Photobucket

Sahabat Maya :

Tuesday, June 26, 2012

Rahsia sujud dalam solat




Rahsia sujud dalam solat




SOLAT adalah perintah yang sampaikan Allah secara terus kepada Nabi Muhammad s.a.w berbanding perintah yang lain seperti puasa, zakat dan haji.





Mungkin ada di kalangan kita tidak sedar mengenai hikmah yang tersembunyi ketika sujud.





Tiada suatu pun ciptaan dan suruhan Allah yang sia-sia. Malah setiap ciptaan itu mempunyai kelebihan yang selalunya tidak terjangkau akal manusia.




Manusia melakukan sujud dalam dua bentuk iaitu sujud fizikal ketika bersolat dan sujud spiritual berbentuk ketaatan kepada perintah Allah serta menjauhi larangannya.





Ulama mengatakan sujud ketika solat adalah waktu manusia paling hampir dengan Allah dan mereka menggalakkan kita bersujud lebih lama.





Manusia paling dekat dengan Allah ketika sujud solat. Daripada Anas, katanya, Rasulullah bersabda yang bermaksud:




“Sempurnakanlah sujudmu!


Jangan membentangkan dua siku


seperti anjing (tidur).”




Sujud ialah meletakkan kepala di bumi. Ketika sujud, fikiran berada lebih rendah daripada hati. Ulama mengatakan, sujud ketika solat adalah waktu manusia paling hampir dengan Allah.




Ketika seseorang mengerjakan solat, berpuluh-puluh iblis datang menggoda. Sesetengahnya datang pada setiap anggota badan supaya datang perasaan malas dan was-was, terlupa bilangan rakaat dan bimbang pada pekerjaan dunia yang ditinggalkannya.




Mereka juga sentiasa hendak cepat, hilang khusyuk dengan mata menjeling ke kiri ke kanan, telinga sentiasa mendengar orang bercakap serta bunyi sekitarnya.




Malah ada juga iblis yang duduk di belakang badan orang yang solat supaya mereka tidak dapat sujud lama kerana penat. Apabila sujud, kita digalakkan bertafakur beberapa ketika.




Dari sudut kesihatan, bersujud boleh mengelak penyakit pening atau migrain. Ini dibuktikan saintis yang membuat kajian kenapa dalam sehari kita perlu bersujud.




Ahli sains menemui ada beberapa milimeter ruang udara dalam saluran darah di kepala yang tidak dipenuhi darah. Apabila bersujud, darah mengalir ke ruang berkenaan.




Dalam solat, cara sujud mestilah mengikut kaedah paling sempurna iaitu turun ke bawah dengan tangan, meletakkan ia ke bawah sebelum lutut.




Jadikan tapak tangan sama aras dengan kedua-dua bahu. Tidak meletakkan (melebarkan) lengan di tanah seperti anjing. Letakkan hidung dan dahi di atas tempat sujud.




Begitu juga dengan lutut serta jari kaki. Semua anggota itu menentukan sempurna atau tidak sujud seseorang dalam solat seperti yang diperintahkan Rasulullah.




Antara hikmah lain sujud termasuk melegakan sistem pernafasan dan mengembalikan kedudukan organ ke tempat asalnya.




Sementara bernafas ketika sujud boleh membetulkan kembali kedudukan buah pinggang yang terkeluar sedikit dari tempat asalnya, membetulkan pundi peranakan yang jatuh, melegakan sakit hernia (burut), mengurangkan sakit senggugut ketika haid, melegakan paru-paru daripada ketegangan dan mengurangkan kesakitan bagi pesakit apendiks atau limpa.




Selain itu, sujud dapat mengimbangi lingkungan bahagian belakang tubuh, meringankan bahagian pelvis, memberi dorongan supaya mudah tidur, dapat menggerakkan otot bahu, dada, leher, perut serta punggung dan otot lebih kuat dan elastik supaya dapat memastikan kelancaran perjalanan darah yang baik.




Bagi wanita, pergerakan otot itu menjadikan buah dadanya lebih baik, mudah berfungsi untuk menyusukan bayi dan terhindar daripada sakit di bahagian berkenaan, mengurangkan kegemukan, memudahkan wanita bersalin, organ peranakan mudah kembali ke tempat asal serta terhindar daripada sakit gelombang perut.




Sujud yang lama juga menambahkan kekuatan aliran darah ke otak yang boleh mengelakkan pening kepala dan migrain, menyegarkan otak serta menajamkan akal fikiran.




Menurut kajian, terdapat beberapa urat saraf di dalam otak manusia yang tidak dimasuki darah, padahal setiap inci otak manusia memerlukan darah yang cukup untuk berfungsi secara normal dan sempurna.




Dari sudut psikologi, sujud membuatkan seseorang hamba berasa rendah diri terhadap Allah dan dapat mengikis sifat sombong, riak dan takbur.





Sumber











Teruskan membaca..

Denda minimum RM300 pandu lebih had laju


lawak budak sekolah..:)



Denda minimum RM300 pandu lebih had laju


KUALA LUMPUR: Denda minimum kesalahan memandu melebihi had laju ditetapkan RM300, manakala had maksimum dinaikkan sehingga RM2,000 atau boleh dipenjara maksimum tiga bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.






Ia adalah kenaikan sekali ganda bagi kesalahan itu apabila Subseksyen 26(2) dalam Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2012 dijangka diluluskan Dewan Rakyat minggu ini berbanding denda maksimum RM1,000 sekarang.






Ketika ini, tiada had denda minimum ditetapkan untuk kesalahan berkenaan. Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2012 dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri pada sidang Dewan Rakyat, semalam. Ia bertujuan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987.






Selain itu, pindaan Subseksyen 26(2) Rang Undang-undang terbabit memperuntukkan denda minimum dan maksimum yang sama bagi kesalahan memandu tanpa lesen atau penjara maksimum tiga bulan atau kedua-duanya sekali.







Pemandu atau pejalan kaki yang mengabaikan arahan dan isyarat lalu lintas diberikan anggota polis atau warden lalu lintas pula boleh didenda minimum dan maksimum yang sama melalui pindaan Subseksyen 79(2) berbanding denda maksimum RM500 sekarang.







Selain itu, Seksyen 76A yang baru diperkenalkan dalam rang undang-undang itu membenarkan pemandu membelok ke kiri di simpang lalu lintas yang ada dipasang isyarat membenarkan membelok ke kiri jika pemandu mendapati selamat untuk berbuat demikian.






Sesiapa melanggar seksyen berkenaan boleh didenda minimum RM300 dan maksimum RM2,000.







Rang undang-undang itu turut memasukkan takrif baru ‘basikal elektrik’ yang diistilahkan ‘sikal’ dengan bantuan kayuh dilengkapi motor elektrik sokongan yang ada kuasa berkadar berterusan maksimum 0.25kW.







Output basikal elektrik itu berkurangan secara beransur-ansur dan akhirnya terhenti apabila kenderaan mencapai kelajuan 25km/j atau sebelumnya jika penunggang berhenti mengayuh.






Teruskan membaca..

Monday, June 25, 2012

MRSM Tun Ghafar Baba ungguli debat ASeAn


MRSM Tun Ghafar Baba

ungguli debat ASeAn

PELAJAR MRSM Tun Ghafar Baba, dari kiri; Khairul Rijal, Ammaina, Nadira Akma dan Muhammad Irsyad menunjukkan piala kejuaraan debat MRSM - Sekolah-Sekolah ASEAN 2012.
PELAJAR MRSM Tun Ghafar Baba,
dari kiri; Khairul Rijal, Ammaina, Nadira Akma dan Muhammad Irsyad
menunjukkan piala kejuaraan debat MRSM - Sekolah-Sekolah ASEAN 2012.





Juara gondol wang tunai RM3,000 bersama piala pusingan







TANJUNG MALIM: Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Ghafar Baba, Melaka mengungguli Pertandingan Debat MRSM - Sekolah-Sekolah ASEAN 2012, kategori Bahasa Melayu, sekali gus merangkul wang tunai RM3,000, piala pusingan, piala iringan dan sijil.





Pendebat sekolah berkenaan diwakili Khairul Rijal Mohd Zuki, Nadira Akma Hamdan, Ammaina Jamaludin serta Muhammad Irsyad M Yasin, menewaskan pasukan saingan MRSM Pontian, Johor peringkat akhir.






Pertandingan debat berlangsung di MRSM FELDA, Trolak, dekat sini, turut menyaksikan Khairul Rijal, 17, diumumkan sebagai Pendebat Terbaik bagi kategori berkenaan dan menggondol wang tunai RM300.







Bagi kategori Bahasa Inggeris, pasukan MRSM Pengkalan Chepa, Kelantan yang diwakili Nur Nadhirah Syahmi Abdullah Zawawi, 16; Anis Nadhirah Hussein, Muhammad Husaini Ab Aziz dan Nurul Aniqah Shazween Muhamad Azman, masing-masing Tingkatan Lima, muncul juara dengan menewaskan MRSM Kuching.








Kumpulan itu membawa pulang wang tunai RM3,000 serta piala pusingan, piala iringan dan sijil penghargaan.







Mereka yang memperdebatkan tajuk 'This House Believes That It Is Time For ASEAN To Have A Parliament' memperlihatkan kematangan berhujah dalam Bahasa Inggeris yang akhirnya menyaksikan kategori Pendebat Terbaik Inggeris diraih, Nadhirah Syahmi.

Terdahulu Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malek ketika membacakan teks ucapan mewakili menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata pertandingan itu adalah satu pelaburan dalam usaha melahirkan pemimpin berkaliber pada masa depan.






Katanya, perdebatan adalah medan untuk pelajar mengasah bakat serta mengembangkan potensi, minda dan mencungkil kemahiran berfikir.







“Menerusi pertandingan seumpama itu, pelajar berpeluang melontarkan idea bernas, tepat dan jitu sebagai latihan mencipta diri menjadi pemimpin berkeupayaan menegakkan pendapat yang jelas dan kukuh,“ katanya.







Sementara itu, pendebat dari Sekolah Agama Tawalib Parabit, Bukit Tinggi di Indonesia, Muhammad Rizki Eka Putera,19, muncul Pendebat Terbaik Sekolah-Sekolah ASEAN dan membawa pulang wang tunai RM300, plak dan sijil.









Teruskan membaca..

Permainan kad (Pkad)

lawak budak sekolah.. :)



=========================================


Pkad mantap bahasa




JOHOR BAHRU: Kajian enam tahun seorang guru mencipta kaedah terbaik pembelajaran bahasa Malaysia berbaloi, apabila mencipta alat inovasi berbentuk permainan kad (Pkad) bagi memantapkan pemahaman subjek itu.




Guru Bahasa Malaysia Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Selesa Jaya, di sini, Abdullah Mohd Amin, 35, berkata, dengan hanya bermodalkan RM40, permainan itu terbukti mampu memantapkan pemahaman subjek itu.





Katanya, dia menggunakannya di dalam kelas pelajar yang lemah subjek berkenaan dan hasilnya meningkatkan prestasi mengarang dalam subjek Bahasa Malaysia.




“Permainan itu boleh dilakukan secara berkumpulan dan disertai sekurang-kurangnya tiga pelajar, seorang hakim, pencatat markah dan penjaga masa.




“Saya mencipta permainan ini sebagai galakan belajar dalam keadaan menyeronokkan, selain memberi dorongan kepada guru lain untuk lebih berinovasi bagi mengubah landskap pendidikan negara dan menaikkan semula penggunaan bahasa Malaysia dalam pembelajaran.




“Harapan saya, permainan ini dapat dikembangkan bukan saja di sekolah sekitar daerah ini, malah seluruh Johor kerana ia dapat membantu guru dan pelajar,” katanya di sini, baru-baru ini.




Abdullah berkata, permainan menggunakan 52 keping kad dengan setiap satu itu mempunyai 43 soalan berkaitan isu atau topik karangan umum. Ia membantu meningkatkan kemahiran pelajar menghafal secara pantas selain mencari isi penting karangan dengan cepat.




“Setiap kad mengandungi satu soalan berkaitan isi penting mengenai tema tertentu dan pemain menjawabnya.




“Sekiranya jawapan yang diberikan betul dan guru berpuas hati, markah diberikan kepada pemain berkenaan mengikut angka tertera pada kad.




“Sekiranya pemain gagal menjawab soalan dalam masa 30 saat yang diberikan, tambahan 15 saat diberi bagi membantu pelajar memberikan jawapan cepat,” katanya.




Pelajar Tingkatan Tiga SMK Taman Selesa Jaya, Ng Hui Jing, 15, menyifatkan permainan PKAD adalah pengalaman baru dan membantunya menguasai subjek bahasa selain meningkatkan kemahiran mengeluarkan isi penting dalam karangan.




“Melalui permainan ini, ia banyak mengajar kami mengeluarkan isi penting dengan cepat selain belajar dalam suasana lebih menyeronokkan,” katanya.





Sumber








Teruskan membaca..

Sunday, June 24, 2012

Roda Tajwid




HASHIMAH menunjukkan cara menggunakan Roda Tajwid kepada pelajar pada Program Jejak Inovasi Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Karnival Perpaduan di Putrajaya, semalam.
HASHIMAH menunjukkan cara menggunakan Roda Tajwid
kepada pelajar pada Program Jejak Inovasi
Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Karnival Perpaduan
di Putrajaya, semalam.





Usaha Hashimah diiktiraf peringkat Pusat






PUTRAJAYA: Kesusahan anak muridnya mempelajari hukum tajwid al-Quran mendorong seorang guru, Hashimah Md Yusoff, 40, menghasilkan Roda Tajwid bagi memudahkan proses pembelajaran itu.





Usaha guru Pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan Presint 9 (2), di sini itu bukan saja terbukti membantu meningkatkan prestasi muridnya, bahkan diiktiraf pada peringkat kebangsaan selepas menjadi naib johan pertandingan Guru Inovatif Kebangsaan 2011 baru-baru ini.





Hashimah yang berasal dari Melaka, berkata idea menghasilkan Roda Tajwid bermula dua tahun lalu selepas mendapati muridnya keliru dengan pelbagai hukum tajwid diajar, selain terpaksa merujuk pelbagai buku untuk memahaminya.







“Saya kemudian mengumpulkan semua sukatan pelajaran hukum tajwid ini dan menyusunnya dalam bentuk roda interaktif yang memudahkan murid menguasainya.







“Ternyata murid saya berminat mempelajarinya kerana ia bersifat ‘play learning’ dan kini, ada daripada mereka mendapat markah dua kali ganda berbanding sebelum ini,” katanya ketika ditemui ketika program Jejak Inovasi Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Karnival Perpaduan di sini, semalam.







Roda Tajwid adalah alat bantuan mengajar tajwid pertama di Malaysia yang mengikut sukatan pelajaran Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran.






Roda Tajwid memerlukan pelajar memusingkan roda kertas bagi memadankan hukum tajwid dengan huruf yang dicari serta warna sepadan untuk mengenal pasti nama hukum dan cara bacaan.







Hashimah berkata, Roda Tajwid akan dibukukan serta dijangka berada dalam pasaran hujung tahun ini, selain dipasarkan ke Indonesia, Singapura dan Thailand.







“Alhamdulillah, sambutan awal yang saya terima sangat menggalakkan dan saya juga bercadang untuk menghasilkan Roda Tajwid dalam bentuk e-pembelajaran,” katanya.







Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, dalam ucapan perasmian program itu, berkata rakyat perlu membudayakan sikap kreativiti dan inovasi khususnya di kalangan kanak-kanak bagi merealisasikan hasrat kerajaan melahirkan modal insan berkualiti ke arah negara berpendapatan tinggi.







“Pelbagai pengiktirafan disediakan kerajaan untuk memupuk minat golongan muda menghasilkan idea yang menggalakkan inovasi termasuk Anugerah Inovasi Negara dan Perdana Menteri," katanya. Ucapan beliau dibacakan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia, Mohd Aziph Mustafa.













Teruskan membaca..

Penghayatan agama mampu bentuk nilai murni remaja


Penghayatan agama

mampu bentuk nilai murni remaja




REMAJA ialah golongan yang mendominasi jumlah keseluruhan penduduk Malaysia. Menjelang 2020, bilangan ini dianggarkan akan meningkat kepada 20 juta. Belia sering dilabelkan sebagai aset berharga negara jadi tidak hairanlah setiap negara mengimpikan untuk melahirkan belia cemerlang.





Kita mengakui krisis sosial membabitkan remaja di negara ini dan perkara itu tidak sepatutnya dipandang sambil lewa. Masalah ini bukan masalah kecil kerana remaja bakal mewarisi pemerintahan negara.





Ibnu Khaldun pernah mengatakan, jika ingin melihat masa depan sesebuah negara maka lihatlah anak mudanya pada hari ini.






Remaja juga sering dikaitkan dengan mereka yang mempunyai perasaan ingin tahu, mencuba dan memberontak jika apa diinginkan tidak selari arahan serta kehendak ibu bapa. Remaja yang tidak dapat mengawal perasaannya akan mudah terjebak gejala sosial yang negatif.








Kenakalan remaja merujuk perbuatan dan aktiviti bertentangan norma masyarakat, undang-undang negara dan agama. Masalah seperti gangsterisme, buli, melepak, ponteng sekolah, merokok, pergaulan bebas, berzina, buang anak, penyalahgunaan dadah dan pil khayal dikatakan isu remaja.








Banyak sebab dikatakan punca keruntuhan moral remaja seperti asuhan dan kawalan ibu bapa, pengaruh rakan sebaya, keadaan persekitaran serta peranan media dan pelbagai dorongan yang datang hasil perkembangan semasa.







Justeru, strategi mengatasi masalah seharusnya ditumpukan pada faktor penyebab seperti pentingnya ibu bapa memberikan perhatian serius terhadap anak mereka. Ibu bapa mesti memerhati setiap gerak-geri atau pergerakan anak dan mengetahui rakan pergaulan mereka.






Selain itu penghayatan terhadap agama, nilai murni perlu ditingkatkan kerana anak yang mengikut ajaran agama akan membentuk keperibadian mulia. Oleh itu, untuk anak menjadi insan soleh dan solehah, ibu bapa perlu menunjukkan contoh teladan yang baik.








Sistem perundangan di sekolah juga perlu diwujudkan. Peruntukan undang-undang di peringkat sekolah boleh menimbulkan rasa takut dalam kalangan pelajar di samping mengurangkan beban dan tanggungjawab pihak sekolah mengawas disiplin.








Penguatkuasaan undang-undang oleh pihak berkuasa seperti polis perlu digunakan untuk mendisiplinkan remaja. Jika ada masalah semua pihak perlu merujuk kepada pihak berkuasa dan undang-undang.








Langkah pencegahan yang bersesuaian seperti kaunseling pada peringkat sekolah penting dalam membantu remaja mengatasi masalah mereka. Program ini akan lebih bermakna jika kaunselor berkelayakan dan berpengalaman dilantik memantapkan pelaksanaan kaunseling yang berkesan.








Remaja hari ini perlu menghiasi diri dengan ilmu yang kukuh, keimanan ampuh dan misi utuh. Ketiga-tiga senjata ini perlu untuk memperkukuhkan peribadi kumpulan yang menjadi aset negara baik dari segi sosial, agama, bangsa dan negara.








Bekalan ilmu dapat membantu mengharungi cabaran hidup masa kini dan alangkah ruginya jika zaman remaja tidak dimanfaatkan sebaiknya. Usia remaja hanya datang sekali dalam kehidupan, maka hargailah usia remaja itu.














Teruskan membaca..

Saturday, June 23, 2012

Nilai Kerajinan Yang Dibaja





3K mengekalkan momentum

keyakinan kakitangan




Oleh Sharifah Haayati





Penerapan nilai murni

dalam kalangan pekerja jamin kejayaan

sesebuah organisasi






MINGGU lalu saya berkongsi pandangan mengenai kerajinan sebagai asas kejayaan. Rentetan daripada itu, sering kali tanpa kita sedar kerajinan dalam kalangan pekerja tidak diurus dengan baik sehingga kerajinan pekerja tidak benar-benar membuahkan hasil diinginkan.






Dalam membangunkan sumber manusia, aspek nilai sememangnya penting kerana dengan cara itu ia akan menjadi modal insan dan aset tidak ternilai bagi organisasi. Selain kerajinan, nilai lain seperti amanah, ikhlas, jujur, bertanggungjawab dan dedikasi.
membangunkan modal insan di tempat kerja, usaha bukan sekadar membangunkan sahsiah melalui penerapan nilai murni tetapi menguruskannya juga mesti diberi perhatian. Usaha ini dapat mengekalkan momentum kerajinan sekali gus menjadikan pekerja rajin sebagai model.





Setiap nilai yang berjaya diterapkan perlu diurus atau dipelihara majikan dengan baik supaya ia terus berkembang, konsisten dan tidak pula sehingga membawa kemudaratan.







Justeru, membangunkan modal insan di tempat kerja, usaha bukan sekadar membangunkan sahsiah melalui penerapan nilai murni tetapi menguruskannya juga mesti diberi perhatian. Usaha ini dapat mengekalkan momentum kerajinan sekali gus menjadikan pekerja rajin sebagai model.







Memastikan kerajinan pekerja berterusan dan benar-benar membawa kebaikan hendaklah berdasarkan 3K iaitu keperluan, keutamaan dan kualiti kerja yang ditetapkan. Ketiga-tiga dasar ini akan memandu kerajinan supaya apa dilaksanakan menepati matlamat dan tiada kerja lebih utama terabai.







Keperluan kerja boleh ditentukan melalui matlamat, kepentingan jangka pendek dan jangka panjang organisasi yang ingin dicapai serta keperluan bertujuan mengelakkan kemudaratan. Kerajinan tanpa matlamat jelas tidak akan menghasilkan pencapaian dan menjadikan kerja sia-sia kepada organisasi.






Islam menekankan aspek keperluan supaya kerajinan yang ada, diurus dan diletakkan pada tempat yang sesuai dan membuahkan kejayaan antaranya mengikut pandangan Prof Dr Yusuf al-Qaradawi dalam fiqh al-Awlawiyyat dan Imam Ibn Abd Al-Salam dalam Qawaid al-Ahkam.







Keutamaan kerja bagi perempuan turut ditekankan dalam Islam supaya umat Islam memahami apa yang perlu didahulukan atau dikemudiankan dalam beramal.







Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:





“Iman itu

mempunyai lebih daripada tujuh puluh pertingkat;

yang paling tinggi antaranya ialah

La ilaha illa Allah,

dan

yang paling rendah ialah

membuang penghalang yang ada di jalan.”

(Hadis riwayat Imam al-Bukhari)







Selain menunjukkan amalan yang kecil pun termasuk sebahagian daripada iman, hadis ini juga boleh menunjukkan tahap iman berdasarkan keutamaan beramal.







Dari aspek keutamaan ini, pertimbangan kerajinan bekerja boleh dibuat dengan melihat kepada tempoh masa diperuntukkan, sulit atau mudahnya tugasan, kemaslahatan pelanggan dan organisasi, keuntungan atau kerugian.







Sebagai umat Islam, penumpuan kepada aspek keutamaan ini dipelajari melalui pelaksanaan kewajipan ditetapkan berdasarkan hukumnya sama ada wajib, sunat, makruh, harus dan haram. Kesemua kategori hukum menunjukkan keperluan, kepentingan, keutamaan, kualiti suruhan, amalan dan larangan.







Kerajinan juga perlu dipandu ke arah kualiti supaya ia tidak sekadar melaksanakan tugasan dengan cepat tetapi secara cuai dan sambil lewa. Dengan kata lain, hasil kerjanya tidak sempurna, memuaskan dan menepati standard ditetapkan.







Sedangkan Rasulullah SAW bersabda bermaksud:






“Sesungguhnya Allah

mencintai orang yang apabila dia melakukan

sesuatu dia melakukannya dengan sebaik-baiknya.”

(Hadis riwayat Imam al-Baihaqi)







Justeru, penekanan dalam bekerja bukan saja kerja keras tetapi kerja secara cekap. Peribahasa Melayu ada menyebut, ‘alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan’, ‘alang-alang berdakwat, biarlah hitam” menunjukkan pentingnya sesuatu kerja itu ditunaikan dengan sempurna.







Amalan Islam amat menitikberatkan kualiti seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:







“Apabila saya memerintahkan

sesuatu perkara kepada kalian,

maka lakukanlah semampu kalian.”

(Hadis riwayat Imam al-Bukhari)







Kerajinan yang membawa kepada kemudaratan diri perlu dikategorikan sebagai kerajinan tidak berkualiti kerana Rasulullah mengingatkan:







“Jauhilah kalian

sikap berlebih-lebihan (dalam melakukan ibadat).”

(Hadis riwayat imam al-Nasa’i)







Kerajinan tanpa hasil berkualiti menyebabkan kerja dan nilai diri pekerja itu tidak dihargai organisasi. Ini perlu dielakkan berlaku kerana apabila kerajinan tidak dihargai ia akan membantutkan nilai kerajinan itu sendiri.







Walaupun rajin adalah tabiat, jika tidak dihargai, lama kelamaan sekali pun individu yang rajin tidak berminat meneruskan usahanya. Justeru, marilah kita memastikan nilai kerajinan yang dibaja diletakkan pada tempatnya serta diurus dengan baik sebagai jaminan kualiti kejayaan organisasi.










Penulis ialah

pensyarah di Jabatan Siasah Syariyyah,

Akademi Pengajian Islam,

Universiti Malaya (UM)























Teruskan membaca..

Urus Hati Dan Iman



Pasang surut iman



MENYEBUT soal keimanan, ia waktu pasang dan surutnya bertambah atau berkurangan. Apabila bertambah amalan dan ketaatan, itu petanda iman sedang pasang manakala sekiranya semakin berkurangnya amalan dan bertambah pula kemaksiatan, itu tandanya iman semakin surut.




Sebagai renungan, mari sama-sama kita berkongsi kenapa dan apa sebabnya iman boleh menurun dan merosot supaya ia menjadi sempadan dan pedoman dalam menguruskan hati dan iman supaya sentiasa segar.





Antara sebab turunnya kadar iman seseorang kerana:




  • Kebodohan

    Kebodohan adalah pangkal daripada pelbagai perbuatan buruk. Seseorang berbuat jahat boleh jadi kerana dia tidak tahu bahawa perbuatan itu dilarang agama.

    Mereka juga mungkin tidak tahu ancaman dan bahaya yang akan dihadapinya kelak di akhirat atau ia tidak tahu keperkasaan Sang Maha Kuasa yang mengatur denyut jantungnya, mengatur musibah dan rezekinya.


  • Tidak peduli

    Tidak peduli menyebabkan fikiran seseorang diisi dengan hal duniawi yang mereka sukai (yang dia pedulikan), sedangkan yang bukan dia sukai tidak diberi tempat di fikirannya.

    Itu menyebabkan dia tidak ingat (zikir) kepada Allah, sifatnya tidak tulus, tidak mempunyai rasa takut dan malu (kepada Allah), tidak berasa berdosa (tidak perlu taubat) dan boleh jadi dia menjadi sombong kerana tidak merasakan pentingnya berbuat rendah hati dan sederhana.

    Keengganan seseorang melakukan kebaikan padahal dia tahu hal itu diperintahkan Allah, maka dia termasuk orang yang menzalimi (melalaikan) dirinya sendiri.

    Allah akan mengunci hatinya dari jalan yang lurus (Surah al-Kahfi 18:5) dan dia akan menjadi teman syaitan (Surah Thaaha 20:124).

    Melupakan kewajipan dan kepatuhan seseorang dalam beribadah daripada sifat lalai atau lemah hatinya.

    Waktunya perlu didorong supaya dapat diisi dengan lebih banyak perbuatan amal soleh. Kalau tidak, kesenangan duniawi akan semakin menguasai dirinya hingga dia semakin jauh daripada mengingati Allah.


  • Berterusan melakukan perbuatan dosa

    Awal daripada perbuatan dosa adalah sikap tidak patuh terhadap perintah dan larangan Allah. Perbuatan

    dosa umumnya dilakukan secara bertahap, contohnya dimulai daripada zina pandangan mata yang dianggap dosa kecil kemudian berkembang menjadi zina tubuh.

    Dosa kecil yang dilakukan adalah proses pendidikan jahat untuk melakukan dosa besar. Justeru, jauhilah daripada melakukan dosa kecil sebelum ia tumbuh menjadi dosa besar.


  • Jiwa yang selalu mendesak melakukan perkara jahat

    Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah mengatakan, Allah menggabungkan dua jiwa iaitu jiwa jahat dan jiwa yang tenang dalam diri manusia.

    Mereka saling bermusuhan dalam diri seorang manusia. Ketika salah satunya kian lemah, maka yang lain akan terus kuat.

    Perang antara kedua-duanya berlangsung sehingga mereka meninggal dunia. Sungguh rugi orang-orang yang jiwa jahatnya menguasai diri.

    Rasulullah bersabda yang bermaksud: “...barang siapa yang diberi petunjuk Allah maka tidak ada yang dapat menyesatkannya, dan barang siapa yang disesatkannya maka tidak ada seorangpun yang dapat memberinya petunjuk”.

    Sifat lalai, tidak mahu belajar agama, sombong dan tidak peduli adalah beberapa cara membenamkan jiwa jahat dalam tubuh manusia.

    Sedangkan sifat rendah hati, mahu belajar, melakukan muhasabah diri adalah cara menguatkan jiwa kebaikan yang ada dalam tubuh kita.


    Sebab-sebab luaran diri kita pula ialah:

  • Syaitan

    Syaitan adalah musuh manusia yang sentiasa berusaha untuk merosakkan keimanan seseorang. Siapa saja yang tidak menghalangi dirinya akan menjerumuskan diri dalam kesesatan.


  • Pujukan dan rayuan dunia

    Allah berfirman yang bermaksud: “Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-bangga mengenai banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keredaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu”.(Surah al-Hadiid 57:20).

    Tujuan hidup manusia seluruhnya adalah untuk mengejar akhirat. Apapun kegiatan dunia yang kita lakukan seperti mencari nafkah, menonton televisyen, bertemu teman dan keluarga, semua itu bertujuan untuk meraih pahala di akhirat.

    Ibnu al-Qayyim mengibaratkan hati sebagai wadah bagi tujuan hidup manusia (akhirat dan duniawi) dengan daya tampung tertentu.


  • Pergaulan buruk

    Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Seseorang itu terletak pada agama teman dekatnya, sehingga masing-masing kamu sebaiknya melihat kepada siapa dia mengambil teman dekatnya” (Hadis riwayat Tirmidzi, Abu Dawud, al-Hakim, al-Baghawi).

    Seorang teman yang soleh selalu memperhatikan perintah dan larangan Allah kerana dia selalu mengajak siapa saja orang di sekitarnya menuju ke arah kebaikan dan mengingatkan mereka apabila mendekati kemungkaran.

    Bersahabat dengan orang soleh sangat penting untuk kita miliki pada zaman ini kerana pergaulan manusia sangat bebas dan tidak lagi memperhatikan nilai Islam.


  • Sumber







    Teruskan membaca..

    Thailand guna polis ajar murid









    Hindar pergaduhan di sekolah vokasional





    BANGKOK: Kementerian Pendidikan Thailand merancang untuk menggunakan khidmat pegawai polis mengendalikan beberapa kelas di sekolah vokasional dalam usaha untuk menghalang pergaduhan di kalangan pelajar.




    “Satu inisiatif seperti ini membuktikan kejayaan di Taiwan,” kata Menteri Pendidikan, Suchart Tadathamrongvej selepas satu mesyuarat bersama ketua polis Thailand, Jeneral Priewpan Damapong.





    Mungkin kita akan mendapatkan polis kawalan sempadan dari Naresuan Camp atau polis komando untuk mengajar pelajar terbabit mengenai disiplin, etika dan subjek berguna lain. - Jeneral Priewpan Damapong, ketua polis Thailand





    “Mungkin kita akan mendapatkan polis kawalan sempadan dari Naresuan Camp atau polis komando untuk mengajar pelajar terbabit mengenai disiplin,

    etika dan subjek berguna lain,” kata Priewpan.






    Menurutnya, pegawai polis biasanya terbabit di sekolah vokasional untuk mengetuai operasi mencari senjata yang disembunyikan di kalangan pelajar.







    “Tetapi kementerian pelajaran percaya bahawa kita juga perlu mendapatkan khidmat anggota polis supaya turut mengajar di sekolah berkenaan,” katanya sambil menambah bahawa pergaduhan di kalangan pelajar vokasional adalah satu masalah sosial.






    Sementara itu, Suchart berkata pergaduhan di kalangan pelajar vokasional merebak ke wilayah berhampiran Bangkok.







    “Ia menjejaskan sebanyak 36 sekolah vokasional, kebanyakan adalah di Samut Prakan dan Bang Kapi, Bang Khae serta daerah Don Muang di Bangkok,” katanya sambil menambah bahawa sebanyak 130 pelajar didapati sering kali terbabit dalam keganasan.







    “Saya akan mengkaji maklumat sejak tiga tahun lepas untuk mencari penyelesaiannya,” katanya.







    Suchart menambah bahawa sebelum ini guru-guru di sekolah vokasional melayan pelajar seperti kanak-kanak, bertindak selaras dengan Akta Perlindungan Kanak-Kanak.







    “Jadi pelajar yang tidak memakai pakaian seragam mereka sering kali disifatkan sebagai mendatangkan masalah,” katanya. – Agensi









    Sumber













    Teruskan membaca..

    CUEPACS cadang cuti tanpa rekod untuk tunai umrah





    CUEPACS cadang

    cuti tanpa rekod

    untuk tunai umrah





    LANGKAWI: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan mempertimbangkan pemberian cuti tanpa rekod bagi penjawat awam menunaikan umrah.




    Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata CUEPACS akan membuat usul rasmi kepada kerajaan berhubung perkara tersebut dalam masa terdekat.



    "Bermula Januari 2009, cuti rehat penjawat awam dikurangkan dari 30 hari hingga 35 hari setahun kepada 17 hingga 25 hari. Penjawat awam hanya dibenar mengambil cuti tanpa rekod untuk aktiviti membabittkan negara atau negeri sahaja dan perlu mengambil cuti rehat atau tanpa gaji untuk menunaikan umrah.



    "Ramai penjawat awam yang menunaikan umrah terpaksa menggunakan cuti rehat atau mengambil cuti tanpa gaji. Jadi kita minta kerajaan pertimbangkan semula penggunaan cuti tanpa rekod untuk tujuan itu," katanya kepada pemberita, di sini

    hari ini.




    Beliau berkata cadangan itu wajar kerana kebanyakan penjawat awam, terutamanya wanita, banyak mengambil cuti rehat bagi menguruskan pelbagai perkara.





    "Kadang-kadang penjawat awam wanita terpaksa mengambil cuti tanpa gaji untuk menjaga suami, ibu, bapa dan anak-anak yang sakit kerana cuti rehat mereka sudah habis," katanya.




    Katanya, CUEPACS juga akan mengusulkan agar penjawat bukan Islam menikmati kemudahan cuti tanpa rekod untuk melancong sambil belajar.





    "Contohnya kita bagi peruntukan selama 10 hari kepada mereka dan mereka boleh pergi melancong di mana-mana negara yang mereka mahu dengan tujuan untuk meningkatkan ilmu tetapi dengan syarat masti pergi dengan kumpulan, bukannya

    individu," katanya.




    Omar berkata, CUEPACS akan membawa usul itu menerusi permohonan menambah baik kebajikan penjawat awam selaras dengan usaha kerajaan menambah baik perkhidmatan

    awam menerusi penubuhan Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam. - BERNAMA







    Teruskan membaca..

    LinkWithin

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...