Photobucket

Sahabat Maya :

Friday, March 16, 2012

Lepasan STPM boleh mohon sertai PLKN







Lepasan STPM boleh mohon sertai PLKN




SUNGAI PETANI: Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) kini dibuka kepada pelajar yang menunggu keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atas dasar penyertaan secara sukarela.








Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, berkata keputusan itu bagi memberi peluang kepada mereka yang berminat untuk menyertai PLKN namun tidak terpilih atau berkesempatan berbuat demikian.
"Masa yang agak panjang selepas tamat peperiksaan STPM sehingga mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke universiti sebaiknya diisi dengan memberi latihan berguna kepada mereka," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.






Abdul Hadi berkata, mereka yang berminat, termasuk yang baru saja menerima keputusan STPM baru-baru ini boleh mendapatkan borang di sekolah masing-masing dan tarikh tutup permohonan adalah hujung bulan ini.






Sementara itu, mengulas mengenai kematian seorang pelatih PLKN Kem Terkok, Sungai Siput, Perak yang dipercayai akibat Leptospirosis (jangkitan bakteria kencing tikus) pada 12 Mac lalu, beliau berkata setiap kem dipantau tahap kebersihannya.




"Ini adalah polisi JLKN. Sebelum latihan dimulakan, Jabatan Kesihatan Daerah dan pihak kita akan pastikan semuanya termasuk infrastruktur fizikal selamat digunakan. Mana-mana kem yang tidak memenuhi piawaian JLKN tidak dibenarkan digunakan," katanya.




Beliau berkata, kem yang tidak memenuhi kriteria ditetapkan, akan dimaklumkan supaya mengambil tindakan atau dikeluarkan daripada senarai JLKN.
Abdul Hadi juga meminta orang ramai agar tidak membuat spekulasi mengenai kematian pelatih berkenaan sehingga keputusan bedah siasat diumumkan.




Sementara itu, beliau yang ditemui selepas menutup latihan kumpulan 1 Siri 9/2012 di Kem PLKN Damai Park Resort di Merbok dekat sini, berkata seramai 33, 259 pelatih PLKN dari kem latihan di seluruh negara menamatkan latihan hari ini. - BERNAMA













Teruskan membaca..

Siri dialog pendidikan April



Siri dialog pendidikan April

pix_gal0
Kerajaan kumpul maklum balas orang ramai rombak sistem pelajaran






KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran akan mengadakan beberapa siri dialog peringkat kebangsaan bermula bulan depan bagi mengumpul maklum balas orang ramai mengenai penilaian mereka terhadap sistem pendidikan negara yang kemudian dijadikan input penyediaan Pelan Pembangunan Pendidikan dan Perancangan Strategik sistem pendidikan negara.





Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata hasil siri dialog yang akan berakhir hujung tahun ini akan dinilai dan diteliti dalam usaha kerajaan melaksanakan penambahbaikan kepada sistem pendidikan bagi memastikan kualiti, peluang dan pendemokrasian pendidikan negara sentiasa dipertingkatkan.





“Kita menjangkakan laporan awal dapat dihasilkan pada penghujung September 2012 dan laporan akhir dikeluarkan pada Disember 2012 serta diikuti dengan penggubalan dan pembangunan Perancangan Strategik pendidikan yang baru,” katanya yang juga Menteri Pelajaran ketika menjawab soalan Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu), di Dewan Rakyat semalam.





Tiong bertanya sama ada kementerian berhasrat mengkaji semula sistem pendidikan dan tindakan serta perancangan baru dalam memberi penekanan kepada pemulihan akhlak mulia pelajar.





Muhyiddin berkata, kementerian sudah menubuhkan Pejabat Pengurusan Projek diketuai Ketua Pengarah Pelajaran bagi menggerakkan usaha penilaian terhadap sistem pendidikan secara komprehensif dan holistik.





Beliau berkata, bagi mencapai tujuan itu, penilaian akan mengambil kira sembilan bidang utama termasuk guru, pemimpin sekolah, kualiti sekolah, kurikulum dan pentaksiran, penguasaan pelbagai bahasa, peluang pendidikan lepasan menengah, ibu bapa dan komuniti, kecekapan dan keberkesanan sumber serta sistem penyampaian pendidikan.
“Kita melantik panel untuk mengkaji hasil penilaian itu termasuk panel pada peringkat kebangsaan dianggotai pakar pendidikan tempatan serta panel kedua yang turut dianggotai empat pakar pendidikan dari luar negara.





“Hasilnya akan saya bentangkan kepada Kabinet, sebelum dijadikan hala tuju, iaitu rancangan pelaksanaan bagi tempoh tiga tahun dan tahun berikutnya,” katanya.





Menjawab soalan tambahan Tiong sama ada Perancangan Strategik itu akan mengambil kira pembangunan infrastruktur sekolah di pedalaman terutama di Sabah dan Sarawak, Muhyiddin berkata, aspek itu sudah diambil kira sejak tahun lalu dan beliau sudah menerima laporan audit yang mengenal pasti 600 sekolah daif yang memerlukan bantuan.





Menjawab soalan tambahan Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Machang) berhubung keperluan serta nilai tambah pada komponen peta minda dalam sistem I-Think, Muhyiddin berkata, ia perlu bagi melahirkan pelajar yang bukan saja pandai dalam pelajaran tetapi mahir dari segi kreativiti, inovasi dan kemahiran berfikir.






“Kita dapati pelajar agak mahir dalam pelajaran, namun dalam ujian tertentu termasuk Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA), ada kekurangan ketara berbanding pelajar di beberapa negara maju terutama keupayaan dalam kemahiran berfikir.





“Ini tidak bermakna guru tidak mahir, mereka terlatih. Tapi bila kita lihat hasilnya, kemampuan pelajar terbatas dalam bidang kreativiti, inovasi serta kemahiran dan sebab itu kita laksanakan program ini yang dijangka merangkumi semua sekolah pada 2014,” katanya.






Teruskan membaca..

Tanah runtuh ancam sekolah







Tanah runtuh ancam sekolah







GOMBAK – Keselamatan pelajar dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu di sini terancam ekoran kejadian tanah runtuh berhampiran bangunan sekolah itu.




Tinjauan Kosmo! mendapati runtuhan berlaku di cerun bukit yang terletak hanya 10 meter dari kawasan sekolah berkenaan.




Sebahagian tembok sekolah itu juga telah runtuh semasa kejadian hujan lebat di sekitar Lembah Klang minggu lalu.




Beberapa rekahan tanah turut dikesan di kawasan sekitar sekolah tersebut yang berkemungkinan menyebabkan beberapa lagi kejadian tanah runtuh jika tiada tindakan segera diambil.




Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia, Datuk Said Anuar Said Ahmad (gambar kecil) berkata, kejadian tanah runtuh itu amat membimbangkan kerana asrama pelajar lelaki sekolah itu terletak berhampiran cerun bukit tersebut.




“Malah, ia boleh memudaratkan kawasan perkampungan yang terletak di kaki bukit itu,” katanya ketika di temui Kosmo! di sini semalam.






Sumber : http://www.kosmo.com.my






Teruskan membaca..

Nohen tak ada tangan







Mewah Bahasa:


Nohen tak ada tangan


Oleh

Prof Madya Dr Nor Hisham Osman


Ita: Hujung minggu lepas aku jumpa kawan lama kita.



Jue: Siapa??



Ita: Razak ….





Jue: Ooo …. Razak!
Aku pun dah lama tak jumpa dia.
Sejak dia kahwin, rasanya baru dua kali aje jumpa.
Kat mana jumpa?







Ita: Kat pasar raya …. Tapi dia tak macam dulu la.







Jue: Kenapa? Dah putih ke?? Hehehe .…






Ita: Hahahaa … kenapa kau kata macam tu?






Jue: Ya lah, dia tu kan ke gelap sikit.
Apa kata orang ,… hitam manis!!
Sungguhpun hitam tapi dipandang manis!
Kalau kau kata tak macam dulu,
maknanya dah jadi putih le yek?!






Ita: Isy!! Mana maunya macam tu ….






Jue: Apasal tak mau pulak?
Zaman siber sekarang ni macam-macam boleh buat.
Michael Jackson pun boleh jadi putih!!






Ita: Huh!! Kau ni merapu-rapulah!! Lebih teruk dari dulu ….
Dulu tak adalah loqlak macam ni sangat!!






Jue: Eh!! Sebenarnya apa yang lainnya sekarang ni?
Yang tak macam dulu tu ….






Ita: A’aa, …. Aku bertembung dengan dia, berdepan lagi! Tapi ….






Jue: Tapi apa? Kau ni buat suspen ajelah! Cakap ajelah terus.






Ita: Nohen!!






Jue: Nohen?!






Ita: A’aa ... nohen! Itu yang aku hairan tu.






Jue: Isy! macam mana boleh jadi macam tu?
Tak dengar berita apa-apa pun. Kali terakhir aku jumpa, elok je ….






Ita: Bila kau jumpa dia?
Kata tadi lama tak jumpa.






Jue: Memanglah lama tak jumpa, tapi tak lah lama sangat,
adalah dalam enam bulan lepas kut. Sempat jugalah bersembang-sembang.
Bila pula dia jadi macam tu ek? Tak ada pula sesiapa yang cerita,
dan dia sendiri pun tak cakap apa-apa.







Ita: Sekarang ni la yang macam tu nyer!
Dulu elok je. Tak kan dia nak cakapkan kat kau pula dia macam tu.








Jue: Isy!! Dia ada nombor henpon aku,
kalau ada benda-benda besar macam tu, dia mesti bagi tau punya.








Ita: Isy!! Kau ni, takkan dia nak bagi tau orang pula dia perangai macam tu!!






Jue: Perangai? Perangai apa pulak tu?






Ita: Perangai macam tulah! Nohen bila jumpa kawan-kawan.







Jue: Eh! Kau cakap apa ni?
Tadi kau cakap Razak dah tak ada tangan,
itu bukan perangai, itu dah cacat anggota badan tau!
Kau biar betul-betul!!







Ita: Bila pulak aku kata dia dah cacat anggota badan?






Jue: Tadi kau kata dia dah tak ada tangan.







Ita: Bila aku ada kata macam tu?







Jue: Tadi!! Kau kata dia sekarang dah nohen. Tak ada tanganlah tu ….







Ita: Hehehehe …. Bukan tak ada tanganlah! Bukan no hand tapi nohen ….







Jue: Samalah tu ….






Ita: Mana pulak samanya, nohen ni maksudnya,
buat tak tahu. Bila kita tegur dia, dia buat tak tahu aje,
itu le makna nohen!








Ita: Orang mana yang cakap macam ni? Aku tak pernah dengar pun ….








Jue: Orang kampung suami aku, Perak.
Aku pun baru belajar perkataan ni sejak
jadi menantu orang Perak. Hehehee ….







Jue: Oooo …. Patut le sebelum ni aku tak pernah
dengar kau guna perkataan ni. Bukanlah dia tak ada tangan yek?
Laa … aku ingatkan dia dah cacat, dah tak ada tangan.
Tu yang aku hairan tu, kalau dia kemalangan ke,
sakit sampai kena potong tangan ke, aku mesti tau,
mesti dia bagi tau atau kawan-kawan lain bagi tau.









Ita: A’aa … sebenarnya, masa aku jumpa dia hari tu,
aku tegur dia tapi buat tak tau aja, dia buat nohen aje!
Tak macam dulu-dulu, kalau jumpa bukan main mesra lagi.








Jue: Hahaha … kau terserempak dia bersama isteri dia ek?







Ita: A’ah ….






Jue: Dia memang macam tu, kalau dia berjalan dengan isteri,
dia tidak akan balas jika ada kawan-kawan perempuan yang tegur dia.
Dah ramai kawan-kawan kita yang kena macam tu.











Ita: Kenapa pulak macam tu?









Jue: Dia tak mau bergaduh le tu, bini dia tu cemburu sangat.
Dia buat macam tu demi jaga rumah tangga ....











Ita: Oooo … macam itu punya manusia pun ada ek?









Jue: Manusia ni macam-macam … inilah dunia! Hehehehehee ....









Nota Kaki






Kolum Mewah Bahasa
memperlihatkan adanya beberapa cara
untuk menyampaikan sesuatu konsep yang sama dengan
perkataan berbeza disebabkan perbezaan slanga, dialek, taraf sosial dan generasi. Dialog menggunakan dialek dan juga bahasa pertuturan yang mungkin tidak sama dengan tatabahasa baku.








Prof Madya Dr Nor Hisham Osman


adalah Pensyarah Jabatan Linguistik,


Akademi Pengajian Melayu (APM),



Universiti Malaya.































Teruskan membaca..

Dasar pendidikan masa depan








Dasar pendidikan masa depan





Rombakan menyeluruh termasuk sekolah rendah dan menengah, sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah agama, pendidikan khas, vokasional





KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan kerajaan akan membuat perancangan dan penilaian teliti serta komprehensif sebelum Pelan Pembangunan Pendidikan dan Perancangan Strategik sistem pendidikan negara dibentuk untuk memenuhi keperluan global dan cabaran masa depan.





Ia membabitkan rombakan menyeluruh pendidikan teras sekolah rendah dan menengah, termasuk sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah agama, Orang Asli, pendidikan khas dan sekolah vokasional.





Bagi memastikan matlamatnya dicapai, pandangan, maklum balas dan idea rakyat akan menjadi sebahagian daripada pembentukan laporan pelan itu kerana kerajaan berpendapat pembabitan bersama rakyat sangat penting dalam penggubalan hala tuju sistem pendidikan negara.







Muhyiddin berkata, objektif utama pelan itu adalah menilai kembali prestasi sistem pendidikan Malaysia melalui penanda aras antarabangsa seperti Kajian Aliran Dalam Sains dan Matematik Antarabangsa (TIMMS) dan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) serta Penyata Razak pada 1956, Laporan Rahman Talib (1960) dan Penyata Mahathir (1979).







“Ia juga untuk memangkinkan transformasi sistem pendidikan dan menaik taraf penyampaian serta piawaian dalam pembentukan modal insan seiring keperluan ekonomi global dan wawasan 2020.







“Rombakan juga bertujuan melakar hala tuju transformasi Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai organisasi yang mampu menjana aspirasi pendidikan dan menjadi contoh kementerian kepada sebahagian dari agenda program transformasi kerajaan,” katanya pada sesi taklimat kepada editor media, di sini semalam.






Muhyiddin berkata, sistem pendidikan baru itu berpandukan falsafah pendidikan kebangsaan yang juga akan membentuk aspirasi sistem pendidikan pada masa depan.







Katanya, penilaian merangkumi dua fasa dengan fasa satu membabitkan penilaian semula atau diagnostik yang bermula sejurus pembentukan sebuah jawatankuasa kerja khas pada Oktober tahun lalu sehingga Februari 2012 dan fasa kedua pada April hingga November tahun ini yang membabitkan hala tuju dan pelan strategik.







Beliau berkata, laporan fasa satu dibuat berasaskan kajian lain untuk memastikan ketepatan dan ketelusan fakta, termasuk kajian UNESCO, Bank Dunia, TIMSS, PISA dan lapan universiti tempatan, lawatan serta kaji selidik merangkumi 800 pengetua, 11,000 guru, 500 pegawai Jabatan Pendidikan negeri dan daerah, 13,000 pelajar serta ibu bapa.







Selain itu, panel yang dianggotai anggota bebas tempatan dan antarabangsa di kalangan pakar pelbagai bidang sudah dibentuk untuk memberi perakuan dan maklum balas terhadap laporan fasa satu itu.










Teruskan membaca..

Guru sekolah rendah dapat BITB



Guru sekolah rendah dapat BITB




MUHYIDDIN bergambar bersama guru pada majlis penganugerahan TBGB 2011 di Kuala Lumpur, semalam.
MUHYIDDIN bergambar bersama guru
pada majlis penganugerahan TBGB 2011 di Kuala Lumpur, semalam.





RM15 juta diagih kepada 403 sekolah untuk bayaran bagi tahun kedua






KUALA LUMPUR: Kira-kira 14,000 warga pendidik peringkat sekolah rendah menerima manfaat daripada Bayaran Insentif Tawaran Baru (BITB) bagi tahun kedua semalam, sejak ia diperkenalkan kepada pengetua dan guru besar di bawah sub Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan pada 2010.




BITB bernilai hampir RM15 juta itu diagihkan kepada 403 sekolah sekolah rendah di seluruh negara. Daripada jumlah itu, 300 adalah Sekolah Kebangsaan (SK), 43 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), 51 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), lima Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan sebuah Sekolah Orang Asli.
Majlis penganugerahan Tawaran Baru Guru Besar (TBGB) 2011 itu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di Bahagian Teknologi Pendidikan, di sini, semalam.





Di bawah tawaran itu, setiap guru besar layak menerima RM7,500 seorang, manakala lima peratus guru paling cemerlang akan menerima RM1,800 seorang dan bakinya RM900 seorang. Selain itu, kakitangan sokongan layak menerima RM500 seorang.







Muhyiddin berkata, penganugerahan BITB adalah kemuncak kepada keupayaan warga pendidik dalam mencapai sasaran ditetapkan melalui akad tawaran atau bai’ah.






Beliau bersyukur kerana sasaran pemimpin sekolah yang layak menerima ganjaran, iaitu sebanyak empat peratus dapat dicapai. Daripada 7,635 sekolah rendah di seluruh negara, 403 berjaya menerima anugerah TBGB.





Lebih membanggakan, usaha kerajaan merapatkan jurang dan menyamaratakan peluang pendidikan berkualiti antara bandar dan luar bandar membuahkan kejayaan.






“Ini terbukti apabila sebuah Sekolah Orang Asli iaitu SK Tasik Cini, Pekan berjaya menerima ganjaran tawaran baru daripada keseluruhan 403 sekolah rendah yang terpilih. Semoga kejayaan sekolah ini akan memberi inspirasi kepada Sekolah Orang Asli dan sekolah rendah di luar bandar dan pedalaman untuk mencipta kejayaan yang sama,” katanya.






Tawaran Baru dilaksanakan menerusi langkah menyenaraikan kedudukan sekolah berdasarkan kombinasi pencapaian sekolah dalam Gred Purata Sekolah dan skor Standard Kualiti Pendidikan Malaysia yang dikenali sebagai Skor Komposit Sekolah.






Pengetua dan guru besar yang melepasi sasaran ditetapkan, akan dikenal pasti oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) untuk dilaksanakan verifikasi. Selepas disahkan pengetua dan guru besar serta memenuhi syarat, mereka boleh dipertimbangkan untuk pemberian BITB.









Teruskan membaca..

Thursday, March 15, 2012

Dari tiga ke 64 bahasa



Dari tiga ke 64 bahasa





SELAIN bahasa ibunda, sudah menjadi keperluan bagi masyarakat pada hari ini untuk menguasai bahasa kedua atau ketiga. Kemahiran komunikasi itu mampu menambah nilai dalam diri mereka.



Bagaimanapun, menguasai bahasa selain daripada bahasa ibunda sendiri menuntut kesabaran dan jati diri yang tinggi.



Seseorang itu perlu mengambil masa untuk mendalami dan memahami bahasa asing yang ingin mereka gunakan dalam pertuturan.



Lebih memburukkan keadaan, terdapat segelintir pelajar yang ingin menguasai bahasa kedua atau ketiga terpaksa menyerah kalah di pertengahan jalan kerana tidak dapat membiasakan diri dengan ejaan, maksud, struktur ayat dan juga hukum tatabahasa.



Menyedari kepentingan kepelbagaian bahasa kepada masyarakat dunia, Google Inc. memperkenalkan penterjemah alam maya melalui perkhidmatan Google Translate pada tahun 2006.



Saintis Penyelidikan Google Inc., Ashish Venugopal, memberitahu, terjemahan Google merupakan medium yang ditawarkan secara percuma kepada pengguna.



“Dengan menggunakan Google Translate, pengguna boleh mengakses maklumat berguna dengan mudah dan pantas.



“Google Translate membolehkan anda menterjemah ayat, dokumen, e-mel malah keseluruhan laman web dengan serta merta,” katanya melalui sebuah sidang video yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.


WALAUPUN Google Translate tidak memberikan
terjemahan yang tepat, ia banyak membantu pelayar Internet.




Beliau menambah, rekod penggunaan pelbagai bahasa menunjukkan peningkatan yang tinggi dalam alam maya.



Justeru katanya, fungsi Google Translate amat penting bagi memastikan pengguna dapat memperoleh pelbagai maklumat berguna dengan mudah di hujung jari mereka.



“Penggunaan Google Translate juga dapat membantu seseorang menjalankan urus niaga perniagaan dengan lebih teratur dan mudah.



“Sebagai contoh, kita boleh menterjemah borang tempahan berbahasa Cina kepada bahasa Inggeris hanya dengan menekan butang papan kekunci,” ujarnya lagi.



Ashish memberitahu, sekiranya pengguna ingin membaca laman blog berbahasa Perancis pula, mereka boleh menggunakan Google Translate untuk memahami isi kandungan tersebut.



Katanya, ia secara tidak langsung dapat memberi akses kepada pengguna untuk mengetahui lebih banyak kandungan maklumat yang terdapat di Internet.



“Dalam pada itu, pengguna yang menerima e-mel selain bahasa ibunda mereka boleh diterjemah menggunakan perkhidmatan ini.



“Ia sedikit sebanyak dapat membantu pengguna memahami isi kandungan e-mel yang dikirim kepada mereka,” jelasnya lagi.



Teknologi



Ashish memberitahu, semua terjemahan yang dilakukan Google Translate diperoleh melalui komputer.



Katanya, komputer akan menggunakan proses yang dipanggil terjemahan mesin statistik.




TERIMA kasih pada Google Translate kerana e-mel yang diterima
dalam bahasa asing kini boleh dibaca dengan lebih mudah.



“Terjemahan mesin statistik merupakan kaedah istimewa apabila komputer kami menjana terjemahan berdasarkan corak dalam teks yang sangat besar.



“Proses tersebut dilakukan dengan menganalisis berjuta-juta dokumen yang telah diterjemahkan oleh penterjemah manusia,” ujarnya.



Ashish menjelaskan, teks yang telah diterjemahkan tersebut diperoleh daripada buku, organisasi seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan laman web dari seluruh dunia.



Tambahnya, ia akan mengimbas teks tersebut dengan mencari ragam statistik penting iaitu corak di antara terjemahan dan teks asal.



“Sebaik sahaja komputer menjumpai suatu corak ia boleh menggunakannya untuk menterjemah teks yang serupa pada masa hadapan.



“Bagaimanapun, untuk beberapa bahasa, kami tidak mempunyai banyak dokumen terjemahan sedia ada untuk memastikan kesempurnaan terjemahan keseluruhannya,” katanya.



Hal itu terjadi kerana jumlah corak dikesan oleh perisian tersebut adalah kurang berbanding bahasa yang mempunyai banyak bahan.



Ia sekali gus menyebabkan mutu terjemahan berbeza-beza mengikut bahasa dan pasangan bahasa.



“Kita juga sentiasa memperbaiki mutu terjemahan untuk memberi yang terbaik kepada pengguna.



“Pada masa yang sama, pengguna juga boleh memainkan peranan dalam memperbaiki mutu penterjemahan dengan memastikan lebih banyak dokumen dan artikel dalam bahasa ibunda berada dalam Internet,” katanya.



Pelbagai bahasa



Buat masa ini, Ashish memberitahu, Google Translate menawarkan sokongan 64 laras bahasa kepada pengguna.




SEBANYAK 64 bahasa ditawarkan dalam aplikasi Google Translate seperti bahasa Inggeris, Rusia, Perancis, Melayu, Tamil dan Urdu.



Antara bahasa-bahasa yang disokong termasuk bahasa Inggeris, Rusia, Perancis, Jerman, Melayu, Jepun, Korea, Tamil dan Urdu.



“Secara tidak langsung, pengguna dapat mempelajari pelbagai bahasa asing dalam kehidupan mereka dengan mudah.



“Bagaimanapun, perkhidmatan Google Translate bukan bermakna orang ramai tidak memerlukan penterjemah manusia lagi,” terangnya.



Ashish menjelaskan, kewujudan aplikasi itu bukan pengganti kepada penterjemah manusia tetapi ekadar medium untuk membantu pengguna lebih memahami bahasa-bahasa lain.



Katanya, Google Translate juga dapat memastikan tiada halangan bahasa dalam kalangan pengguna global.



Aplikasi mudah alih



Sementara itu, Pengurus Komunikasi dan Perhubungan Awam Google Malaysia Sdn. Bhd., Zeffri Yusof berkata, pengguna mungkin pernah menonton laman web Youtube yang dimainkan dalam bahasa asing.



“Agak sukar memahami isi kandungan paparan Youtube berkenaan apatah lagi apabila tidak mengetahui makna yang diperkatakan dalam tayangan itu.



“Bagaimanapun, apabila menggunakan enjin pencarian Google, mereka boleh menyelaras sari kata di hujung kaki paparan skrin Youtube,” ujarnya.



Zeffri menambah, ia tentu sekali satu kemudahan yang baik dalam memberi maklumat kepada pengguna.



Selain daripada itu, beliau memberitahu, perkhidmatan tersebut juga boleh diguna pakai sebagai aplikasi dalam telefon mudah alih dan tablet pengguna.



“Dengan menggunakan aplikasi ini, ia dapat membantu pengguna memahami bahasa asing terutamanya apabila berada di luar negara.



“Ia juga dapat menterjemah bahasa asing dengan menggunakan kaedah suara daripada telefon mudah alih pengguna,” katanya.



Sebagai contoh Zeffri memberitahu, pengguna boleh menterjemah perkataan bahasa Mandarin kepada bahasa Inggeris dengan menggunakan kaedah suara tersebut.



Pengguna hanya perlu bercakap ataupun menaip perkataan yang ingin disampaikan pada peranti mereka dan ia akan menterjemah perkataan itu.



“Kemudahan ini akan dapat membantu pengguna berkomunikasi dengan lebih mudah dan lancar apabila berada di luar negara,” ujarnya.








Sumber : http://www.kosmo.com.my












Teruskan membaca..

Wednesday, March 14, 2012

Sistem pendidikan perlu dirombak



Sistem pendidikan perlu dirombak


NAJIB diiringi Muhyiddin melawat pameran teknik program I-Think  pada majlis pelancaran program berkenaan di dewan Bangkuasi Parlimen, semalam.
NAJIB diiringi Muhyiddin melawat pameran
teknik program I-Think pada majlis
pelancaran program berkenaan di dewan
Bangkuasi Parlimen, semalam.





PM mahu perubahan aspek mengajar dan cara belajar sejajar tranformasi negara




KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata sistem pendidikan negara perlu dirombak kerana sudah sampai ke satu tahap yang memerlukan perubahan terutama dalam aspek mengajar dan cara belajar.




Perdana Menteri berkata, langkah ini sejajar proses transformasi negara bagi melahirkan generasi muda yang mampu berfikir dan mempunyai kelebihan mengadaptasi ilmu bagi menghadapi cabaran masa akan datang.



“Transformasi ke arah negara bermaklumat, negara inovasi, berpendapatan tinggi dan berdaya saing memerlukan transformasi sistem pendidikan terutama mengenai cara kita belajar dan mengajar.




Beliau berkata, corak pendidikan sebelum ini yang menekankan kepada ‘hafalan’ perlu diubah dengan menekankan kepada kemahiran proses berfikir di kalangan pelajar supaya mereka mampu menggunakan ilmu yang dipelajari untuk kepentingan diri sendiri.




“Oleh kerana dunia sudah berubah, keperluan kita adalah menyediakan generasi hari ini untuk dunia yang akan datang,” katanya berucap pada majlis pelancaran Program I-Think, di dewan Bangkuasi Parlimen, semalam.




Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pelajaran dan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Maximus Ongkili.




Perdana Menteri berkata, walaupun sistem pendidikan negara sudah banyak memberi sumbangan besar kepada pembangunan dan kejayaan negara, namun dunia akan datang berbeza dengan hari ini kerana banyak peluang pekerjaan pada masa depan masih belum wujud ketika ini.



"Saya difahamkan 70 hingga 80 peratus jenis pekerjaan pada hari muka belum wujud hari ini. Jadi bagaimana kita hendak menyediakan anak kita hari ini untuk masa depan kerana pekerjaan untuk mereka belum lagi wujud.




"Jadi kita memerlukan kaedah pembelajaran yang menekankan aspek bagaimana untuk menggunakan pengetahuan yang ada serta bagaimana untuk berfikir. Jika kita boleh fikir, maka ia memberi kelebihan untuk mengadaptasi sebarang situasi," katanya.




Najib turut memaklumkan bahawa Projek I-Think yang kini dilaksanakan di 10 sekolah akan diperluaskan ke kira-kira 1,000 lagi sekolah tahun depan dan kepada semua sekolah menjelang 2014.




Program I-Think adalah projek bersama Kementerian Pelajaran dan Agensi Inovasi Malaysia bertujuan memupuk kemahiran pemikiran yang tinggi dan inovasi di peringkat sekolah rendah dan menengah.



Pada awal tahun ini, sepuluh sekolah dipilih di seluruh negara untuk menjadi sebahagian daripada projek perintis yang bertujuan memperkenalkan proses berfikir di kalangan pelajar sekolah.




Sementara itu, Muhyiddin berkata, kementerian dalam proses mentransformasi sistem pendidikan dengan meningkatkan mutu pembelajaran dan pengajaran.




“Menerusi program I-Think ini, kementerian berusaha menerap proses berfikir bagi membantu murid memahami sesuatu konsep dan aplikasi konsep itu dalam menyelesaikan segala permasalahan yang diberikan,” katanya.




Muhyiddin berkata, kemahiran itu juga akan menjadi sebahagian daripada modul di Institut Pendidikan Guru untuk memastikan bakal guru cukup terlatih dan bersedia menyampaikan teknik program I-Think selepas tamat pengajian mereka.




Katanya, langkah seumpama itu adalah satu permulaan penting dalam menaik taraf mutu sistem pendidikan negara agar aspirasi holistik Falsafah Pendidikan Kebangsaan dapat dicapai.


Link




Sumber : http://www.bharian.com.my







NOTA




APAKAH PROGRAM I-THINK?



Program i-THINK adalah program yang bertujuan mempertingkatkan dan membudayakan kemahiran berfikir dalam kalangan murid ke arah menghasilkan murid berinovatif.






APAKAH YANG DIHARAPKAN DARIPADA PROGRAM I-THINK?









*Dengan menggunakan Alat Berfikir (Thinking tools); murid lebih fokus, berkeyakinan dan aktif di dalam kelas.




*Aktiviti banyak berpusatkan murid.




*Prestasi murid meningkat selepas menggunakan alat berfikir dalam pengajaran & pembelajaran.





*Hubungan guru dengan murid lebih rapat kerana guru lebih banyak berperanan sebagai fasilitator.








SENARAI 10 SEKOLAH RINTIS :







i. SMK Convent Muar, Johor




ii. SMK Marudu, Sabah




iii. SMK Gaal, Pasir Putih, Kelantan




iv. SMK Tun Husein Onn, Seberang Jaya, Pulau Pinang




v. SJKT Port Dickson, Negeri Sembilan




vi. SK Kiara Mas, Kuala Lumpur




vii. SJKC Wen Hua, Batu Berendam, Melaka




viii. SK Paya Pulai, Temerloh, Pahang




ix. SK Tan Sri Datuk Hj Mohamed, Kuching, Sarawak




x. SK Pusat Bukit Besar, Terengganu
















Teruskan membaca..

Tuesday, March 13, 2012

TOPS Cards realisasikan 1Murid 1Sukan



TOPS Cards realisasikan 1Murid 1Sukan


Husna Hamimi Hashim bersama guru pendidikan jasmani tempatan,
Teing Tai Chee (kiri) dan Bilong Ngerong yang terpilih menjadi pelatih antarabangsa
dalam program Inspirasi Antarabangsa anjuran
British Council di Kuala Lumpur, baru-baru ini.







BAGI merealisasikan dasar 1Murid 1 Sukan, British Council dengan sokongan Kementerian Pelajaran telah memperkenalkan alat bantuan mengajar yang dikenali sebagai TOPS Cards untuk digunakan sebagai panduan oleh guru-guru di seluruh negara.



Pengurus Projek British Council Malaysia, Husna Hamimi Hashim berkata, dengan menggunakan alat itu guru akan lebih memahami teknik pengajaran dan pembelajaran (P&P) pendidikan jasmani yang sesuai untuk diaplikasikan kepada para pelajar.



"TOPS Cards ini memperkenalkan secara menyeluruh cara dan teknik yang paling sesuai untuk guru-guru melibatkan semua pelajar dalam aktiviti sukan termasuklah pelajar yang dikategori sebagai orang kelainan upaya (OKU)," katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.



Alat bantuan mengajar ini dihasilkan oleh British Council untuk melaksana dan menjayakan program Inspirasi Antarabangsa yang bertujuan menggalakkan golongan muda untuk melibatkan diri dalam sukan.



Program Inspirasi Antarabangsa ini menjadi platform kepada golongan muda melibatkan diri dalam pendidikan jasmani, sukan dan permainan untuk memperoleh sesuatu yang bermanfaat serta berguna dalam kehidupan.



Menurut Husna, seramai 600 guru tempatan telah dilatih dalam latihan tahun pertama di seluruh negara dan tiga daripada mereka telah dipilih menjadi pelatih antarabangsa dengan menyediakan latihan untuk program Inspirasi Antarabangsa di negara lain.



"Pelatih dari Malaysia merupakan pelatih antarabangsa pertama selain dari England yang terpilih untuk melaksanakan program itu," ujarnya.



Mereka ialah Teing Tai Chee dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (C) Shing Chung, Perak dan Bilong Ngerong dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keningau, Sabah.



Kata Husna, selain dihantar untuk menjalankan latihan kepada pelajar di luar negara seperti Indonesia, mereka turut dihantar ke Pakistan bagi menjadi tenaga pengajar kepada jurulatih di sana.



Di Malaysia, sebanyak sepuluh buah sekolah masing-masing lima dari Perak dan Sabah telah dipilih sebagai rakan kongsi dengan sepuluh sekolah dari seluruh United Kingdom bagi program Inspirasi Antarabangsa ini.



Ia melibatkan 20 pemimpin sekolah dan guru-guru pendidikan jasmani untuk mengambil bahagian dalam sesi latihan Kepimpinan Sukan Belia.



"Guru terbabit akan melatih lebih daripada 1,000 murid di negara ini dengan memberi tumpuan kepada pembangunan dalam bidang kerja berpasukan, pengurusan acara, kemahiran komunikasi dan keyakinan untuk menjadi pemimpin muda sukan," jelasnya.



Latihan yang diadakan selama enam hari itu dijalankan oleh jurulatih-jurulatih antarabangsa Kepimpinan Sukan Belia iaitu Viv Holt dan Carol Hawman dari United Kingdom.



Selain Malaysia, Inspirasi Antarabangsa ini telah berjaya diadakan di 20 negara lain termasuk Azerbaijan, Bangladesh, Brazil, Habsyah, Mesir, Ghana, Jordan, India, Indonesia, Mozambique, Nigeria, Palau, Pakistan, Afrika Selatan, Tanzania, Trinidad dan Tobago, Turki, Uganda dan Zambia.






Sumber: http://www.utusan.com.my











Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...