jangan sekali, buatlah berkali-kali.





  • Biarpun jalan itu panjang, kita akan merintisnya bersama-sama.





  • Hidup ini ialah warna-warna yang terlakar pada

kanvas, walaupun tidak cantik ia tetap mempunyai

sejuta maksud.






  • Tidak ada manusia yang hidup untuk gagal, tetapi tidak

merancang adalah merancang untuk gagal.

















Teruskan membaca..

Wednesday, June 13, 2012

Tabung Haji didik murid menabung






Tabung Haji didik murid menabung




MURID Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 27 (2), Shah Alam, Selangor, berpeluang membuka akaun Tabung Haji serta menjadi ahli Kelab TaHa melalui tajaan Tabung Haji daerah itu, baru-baru ini.

Majlis penyerahan buku akaun dan kad keahlian itu membabitkan 842 pelajar berlangsung di sekolah berkenaan sebagai simbolik penyertaan. Majlis perasmian disempurnakan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Seksyen 27 (2), Nasaruddin Ahmad.
Hadir sama, Pengurus Lembaga Tabung Haji Shah Alam, Sazali Saliman dan Guru Besar, Mohamad Napis.
Nasaruddin berkata, pihak sekolah berterima kasih kepada Tabung Haji Shah Alam kerana memilih pelajar sekolah berkenaan menerima tajaan sekali gus membolehkan mereka menikmati faedah sebagai ahli kelab.

“Inisiatif Tabung Haji itu bertujuan memupuk minat menabung dalam kalangan murid sekali gus membuka peluang mereka mengerjakan haji di usia muda,” katanya.

Sementara itu, Sazali berkata, penubuhan Kelab TaHa pula bertujuan menanam minat berjimat cermat dengan membelanjakan wang saku secara berhemah.

Beliau berkata, anggota berpeluang mengikuti pelbagai program selain membangkitkan keinginan mereka menyahut laungan kaabah pada usia muda selain menjayakan program tanggungjawab sosial korporat.
“Sebagai ahli Kelab Taha, pelajar berpeluang menikmati banyak keistimewaan antaranya keahlian percuma, potongan harga pada lebih 200 rangkaian Rakan Kelab TaHa seluruh negara.

“Selain itu, ahli kelab juga berpeluang menyertai klinik bimbingan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mendapat anugerah kecemerlangan serta menyertai peraduan menarik disediakan pengajur,” katanya.

Sementara itu seorang ahli kelab, Karith Nazim Nizam, 11, berkata dia gembira kerana dapat membuka akaun Tabung Haji pada usia muda sekali gus menjadi ahli Kelab TaHa.

“Saya harap dapat menyertai banyak aktiviti khas untuk ahli kelab terutama mengikuti program bimbingan peperiksaan,” katanya.










Teruskan membaca..

5,500 guru interim patut diserap ikut subjek



Gambar sekadar hiasan..





5,500 guru interim patut diserap ikut subjek


KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran diminta supaya menyerap 5,500 guru interim sebagai guru tetap di sekolah yang masih lagi mengalami kekurangan guru mengikut keperluan subjek kritikal.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, kerajaan perlu meneliti secara terperinci penempatan guru supaya ia dilakukan secara seimbang bagi menampung kekurangan guru.
“Kita mahu kementerian memastikan guru berkenaan diberi keutamaan untuk ditempatkan di sekolah yang masih mengalami kekurangan guru mengikut keperluan subjek di sekolah berkenaan. Misalnya, jika sekolah berkenaan memerlukan guru bahasa Inggeris, maka kita perlu menempatkan guru subjek berkenaan.
“Hari ini ada sekolah yang mempunyai lambakan guru, lebih malang lagi guru ditempatkan di sekolah berkenaan pula tidak mengajar mata pelajaran sepatutnya beliau ajar kepada pelajar,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kelmarin, akhbar melaporkan kira-kira 5,500 graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan termasuk 4,500 lepasan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang berjaya pada temu duga antara Januari hingga Mac akan ditempatkan di sekolah seluruh negara mulai bulan ini.

Selain itu, NUTP turut meminta pihak kementerian supaya memberi tumpuan berhubung kenaikan gred lebih 10,000 guru yang sudah mendapat ijazah, namun, masih lagi menikmati gaji peringkat diploma.





Teruskan membaca..

Tuesday, June 12, 2012

46 MRSM cari dana bantu rakyat Somalia



46 MRSM

cari dana bantu rakyat Somalia

RAJA NAzRiN beramah mesra dengan pelajar selepas merasmikan Program inovasi ideapreneur MRSM di ipoh.
RAJA NAZRiN beramah mesra dengan pelajar selepas
merasmikan Program inovasi ideapreneur MRSM di Ipoh.





Sekolah raih pungutan terbanyak terima Anugerah Inovasi 2012




SERAMAI 10,000 pelajar daripada 46 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dari seluruh negara terbabit menjayakan pertandingan mencari dana untuk membantu rakyat Somalia.






Program Inovasi Ideapreneur MRSM, masuk kali ketiga itu akan memilih MRSM yang melakukan kaedah mencari dana yang paling berinovasi serta jumlah pungutan terbanyak, sebagai pemenang dan diberikan anugerah 'Anugerah Inovasi Perdana 2012'.
Program membolehkan pelajar mempraktikkan kemahiran berfikir secara inovatif dan pada masa sama aktif dalam aktiviti kemanusiaan membantu rakyat Somalia yang kelaparan. - Mazlee Md Ramli, Ketua Pegawai Eksekutif Al Niaga Sdn Bhd,penganjur program.





Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, berkenan mencemar duli menyempurnakan majlis pelancaran program berkenaan Ipoh, baru-baru ini.




Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Seri Idris Jusoh.




Penganjur program, Ketua Pegawai Eksekutif Al Niaga Sdn Bhd, Mazlee Md Ramli, berkata pertandingan membabitkan pelajar Tingkatan Dua dan Empat akan menjadi acara mencari dana oleh pelajar yang terbesar di negara ini.




“Tahun ini, kita berjaya mendapatkan Yayasan Inovasi Malaysia, Mercy Malaysia dan Persatuan Bekas Pelajar MRSM (ANSARA) menjadi penganjur bersama.
“Program membolehkan pelajar mempraktikkan kemahiran berfikir secara inovatif dan pada masa sama aktif dalam aktiviti kemanusiaan membantu rakyat Somalia yang kelaparan," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran program berkenaan.




Mazlee yang juga bekas pelajar MRSM Kota Bharu, berkata ketika ini seramai 50 guru MRSM dilatih berfikir secara inovasi.




"Guru berkenaan yang sudah selesai menjalani latihan kemudian akan melatih lima guru di sekolah masing-masing, kemudian melatih pula lima guru lagi sebelum berkongsi pengetahuan itu dengan pelajar yang menyertai pertandingan ini," katanya.




Beliau berkata, Perdana Menteri dijangka akan menyampaikan Anugerah Inovasi Perdana 2012 untuk pemenang program itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada November ini.




Mazlee berkata, sejak program tahunan itu bermula dua tahun lalu, lebih 1,000 guru dan 25,000 pelajar MRSM menjalani latihan menerusi kaedah menyuburkan pemikiran mereka dengan inovasi dan kreativiti.






Teruskan membaca..

5,500 guru interim diserap


Lawak la pulak..



5,500 guru interim diserap





Surat tawaran penempatan graduan ke seluruh negara sedang diagih








BATU PAHAT: Seramai 5,500 graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan termasuk 4,500 lepasan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang berjaya pada temuduga antara Januari hingga Mac lalu akan ditempatkan di sekolah seluruh negara, mulai bulan ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata surat tawaran penempatan kepada semua graduan berkenaan yang sebelum ini dilantik sebagai guru interim (guru sementara) itu sedang diagihkan.
“Daripada kira-kira 5,500 calon yang ditemuduga Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP), hanya 62 calon gagal namun mereka kini dalam proses rayuan selepas wakil mereka bertemu saya kelmarin.
“Saya harap, semua guru yang berjaya dan sudah menerima surat tawaran penempatan itu menerima jawatan mereka dengan semangat tinggi untuk mendidik anak bangsa.

“Jika boleh tidak perlulah membuat rayuan untuk mendapatkan sekolah berhampiran rumah... jika dapat mengajar di Sarawak atau Sabah, terimalah dengan berlapang dada, demi mendidik anak bangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian peruntukan RM1 juta kepada Sekolah Menengah Tinggi Cina Chong Hwa Rengit, dekat sini, semalam.

Mac lalu, Berita Harian melaporkan Kementerian Pelajaran giat mengumpul rekod terkini kekosongan guru di sekolah seluruh negara daripada Jabatan Pelajaran Negeri bagi mengisi calon graduan berkenaan yang selesai sesi temu duga oleh SPP, berakhir 16 Mac lalu.
Disember tahun lalu, 5,000 graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan termasuk dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menuntut Kementerian Pelajaran memberi jaminan penempatan sekolah kepada mereka sama seperti Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT).

Mereka mendakwa kementerian menganaktirikan mereka dan lebih mengutamakan GSTT untuk diserap sebagai guru tetap.

Sementara itu, Puad ketika ditanya sama ada pihaknya ada menerima permohonan pertukaran sekolah daripada guru yang sudah menerima surat tawaran penempatan itu berkata, buat masa ini tiada lagi permohonan sedemikian.

“Mungkin semua guru ini mempunyai semangat berkobar-kobar dan tidak kisah bertugas di mana saja mereka ditempatkan dan itulah yang kita harapkan daripada mereka,” katanya.








Teruskan membaca..

Guru dari Sabah, Sarawak tertekan isu elaun







Guru dari Sabah, Sarawak

tertekan isu elaun




KESATUAN Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) dan Jawatankuasa Bersama, Persatuan Guru Sabah dan Sarawak menggesa pihak pengurusan sekolah menyelesaikan segera isu guru dari Sabah dan Sarawak yang berkhidmat di Semenanjung gagal menikmati pelbagai imbuhan.







Segelintir guru terbabit mendakwa mereka masih belum dibayar elaun ditetapkan Kementerian Pelajaran yang didakwa berpunca kegagalan pembantu tadbir sekolah menjalankan tugas dengan dedikasi.







Presiden KGMMB, Mohamed Sabri Mohd Arsad, berkata guru terutama yang berkhidmat di bandar gagal menikmati kemudahan seperti Imbuhan Tetap Perumahan (ITP), Elaun Perpindahan Wilayah (EPW) dan Elaun Sara Hidup (COLA), tertekan berikutan kos sara hidup yang tinggi.







Seorang guru mendakwa secara sinis seorang ketua kerani di sekolah tempatnya bertugas menyindir beberapa guru dari Sabah dan Sarawak dengan membangkitkan sentimen orang Borneo yang berkhidmat di Malaysia tidak seharusnya meminta yang bukan-bukan.







Katanya, keadaan ini dikhuatiri menyebabkan mereka gagal menumpukan perhatian kepada amanah mendidik yang dengan sendirinya menjejaskan prestasi akademik sekolah terbabit.










Sehubungan itu, beliau berharap pihak sekolah mengambil tindakan segera membela nasib pendidik termasuk memastikan kerani atau pembantu tadbir menunaikan amanah mengurus dokumen kepada pihak Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dengan segera.









“Kerani di sekolah asal guru berkenaan juga hendaklah melengkapkan dokumen mengenai pendidik terbabit bagi memudahkan sekolah baru mereka menguruskan penyaluran kemudahan elaun berkenaan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.









Baru-baru ini, akhbar ini menyiarkan mengenai ada guru dari Sabah dan Sarawak yang berpindah ke Semenanjung gagal menikmati pelbagai kemudahan elaun iaitu elaun gangguan, ITP, EPW dan COLA selepas lebih setahun bertukar.







Elaun Gangguan sepatutnya dinikmati pada tempoh tiga bulan selepas berpindah, namun belum dinikmati pada tempoh setahun enam bulan serta lebih malang mereka gagal menikmati kemudahan lain termasuk bonus tahunan.









Keadaan itu tidak sepatutnya berlaku kerana menjadi tanggungjawab pentadbir menguruskan segala urusan berkaitan elaun dengan kadar segera dengan mengetepikan sentimen kenegerian.







Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bersama, Persatuan-Persatuan Guru Sabah dan Sarawak, William Gani Bina, berkata pihaknya mengharapkan sekolah mengambil perhatian serius termasuk memantau tugas kerani yang gagal menjalankan amanah ini.









Katanya, jika kerani gagal menunaikan amanah, Pengetua dan Guru Besar hendaklah bertindak membela guru terbabit dengan membawa masalah mereka kepada pengetahuan pihak PPD dengan segera.






Seorang guru mendakwa secara sinis seorang ketua kerani di sekolah tempatnya bertugas menyindir beberapa guru dari Sabah dan Sarawak dengan membangkitkan sentimen orang Borneo yang berkhidmat di Malaysia tidak seharusnya meminta yang bukan-bukan.







“Negara kita sudah 55 tahun merdeka tahun ini, ibarat seorang penjawat awam yang berada di ambang persaraan, namun masih ada rakyat negara ini yang kolot dan bersikap kenegerian,” katanya yang enggan namanya disiarkan.







Teruskan membaca..

Monday, June 11, 2012

Menyubur budaya perpaduan dalam organisasi






Menyubur budaya perpaduan

dalam organisasi


Oleh Sharifah Hayaati



Perbincangan, nasihat penuh adab etika

mampu mengurangkan percanggahan pendapat






ANTARA kebahagiaan yang Allah kurniakan kepada kita
ialah kehidupan yang saling memerlukan dan bergantungan
antara satu sama lain, termasuk dalam aspek pengembangan
buah fikiran, kepakaran, pandangan dan nasihat.








Dalam hal ini, setiap kita pula mempunyai
kelebihan minda yang tersendiri.
Ia adalah suatu anugerah Allah SWT
yang berupa nikmat agar kita boleh saling
bertukar-tukar pandangan
dan saling memberi dan menerima manfaat sesuai
dengan kelebihan dan keupayaan daya fikir
minda masing-masing.






Justeru, bukan menajamkan akal dengan daya fikir saja
yang penting tetapi juga usaha untuk saling memanfaatkannya dalam kalangan masyarakat dan warga organisasi perlu sentiasa dipupuk dengan harmoni.







Daripada nilai saling bergantungan dan memanfaatkan
pandangan yang baik dan bernas inilah akan menyumbang kepada
penyatuan fikrah dan melahirkan kekuatan tindakan dalam
segenap aspek kehidupan khasnya dalam pengembangan organisasi.







Oleh kerana itulah Allah SWT memerintahkan untuk
bermusyawarah dalam berurusan seperti firman-Nya yang bermaksud:







“Dan

diperintahkan untuk kamu bermesyuarat

dalam urusan antara kamu.”









Justeru, nilai saling menghormati dan menghargai pandangan
perlu dipupuk dalam diri kita dan dalam kalangan setiap
penjawat organisasi tanpa mengira kedudukan. Perpaduan
yang sebenar lahir daripada penyatuan fikiran dan hati
yang dijelmakan dalam pelbagai bentuk perpaduan lahiriah.









Namun, sifat kebergantungan kepada buah fikiran,
pendapat dan nasihat sesama individu tidak akan tercapai
dengan murni jika tanpa etika dan adab dalam memberi dan menerimanya.
Apa yang sebaliknya pula boleh berlaku jika tanpa etika dan adab
adalah persengketaan, pertikaman lidah dan permusuhan
yang meleraikan ikatan pergantungan, memadamkan hasrat
perkongsian pandangan dan dalam jangka masa panjang
akan melemahkan daya kreativiti berfikir dalam kalangan anggota kerja
yang merugikan kemajuan organisasi.










Etika dan adab dalam melahirkan penyatuan fikrah
dalam organisasi itu perlu mengambil kira empat sudut
iaitu sudut penyampaian pandangan, isi kandungan atau perkara
yang hendak disampaikan, tindak balas pandangan dan implikasi
pandangan terhadap individu, organisasi, pelanggan dan negara.










Antara etika dan adab menyalurkan pandangan ialah








pertama,
hendaklah ia disampaikan dengan niat yang baik, jujur
serta dengan pertuturan dan bahasa tubuh yang baik serta menyenangkan.
Walaupun kadangkala kita beremosi dalam meluahkan pandangan
terutama apabila ingin menegaskan sesuatu yang penting,
adab menyalur-kannya perlu dijaga supaya hasrat dan isi perbincangan
dapat difahami dengan baik.










Kedua,
hendaklah ia bermatlamatkan kesejahteraan ramai
berbanding untuk kepentingan diri atau peribadi.









Ketiga,
hendaklah pandangan yang disampaikan itu
datangnya dari sumber pengetahuan dan maklumat yang sahih.










Keempat,
hendaklah ia disampaikan dengan jelas serta mengambil kira
tahap, laras pemikiran, suasana persekitaran, masa, tempat
dan keadaan mereka yang menerima pandangan.
Bijak pandai ada mengatakan,
“cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar”.
Kata-kata ini mengandungi nasihat dan panduan
supaya beradab dan berhati-hati dalam meluahkan pandangan.








Kelima,
menyampaikan sesuatu yang benar
dengan sabar dan tabah
serta keberanian walaupun pahit.








Seperti peringatan Rasulullah SAW:







“Sampaikanlah kebenaran walaupun pahit.”



– (Riwayat al-Bukhari)










Keenam,
penerima hendaklah berlapang dada dan berfikiran positif
dalam mendengar dan memahami pandangan.










Ketujuh,
penerima hendaklah memberi perhatian
kepada isi kandungan,
hasrat dan matlamat penyampaian berbanding status
penyampai seperti kata-kata Saidina Ali bin Abi Talib:







“Lihatlah

kepada apa yang diperkatakan seseorang

bukannya kepada siapa yang berkata.”











Kelapan,
bersedia dan bersungguh-sungguh mengaplikasikan
pandangan yang dipersetujui ramai dalam membentuk
tindakan dengan terancang dan tersusun rapi supaya
manfaatnya dapat diperlebarkan kepada masyarakat dan organisasi.










Kesembilan,
bersedia untuk mengubah pandangan dan keputusan
yang terhasil daripadanya walaupun setelah ia dipersetujui
apabila terdapat keperluan baru yang mendesak.
Lebih utama dan memberi manfaat yang menyeluruh
dalam jangka masa panjang dan









kesepuluh,
saling menghormati
dan menghargai buah fikiran dan pandangan individu lain
walaupun pandangan kita tidak dipersetujui.









Setiap perbincangan pasti akan memberi pelbagai manfaat
yang boleh dikutip untuk kebaikan nilai diri antaranya jaringan
kerja baru. Ini akan melahirkan suasana menang-menang
dalam perbincangan. Justeru, marilah kita
memupuk nilai saling menghargai, menghormati dan
memerlukan dalam menerima setiap butir pandangan daripada
anggota organisasi kerana ia boleh menjadi input
berguna ke arah kesejahteraan.










Teruskan membaca..

Sunday, June 10, 2012

Saturday, June 9, 2012

Koreksi diri :)








diam tak diam......tup tup

cuti sekolah sudah sampai ke penghujungnya.

Manfaatkah cuti sekolah pada kali ini ?

Jika bermanfaat..Alhamdulillah.

Jika sebaliknya..koreksi diri kita.

















Teruskan membaca..

Wednesday, June 6, 2012

lawak cuti-cuti sekolah :)




Ada satu cerita.....


Seorang lelaki pergi ke klinik mata.

Setelah matanya diperiksa, dia bertanya:

" Doktor, selepas pakai cermin mata nanti,

boleh ke saya membaca macam orang lain?”

“Dah tentu ,” jawab doktor.

“Oh, gembiranya.

Dah lama saya buta huruf,

akhirnya boleh juga saya membaca,”

kata lelaki itu dengan riang.






Teruskan membaca..

Tuesday, May 29, 2012

Cuti-Cuti Sekolah :)



































Teruskan membaca..

Guru penutur jati tingkat penguasaan BI



Guru penutur jati

tingkat penguasaan BI



Guru penutur jati, Timothy Hughes dari British Council Malaysia berjaya membantu guru menjadikan aktiviti P&P dalam bilik darjah lebih kreatif, seronok dan menarik ketika sesi pelaksanaan program peningkatan penguasaan bahasa Inggeris di SK Tanjung Bijat, Sarawak, baru-baru ini.




KEMENTERIAN Pelajaran melalui Bahagian Pembangunan Dasar Kurikulumnya telah memperkenalkan Program Penutur Jati di bawah dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) dalam usaha untuk mempertingkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan guru sekolah.

Timbalan Pengarah bahagian itu, Dr. Mohamad Nor Mohamad Taib berkata, strategi yang dicadangkan adalah dengan pengambilan pakar bahasa Inggeris (mentor) dari luar negara untuk bekerjasama dengan pakar negara ini bagi tujuan mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan guru mata pelajaran tersebut.

"Matlamat utama program adalah untuk meningkatkan kapasiti tenaga pengajar dalam pedagogi dan pengetahuan bahasa Inggeris yang seterusnya dapat membantu menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah lebih menarik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa sesi lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Bijat bagi menyaksikan pelaksanaan program tersebut di Sri Aman, Sarawak, baru-baru ini.

Program ini disasarkan kepada guru bahasa Inggeris Tahap Satu (Tahun 1, 2 dan 3) di 1,800 buah sekolah rendah di seluruh negara.

Seramai 360 penutur jati dibahagikan kepada beberapa kawasan di seluruh negara. Seorang penutur jati dipertanggungjawabkan untuk menjaga lima buah sekolah yang berada di sesuatu kawasan tersebut.

Tiga syarikat telah dikenal pasti sebagai vendor untuk mengendalikan program ini selama tiga tahun iaitu SMR HR Group bagi kawasan Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya; Brighton Education Group (Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Johor dan Negeri Sembilan) dan British Council Malaysia (Sabah, Sarawak dan Labuan).

Menurut Mohamad Nor lagi, selain meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan guru, program ini diadakan bagi membantu kementerian meningkatkan tahap kebolehan berbahasa Inggeris di kalangan murid-murid sekolah luar bandar.

"Kepentingan program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada murid-murid di kawasan luar bandar yang kurang mendapat pendedahan serta peluang.

"Selain membantu meningkatkan kemahiran dalam penggunaan bahasa Inggeris, program ini juga secara tidak langsung membolehkan murid-murid luar bandar berkomunikasi secara langsung dengan guru bahasa Inggeris dari luar negara dan seterusnya meningkatkan keyakinan diri mereka," jelasnya.

Beliau menambah, pelbagai pendekatan menarik diwujudkan melalui program ini yang bermatlamat untuk meningkatkan lagi keseronokan murid-murid untuk belajar bahasa Inggeris termasuklah aktiviti latihan, aktiviti bercerita dengan muzik dan juga aktiviti pembelajaran di luar bilik darjah.

"Proses pengajaran dalam pelbagai bentuk kaedah dan situasi berbekalkan pengalaman dan cara-cara pengajaran baru ini lebih kreatif dan mampu menambah minat murid-murid untuk meminati subjek bahasa Inggeris," ujarnya lagi.

Sementara itu, Guru Besar SK Tanjung Bijat, Fadzli Mohd. Edon berkata, program yang dijalankan di sekolahnya itu terbukti telah berjaya membawa kepada peningkatan dalam pembelajaran murid-murid.

"Program ini sememangnya banyak membawa kebaikan kepada murid dan guru jika diambil manfaat penuh daripadanya.

"Selain itu, ibu bapa juga sangat seronok dengan usaha kerajaan dan pihak luar membawa kelainan positif yang terbukti dapat meningkatkan kualiti pendidikan anak-anak mereka seterusnya menambah minat murid untuk datang ke sekolah.

''Program yang bermanfaat ini diharap dapat diperluaskan ke lebih banyak sekolah bagi memberi faedah serta manfaat berguna kepada murid-murid," jelasnya.





Sumber







Teruskan membaca..

InSTAR menang tujuh pingat pertandingan inovasi antarabangsa




InSTAR

menang tujuh pingat

pertandingan inovasi antarabangsa

Pasukan Inovasi Sekolah Berasrama Penuh
Integrasi Tun Abdul Razak memperagakan pingat kejayaan
masing-masing yang dimenangi dalam pelbagai pertandingan inovasi
di peringkat antarabangsa di Pekan, Pahang baru-baru ini.




PASUKAN Inovasi Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Tun Abdul Razak (InSTAR), Pekan, Pahang berjaya mencipta nama di pertandingan inovasi peringkat antarabangsa dengan memenangi tujuh pingat di tiga benua berbeza iaitu Amerika, Eropah dan Asia.

Guru pembimbing projek inovasinya, Mohd. Fakharudin memberitahu, kejayaan pertama ditempa di tanah air sendiri dengan memenangi satu pingat emas dan satu anugerah khas daripada Malaysian Invention and Design Society (MINDS) melalui ciptaan bertajuk Eco-Air Purifier di Malaysian International Young Inventors Olympiad (MIYIO) yang diadakan di Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) pada awal Mei lalu.

"Konsep projek dan hasil kajian adalah menggunakan bahan buangan yang banyak dihasilkan di negara kita ditukar kepada satu produk yang mesra alam.

"Terbukti ia membuahkan kejayaan dan ini akan mendorong kami untuk membudayakan kajian dan penyelidikan seawal di sekolah menengah lagi serta dapat menghasilkan modal insan yang boleh menyumbangkan tenaga dan idea kepada negara pada masa akan datang," katanya melalui e-mel kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Seterusnya, InSTAR mencipta nama melalui dua puterinya yang menggondol pingat gangsa dalam pertandingan International Sustainable Energy, Environment and Engineering Project (I-SWEEEP) di Texas, Amerika Syarikat (AS).

Dua pelajar berkenaan, Anissa Abu Khalid dan Nur Ain Syafiqah Mohd. Noordin berjaya melalui penghasilan bahan komposit daripada sisa buangan nenas yang mampu mengurangkan penggunaan minyak mentah dalam penghasilan produk berasaskan plastik.

Kata Anissa, sisa buangan yang diperoleh daripada tanaman berkelompok nenas di kawasan Pekan mempunyai nilai potensi yang tinggi dalam menghasilkan produk plastik.

"Sifat gentian sisa buangan nenas ini sesuai sebagai bahan tambah kepada produk plastik kerana ia akan dapat mengurangkan penggunaan petroleum dalam penghasilan plastik serta meminimakan masalah pembakaran sisa dari ladang nenas," jelasnya.

Kejayaan terus dikecapi oleh InSTAR yang berjaya membawa pulang dua pingat perak serta Anugerah Khas daripada Persatuan Reka Cipta Korea (KIA) di European Exhibition of Creativity and Innovation (EUROINVENT), Romania.

Ia diperoleh melalui kajian bertajuk 'ParBo' From Biomass Waste of Palm Oil dan Cement Board (CB) From Rice Straw.

Melalui kajian itu, produk Parbo yang dihasilkan di negara kita mampu menggantikan papan serpai yang banyak dihasilkan dari kayu pokok getah dalam industri perabot serta penghasilan CB daripada jerami padi dapat mengurangkan pembakaran terbuka di kawasan penanaman padi.

Terkini, pelajar InSTAR, Muhammad Khairi Ramli dan Muhamamd Hisyamuddin Abd Rahman memenangi pingat perak di International Environment Project Olympiad (INEPO) di Istanbul, Turki.






Sumber






Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...