Photobucket

Sahabat Maya :

Wednesday, June 13, 2012

Tabung Haji didik murid menabung






Tabung Haji didik murid menabung




MURID Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 27 (2), Shah Alam, Selangor, berpeluang membuka akaun Tabung Haji serta menjadi ahli Kelab TaHa melalui tajaan Tabung Haji daerah itu, baru-baru ini.

Majlis penyerahan buku akaun dan kad keahlian itu membabitkan 842 pelajar berlangsung di sekolah berkenaan sebagai simbolik penyertaan. Majlis perasmian disempurnakan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Seksyen 27 (2), Nasaruddin Ahmad.
Hadir sama, Pengurus Lembaga Tabung Haji Shah Alam, Sazali Saliman dan Guru Besar, Mohamad Napis.
Nasaruddin berkata, pihak sekolah berterima kasih kepada Tabung Haji Shah Alam kerana memilih pelajar sekolah berkenaan menerima tajaan sekali gus membolehkan mereka menikmati faedah sebagai ahli kelab.

“Inisiatif Tabung Haji itu bertujuan memupuk minat menabung dalam kalangan murid sekali gus membuka peluang mereka mengerjakan haji di usia muda,” katanya.

Sementara itu, Sazali berkata, penubuhan Kelab TaHa pula bertujuan menanam minat berjimat cermat dengan membelanjakan wang saku secara berhemah.

Beliau berkata, anggota berpeluang mengikuti pelbagai program selain membangkitkan keinginan mereka menyahut laungan kaabah pada usia muda selain menjayakan program tanggungjawab sosial korporat.
“Sebagai ahli Kelab Taha, pelajar berpeluang menikmati banyak keistimewaan antaranya keahlian percuma, potongan harga pada lebih 200 rangkaian Rakan Kelab TaHa seluruh negara.

“Selain itu, ahli kelab juga berpeluang menyertai klinik bimbingan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mendapat anugerah kecemerlangan serta menyertai peraduan menarik disediakan pengajur,” katanya.

Sementara itu seorang ahli kelab, Karith Nazim Nizam, 11, berkata dia gembira kerana dapat membuka akaun Tabung Haji pada usia muda sekali gus menjadi ahli Kelab TaHa.

“Saya harap dapat menyertai banyak aktiviti khas untuk ahli kelab terutama mengikuti program bimbingan peperiksaan,” katanya.










No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...