Manfaat tonton Piala Dunia buat ibadah sunat
Setiap empat tahun, kejohanan bola sepak Piala Dunia
dinanti-nanti peminat bola sepak seluruh dunia dan tidak terkecuali
negara kita Malaysia. Kejohanan Piala Dunia kali ini diadakan di negara
yang terkenal dengan gaya bola sepak 'samba' Brazil.
Walaupun
begitu, jangan dilupakan tidak lama lagi umat Islam akan menyambut bulan
mulia, Ramadan penuh barakah yang mana setiap pahala amalan dilipat
gandakan.
Perlawanan Piala Dunia awal pagi
Melihat jadual perlawanan, hampir semuanya berlangsung pada
awal pagi antara jam 12 malam hingga 4 pagi. Dalam minat kita menonton
perlawanan khususnya pada tengah malam dan awal pagi, alangkah baik jika
diselangi dengan ibadah malam.
Jika dilihat dari sudut
positif, kita boleh mengambil beberapa masa sebelum menonton perlawanan
Piala Dunia untuk melakukan solat sunat dua rakaat pada awal pagi yang
mempunyai keistimewaannya tersendiri. Antaranya, solat sunat taubat dan
hajat yang lebih afdal dilakukan pada waktu satu pertiga malam.
Ini sebagai latihan yang baik untuk menempuh Ramadan al-Mubarak selain
kita juga dapat menonton Piala Dunia. Justeru, kesediaan kita berjaga
malam sewajarnya menjadi peluang terbaik untuk mendekatkan diri kepada
Allah SWT dengan melaksanakan ibadah sunat.
Hakikatnya bukan
mudah untuk mengikhlaskan diri melaksanakan solat sunat, tetapi lebih
malang lagi jika kesempatan yang datang itu tidak dimanfaatkan.
Berbanding duduk saja menantikan perlawanan bermula, sebaknya
memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT.
Hikmah Piala Dunia pada Ramadan
Mungkin ada
hikmahnya Piala Dunia kali ini berlangsung pada Ramadan kerana secara
tidak langsung memudahkan mereka yang berjaga untuk mengamalkan sunah
Rasulullah SAW yang menggalakkan mereka yang berpuasa supaya bersahur.
Jika dulu ramai meninggalkan sahur atas alasan tidak bersedia bangun
di awal pagi, kini sambil menonton Piala Dunia, masing-masing boleh
menikmati juadah bersahur, diikuti dengan menunaikan solat Subuh.
Khususnya bagi generasi muda yang sebelum ini lebih suka bersahur
sebelum tidur, boleh berlatih bersahur pada awal pagi. Diharapkan
apabila mereka merasai nikmat bersahur pada awal pagi, ini akan
menimbulkan azam untuk meneruskan amalan itu walaupun pada Ramadan yang
tiada Piala Dunia.
Banyak perkara boleh mendatangkan kebaikan
kepada semua jika kita bersedia mengambil manfaat positif yang ada
padanya. Jangan suka mempertikaikan sesuatu perkara sebaliknya ambil
yang terbaik daripadanya untuk faedah bersama.