Photobucket

Sahabat Maya :

Sunday, March 17, 2013

Peluang seumur hidup

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Peluangseumurhidup/pix_gal1


Peluang seumur hidup


Oleh SHAHRIZAL SANUSI


Tanggal 10 Oktober 2007 pasti tidak dapat dilupakan sebahagian besar rakyat Malaysia apabila angkasawan pertama negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha DSNS berlepas ke angkasa dengan menaiki Soyuz TMA-11 ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).


Beliau menyertai program ini di bawah perjanjian bersama Russia dan kembali ke bumi bersama ahli Ekspedisi 15, Fyodor Yurchikhin dan Oleg Kotov selepas sembilan hari berada di stesen berkenaan pada 21 Oktober 2007 pada jam 6.44 petang waktu Malaysia.


Sheikh Muszaphar adalah orang Islam pertama berpuasa dan menyambut Aidilfitri di angkasa lepas.

Ingin menjadi warga Malaysia kedua selepas Sheikh Muszaphar mengembara ke angkasa lepas? Jika jawapannya ya, segera layari laman web AXEApollo.com dan mendaftar di Akademi Angkasa Lepas AXE Apollo (AXE Apollo Space Academy) untuk menyertai peraduan pengembaraan angkasa lepas ini.



Peraduan yang menawarkan peluang sekali seumur hidup itu dibuka kepada peserta daripada 60 negara, termasuk Malaysia, selepas pelancarannya di Kuala Lumpur, Khamis lalu.


Peserta boleh memohon dengan menulis secara ringkas mengapa mereka harus diberi peluang untuk mengembara ke angkasa lepas sebelum meminta orang ramai mengundi mereka.

Calon yang terpilih akan bertanding di peringkat kebangsaan, manakala pemenangnya akan bersaing pula dengan wakil dari negara lain di peringkat antarabangsa di Kem Angkasa Lepas Global AXE di Orlando, Florida, Amerika Syarikat.

Di kem itu, seramai 105 peserta dari seluruh dunia akan mengambil bahagian dalam tiga cabaran simulasi angkasa lepas bagi menentukan tahap kemampuan mereka dalam masa tiga hari.

Ahli panel membabitkan beberapa pakar angkasa lepas kemudian akan memilih 22 peserta yang dirasakan paling layak untuk mengembara ke angkasa lepas.

Mereka akan menaiki pesawat pelancongan angkasa lepas XCOR Lynx, di mana seorang juruterbang dan seorang penumpang akan berlepas pada satu-satu masa.

Peserta yang terpilih akan terbang hingga ke paras 103 kilometer dari permukaan bumi dengan menaiki pesawat yang akan berlepas dan mendarat dari pulau Curacao di Caribbean.

Pesawat itu yang dibina oleh syarikat Amerika, XCOR Aerospace dan dikendalikan oleh firma pelancongan Space Expedition Curacao, dijadual mula melakukan penerbangan tahun depan.

Angkasawan Apollo 11, Buzz Aldrin yang juga manusia kedua berjalan di bulan pada 1969, dilantik sebagai jurucakap peraduan itu yang dianjurkan oleh AXE sempena pelancaran AXE Apollo, produk penjagaan peribadi lelaki. AXE adalah jenama milik syarikat Unilever.

Majlis pelancaran akademi angkasa lepas itu diadakan dalam satu majlis ringkas tetapi meriah di National Museum of Natural History di New York, Amerika Syarikat, 9 Januari lalu.

"Saya gembira AXE memberi peluang luar biasa kepada golongan muda hari ini untuk merasai apa yang saya alami di angkasa lepas," katanya di majlis pelancaran itu yang turut dihadiri wartawan dari seluruh dunia, termasuk penulis yang juga wakil tunggal Malaysia.

Oleh itu, tunggu apa lagi? Rebutlah peluang yang disediakan AXE. Jika bernasib baik dan terpilih, anda akan menjadi warga kedua Malaysia mengembara ke angkasa lepas dan pastinya kehidupan anda tidak akan sama seperti dulu. Selamat mencuba!


Kongsi pengalaman untuk masa depan

Langkah memanggil ang­kasawan Apollo 11, Buzz Aldrin membantu melancarkan kempen global AXE untuk menghantar 22 orang ke angkasa lepas melalui penubuhan Akademi Angkasa Lepas Axe Apollo (AASA) dianggap langkah tepat dan strategik.

Beliau bukan saja ang­kasawan yang dihormati, terutama di Amerika Syarikat, malah kejayaannya berjalan di bulan bersama seorang lagi anggota Apollo 11, mendiang Neil Armstrong memastikan statusnya sebagai legenda.

Pada usia 82 tahun, beliau masih aktif, antaranya menulis buku dan rencana yang menyokong konsep masa depan pe­ngembaraan angkasa lepas.

Beliau juga menyo­kong usaha mewujudkan kerjasama antarabangsa dan pelancongan angkasa lepas sebagai elemen penting ke arah masa depan eksplorasi angkasa lepas. Selain itu, beliau menubuhkan sebuah yayasan, ShareSpace Foundation sebagai usaha mencerahkan peluang untuk orang ramai me­vngembara ke angkasa lepas melalui program loteri angkasa lepas.

Wartawan Metro Ahad antara yang diberi peluang menemubual Aldrin sempena pelancaran kempen global AXE di New York pada 10 Januari lalu.


Soalan: Apa yang membuat­kan anda berminat untuk membabitkan diri dengan Akademi Angkasa Lepas AXE Apollo?

Jawapan: Sejak dulu lagi saya berminat menyediakan peluang kepada golongan muda untuk mengembara ke angkasa lepas. Antara caranya ialah menggalakkan orang ramai memohon sebelum memilih beberapa orang, berbanding menetap­kan harga untuk tujuan itu yang mungkin mencecah AS$200,000 (RM600,000).

Kini peluang ini disediakan dengan melayari laman web AXEApollo.com dan meletakkan gambar anda serta menjawab beberapa soalan. Lebih 100 orang dari seluruh dunia akan dipilih untuk bertanding di Kem Angkasa Lepas Global AXE di Florida, Amerika Syarikat. Daripada jumlah itu, 22 orang akan dipilih oleh AXE untuk pergi ke angkasa lepas de­ngan menaiki pesawat Space Expedition Corporation (SXC).


Soalan: Bolehkah anda ceritakan apa yang akan berlaku di akademi angkasa lepas itu? Bagaimana agaknya kegiatan dan persiapan biasa di situ?

Jawapan: Saya akan beritahu kalau boleh, tetapi saya belum lagi menemui peserta. Jadi saya tidak dapat nak ceritakan bagaimana pengalamannya di situ.


Soalan: Adakah tugas anda hanya sebagai penasihat atau anda akan turun padang untuk peraduan ini?

Jawapan: Saya belum diminta untuk turun padang di kem angkasa lepas di Florida. Saya hanya diminta membantu AXE untuk memaklumkan orang awam mengenai peluang yang disediakan, manakala orang lain akan menjadikan impian itu sebagai kenyataan.


Soalan: Anda kini berusia 82 tahun tapi masih kuat bekerja seperti dulu. Apa sebenarnya yang mendorong anda untuk terus bekerja?

Jawapan: Saya tak tahu nak buat apa lagi. Sehubungan itu, saya menggunakan pengalaman luas yang saya miliki dengan sebaik-baiknya untuk manfaat masa depan.


INFO:

6 ANGKASAWAN TERKENAL DUNIA

1. Yuri Gagarin - dari Russia, individu pertama ke angkasa lepas pada 1961.

2. Neil Armstrong - dari Amerika Syarikat (AS), lelaki pertama ke bulan pada 1969.

3. John Glenn - individu paling tua ke angkasa lepas pada usia 77 tahun.

4. Alan B Sheppard - rakyat AS pertama dan individu kedua ke angkasa lepas, juga pada 1961.

5. Buzz Aldrin - lelaki kedua ke bulan.

6. Sally Ride - wanita pertama ke angkasa lepas pada 1983.


3 ANGKASAWAN ISLAM

1. Putera Arab Saudi, Sultan Salman Abdel Aziz Al-Saud adalah angkasawan pertama negara Islam ke angkasa lepas pada 1985. Beliau bertindak sebagai pakar muatan dalam kapal angkasa Amerika, Discovery STS-51-G pada 17 hingga 24 Jun 1985.

2. Angkasawan Syria, Mohammed Faris pergi ke Stesen Mir dengan roket Soyuz TM-3 pada 22 Julai 1987 hingga 30 Julai 1987. Beliau pergi bersama Alexander Viktorenko dan Aleksandr Pavlovich Aleksandrov.

3. Juruterbang tentera Afghanistan, Abdul Ahad Mohamad ke Stesen Mir dengan roket Soyuz TM6 pada 29 Ogos 1988 ditemani dua angkasawan Russia, Vladimir Lyakhov dan Valery Polyakov dan tiba di bumi pada 6 September 1988.



Foto

Sumber 

 FotoFotoFoto 
PENULIS bersama Aldrin

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...