Photobucket

Sahabat Maya :

Friday, January 27, 2012

4 lagi universiti dapat autonomi



4 lagi universiti dapat autonomi





pix_gal0






Langkah wujud IPTA jadi institusi taraf antarabangsa, berdaya saing








PUTRAJAYA: Selepas Universiti Teknologi Malaysia (UTM), empat lagi universiti, Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) diberi autonomi semalam, bagi membolehkan pusat pengajian terbabit membuat perancangan sendiri dalam usaha menjadi institusi bertaraf antarabangsa.
Pemberian autonomi itu hanya diberikan dalam empat bidang iaitu tadbir urus institusi, kewangan dan penjanaan kekayaan; pengurusan sumber manusia dan pengurusan akademik serta kema-sukan pelajar.






Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata autonomi adalah prasyarat penting untuk mewujudkan persekitaran kampus yang dinamik melalui pengurusan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang lebih berdaya saing, kreatif dan anjal.






“Universiti selalu menyatakan mereka tidak mendapat kecemerlangan kerana wujud halangan dan kekangan akibat terikat dengan kaedah dan polisi kerajaan, jadi pemberian autonomi dengan penurunan kuasa bermakna tiada lagi alasan untuk mereka mencapai kecemerlangan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Amanat Tahun Baru 2012 yang bertemakan ‘Berfikiran Global Bertindak Glokal’ di sini, semalam.







Pemberian autonomi kepada lima universiti itu dibuat selepas melaksanakan proses audit menggunakan instrumen ‘Tadbir Urus Baik Universiti’ dan ‘Petunjuk Tadbir Urus Baik Universiti’.







Beliau berkata, walaupun lima universiti diberikan autonomi dalam kemasukan pelajar, pelajar tetap perlu memohon kemasukan universiti menerusi Unit Pusat Universiti (UPU).
“Bagaimanapun, lima universiti akan dapat memilih dulu mana-mana pelajar yang memohon menerusi UPU dan mereka sendiri yang akan menentukan kesesuaian kursus kepada pelajar berkenaan serta pemberitahuan mengenai kemasukan ke lima universiti itu dibuat oleh pihak universiti sendiri,” katanya.







Mengenai Pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, Mohamed Khaled berkata, ia bukan tiket kebebasan mutlak, jauh sekali membenarkan pelajar melakukan aktiviti subversif sehingga mengganggu keselamatan awam.







Beliau berkata, pindaan AUKU juga akan mengekalkan persekitaran kampus yang terus menjamin kebebasan akademik.







“Kita amat sedih kerana akhir-akhir ini, kebebasan akademik disalah guna, disalah erti, disalah tafsir dan lebih membimbangkan, ia menjadi modal politik jalanan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.







Mohamed Khaled juga melahirkan kebimbangan dengan kurangnya pelajar yang berminat mengikuti aliran sains di sekolah dan universiti yang semakin kritikal.






“Tahun ini, hanya 29 peratus pelajar jurusan sains di sekolah. Keadaan ini berterusan ke tahap universiti yang mana hanya 40 peratus pelajar bidang sains sedangkan sasaran kita adalah 60 peratus. Jika ini berterusan, ia boleh membantutkan usaha meningkatkan inovasi teknologi ke arah tranformasi ekonomi negara maju berpendapatan tinggi,” katanya.











No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...