Sahabat Maya :

Saturday, May 19, 2012

Menagih hidayah sebagai matlamat bekerja










Menagih hidayah


sebagai matlamat bekerja


SIFAT ‘menagih hidayah’ perlu ada pada
setiap detik dan ketika untuk kita memartabatkan diri
sebagai umat Islam yang cemerlang.
Penekanan terhadap perkataan menagih kerana
ia menggambarkan tingginya keinginan, hasrat, pengharapan
serta perasaan rendah diri dalam mengharapkan sesuatu.








Perkataan ini biasa digunakan untuk
kasih sayang, bantuan, simpati dan dalam bentuk
yang negatif pula, sering digunakan untuk
menagih hutang atau dadah.
Contoh ini lebih mudah untuk
menggambarkan sifat orang yang menagih sesuatu.






Namun, aspek ‘ketagihan’ yang hendak ditanamkan
dalam hati adalah hidayah yang bermaksud
petunjuk atau panduan dari Allah SWT. Allah SWT boleh
memilih sesiapa yang ingin dikurniakan dengan hidayah.








Saidina Abu Bakar al-Siddiq dan Abu Jahal
hidup sezaman dengan Baginda SAW tetapi
Saidina Abu Bakar mendapat hidayah dan memeluk Islam
sementara Abu Jahal mati dalam kekafiran.
Begitu juga Abu Talib, bapa saudara Rasulullah
yang sanggup mengorbankan harta, pengaruh dan tenaga
untuk Baginda, namun tidak menerima ajaran dibawa.








Firman Allah SWT yang bermaksud:





“Allah memilih kepada-Nya

sesiapa yang dikehendakiNya,

dan memberi hidayah bagi sesiapa

yang kembali kepadaNya (dengan penuh tunduk dan taat).”

(Surah al-Syura, ayat 13)








Sebagai umat Islam kita sangat bergantung
kepada hidayah Allah SWT yang Maha Mengetahui
setiap jiwa insan dan Maha Berkuasa memberikan kebaikan.
Jiwa manusia pula sentiasa bergolak antara kehendak baik dan buruk.










Benarlah firman Allah SWT yang bermaksud:





“Demi jiwa dan (Tuhan)

yang menyempurnakan kejadiannya,

lalu mengilhamkan kepadanya

kejahatan dan ketakwaannya.”

(Surah al-Shams, ayat 7-8)









Pintu hidayah Allah SWT ada di mana-mana,
tergantung kepada kesungguhan niat,
ikhtiar dan doa seperti firman Allah SWT yang bermaksud:








“Katakanlah (Wahai Muhammad):

Wahai sekalian manusia!

Telah datang kepada kamu kebenaran (al-Quran)

daripada Tuhan Kami.

Oleh itu sesiapa yang mendapat hidayah petunjuk

(beriman kepada-Nya) maka faedah hidayah itu

terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa

yang (mengingkarinya) maka bahaya kesesatan itu

tertimpa ke atas dirinya sendiri dan aku pula

bukanlah menjadi wakil yang menguruskan soal

(iman atau keingkaran) kamu.”

(Surah Yunus, ayat 108)










Kerja juga perlu dilihat sebagai salah satu cara
untuk menagih hidayah. Jika sebelum ini
matlamat kerja adalah untuk mendapatkan
pulangan material seperti gaji, bonus,
pangkat serta taraf hidup yang baik,
selepas ini, letakkan niat utama bekerja
untuk menagih hidayah Allah SWT dan segala hasil
diperoleh daripada kerja itu menjadi sumber
kurniaan hidayah-Nya.













Hidayah tidak boleh diberi oleh majikan dan rakan,
ia milik Allah SWT. Apa yang disumbangkan
majikan dan rakan adalah pandangan, dorongan,
semangat dan tenaga, namun yang menggerakkan jiwa
adalah hidayah Allah SWT.










Firman Allah yang bermaksud:







“Sesungguhnya

kamu tidak akan dapat memberi petunjuk

kepada orang yang kamu kasihi tetapi

Allah memberi petunjuk kepada orang

yang dikehendakinya.”

(Surah al-Qasas, ayat 56)











Keistimewaannya luar biasa kerana hidayah-Nya
bukan saja boleh membuka pintu hati untuk beriman
tetapi hidayah mengorak langkah membuat pilihan,
tindakan dan keputusan yang diredai Allah SWT
seperti doa Rasulullah ketika berhijrah.










Matlamat berbentuk serampang dua mata ini
jika ditanamkan dalam hati setiap pekerja Muslim,
menjadikan nilai kerja suatu ibadah.
Lima implikasi utama diperoleh apabila
meletakkan hidayah sebagai matlamat kerja.










Pertama,
ia mampu menjadikan kita seorang yang
bermotivasi tinggi dengan kefahaman bahawa Allah SWT
menyukai hamba-Nya
yang berbuat kebaikan dan membenci keburukan,
Allah SWT mengasihi hambanya yang mempelopori
kebaikan dan membenci sekadar menadah meminta-minta.









Kedua,
menagih hidayah sebagai matlamat kerja juga
mampu menjadikan pekerja seorang berlapang dada,
tenang, berfikiran positif apabila berhadapan dugaan
dan kerenah di tempat kerja. Peringatan Allah SWT
kepada Rasulullah supaya tidak risau dan bersedih
dengan golongan yang mengingkari risalah dibawanya.












Ketiga,
menagih hidayah sebagai matlamat kerja juga
mampu menyuci dan menyuburkan hati dengan kegembiraan.
Walaupun apa yang diusahakan belum berhasil,
namun wajib diyakini yang akan diperoleh dari
Yang Maha Memberi ialah hidayah untuk
terus berusaha tanpa putus asa.










Keempat,
menagih hidayah mampu
menggerakkan momentum kerja
yang berkualiti kerana tiada pengharapan
kepada Allah SWT
tanpa usaha yang bersungguh-sungguh.
Sheikh Ibnu ‘Atha’illah as-Sakandari menerangkan,
pengharapan yang sebenar adalah
yang disertai dengan amalan.












Kelima,
menagih hidayah mampu meneguhkan hati
dan meningkatkan daya tawakal setelah
berusaha dan berdoa.










Justeru,
sematkanlah dalam dada setiap kali bekerja
supaya kerja kita menjadi sumber mengundang hidayah
Allah SWT kerana ia adalah rahmat dan kurniaan Allah
yang menjadi aset bernilai kehidupan.











Doa Rasulullah bermaksud:






“Ya Allah,

doronglah daku untuk mengingati-Mu,

mensyukuri-Mu dan elok beribadah kepadaMu.”

(Hadis riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud)











Penulis ialah

pensyarah di Jabatan Siasah Syariyyah,

Akademi Pengajian Islam,

Universiti Malaya (UM)














No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...