Photobucket

Sahabat Maya :

Saturday, January 28, 2012

Semakan Penempatan Program Pensiswazahan Guru Ambilan Februari 2012 bagi PPPLD


Semakan Penempatan

Program Pensiswazahan Guru

Ambilan Februari 2012

bagi PPPLD






Sukacita dimaklumkan bahawa

keputusan dan penempatan bagi

Program Pensiswazahan Guru

Ambilan Februari 2012

bagi PPPLD

telah boleh disemak di sini.



Sebarang pertanyaan berkenaan program

sila hubungi pihak

Bahagian Pendidikan Guru di

03 8884/ 1269/1270/ 1272/ 1053 .

Teruskan membaca..

Hubungan baik kakitangan, majikan hindari tekanan




Persekitaran manusiawi


galak kecemerlangan budaya kerja






Hubungan baik kakitangan, majikan hindari tekanan







PERSEKITARAN manusiawi dengan nilai insani adalah faktor utama merangsang suasana ceria kehidupan termasuk di tempat kerja. Walaupun bekerja dalam bangunan tinggi mencakar langit, luas, disediakan segala kelengkapan dan teknologi canggih, belum menjamin keseronokan bekerja.






Tanpa persekitaran manusiawi antara rakan sekerja dan majikan yang baik, ia boleh menyebabkan pekerja berasa tertekan atau tidak bermotivasi untuk datang ke pejabat. Persekitaran manusiawi dimaksudkan yang mengamalkan nilai saling hormat menghormati, berbaik sangka dan bekerjasama.






Apabila nilai saling menghormati diamalkan, seseorang akan menjaga lidah daripada mengeluarkan kata-kata kasar, kesat dan sindiran antara satu sama lain walaupun dengan pekerja bawahan. Sifat berbaik sangka pula, akan menghindarkan pandangan negatif, fitnah dan dendam sementara sifat saling bekerjasama menghindarkan hasad dengki, mementingkan diri sendiri serta egoisme.






Tiga nilai utama ditekankan Rasulullah SAW itu juga membentuk ketakwaan. Apabila nilai saling menghormati diamalkan, seseorang akan menjaga lidah daripada mengeluarkan kata-kata kasar, kesat dan sindiran antara satu sama lain walaupun dengan pekerja bawahan.






Sifat berbaik sangka pula, akan menghindarkan pandangan negatif, fitnah dan dendam sementara sifat saling bekerjasama menghindarkan hasad dengki, mementingkan diri sendiri serta egoisme.








Semua sifat negatif ini boleh berlaku di tempat kerja sehingga mewujudkan ‘politik pejabat’ yang tidak sihat secara senyap dan budaya kerja menjejaskan kualiti.






Sabda Rasulullah SAW:





“Jangan kamu saling berdengki,

bersaing dalam menawar harga untuk menjatuhkan orang lain,

benci dan bermusuhan serta jangan kamu menjual barangan

untuk merugikan yang lain. Jadilah kamu

hamba Allah yang bersaudara.

Orang Muslim itu saudara Muslim yang lain,

tidak boleh menzaliminya,

menghina mahupun merendahkannya.

Takwa itu ada di sini (Rasulullah menunjuk ke dadanya tiga kali).

Cukuplah seseorang itu dianggap jahat

sekiranya menghina saudaranya yang Muslim.”

(Hadis riwayat Muslim)






Sejarah Rasulullah SAW membuktikan faktor persekitaran manusiawi bukan sekadar mampu membina kejayaan sebuah organisasi atau individu tetapi hasil menggembleng tenaga antara kaum Muhajirin dan Ansar berjaya membentuk negara Madinah makmur yang diurus tadbir Rasulullah SAW dalam masyarakat berbeza puak serta kabilah.







Walaupun dengan segala kekurangan material, apabila manusia bersatu hati, saling menghormati dan bekerjasama, ia berjaya direalisasikan. Gambaran sifat kaum Ansar diceritakan kaum Muhajirin kepada Rasulullah SAW menggambarkan persekitaran manusiawi yang unggul.






Diriwayatkan Imam Ahmad dalam Musnadnya daripada Anas, mereka berkata:






“Wahai Rasulullah,

kami belum pernah bertemu dengan satu kaum

yang sangat pemurah, jika sedikit yang mereka ada,

mereka tidak berkira. Jika banyak yang mereka ada,

mereka memenuhi segala keperluan kami

serta berkongsi kegembiraan mereka dengan kami,

sehinggakan kami bimbang mereka akan membolot

semua pahala. Nabi bersabda:

Tidak, selagi kamu memuji mereka dan selagi kamu berdoa

kepada Tuhan untuk mereka.”






Antara sifat mereka juga ialah saling mendoakan seperti firman Allah yang bermaksud:





“Dan orang yang datang sesudah mereka berkata:

Wahai Tuhan kami,

ampunkan kami dan saudara kami

yang sudah mendahului kami dalam beriman

dan jangan Engkau jadikan dalam hati kami

perasaan iri hati terhadap orang beriman.

Wahai Tuhan kami,

sesungguhnya Engkau Maha Mengasihani.”


(Surah al-Hasyr, ayat 10)







Anas bin Malik, pembantu Rasulullah SAW juga menceritakan bagaimana beliau tidak pernah dikasari Baginda walaupun sekali selama lebih daripada 10 tahun menjadi pembantu Baginda. Baginda tidak pernah sekalipun mengeluarkan kata-kata kasar kepadanya seperti menyebut ‘cis’ dan mengapa kamu tidak buat begitu? (Hadis Muttafaq ‘Alaih)






Hubungan majikan dan pekerja antara Rasulullah SAW dan Anas adalah model hubungan manusiawi yang hebat untuk dicontohi sesuai perkembangan peradaban manusia. Justeru, persekitaran manusiawi dengan nilai insani, sikap, cara bekerja boleh mempengaruhi serta membantu orang lain mencapai keselesaan dan keseronokan bekerja.






Beruntunglah jika kerana kita pekerja lain merasa gembira untuk bekerja dan bimbanglah jika berlaku sebaliknya kerana menurut sabda Rasulullah SAW memasukkan kegembiraan dalam diri seseorang itu adalah akhlak mulia.







Justeru, mengurus kerja dan organisasi juga bermaksud mengurus hubungan secara manusiawi dengan membudayakan kerja cemerlang berdasarkan amalan nilai insani.








Penulis ialah pensyarah di

Jabatan Siasah Syar’iyyah,

Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya







Teruskan membaca..

Friday, January 27, 2012

Institut Wasatiyyah bukti komitmen pemimpin perkasa peradaban Islam





Institut Wasatiyyah bukti komitmen


pemimpin perkasa peradaban Islam




Oleh Dr Adanan Mat Junoh

KETIKA Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, beliau menubuhkan Institut Islam Hadhari selaras dengan konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan ketika itu. Institut yang ditempatkan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu antara lain berperanan sebagai pusat penyelidikan yang memperkasa peradaban Islam di samping mewujudkan jaringan ilmiah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dalam kalangan cendekiawan peradaban.





Kini institut itu berkembang pesat dan berperanan aktif memperkasakan peradaban Islam melalui pelbagai aktiviti ilmiah seperti seminar, forum, penyelidikan dan penerbitan. Kita yakin Institut Islam Hadhari akan terus berfungsi dengan berkesan dalam membangunkan masyarakat dan negara secara menyeluruh berdasarkan perspektif tamadun Islam seperti yang dihasratkan oleh mantan Perdana Menteri itu.
Beliau tentu mengharapkan lebih banyak institut akan ditubuhkan untuk menangani isu semasa khususnya berkaitan umat Islam kerana Institut Islam Hadhari saja tidak memadai untuk berdepan pelbagai permasalahan yang semakin kompleks.





Penubuhan institut ini akan membuka mata masyarakat dunia khususnya Barat bahawa Malaysia adalah antara negara Islam yang terawal mempromosi kesederhanaan global. Lebih penting daripada itu, inisiatif ini memperlihatkan keupayaan Malaysia sebagai contoh kepada dunia.





Justeru, ketika merasmikan Persidangan Pergerakan Kesederhanaan Global di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penubuhan Institut Wasatiyyah. Saya sangat yakin bahawa, idea menubuhkan institut itu sudah lama bersarang dalam fikiran Perdana Menteri, cuma menunggu masa dan ketika sesuai untuk diumumkan.




Sehubungan itu, pengumuman penting dibuat di hadapan hampir 300 delegasi dari dalam dan luar negara termasuk pemimpin utama dunia dilihat amat tepat pada masanya. Lebih-lebih lagi pengumuman itu dibuat ketika dunia berdepan pelbagai krisis seperti krisis kemanusiaan, budaya, ekonomi dan politik serta kegiatan ekstrem yang semakin berleluasa.




Komitmen kerajaan meletakkan Islam sebagai agama dihormati pada peringkat global semakin terpancar apabila Perdana Menteri turut mengumumkan penubuhan Kerusi Wasatiyyah di Universiti Malaya serta Yayasan Pergerakan Kesederhanaan Global pada majlis sama. Iltizam kuat kerajaan untuk melihat institut itu menjadi pemangkin kepada gerakan kesederhanaan di Malaysia dan antarabangsa terserlah apabila pemimpin nombor satu negara itu membuat keputusan yang sangat tepat dengan meletakkan Institut Wasatiyyah di bawah pengawasan Jabatan Perdana Menteri.




Istilah wasatiyyah mungkin agak baru bagi sebahagian daripada rakyat Malaysia dan umat Islam walaupun konsep wasatiyyah adalah pendekatan sangat dituntut Islam. Menurut Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin dan Prof Datuk Dr Khairil Annas Jusoh, dua nama besar di Jabatan Perdana Menteri dalam penulisannya yang berjudul Pendekatan Wasatiyyah Dalam Mengahayati 1 Malaysia, wasatiyyah berasal dari perkataan ‘wasat’ bermaksud pertengahan dan seimbang.




Perkataan lain yang sama dengan perkataan ini adalah i’tidal yang membawa maksud tidak melampau dalam setiap perkara dan menunaikan hak kepada yang berhak. Penulis ini seterusnya menjelaskan dalam bahasa Inggeris perkataan wasatiyyah bermaksud ‘middle’ atau ‘balance’. Oleh demikian, secara umumnya pendekatan wasatiyyah bermaksud amalan kesederhanaan dan berimbang yang berpaksi kepada ajaran Islam secara menyeluruh demi kesejahteraan ummah dan dunia sejagat.




Sama seperti Institut Islam Hadhari, penubuhan Institut Wasatiyyah adalah agenda besar kerajaan menyelesaikan permasalahan umat Islam. Di institusi pengajian tinggi, kita menyaksikan penubuhan pusat kecemerlangan khusus untuk menyelesaikan isu berdasarkan bidang tujuhan universiti melalui kegiatan penyelidikan, penerbitan dan konsultasi.




Demikian juga dengan Institut Wasatiyyah. Seluruh lapisan masyarakat sama ada di dalam atau luar negara sedang menunggu dengan penuh minat impak penubuhan institusi ini terhadap umat Islam. Penubuhan institusi ini adalah landasan terbaik memastikan segala intipati wasatiyyah diaplikasikan dalam kehidupan manusia khususnya dalam kalangan umat Islam.




Pada masa sama Institut Wasatiyyah dijangka berperanan secara aktif menjawab segala kekeliruan berkenaan Islam melalui pelbagai penerbitan ilmiah serta dialog dan forum bertaraf antarabangsa. Penubuhan institut ini akan membuka mata masyarakat dunia khususnya Barat bahawa Malaysia adalah antara negara Islam yang terawal mempromosi kesederhanaan global. Lebih penting daripada itu, inisiatif ini memperlihatkan keupayaan Malaysia sebagai contoh kepada dunia yang mengamalkan kesederhanaan dalam pelbagai aspek termasuk pentadbiran, ekonomi, politik dan pembangunan fizikal.




Perdana Menteri tentu mempunyai perancangan tersendiri dalam menentukan hala tuju Institut Wasatiyyah demi kepentingan Islam dan rakyat khususnya penganut agama Islam. Segala perancangan dan gerak kerja institut ini tentu sekali selari perencanaan sedia ada kerajaan seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Model Baru Ekonomi (MBE).




Masyarakat Islam Malaysia perlu yakin bahawa Institut Wasatiyyah bakal memacu umat Islam ke hadapan seperti dilakukan oleh Institut Islam Hadhari. Umat Islam juga perlu yakin bahawa penubuhan kedua-dua institut ini adalah bukti bahawa kerajaan komited terhadap pembangunan Islam di negara ini.




Persoalannya, apakah kita bersedia untuk sama-sama memberi sumbangan bermakna dan berganding bahu bagi memajukan institut ini? Sesungguhnya komitmen dari setiap lapisan masyarakat amat diperlukan untuk memajukan sebuah institusi yang bakal menjadi kebanggaan bersama.




Penulis ialah Pensyarah Kanan


di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,


Universiti Sains Islam Malaysia











Teruskan membaca..

4 lagi universiti dapat autonomi



4 lagi universiti dapat autonomi





pix_gal0






Langkah wujud IPTA jadi institusi taraf antarabangsa, berdaya saing








PUTRAJAYA: Selepas Universiti Teknologi Malaysia (UTM), empat lagi universiti, Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) diberi autonomi semalam, bagi membolehkan pusat pengajian terbabit membuat perancangan sendiri dalam usaha menjadi institusi bertaraf antarabangsa.
Pemberian autonomi itu hanya diberikan dalam empat bidang iaitu tadbir urus institusi, kewangan dan penjanaan kekayaan; pengurusan sumber manusia dan pengurusan akademik serta kema-sukan pelajar.






Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata autonomi adalah prasyarat penting untuk mewujudkan persekitaran kampus yang dinamik melalui pengurusan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang lebih berdaya saing, kreatif dan anjal.






“Universiti selalu menyatakan mereka tidak mendapat kecemerlangan kerana wujud halangan dan kekangan akibat terikat dengan kaedah dan polisi kerajaan, jadi pemberian autonomi dengan penurunan kuasa bermakna tiada lagi alasan untuk mereka mencapai kecemerlangan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Amanat Tahun Baru 2012 yang bertemakan ‘Berfikiran Global Bertindak Glokal’ di sini, semalam.







Pemberian autonomi kepada lima universiti itu dibuat selepas melaksanakan proses audit menggunakan instrumen ‘Tadbir Urus Baik Universiti’ dan ‘Petunjuk Tadbir Urus Baik Universiti’.







Beliau berkata, walaupun lima universiti diberikan autonomi dalam kemasukan pelajar, pelajar tetap perlu memohon kemasukan universiti menerusi Unit Pusat Universiti (UPU).
“Bagaimanapun, lima universiti akan dapat memilih dulu mana-mana pelajar yang memohon menerusi UPU dan mereka sendiri yang akan menentukan kesesuaian kursus kepada pelajar berkenaan serta pemberitahuan mengenai kemasukan ke lima universiti itu dibuat oleh pihak universiti sendiri,” katanya.







Mengenai Pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, Mohamed Khaled berkata, ia bukan tiket kebebasan mutlak, jauh sekali membenarkan pelajar melakukan aktiviti subversif sehingga mengganggu keselamatan awam.







Beliau berkata, pindaan AUKU juga akan mengekalkan persekitaran kampus yang terus menjamin kebebasan akademik.







“Kita amat sedih kerana akhir-akhir ini, kebebasan akademik disalah guna, disalah erti, disalah tafsir dan lebih membimbangkan, ia menjadi modal politik jalanan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.







Mohamed Khaled juga melahirkan kebimbangan dengan kurangnya pelajar yang berminat mengikuti aliran sains di sekolah dan universiti yang semakin kritikal.






“Tahun ini, hanya 29 peratus pelajar jurusan sains di sekolah. Keadaan ini berterusan ke tahap universiti yang mana hanya 40 peratus pelajar bidang sains sedangkan sasaran kita adalah 60 peratus. Jika ini berterusan, ia boleh membantutkan usaha meningkatkan inovasi teknologi ke arah tranformasi ekonomi negara maju berpendapatan tinggi,” katanya.











Teruskan membaca..

3,996 lulus 10 subjek STAM



3,996 lulus 10 subjek STAM




MOHAMMAD Azrul  (kiri) meraih keputusan 10A+ (Mumtaz Sofi) dalam keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2011 bersama rakannya, Muhammad Irfansyah Mahdi Farid  berkongsi kejayaan  ketika ditemui di Maahad Johor, semalam. Untuk berita lanjut, dapatkan akhbar Berita Harian hari ini. - Foto Dazar Suarman
MOHAMMAD Azrul (kiri) meraih keputusan 10A+ (Mumtaz Sofi)
dalam keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2011
bersama rakannya, Muhammad Irfansyah Mahdi Farid
berkongsi kejayaan ketika ditemui di Maahad Johor, semalam.




Kelulusan 60.7 peratus melayakkan calon lanjut pelajaran di universiti






PUTRAJAYA: Seramai 3,996 atau 60.7 peratus calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2011 memperoleh sijil dengan sekurang-kurangnya pangkat Maqbul (Lulus) dalam semua 10 mata pelajaran yang diambil pada peperiksaan itu, tahun lalu.







Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan Malaysia, Dr Na'imah Ishak, berkata daripada jumlah itu, 326 calon mendapat pangkat Mumtaz (Cemerlang), 529 pula Jayyid Jiddan (Sangat Baik), 1,602 Jayyid (Baik) dan selebihnya, Maqbul.





Lembaga akan cari mekanisme terbaik untuk menambah baik penguasaan bahasa Arab calon. - Dr Na'imah Ishak, Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan Malaysia
“Seramai 6,584 calon menduduki peperiksaan itu pada tahun lalu di 108 pusat peperiksaan berbanding 6,537 orang pada tahun sebelumnya, ” katanya ketika mengumumkan keputusan STAM 2011, di Kementerian Pelajaran, di sini, semalam.
Na'imah berkata, Gred Purata Nasional (GPN) bagi STAM 2011 turut menunjukkan peningkatan 0.04 peratus berbanding 3.23 pada 2010.







Peperiksaan STAM yang mula dilaksanakan sejak 2000 melayakkan pelajar yang memperoleh sijil itu untuk memohon mengikuti program ijazah pertama di Universiti Al-Azhar, Mesir dan universiti tempatan dalam bidang yang sesuai dengan kelayakan masing-masing.






Mengenai prestasi mata pelajaran, Na'imah berkata, enam mata pelajaran iaitu Fiqh, Balaghah, Hadith dan Mustolah, Insya' dan Mutala'ah, Tafsir dan Ulumuhu serta 'Arudh dan Qafiyah mencatatkan peningkatan calon lulus (Mumtaz hingga Maqbul) lebih tinggi berbanding 2010.





Selain itu, katanya, empat mata pelajaran lagi mencatatkan penurunan peratusan kelulusan calon iaitu Hifz al-Quran dan Tajwid, Nahu dan Sarf, Adab dan Nusus serta Tauhid dan Mantiq.






Sehubungan itu, katanya, satu kajian terperinci akan dilakukan bagi mengenal pasti aspek yang boleh diperbaiki untuk meningkatkan peratusan calon lulus pada semua mata pelajaran untuk peperiksaan akan datang.






“Antara yang boleh dikaji mungkin aspek pengajaran dan pembelajaran, lokasi atau faktor calon sendiri yang menjadi punca penurunan empat subjek itu dan peningkatan jumlah calon yang mencatat semua Rasib (gagal).






“Lembaga akan cari mekanisme terbaik untuk menangani perkara ini, termasuk menambah baik penguasaan bahasa Arab dalam kalangan calon.






“Calon yang kurang berjaya boleh menduduki semula atau memperbaiki pencapaian mata pelajaran yang kurang memuaskan dalam tempoh tiga tahun sebelum melanjutkan pengajian mereka ke universiti,” katanya.






Teruskan membaca..

Tuesday, January 24, 2012

Beautiful Sunsets







30 Beautiful Sunsets

From Around The World




5. Great Britain

Via: dcdead

12. Spain

Via: hikenow

19. The Antarctic

21. New Zealand

24. Argentina









Teruskan membaca..

'Harapkan pegar, pegar makan padi'








Mewah Bahasa:



'Harapkan pegar, pegar makan padi'


Oleh


Prof Madya Dr Nor Hisham Osman


DALAM sebuah bilik darjah pada hari pertama persekolahan ….





Zali: Huh!! Tak boleh harap ….







Ramli: Apanya?!







Zali: Ni ha, berita ni ….






Ramli: Berita apa? Aku tak baca lagi ….






Zali: Tu la lain kali, bacalah berita-berita tempatan ni,
jangan asyik baca berita liga bola sepak luar negeri je.







Ramli: Hey! Macam mana aku nak baca?!
Dari tadi surat khabar tu kat tangan kau aje.
Dah habis teh tarik segelas, kau tak habis baca lagi.
Bagilah aku pulak ….







Zali: Hehehhee ... maaf le, nah!
Kau tengok berita ni, kanak-kanak dirogol bapa saudara sendiri.







Ramli: Bapa saudara?






Zali: Ha’ ah!! Emak ngan bapa budak tu kerja luar negara,
tinggal budak tu dengan adik bapanya.
Masa bini dia pergi kerja, dikerjakannya pulak budak tu,
anak abang dia sendiri tu!!







Ramli: Huh!! Betul dahsyat punya perangai,
memang tak boleh diharap.
Bak kata orang tua-tua,
harapkan pagar, pagar makan padi!!







Zali: Tak betul pepatah tu ….






Ramli: Tak betul?! Apa tak betulnya pulak?
Orang tua-tua kita dah cakap macam tu dulu.







Zali: Pepatah tu betul dah, tapi perkataan pagar tu yang tak betul!!






Ramli: Eh!! Loyar buruk pulak, kan pepatah ni ada
dalam buku teks sekolah, kita dah belajar sejak sekolah rendah lagi
dan memang selalu orang pakai dalam surat khabar, dalam radio, dalam tv.







Zali: Memang orang guna,
tapi sebenarnya salah!!







Ramli: Apanya yang salah?






Zali: Cuba kau fikir secara logik, boleh ke pagar tu makan??
Dan satu lagi, mana ada sawah padi yang berpagar ….







Ramli: Eh!! Betul juga ek! Tapi ….
Mungkin ini hanya pepatah, bukannya betul-betul.







Zali: Memanglah pepatah,
tetapi orang dulu-dulu buat pepatah ni berdasarkan
pemerhatian mereka pada perlakuan alam sekitar.
Kalau pagar, itu bukan benda hidup,
mana boleh pagar makan.
Yang makan adalah ayam pegar,
ayam pegar ni makan padi ….







Ramli: Ayam pegar? Ayam apa tu?
Tak pernah dengar pun!







Zali: Sejenis burung, tapi orang kampung
panggil ayam sebab saiznya
sebesar ayam dan melata macam ayam
dan boleh terbang macam burung.







Ramli: Ooo ... tapi tak pernah jumpa pun?!






Zali: Memang le kau tak pernah jumpa,
ayam ni bukan ayam belaan tapi jenis liar,
duduk dalam hutan. Sekarang ni dah nak hampir pupus ….







Ramli: Tapi macam mana pula dikatakan
boleh menjaga padi??






Zali: Haa … dulu-dulu ayam ni banyak,
dekat pinggir hutan tepi sawah, makan serangga perosak padi
dan makan siput gondang. Itulah sebabnya dikatakan
ayam pegar ni boleh menjaga padi.







Ramli: Tapi kenapa kemudian dikatakan tidak boleh diharap pulak??






Zali: Sebabnya ... sebab, selain dia makan serangga perosak
seperti belalang, siput gondang dan juga ketam,
ayam pegar ni juga makan padi!!







Ramli: Ooo …. Gitu ke?!





Zali: Itulah yang timbulnya pepatah harapkan pegar,
pegar makan padi!!







Ramli: A’aa yek! Nak harapkan pegar memakan musuh padi,
tapi pada masa yang sama dia makan padi!







Zali: Hah! Pandai pun, sekarang kau dah faham
kenapa aku kata yang sebenarnya pegar, bukan pagar.






Ramli: Tengok orang la! Hehhehee ….






Glosari




  • Ayam pegar - sejenis burung yang menyerupai ayam dan terdapat di dalam hutan (crested fireback)






  • sumber - cakklepi.blogspot.com - Blog Kisah Seorang Budak U








  • Nota Kaki
  • Kolum Mewah Bahasa memperlihatkan adanya beberapa cara untuk menyampaikan sesuatu konsep yang sama dengan perkataan berbeza disebabkan perbezaan slanga, dialek, taraf sosial dan generasi. Dialog menggunakan dialek dan juga bahasa pertuturan yang mungkin tidak sama dengan tatabahasa baku.








  • Prof Madya Dr Nor Hisham Osman adalah Pensyarah Jabatan Linguistik, Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya.













  • Sumber














  • Teruskan membaca..

    Pertandingan Menanam Biji Benih Cili Angkasa Malaysia 2012








    Pertandingan Menanam Biji Benih

    Cili Angkasa Malaysia 2012








    PELAJAR sekolah menengah seluruh negara dipelawa menyertai Pertandingan Menanam Biji Benih Cili Angkasa Malaysia 2012 anjuran Agensi Angkasa Negara.





    Program dengan kerjasama Japan Aerospace Exploration Agency (JAXA), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pertanian.






    Pertandingan terbuka kepada satu pasukan bagi setiap sekolah terdiri daripada 20 pelajar dan empat guru pembimbing. Setiap peserta dikehendaki menanam biji benih cili angkasa di sekolah sebagai suatu eksperimen sains.






    Sekolah yang berminat menyertai program boleh mendaftar menerusi laman web http://astronomi.angkasa.gov.my/spaceseeds. Pendaftaran dibuka sehingga 20 Januari manakala pertandingan hanya bermula pada Februari dan berakhir pada Jun ini.




    Maklumat lanjut berkenaan program ini boleh diperoleh dengan menghubungi Farahana Kamarudin pada talian 03-88888668 atau e-mel farahana@angkasa.gov.my.

















    Teruskan membaca..

    UTM pilihan utama profesional



    UTM pilihan utama profesional

    KAMPUS induk UTM di Skudai Johor.
    KAMPUS induk UTM di Skudai Johor.





    Banyak syarikat hantar pekerja untuk ikuti program PhD industri






    UNIVERSITI Teknologi Malaysia (UTM) membina reputasi tinggi dengan mengeluarkan hampir separuh daripada graduan peringkat pascasiswazah dalam bidang kejuruteraan dan teknologi dalam kalangan universiti penyelidikan.





    Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Zaini Ujang, berkata inisiatif UTM memperkenal ijazah doktor falsafah (PhD) industri berjaya menarik tenaga kerja profesional daripada golongan bekerja melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang.






    Katanya, kini ada 57 kakitangan industri mengikuti pengajian di UTM menerusi program PhD industri melalui pembiayaan Kementerian Pengajian Tinggi, bertujuan melahirkan 500 tenaga kerja industri berkelulusan PhD menjelang 2015.






    “Jumlah 57 penyelidik dari industri ini menjadikan UTM sebagai universiti paling banyak menerima biasiswa PhD industri daripada jumlah 100 peruntukan yang disediakan kementerian untuk semua universiti sepanjang tahun lalu.




    “Antara syarikat yang menghantar pekerja menyertai program berkenaan ialah Proton Berhad, Morotola Solutions Malaysia Sdn Bhd, Telekom Malaysia Berhad, TM R&D Sdn Bhd, TM Applied Business Sdn Bhd, UCSI and Aviation Sdn Bhd dan Optimal Olefins Sdn Bhd,” katanya dalam kenyataan yang diterbitkan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.




    Zaini berkata, sehingga November tahun lalu, UTM antara universiti yang mempunyai bilangan mahasiswa lepasan ijazah paling ramai di negara ini dengan jumlah 10,888 pelajar.




    Katanya, jumlah itu meliputi 46 peratus daripada jumlah keseluruhan mahasiswa yang sedang mengikuti pengajian di pelbagai peringkat di UTM. Kini seramai 12,955 mahasiswa sarjana muda di UTM.




    “UTM mempunyai 3,439 mahasiswa, sedang mengikuti pengajian di peringkat PhD membabitkan 1,823 mahasiswa tempatan dan 1,616 antarabangsa.




    “Seramai 7,449 mahasiswa pula mengikuti pengajian peringkat sarjana yang terdiri daripada 5,343 warga tempatan dan 2,106 antarabangsa,” katanya.




    Beliau berkata, semua mahasiswa PhD mengikuti pengajian secara penyelidikan dan secara tidak langsung menyemarakkan lagi aktiviti berkenaan selaras dengan status UTM sebagai universiti penyelidikan.




    Katanya, bagi program sarjana, seramai 1,576 mahasiswa mengikuti pengajian secara penyelidikan, 4,655 secara kerja khusus dan 1,218 campuran penyelidikan dan kerja khusus.




    Zaini berkata, pertambahan jumlah mahasiswa lepas ijazah mampu mengekalkan UTM sebagai universiti paling banyak mengeluarkan graduan dalam bidang kejuruteraan dan teknologi peringkat pascasiswazah di negara ini.









    Teruskan membaca..

    Pencarian Bakat Pelajar Pintar Cerdas



    Pencarian Bakat


    Pelajar Pintar Cerdas


    Saringan Peringkat Pertama


    Ujian Dalam Talian UKM 1





    Tarikh : 1 Februari - 30 April 2012


    Bagi pelajar berusia 7 - 15 tahun





    Berminat untuk menyertai:



    1. Program Perkhemahan Cuti Sekolah (PPCS) PERMATApintarTM Negara Universiti Kebangsaan Malaysia - Johns Hopkins University - Center for Talented Youth (JHU-CTY)
      (Pelajar 9 - 15 Tahun: di UKM)

    2. Perkhemahan PERMATA Insan
      (Pelajar Islam 8 Tahun: di USIM)

    3. Program Pendidikan PERMATApintarTM (PPPp)
      (15 Tahun Sahaja)

    4. Program Laluan Pintas (PLP) bagi Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT)
      (untuk pelajar berumur 7 tahun sahaja)






    Ujian UKM1 boleh diambil di sekolah, rumah, kafe siber dan pusat komuniti berinternet
    1 Hari, 1 Sekolah, 1 Pelajar
    1 hari, 10,000 Sekolah, 1 Pelajar = 10,000 Pelajar
    50 Hari, 10,000 Sekolah, 100 Pelajar = 5,000,000 Pelajar







    Pendaftaran:


    a) Pelajar baru: masukkan Mykad/Mykid, maklumat pelajar,sekolah & ibu/bapa/penjaga





    b) Pelajar lama: kemaskini Mykad/Mykid, maklumat pelajar,sekolah & ibu/bapa/penjaga






    Jangka masa ujian: 1 jam 30 minit





    Sila layari:




    http://www.permatapintar.edu.my













    Teruskan membaca..

    LinkWithin

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...