Photobucket

Sahabat Maya :

Showing posts with label Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI). Show all posts
Showing posts with label Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI). Show all posts

Thursday, December 12, 2013

Bahasa Melayu bahasa ilmiah


https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg0RgWRE7qz301wTReJ3TdO4_bBRnKiF1t4vzs3-xl0XEj8aUTUMSTFArQHV4qrj4R7Z9Xu8diwwzg2vFWtd9Ei-nvn-MHCjDauga5qXLK1QKrDU7FgGImYj4xFEE_ArJpLpRAjTWQ-lkha/s1600/bmmmm.jpg


Bahasa Melayu bahasa ilmiah

 

Kuala Lumpur: Kemenangan Penerbit Universiti Teknologi Malaysia (UTM) merangkul empat hadiah dalam Anugerah Buku Negara 2013 Kategori Industri Buku membuktikan bahasa Melayu berupaya diangkat sebagai bahasa ilmu termasuk bidang sains dan teknologi.
 
 
 


Pengarahnya, Dr Kassim Thukiman, berkata pihaknya memenangi kategori kreatif dan inovatif, kategori kejuruteraan dan kategori Islamik, selain novel terbaik (fiksyen sains dan teknologi) terbitan bersama penerbit swasta. 
 
 
 

Buku itu ditulis sarjana kami iaitu Ketua Setiausaha II, Kementerian Pendidikan, Prof Datuk Seri Dr Zaini Ujang, ketika menjawat Naib Canselor; Muhammad Nazri Mohd Jaafar, Mohammad Shaiful Ashrul Ishak dan Tamar Jaya Nizar. 
 
 
 


Martabat bahasa Melayu
 
 


Kemenangan itu menunjukkan usaha memartabatkan bahasa Melayu perlu memberi penekanan dengan mengangkatnya sebagai bahasa ilmiah, katanya kepada BH selepas Majlis Penyampaian Anugerah Buku Negara 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.
 
 


Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah menyampaikan hadiah kepada 30 pemenang pelbagai kategori Anugerah Buku Negara 2013.
 
 


Kassim berkata, kejayaan memenangi kategori paling banyak melalui buku dalam bahasa Melayu itu memberi semangat kepada Penerbit UTM untuk menerbitkan buku ilmiah dalam bahasa Melayu, sekali gus menjadi petunjuk kepada pihak lain terhadap kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. 
 
 
 
 

Sejak awal lagi, Penerbit UTM banyak menerbitkan buku ilmiah dalam bahasa Melayu sehingga pernah mencapai 80 peratus daripada keseluruhan terbitannya, tetapi pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) memberi kesan kepada penerbitan buku ilmiah tanah air mutakhir walaupun ia dilaksanakan di sekolah.


Justeru dengan kepimpinan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, melalui dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) diharap akan melonjakkan penerbitan buku sains dan teknologi dalam bahasa Melayu, katanya.
 
 


Sementara itu, Pengarah Urusan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Mohd Khair Ngadiron, berkata kemenangan pihaknya meraih tiga hadiah Anugerah Buku Negara 2013 hasil usaha semua pihak termasuk penulis, editor, penyusun atur dan kakitangan ITBM. 
 
 
Sumber
Teruskan membaca..

Tuesday, April 30, 2013

Memartabatkan Bahasa Melayu


https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhZI3W958Tgr1iZSUYOotN2vVO2-ZnDbI7FSsIaTTsI7nu-TLDgJWmzhtAYAgwhgXy6bqiMPdBD3NNgMLtNBlNECS6eTHIHuDlhzi0Fhd6r6T8D1rhzbXkPL2yhWLNjASP_qrGHfGEcLEU/s1600/Bahasa-Melayu-bahasa-Malays.jpg

Memartabatkan bahasa Melayu

 

 

 

Oleh


 PROF. DR. AWANG SARIYAN



 http://belia.org.my/v5/images/stories/maliki_bahasa_melayu.jpg



BAHASA Melayu sejak lebih daripada satu alaf telah memiliki martabat sebagai bahasa besar. Sejak abad ke-7 Masihi, bahasa Melayu telah menjadi bahasa kerajaan, bahasa perdagangan, bahasa pengajian agama dan lingua franca bagi rantau Kepulauan Melayu di bawah kerajaan Sriwijaya. Pada zaman kesultanan Melayu dari sekitar abad ke-13 hingga abad ke-19, bahasa Melayu mencapai puncak kegemilangan sebagai bahasa tamadun Melayu baharu, dengan menjadi bahasa pentadbiran, bahasa diplomasi, bahasa undang-undang, bahasa ilmu dan falsafah, bahasa perdagangan, bahasa ketatanegaraan dan bahasa sastera tinggi. 



Sarjana Belanda Francois Valentijn mengungkapkan kebitaraan bahasa Melayu pada abad ke-16 sebagai yang berikut:



``Bahasa mereka, bahasa Melayu, bukan saja dituturkan di daerah pinggir laut, tetapi juga digunakan di seluruh kepulauan Melayu dan di negeri-negeri Timur, sebagai suatu bahasa yang difahami di mana-mana saja oleh setiap orang, tidak ubah seperti bahasa Perancis atau Latin di Eropah, atau sebagai bahasa lingua franca di Itali dan di Levant. Sungguh luas tersebarnya bahasa Melayu itu sehingga kalau kita memahaminya tidaklah mungkin kita kehilangan jejak, kerana bahasa itu bukan saja dimengerti di Parsi bahkan lebih jauh dari negeri itu, dan di sebelah timurnya sehinggan kepulauan Filipina.'' 



Kebitaraan bahasa Melayu pada abad 16 dan 17 dapat dirumuskan dengan kenyataan bahawa bahasa tersebut telah mencapai taraf bahasa antarabangsa, terutama dengan kedudukannya sebagai bahasa diplomatik, lingua franca, bahasa perdagangan sedunia, bahasa penyebaran agama besar dunia dan bahasa sastera.



Kelunturan martabat bahasa Melayu



Martabat bahasa Melayu dilunturkan oleh penjajah (Belanda di Indonesia dan Inggeris di Malaysia) dengan menurunkan darjat bahasa itu daripada bahasa besar dan bahasa perhubungan luas menjadi bahasa setempat atau bahasa vernakular yang disempitkan fungsinya hanya sebagai bahasa perhubungan sehari-hari dan lebih untuk lingkungan masyarakat Melayu. Dalam zaman penjajahan Inggeris, bahasa Melayu disetarafkan dengan bahasa keturunan yang dibawa oleh Inggeris untuk kepentingan ekonomi, iaitu keturunan Cina dan India dengan menjadikannya bahasa penghantar di sekolah vernakular Melayu, sama halnya dengan bahasa Cina di sekolah vernakular Cina dan bahasa Tamil di sekolah vernakular India. 



Dalam bidang bahasa dan pendidikan, terang bahawa bahasa Melayu hanya menjadi bahasa penghantar sekolah Melayu yang terbatas pula jangkauan bidang ilmu dan kemahirannya. Hal ini direncanakan dengan cukup kemas oleh penjajah Inggeris, semata-mata untuk menutup kemungkinan anak watan dapat muncul sebagai bangsa berwibawa dan dengan demikian berupaya membebaskan negara daripada cengkaman penjajahan. 



Selama hampir setengah abad negara menikmati kemerdekaan, bahasa Melayu telah menjadi salah satu asas pembinaan negara yang penting melalui tiga fungsi iaitu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. 



Sebagai bahasa ilmu, bahasa Melayu telah memungkinkan berlangsungnya pendemokrasian pendidikan apabila sejumlah besar generasi muda mendapat peluang belajar dalam bahasa kebangsaan, tanpa kekangan faktor taraf sosioekonomi dan pengasingan etnik serta keeksklusifan bahasa penghantar ilmu yang dahulunya didominasi oleh bahasa Inggeris. 


Namun, apabila ada tindakan berpatah kembali untuk menjadikan bahasa lain sebagai wahana bidang-bidang utama kenegaraan itu, khususnya melalui bidang pendidikan, maka martabat bahasa Melayu sudah mula tergugat. Pengurangan fungsi dan peminggiran bahasa Melayu dalam bidang-bidang yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan, Akta Pendidikan dan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka secara langsung akan menjejaskan martabat bahasa Melayu sebagai salah satu tonggak pembinaan negara.
Walau bagaimanapun dengan adanya tantangan-tantangan semasa, bahasa Melayu mengalami kemerosotan dalam dua aspek, iaitu aspek taraf dan mutunya. 


Kemerosotan dalam aspek taraf bermaksud penyempitan penggunaan bahasa Melayu dalam bidang-bidang yang telah ditetapkan penggunaannya oleh undang-undang.



Sebagai contoh, penggunaan bahasa Melayu dalam bidang pentadbiran, undang-undang, penyiaran dan pendidikan. 



Kemerosotan dalam aspek mutu bahasa pula berkaitan dengan kurang pekanya sebilangan anggota masyarakat terhadap bentuk bahasa Melayu yang baku dan ragam bahasa Melayu rasmi, khususnya dalam konteks bidang yang rasmi seperti pentadbiran, penyiaran dan pendidikan. Percampuran ragam bahasa basahan (yang ditandai oleh fenomena bahasa rojak atau istilah linguistiknya peralihan kod, bahasa SMS, bahasa sembang di Internet dan sebagainya) dengan bahasa yang baku dalam situasi rasmi menjadikan bahasa Melayu kehilangan darjat dan citra sebagai bahasa budaya tinggi. 



Demikian juga, semakin tidak nyata semangat cinta dan hormat kepada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan asas jati diri negara apabila kian banyak terjadi fenomena penamaan tempat, bangunan dan jalan, termasuk di kawasan yang menjadi pusat pentadbiran negara, yang mengutamakan nama berdasarkan bahasa asing
 (misalnya precinct, parcel dan boulevard). 



Senario kini tentang kedudukan bahasa Melayu menunjukkan kian kurang terbudayanya bahasa Melayu dalam kalangan sejumlah anggota masyarakat, khususnya dalam konteks yang fungsional, iaitu yang berkaitan dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Senario itu tergambar pada beberapa perkara berikut:



1. Penghayatan penjawat awam yang kurang memuaskan dalam pelaksanaan peruntukan Perkara 152 tentang peranan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi sehingga masih banyak urusan rasmi tidak mengutamakan bahasa Melayu.



2. Tidak tegasnya dan tidak selarasnya penguatkuasaan penggunaan bahasa dalam sektor tertentu seperti penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di tempat awam dan penyiaran.



3. Pengurangan peranan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan sebagai kesan pelaksanaan beberapa keputusan dan pengecualian pengajaran bahasa Melayu sebagai subjek wajib.



4. Globalisasi yang sebahagian besarnya melalui perantaraan bahasa asing, khususnya bahasa Inggeris, sehingga timbul keghairahan yang kadangkala berlebihan dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat (pemimpin, profesional dan orang awam) untuk mengutamakan penguasaan bahasa Inggeris dan mengurangkan perhatian kepada penggunaan bahasa Melayu.



5. Budaya berbahasa Melayu dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat Malaysia, termasuk dalam kalangan orang Melayu sendiri tidak cukup mantap kerana adanya anggapan bahawa bahasa Melayu tidak berkolerasi dengan taraf sosial dan pendidikan serta tidak mempunyai nilai ekonomi yang tinggi.


Jika bahasa Melayu digunakan pula, masih besar jumlah anggota masyarakat, termasuk golongan yang berpengaruh yang menggunakannya pada tahap mutu bahasa yang tidak begitu mencerminkan budaya tinggi.



6. Kenyataan yang merendahkan taraf dan relevannya bahasa Melayu turut mengurangkan perhatian dan keyakinan sebilangan anggota masyarakat kepada bahasa Melayu. Sebagai contoh, dalam pada DBP mengusahakan penglibatan sektor swasta menggunakan bahasa kebangsaan pada papan perniagaan dan iklan mereka, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (menurut laporan The Star pada 1 Januari 2004) membuat kenyataan bahawa penggunaan bahasa kebangsaan tidak akan diwajibkan lagi pada papan perniagaan dan iklan. Seorang menteri kanan pula, mengajak masyarakat mengabaikan pejuang bahasa yang didakwanya berfikiran sempit.



Langkah meningkatkan martabat bahasa Melayu
Peningkatan martabat bahasa Melayu sebagai teras pembinaan bangsa Malaysia memerlukan perencanaan semula dalam beberapa aspek dan pada waktu yang sama memerlukan peneguhan dasar-dasar yang berkaitan dengannya, sebagai langkah membina ketahanan jati diri dan maruah bangsa dan negara.



Dalam bidang bahasa, antara langkah yang perlu diambil termasuklah: 



1. Penegasan dasar bahasa dan penguatkuasaan dasar bahasa secara bersepadu - contohnya, pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi hendaklah ditegaskan semula supaya semua urusan rasmi dan majlis rasmi di peringkat negara mengutamakan penggunaan bahasa Melayu, selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan. Semua peruntukan tentang bahasa kebangsaan yang terdapat dalam undang-undang negara hendaklah bukan sahaja dihormati malah dilaksanakan dengan ikhlas dan jujur oleh semua lapisan, daripada pemimpin negara hingga penjawat awam dan masyarakat umum. Usahlah ada sebarang tindakan yang melemahkan undang-undang tersebut, sama ada melalui pengenalan dasar baru, pernyataan atau tindakan yang bercanggah dengan undang-undang itu.



2. Pindaan dan perluasan peruntukan akta yang berkaitan - pindaan Akta Bahasa Kebangsaan yang memberikan cakupan lebih luas penggunaan bahasa Melayu, pindaan akta-akta yang sudah tidak kemas kini atau tidak jelas tentang penggunaan bahasa Melayu seperti Akta Jalan, Parit dan Bangunan, Akta Pertubuhan, Akta Pendaftaran Perniagaan, Akta Syarikat, Akta Cap Dagang, Akta Industri Pelancongan dan beberapa yang lain perlu disegerakan. Selain itu, akta yang sedia ada seperti Akta Komunikasi dan Penyiaran dan Undang-Undang Kecil Pengiklanan mestilah dikuatkuasakan pelaksanaannya secara tegas.



3. Pengayaan khazanah ilmu dan persuratan dalam bahasa Melayu - usaha ini perlu ditingkatkan supaya nilai bahasa Melayu menjadi lebih tinggi sebagai bahasa budaya tinggi, melalui penerbitan bahan ilmiah dan rujukan umum dalam pelbagai bidang untuk pelbagai peringkat dan dalam pelbagai media (bercetak dan elektronik). Agenda pengayaan khazanah ilmu dan persuratan Melayu mesti dimasukkan dalam agenda pembangunan negara melalui Belanjawan Negara.



4. Pembudayaan bahasa Melayu melalui sistem pendidikan - usaha ini perlu dimantapkan semula, dari peringkat prasekolah hingga peringkat pengajian tinggi. Kerajaan perlu memberikan penegasan yang lebih berat kepada usaha pembudayaan bahasa Melayu sebagai asas peneguhan tamadun bangsa Malaysia dalam dua aspek yang penting. Yang pertama ialah pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam proses pemerolehan dan pengembangan ilmu, selaras dengan perancangan yang dilakukan oleh Jawatankuasa Pelajaran Razak 1956 yang diperkukuh oleh Jawatankuasa Penyemak Pelajaran Rahman Talib 1960 dan dimaktubkan dalam Akta Pelajaran 1961 dan Akta Pendidikan 1996. Sebarang usaha berundur daripada keputusan yang penting dan bijaksana serta telah membuktikan kejayaan dalam proses pembinaan negara hendaklah dielakkan. Kejayaan Universiti Kebangsaan Malaysia dan universiti-universiti lain dalam pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu untuk pelbagai bidang ilmu tidak harus direncatkan. Aspek yang kedua ialah pembudayaan bahasa yang baik, teratur, santun dan mewakili budaya tinggi melalui kegiatan pengajaran dan pemelajaran, sukatan pelajaran, buku teks dan bacaan tambahan serta melalui pelbagai kegiatan kokurikulum. Dengan demikian diharapkan landaan pelbagai ragam bahasa tidak rasmi, sama ada bahasa sembang Internet, bahasa SMS atau yang lain tidak akan sampai menggugat bahasa yang mewakili budaya teras.



5. Komponen bahasa dan persuratan dalam pelbagai program negara - semua program negara yang bersifat pembinaan sahsiah di pelbagai peringkat mesti memasukkan program bahasa dan persuratan, misalnya dalam Program Khidmat Negara, kursus Biro Tatanegara, KP3P dan sebagainya. Kursus atau apa-apa juga program motivasi untuk kalangan ahli politik dan profesional perlu memasukkan modul bahasa dan persuratan di dalamnya.



6. Modul bahasa dan persuratan dalam program latihan jabatan - setiap jabatan dan agensi kerajaan perlu memasukkan modul bahasa, penulisan dan persuratan dalam program ``kursus dalam perkhidmatan'' masing-masing.



7. Pemantauan berterusan terhadap bidang penyiaran dan media massa - usaha ini perlu dilaksanakan untuk memastikan bahawa media massa melaksanakan tanggungjawab sebagai ejen pemantapan bahasa yang baik dan santun dalam penyiaran dan penerbitan program atau bahan. Tindakan perlu dilaksanakan dalam bentuk tindakan pentadbiran dan juga tindakan undang-undang.



8. Program pemasyarakatan bahasa kebangsaan bertaraf kebangsaan - kerajaan, melalui semua kementerian, jabatan dan agensi serta perbadanan dan pihak swasta hendaklah secara aktif dan terancang menyertai program pemasyarakatan bahasa kebangsaan di seluruh negara yang telah dirancang dan dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, khususnya Bulan Bahasa dan Sastera Negara yang dilaksanakan setiap tahun selama sebulan. Selain itu, setiap jabatan kerajaan dan swasta hendaklah diminta merancang dan menganjurkan kegiatan yang dapat menyemarakkan pembudayaan bahasa Melayu dari waktu ke waktu dalam perancangan tahunan supaya bahasa dan persuratan Melayu tidak terpinggir dalam sektor di luar lingkungan orang atau institusi khusus dalam bidang bahasa dan sastera.


Pembangunan negara yang hakiki dan bersepadu hanya tercapai apabila semua bidang yang penting diberi perhatian yang sama beratnya, termasuk bidang bahasa dan budaya. Dalam konteks pembentukan jati diri dan citra negara ini pula, dasar-dasar yang bersifat endoglosia, iaitu berasaskan keperibumian yang disokong oleh hakikat sejarah kebudayaan dan tamadun di negara dan dirantau ini perlu dipertahankan dan ditingkatkan.

Tidak seharusnya berlaku keadaan negara menuju kejayaan ekonomi dan industri sementara mengalami kehancuran dari segi unsur dalaman bangsa, terutama bahasa dan budaya. Oleh itu, kerjasama antara semua kementerian, jabatan, agensi, pertubuhan, sektor swasta dan orang perseorangan perlu digemblengkan secara bersepadu oleh pemerintah dalam bentuk rangkaian yang berkesan untuk memastikan pencapaian yang seimbang.
  
 https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgr1pSdsizqDrNfPj3IzCrdVYqN7v1ZP_GPxI-X8aMVYRRQ91lB2M_8X3InJK73X2RTYBWJ7ljdxVGrrTERIaGQQz45e-C7wKU-Dpsu5nAXr4gSeELJ7iPneAcDXMH6fJrChs3DSqkjMPgR/s1600/BahasaMelayu.jpg
Teruskan membaca..

Thursday, April 4, 2013

Penulisan cerpen perkukuh bahasa Inggeris


Penulisan cerpen 

perkukuh bahasa Inggeris

Datuk Donald Lim Siang Chai (dua dari kanan), Mahmud Karim (dua dari kiri), Pengetua SMK Tuanku Abdul Rahman, Norzida Abd Muin dan Pengetua SMK Bandar Baru Sungai Buloh, Abdul Hakim Kassim menyaksikan gimik pelancaran buku Judge Us Not di SMK Tuanku Abdul Rahman, Batu Arang, Selangor, baru-baru ini. 
 
 
 
Buku koleksi cerpen dalam bahasa Inggeris hasil nukilan 33 murid Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman menjadi bukti keberkesanan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang dilaksanakan Kementerian Pelajaran ketika ini.



Pengarah Pelajaran Selangor, Mahmud Karim berkata, walaupun penulisan murid dalam buku berkenaan hanya dalam bentuk cerita pendek namun usaha tersebut mampu memberi impak positif kepada rakan sebaya mereka.



"Penghasilan buku ini mampu membantu meningkatkan minat membaca dan menulis di kalangan murid di samping mendorong rakan lain untuk menghasilkan penulisan kreatif," katanya.



Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Buku Judge Us Not di SMK Tuanku Abdul Rahman dekat Rawang, Selangor baru-baru ini.



Buku setebal 78 muka surat yang memuatkan 50 cerpen mengenai alam persekolahan itu dijual pada harga RM4.60 senaskhah.



Penerbitan buku itu bertujuan meningkatkan penguasaan dan pemahaman dalam bahasa Inggeris yang melibatkan murid daripada SMK Tuanku Abdul Rahman sebagai penulis manakala 20 murid SMK Bandar Baru Sungai Buloh pula menjadi penyuntingnya.
Pelancaran buku itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Donald Lim Siang Chai.



Menurut Guru Penyelia Projek, K. Shantini dari SMK Bandar Baru Sungai Buloh, penghasilan buku yang bermula Mei lalu itu didedikasikan kepada Pengerusi Biro Aduan MCA, Datuk Seri Micheal Chong yang pernah menuntut di SMK Tuanku Abdul Rahman.
Dalam majlis itu, Michael Chong turut dianugerahkan Ikon Jasa Bakti atas sumbangan beliau dalam membantu kerja-kerja kemasyarakatan.



Sementara itu, bagi murid SMK Tuanku Abdul Rahman, Nur Sarah Yasmin Jaafar, 17, dia dan rakannya yang lain terlibat dalam penghasilan buku tersebut adalah untuk membetulkan persepsi negatif bahawa murid luar bandar tidak mampu menghasilkan karya dalam bahasa Inggeris dengan baik.



Usaha itu, katanya, membuktikan murid sepertinya walaupun bersekolah di luar bandar mampu menulis cerpen bahasa Inggeris dengan baik setanding murid di bandar.



"Saya menyahut cabaran itu untuk membuktikan bahawa tanggapan murid luar bandar lemah dalam bahasa Inggeris tidak tepat,'' tegasnya.



Editor buku itu, Muhd. Akmal Zulkifli, 17, menyifatkan penerbitan bahan bacaan tersebut mampu menarik minat murid membaca dan menulis dalam bahasa Inggeris.
Hal ini kerana, ujarnya, cerpen itu menggunakan gaya bahasa yang mudah dan sesuai dibaca semua peringkat umur.






Teruskan membaca..

Saturday, July 28, 2012

Bahasa Melayu perkukuh nasionaliti Malaysia





Bahasa Melayu

perkukuh nasionaliti Malaysia





Tujuh puluh lima peratus daripada sekitar 12,000 orang yang menghadiri Dialog Nasional Pendidikan Negara (DNPN) mempunyai keyakinan tinggi terhadap sistem pendidikan kita untuk mencapai tahap global, selepas melalui kajian semula mulai 2013.






Beberapa perkara, antaranya kualiti guru, keadaan sekolah, kepemimpinan, kurikulum dan penaksiran serta kecekapan linguistik, adalah penting untuk mencapai tahap ini. Dari segi kecekapan linguistik, kita tidak semestinya perlu menggunakan bahasa Inggeris, walaupun dalam bentuk separa, iaitu melalui pengajaran beberapa mata pelajaran dalam bahasa itu.




Kita harus yakin pada bahasa Melayu, iaitu bahasa negara kita, khususnya dalam peranannya sebagai bahasa rasmi selaku wahana untuk memajukan bangsa dan negara. Untuk ini, bahasa Melayu yang dibangunkan daripada vernakular sebelum merdeka, oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), kini adalah bahasa moden atau ilmu.





Sebagai bahasa moden, bahasa Melayu mampu mengungkapkan segala macam hal, baik yang konkrit mahupun abstrak, dalam sebarang bidang ilmu. Jauh lebih penting daripada ini ialah penggunaan bahasa Melayu dalam bidang pendidikan, sebagai bahasa pengantar utama, akan memberi wibawa yang lebih kepadanya.






Sesungguhnya bahasa Melayu adalah penting kepada kita. Ini kerana ia sebahagian daripada kita sebagai bangsa dan negara Malaysia. Ia adalah bahasa kita sendiri dan bukan bahasa luar yang dibawa masuk. Sehubungan ini, bahasa Melayu adalah antara aspek penting untuk nasionaliti Malaysia.






Bahasa Melayu juga bahasa perhubungan luas di negara ini. Sehubungan ini, ia memang layak diguna dalam sistem pendidikan negara sebagai wahana pemikiran. Melaluinya, mata pelajaran sekolah dan kursus institut pengajian tinggi sudah tentu dapat disampaikan dan difahami dengan baik.






Penguasaan bahasa antarabangsa, khususnya bahasa Inggeris adalah penting. Hal ini dipantau melalui Dasar Memartabat Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI). Walaupun, ia digubal untuk menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Dasar MBMMBI sebenarnya adalah Dasar Pendidikan Bahasa di negara ini.






Dasar Pendidikan Bahasa ini ikut menganjurkan kemajmukan etnik dan kepelbagaian budaya yang menjadi asas pembentukan negara bangsa dan Malaysia itu sendiri. Dengan ini, bahasa ibunda dibenarkan dikembangkan dengan pesatnya dalam sistem pendidikan negara, selain digalakkan kekal sebagai warisan budaya etnik yang utuh.








Walaupun Dasar MBMMBI kelihatan semata-mata menjurus kepada bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, ia sebenarnya ikut meliputi perkembangan bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah vernakular, dengan secukupnya. Dengan adanya strategi khusus lagi betul melalui Dasar MBMMBI, pendidikan bahasa Inggeris bukan saja pasti akan bertambah baik. Tetapi lebih penting lagi ia akan menghasilkan bangsa Malaysia akan mempunyai peningkatan kecekapan dalam bahasa antarabangsa yang penting ini.








Kita perlu meyakini Dasar MBMMBI ini, khususnya bahagian berkenaan dengan bahasa Inggeris. Oleh itu, kita tidak boleh sekali-kali menyelesaikan masalah golongan muda kita yang kurang cekap dalam bahasa Inggeris dengan cara yang cepat lagi mudah, seperti yang dicadangkan oleh pihak tertentu, iaitu dengan mengembalikan persekolahan aliran bahasa Inggeris.








Mereka ini, khususnya daripada Orang Melayu, nampaknya tidak memahami, apatah lagi menghayati nilai bahasa Melayu kepada bangsa Melayu khasnya dan bangsa Malaysia amnya. Sesungguhnya penggunaan bahasa Inggeris akan menyebabkan kita bergantung kepada Barat, khususnya United Kingdom dan Amerika Syarikat.








Pergantungan ini yang tidak dapat dielakkan pada zaman globalisasi perlu dipastikan wujud dalam bentuk bahasa Inggeris sebagai bahasa sumber ilmu saja. Dalam konteks ini, bahasa Melayu perlu menjadi bahasa ilmu kerana dengan peranan ini sahajalah, ia berpeluang berkembang dengan lebih pesat lagi sebagai bahasa besar, dan tidak hanya wujud sebagai bahasa kecil di sisi bahasa Inggeris.













Teruskan membaca..

Tuesday, May 29, 2012

Guru penutur jati tingkat penguasaan BI



Guru penutur jati

tingkat penguasaan BI



Guru penutur jati, Timothy Hughes dari British Council Malaysia berjaya membantu guru menjadikan aktiviti P&P dalam bilik darjah lebih kreatif, seronok dan menarik ketika sesi pelaksanaan program peningkatan penguasaan bahasa Inggeris di SK Tanjung Bijat, Sarawak, baru-baru ini.




KEMENTERIAN Pelajaran melalui Bahagian Pembangunan Dasar Kurikulumnya telah memperkenalkan Program Penutur Jati di bawah dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) dalam usaha untuk mempertingkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan guru sekolah.

Timbalan Pengarah bahagian itu, Dr. Mohamad Nor Mohamad Taib berkata, strategi yang dicadangkan adalah dengan pengambilan pakar bahasa Inggeris (mentor) dari luar negara untuk bekerjasama dengan pakar negara ini bagi tujuan mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan guru mata pelajaran tersebut.

"Matlamat utama program adalah untuk meningkatkan kapasiti tenaga pengajar dalam pedagogi dan pengetahuan bahasa Inggeris yang seterusnya dapat membantu menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah lebih menarik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa sesi lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Bijat bagi menyaksikan pelaksanaan program tersebut di Sri Aman, Sarawak, baru-baru ini.

Program ini disasarkan kepada guru bahasa Inggeris Tahap Satu (Tahun 1, 2 dan 3) di 1,800 buah sekolah rendah di seluruh negara.

Seramai 360 penutur jati dibahagikan kepada beberapa kawasan di seluruh negara. Seorang penutur jati dipertanggungjawabkan untuk menjaga lima buah sekolah yang berada di sesuatu kawasan tersebut.

Tiga syarikat telah dikenal pasti sebagai vendor untuk mengendalikan program ini selama tiga tahun iaitu SMR HR Group bagi kawasan Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya; Brighton Education Group (Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Johor dan Negeri Sembilan) dan British Council Malaysia (Sabah, Sarawak dan Labuan).

Menurut Mohamad Nor lagi, selain meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan guru, program ini diadakan bagi membantu kementerian meningkatkan tahap kebolehan berbahasa Inggeris di kalangan murid-murid sekolah luar bandar.

"Kepentingan program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada murid-murid di kawasan luar bandar yang kurang mendapat pendedahan serta peluang.

"Selain membantu meningkatkan kemahiran dalam penggunaan bahasa Inggeris, program ini juga secara tidak langsung membolehkan murid-murid luar bandar berkomunikasi secara langsung dengan guru bahasa Inggeris dari luar negara dan seterusnya meningkatkan keyakinan diri mereka," jelasnya.

Beliau menambah, pelbagai pendekatan menarik diwujudkan melalui program ini yang bermatlamat untuk meningkatkan lagi keseronokan murid-murid untuk belajar bahasa Inggeris termasuklah aktiviti latihan, aktiviti bercerita dengan muzik dan juga aktiviti pembelajaran di luar bilik darjah.

"Proses pengajaran dalam pelbagai bentuk kaedah dan situasi berbekalkan pengalaman dan cara-cara pengajaran baru ini lebih kreatif dan mampu menambah minat murid-murid untuk meminati subjek bahasa Inggeris," ujarnya lagi.

Sementara itu, Guru Besar SK Tanjung Bijat, Fadzli Mohd. Edon berkata, program yang dijalankan di sekolahnya itu terbukti telah berjaya membawa kepada peningkatan dalam pembelajaran murid-murid.

"Program ini sememangnya banyak membawa kebaikan kepada murid dan guru jika diambil manfaat penuh daripadanya.

"Selain itu, ibu bapa juga sangat seronok dengan usaha kerajaan dan pihak luar membawa kelainan positif yang terbukti dapat meningkatkan kualiti pendidikan anak-anak mereka seterusnya menambah minat murid untuk datang ke sekolah.

''Program yang bermanfaat ini diharap dapat diperluaskan ke lebih banyak sekolah bagi memberi faedah serta manfaat berguna kepada murid-murid," jelasnya.





Sumber







Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...