Photobucket

Sahabat Maya :

Tuesday, January 24, 2012

UTM pilihan utama profesional



UTM pilihan utama profesional

KAMPUS induk UTM di Skudai Johor.
KAMPUS induk UTM di Skudai Johor.





Banyak syarikat hantar pekerja untuk ikuti program PhD industri






UNIVERSITI Teknologi Malaysia (UTM) membina reputasi tinggi dengan mengeluarkan hampir separuh daripada graduan peringkat pascasiswazah dalam bidang kejuruteraan dan teknologi dalam kalangan universiti penyelidikan.





Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Zaini Ujang, berkata inisiatif UTM memperkenal ijazah doktor falsafah (PhD) industri berjaya menarik tenaga kerja profesional daripada golongan bekerja melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang.






Katanya, kini ada 57 kakitangan industri mengikuti pengajian di UTM menerusi program PhD industri melalui pembiayaan Kementerian Pengajian Tinggi, bertujuan melahirkan 500 tenaga kerja industri berkelulusan PhD menjelang 2015.






“Jumlah 57 penyelidik dari industri ini menjadikan UTM sebagai universiti paling banyak menerima biasiswa PhD industri daripada jumlah 100 peruntukan yang disediakan kementerian untuk semua universiti sepanjang tahun lalu.




“Antara syarikat yang menghantar pekerja menyertai program berkenaan ialah Proton Berhad, Morotola Solutions Malaysia Sdn Bhd, Telekom Malaysia Berhad, TM R&D Sdn Bhd, TM Applied Business Sdn Bhd, UCSI and Aviation Sdn Bhd dan Optimal Olefins Sdn Bhd,” katanya dalam kenyataan yang diterbitkan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.




Zaini berkata, sehingga November tahun lalu, UTM antara universiti yang mempunyai bilangan mahasiswa lepasan ijazah paling ramai di negara ini dengan jumlah 10,888 pelajar.




Katanya, jumlah itu meliputi 46 peratus daripada jumlah keseluruhan mahasiswa yang sedang mengikuti pengajian di pelbagai peringkat di UTM. Kini seramai 12,955 mahasiswa sarjana muda di UTM.




“UTM mempunyai 3,439 mahasiswa, sedang mengikuti pengajian di peringkat PhD membabitkan 1,823 mahasiswa tempatan dan 1,616 antarabangsa.




“Seramai 7,449 mahasiswa pula mengikuti pengajian peringkat sarjana yang terdiri daripada 5,343 warga tempatan dan 2,106 antarabangsa,” katanya.




Beliau berkata, semua mahasiswa PhD mengikuti pengajian secara penyelidikan dan secara tidak langsung menyemarakkan lagi aktiviti berkenaan selaras dengan status UTM sebagai universiti penyelidikan.




Katanya, bagi program sarjana, seramai 1,576 mahasiswa mengikuti pengajian secara penyelidikan, 4,655 secara kerja khusus dan 1,218 campuran penyelidikan dan kerja khusus.




Zaini berkata, pertambahan jumlah mahasiswa lepas ijazah mampu mengekalkan UTM sebagai universiti paling banyak mengeluarkan graduan dalam bidang kejuruteraan dan teknologi peringkat pascasiswazah di negara ini.









No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...