Photobucket

Sahabat Maya :

Monday, February 20, 2012

CUEPACS mahu tarikh kuat kuasa SBPA kekal 1 Januari



CUEPACS


mahu tarikh kuat kuasa


SBPA kekal 1 Januari



PUTRAJAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu tarikh kuat kuasa Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dikekalkan pada 1 Januari lalu dan tunggakan gaji dibayar kepada semua penjawat awam dari tarikh itu.







Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata permintaan itu adalah wajar kerana kerajaan sebelum ini menetapkan tarikh kuat kuasa SBPA bermula 1 Januari tetapi pelaksanaan sahaja ditangguhkan berikutan semakan semula beberapa perkara dalam skim baru itu.
"Jadi permintaan CUEPACS ialah supaya tarikh kuat kuasa SBPA pada 1 Januari itu dikekalkan. Itu yang kita mahu.





"Ia juga adalah satu perbincangan sewaktu saya bertemu dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) tempoh hari. Jadi kekalkan tarikh kuat kuasa itu, tangguh pelaksanaan, semak semula dan sehingga dapat penyelesaian dalam tempoh tiga bulan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.






Beliau yakin lima tuntutan CUEPACS dapat diterima selepas pembentangan kertas cadangannya kepada pasukan petugas khas semakan semula SBPA pada mesyuarat ketiganya yang dijadualkan Rabu ini.






Lima tuntutan CUEPACS itu ialah mengkaji semula prinsip pemindahan gaji penjawat Gred 54 ke bawah; mengekalkan status kekananan penjawat dalam Skim Saraan Malaysia (SSM); mengkaji semula tangga gaji maksimum; menyenaraikan penjawat yang layak memperoleh kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus dan menyemak semula penstrukturan kenaikan gaji bagi semua gred.






Omar berkata, satu perhimpunan besar membabitkan penjawat awam dari semua gred akan diadakan pada akhir bulan depan bagi memberi penerangan secara terperinci mengenai intipati SBPA.





Terdahulu, beliau bersama anggota Kelab UMNO Pesara (Kumpulan Pelaksana) kerajaan Malaysia (KUPEKMAS) mengunjungi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, di bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana di sini. - BERNAMA










Sumber












Teruskan membaca..

Sunday, February 19, 2012

Sel garam ganti bateri



Sel garam ganti bateri


Pemenang pingat emas Pameran Rekacipta Remaja Antarabangsa (IYIE) 2012 di Tainan, Taiwan,
Mohamad Nazmi Muhamad Norrizal, Muhammad Dhiyauddin Asyraf Abd. Jalal dan Mohd. Syafiq Abd Aziz
bergambar dengan Haslina Jaafar (tiga dari kiri), Wan Rohila Wan Hassan (tujuh dari kiri)
dan guru-guru MRSM Terendak, Melaka yang banyak memberikan sokongan dan galakan.












SEGALANYA bermula semasa cuti persekolahan tahun lepas, ketika sekumpulan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Terendak, Melaka cuba menggunakan konsep sel voltaik yang dipelajari dalam kelas Kimia semasa Tingkatan Empat.






Dengan bimbingan guru Biologi, Wan Rohila Wan Hassan, pelajar Tingkatan Lima iaitu Mohd. Syafiq Abd. Aziz, Muhammad Dhiyauddin Asyraf Abd. Jalal dan Mohamad Nazmi Muhamad Norrizal berjaya menghasilkan sel garam menggantikan bateri kering.






Ramai yang bertanya mengapa perlu menggantikan bateri kering dengan sel garam?







Selama ini banyak barangan kecil seperti lampu picit, lampu hiasan dan juga jam dinding menggunakan bateri kering. Tetapi tidak ramai yang tahu kaedah melupuskan bateri dengan baik selepas peranti itu tidak lagi mampu mengalirkan kuasa.





Ramai yang tidak membuang bateri dengan betuk selepas digunakan dan hanya melontarkan ke dalam tong sampah. Pembuangan bateri yang tidak betul menyebabkan pencemaran toksik plumbum tersebar secara meluas.







Jika plumbum memasuki tubuh, ia akan menyingkir logam-logam lain yang berguna di dalam tubuh manusia lalu menyebabkan kesan buruk.






Bertitik-tolak daripada kesedaran itu, selain teruja dengan dasar kerajaan ke arah teknologi hijau mendorong tiga remaja pintar ini menghasilkan produk 'Sel Garam: Sumber Tenaga Alternatif.






Produk berkenaan berjaya memikat hati juri sehingga membolehkan mereka membawa pulang pingat emas semasa Pameran Rekacipta Remaja Antarabangsa (IYIE) 2012 di Tainan, Taiwan dari 11 hingga 13 Februari lalu.






Tapi bolehkah garam menghasilkan tenaga yang sama seperti bateri?






Menurut Dhiyauddin Asyraf, sel garam mampu menggantikan bateri kerana boleh menghasilkan voltan.







"Malah garam boleh menghasilkan voltan lebih tinggi berbanding bateri biasa dan beroperasi lebih lama," katanya semasa ditemui di sekolahnya baru-baru ini.






Mohd. Syafiq pula berkata, bateri sel garam dapat mengurangkan pencemaran yang terhasil daripada bateri sekali gus menjaga alam sekitar.






"Sel garam hanya menggunakan kepingan logam kuprum dan magnesium dalam proses elektrolisis dan garam sebagai elektrolit, arus elektrik dapat dihasilkan," katanya.





Penggunaan sel garam amat mudah kerana hanya memerlukan air garam dengan kepekatan tertentu yang disambungkan kepada dua kepingan logam.






Larutan garam tadi diletakkan di dalam bekas yang dibahagikan kepada empat bahagian yang direka khas dengan kerjasama Universiti Teknikal Malaysia (UTeM), Melaka.





"Bekas berkenaan diperbuat daripada bahan ABS tetapi sebenarnya ia boleh menggunakan apa saja jenis bahan kecuali logam," katanya.






Cara menggunakan sel garam kata Mohamad Nazmi amat mudah.






"Hanya bancuh garam dengan kepekatan yang ditentukan, sediakan satu kepingan logam magnesium dan kuprum.






"Dalam satu bahagian, letakkan dua kepingan logam yang mewakili satu sel bateri kemudian sambung kepada wayar dan lampu hiasan LED sudah menyala," katanya.






Lampu yang menggunakan sel garam boleh digunakan selama dua hari jika dipasang dengan berterusan.






Menurut Mohamad Nazmi, ramai yang berminat dengan produk sel garam yang dipamerkan kerana garam yang digunakan boleh dibancuh sendiri oleh pengguna.






Selain garam, pengguna hanya perlu menggantikan kepingan magnesium selepas tujuh kali penggunaan.






"Kos bagi satu sel garam ini amat murah hanya RM6.60 selain mesra alam dan mengurangkan pencemaran akibat pembuangan bateri yang tidak betul," katanya.






Mengulas kejayaan yang dikecapi di Taiwan, Muhammad Dhiyauddin berkata, semasa di sana banyak syarikat yang berminat dengan inovasi mereka.






"Sel garam adalah satu prototaip dan masih boleh diperbaiki untuk kegunaan peralatan elektrik lain yang mudah alih," katanya.






Sementara itu Timbalan Pengetua Hal Ehwal Akademik MRSM Terendak, Melaka, Hazlina Jaafar berkata, pihaknya amat berbangga dengan kejayaan pelajarnya mengharumkan nama sekolah berkenaan sejak 29 tahun penubuhannya.






"Kami berharap kejayaan ini dapat membuka jalan kepada pelajar lain untuk mencipta lebih banyak kejayaan pada masa hadapan," katanya.








Sumber















Teruskan membaca..

Friday, February 17, 2012

Al-Quran dedah tembelang Yahudi hancurkan Islam





Al-Quran dedah


tembelang Yahudi


hancurkan Islam



Oleh Amran Zakaria





SAIDINA Ali Abi Talib pernah menzahirkan kata-kata
tersimpan maksud yang amat mendalam melalui pengucapannya
iaitu ‘orang yang berakal itu ialah orang yang mahu mengambil iktibar
dan pengajaran daripada kisah pengalaman orang lain’.









Sebenarnya, kisah kaum bani Israel
banyak dirakamkan dalam al-Quran bertujuan
mendedahkan tembelang mereka dalam isu
keagamaan dan kemanusiaan sejagat.
Usah ada daripada kita yang cuba menutup sebelah mata
kononnya bersedia mengiktiraf mereka di sebalik matlamat
untuk mendapatkan sokongan moral golongan yang telah
hilang perasaan serta sifat kemanusiaan ini.
Perkataan Israel pada asalnya bererti
pilihan adalah satu sebutan khusus bagi Nabi Yaakub.
Oleh itu, bani Israel ialah susur galur keturunan Nabi Yaakub
tetapi sekarang mereka lebih dikenali dengan sebutan Zionis.









Allah SWT berfirman bermaksud:







“Sesungguhnya,

bani Israel ini adalah satu kaum

yang dimuliakan Allah SWT suatu ketika dulu.

Kebanyakan daripada keturunan bani Israel

atau kaum Yahudi, mempunyai kebijaksanaan

dan kelebihan yang tidak diberikan terhadap kaum lain.”



(Surah Al-Baqarah, ayat 85)









Sebagai bangsa pilihan,
mereka dilimpahi nikmat Allah yang tidak diberikan kepada bangsa lain.
Antara nikmat itu ialah diutuskan ramai nabi dan rasul yang berasal
di kalangan mereka, selain diselamatkan daripada kezaliman
Firaun dan bala tenteranya.







Allah SWT berfirman bermaksud:






“Wahai bani Israel!

Kenangkanlah kamu akan segala nikmat

yang-Ku berikan kepadamu, dan sempurnakanlah perjanjian (kamu)

dengan-Ku supaya Aku sempurna perjanjian-Ku dengan kamu;

dan kepada Akulah saja hendaklah kamu merasa gerun takut,

(bukan kepada sesuatu yang lain).”



(Surah al-Baqarah, ayat 40)








Walaupun Allah SWT melimpahkan pelbagai nikmat kehidupan,
mereka berubah menjadi bangsa lupa diri, sombong, takbur,
mempermainkan ayat Allah dan ajaran agama,
bahkan tergamak membunuh pendakwah serta nabi
mereka sendiri yang sentiasa menyeru ke arah kebaikan
dan kesejahteraan hidup.







Al-Quran mendedahkan kejahatan mereka

yang langsung tiada sifat manusia.

Dalam diri mereka ini tersemat beraneka kejahatan

yang tersembunyi dalam hati mereka yang diterjemahkan

dengan sifat serta perlakuan jahat.







Dalam satu kisah sahabat,
pada suatu hari Abu Ubaidah al-Jarrah bertanya
kepada Rasulullah SAW:






“Wahai Rasulullah,

siapakah manusia paling dahsyat azabnya pada hari kiamat?

Baginda menjawab:

Seseorang yang membunuh nabi atau orang

yang melaksanakan amar makruf nahi mungkar.”







Kemudian Baginda membaca ayat al-Quran bermaksud:






“Sesungguhnya orang yang kufur ingkar

ayat keterangan Allah dan membunuh Nabi dengan jalan tidak benar,

serta membunuh orang yang menyeru manusia berbuat adil,

maka sampaikanlah berita kepada mereka dengan azab pedih.”



(Surah al-Imran, ayat 21)








Baginda meneruskan ceritanya dengan bersabda:






“Wahai Abu Ubaidah,

ketahuilah bahawa bani Israel

sudah membunuh 43 nabi

pada sebelah pagi dalam satu masa.


Kemudian ada 170 orang Israel

yang mengajak mereka membunuh nabi berkenaan

yang menyeru kepada makruf dan mencegah mereka

daripada mungkar tapi mereka membunuhnya

pada sebelah petang.”




(Riwayat Abu Hatim dan Ibn Jarir).








Sejarah Islam juga mencatatkan kaum Yahudi
terkenal dengan sifat khianat dan mungkir janji.
Hampir semua perjanjian yang termeterai antara mereka
dengan Rasulullah SAW, dikhianati.








Tidak menghairankan seandainya rejim Yahudi di Israel kini
kekal mempamerkan sifat yang menjadi darah daging mereka
iaitu mengulangi perbuatan khianat dan mungkir janji
seperti dilakukan nenek moyang mereka dulu.








Mereka bukan saja mengkhianati seluruh isi perjanjian damai
dengan bangsa Palestin, malah dengan angkuh dan sombong
tidak bersedia untuk tunduk kepada resolusi diputuskan
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)
berkaitan isu perdamaian Asia Barat.







Kisah pengkhianatan kaum Yahudi dulu dan sekarang
sekali gus membuktikan kebenaran al-Quran
yang mendedahkan tembelang dan sikap kaum Yahudi
sebenarnya terhadap isu keagamaan,
kemanusiaan dan keamanan sejagat.










Mereka ialah golongan yang tidak boleh dipercayai sama sekali.
Justeru, tidak perlu lagi diusahakan sebarang rundingan
ataupun perjanjian damai, apatah lagi diadakan hubungan diplomatik
serta perdagangan dengan mereka.









Bahkan, umat Islam di bumi Palestin yang dizalimi dan ditindas
oleh rejim Zionis itu wajib berjihad demi mempertahankan maruah,
harta benda, tanah air serta agama mereka.
Penjajahan haram Yahudi yang begitu laparkan tanah di bumi Palestin
bertindak melebar penguasaan mereka hasil daripada
‘dasar penaklukan yang menggila’ itu.






Kaum Yahudi sentiasa berusaha dengan pelbagai cara dan helah,
sama ada secara terang-terangan mahupun sulit agar kaum Muslimin
meninggalkan ajaran agama mereka dan kembali menjadi kufur.
Perilaku jahat kaum Yahudi berkenaan dirakamkan dalam al-Quran
untuk dijadikan pengajaran kepada umat Islam selepasnya.







Firman Allah bermaksud:







“Banyak di antara Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani)

suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu

menjadi kafir selepas kamu beriman kerana dengki

yang timbul dalam diri mereka sendiri,

sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad SAW).”



(Surah al-Baqarah, ayat 109).









Teruskan membaca..

Thursday, February 16, 2012

Titik tengah Semenanjung




http://www.bharian.com.my/bharian/articles/TitiktengahSemenanjung/pix_gal1



Titik tengah Semenanjung






http://www.bharian.com.my/bharian/articles/TitiktengahSemenanjung/pix_gal2


Sabarudin (kiri) dan Zainal Abidin
menunjukkan titik tengah Semenanjung
yang ditanda dan disimen di bawah
sebuah pondok di Darul Ulum.











PERNAHKAH anda terfikir di manakah kedudukan sebenar titik tengah Semenanjung Malaysia serta apakah kepentingannya kepada negara dan penduduk setempat? Sebelum ini, ada dua pendapat popular mengenai kedudukan sebenar titik tengah Semenanjung Malaysia iaitu di daerah Lipis dan Kampung Kertau, Maran di Pahang. Kampung Belimbing yang terletak di Lipis dianggap titik tengah Semenanjung Malaysia sejak pemerintahan Inggeris lagi. Malah, jika berkunjung ke lokasi ini, anda boleh menemui batu penanda `0' kilometer yang menjadi rujukan jarak ke seluruh negeri di Semenanjung.
Bagaimanapun, penentuan titik tengah pada era itu dikatakan tidak begitu tepat. Ini kerana ia sekadar menjadi titik rujukan pemerintah Inggeris dan bukannya titik sebenar.
Pada masa sama, Kampung Kertau di Maran pula dikatakan sebagai titik tengah sehingga menimbulkan pertikaian di kalangan ahli akademik yang gagal mencapai kata putus mengenai kedudukan sebenar titik istimewa ini. Namun, sehingga 2009, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) melakukan kajian komprehensif untuk menentukan titik tengah sebenar Semenanjung Malaysia dengan menggunakan beberapa kaedah.












Bekas Pegawai Daerah Temerloh, Datuk Sallehuddin Ishak berkata, JUPEM menggunakan tiga kaedah untuk menentukan lokasi sebenar titik tengah Semenanjung Malaysia iaitu berdasarkan rupa bentuk muka bumi tanah Semenanjung, pengiraan jisim dan kaedah matematik. Sallehuddin berkata, mengikut kaedah pengukuran rupa bentuk muka bumi, JUPEM melakukan pengiraan dengan menghubungkan titik-titik pada bahagian paling hujung Semenanjung menggunakan garisan di mana titik tengah Semenanjung Malaysia dikenal pasti berdasarkan pertemuan garisan berkenaan.












Sallehuddin yang kini Timbalan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian Persekutuan (Kemajuan Pengurusan Dan Perundangan Tanah), Ibu Pejabat Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian berkata, mengikut kaedah itu, titik pertemuannya ialah pada kedudukan x bersamaan 469053.344 dan y (464283.582) iaitu di Hutan Simpan Ulu Cheka, Lipis.
“Mengikut kaedah kedua pula, pengiraan jisim secara abstrak dengan mengandaikan kedudukannya pada x bersamaan 63626.711462 dan y (446971.55564) iaitu di Jerangsang, Benta, Lipis,” katanya kepada sisipan Rona baru-baru ini.












Sallehuddin berkata, kaedah ketiga melalui pengiraan matematik iaitu menghubungkan titik paling jauh dengan titik paling dekat menggunakan 37,371 titik.
Menurutnya, pada akhir pengiraan, titik tengah dikenal pasti pada kedudukan x bersamaan 469519.6934 dan y (386338.7621) iaitu di Kampung Paya Siput, Lanchang, Temerloh. "Berdasarkan tiga kaedah itu, JUPEM menyerahkannya kepada kerajaan negeri untuk pertimbangan selanjutnya. "Sehubungan itu, kerajaan negeri memutuskan cara terbaik menentukan titik tengah ialah berasaskan kepada keputusan yang boleh dicabar secara saintifik supaya ia dapat dibuktikan dan lebih praktikal," katanya.











Beliau berkata, penentuan itu juga dibuat dengan mengambil kira kedua-dua lokasi terdahulu yang menggunakan kaedah rupa bentuk muka bumi dan pengiraan jisim terletak di kawasan hutan dan sukar dikunjungi. Malah, dari segi `common sense', kedudukan Lanchang, Temerloh memang terletak di antara Lipis dan Maran. Selain itu, mengambil kira kedudukan stesen Pusat Remote Sensing Negara (MACRES) dan PULARES yang secara strategiknya terletak di Temerloh, ia bagai sokongan kuat membuktikan lokasi ini terletak di tengah-tengah Semenanjung Malaysia.














Dari segi jarak perjalanan, Temerloh terletak tengah-tengah iaitu antara Kuantan dan Kuala Lumpur atau antara pantai barat dan timur. Sehubungan itu, daerah Temerloh yang sebelum ini popular sebagai `bandar ikan patin' juga bakal dikenali sebagai bandar `titik tengah Semenanjung Malaysia' serta dapat membawa banyak manfaat kepada penduduk tempatan. Sementara itu, pengiktirafan Temerloh sebagai daerah titik tengah Semenanjung Malaysia bukan saja menamatkan perdebatan di kalangan ahli akademik, malah secara langsung memberi kelebihan kepada daerah ini dalam menarik pelancong. Bandar Temerloh yang sekian lama terkenal dengan jolokan `bandar ikan patin' sudah cukup membuatkan penggemar ikan sungai berkunjung ke bandar ini untuk menikmati keenakan masakan spesies ikan ini.











Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang,
Datuk Sharkar Shamsuddin, berkata titik tengah Semenanjung Malaysia yang dikenal pasti terletak di Kampung Paya Siput, Lanchang sudah tentu menjadi tarikan untuk pengunjung melawat Temerloh yang sebelum ini terkenal dengan produk pelancongan alam sekitar.
"Tarikan terbaru ini boleh menjadi pelengkap kepada destinasi pelancongan sedia ada seperti Gunung Senyum; Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah; Santuari Rusa di Bukit Rengit dan Lembah Harimau," katanya. Sharkar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri berkata, kedudukan Kampung Paya Siput terletak di antara Sungai Kepong dan Kampung Bongsu. "Ia dikenal pasti sebagai titik tengah Semenanjung Malaysia berdasarkan pengiraan matematik oleh JUPEM," katanya.













Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata, pengisytiharan Kampung Paya Siput, Lanchang sebagai lokasi titik tengah Semenanjung Malaysia mempunyai signifikan tersendiri. "Bagaimanapun, apa yang lebih penting ialah penduduk setempat perlu merebut peluang yang ada dengan bertindak secara proaktif membabitkan diri mempromosikan kawasan mereka. "Mereka tidak boleh mengharapkan kerajaan semata-mata untuk menyediakan prasarana sebaliknya memanfaatkan peluang seperti menjual cenderahati bermotifkan titik tengah kepada pelancong," katanya.












Shafik berkata, kerajaan boleh membangunkan Temerloh tetapi akhirnya penduduk setempat perlu mempunyai kesedaran dan tanggungjawab memeliharanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Datuk Tarif Abdul Rahman berkata, pihaknya merancang membangunkan beberapa kemudahan di kawasan istimewa itu. "Sudah tentu kita mahu kawasan itu mempunyai kemudahan untuk pelancong termasuk aktiviti penjualan cenderahati dan rekreasi bagi menjadikannya menarik. "Kita juga merancang mendirikan monumen atau mercu tanda yang boleh meninggalkan kenangan kepada pelancong," katanya.













Tarif berkata, kedudukannya di kawasan Kampung Paya Siput cukup menarik kerana ia mempunyai penempatan kampung tradisional dan kemudahan asas yang lengkap.
Penduduk tempatan nanti limpahan PENDUDUK Kampung Paya Siput, Lanchang, yakin pengiktirafan kawasan perkampungan itu sebagai titik tengah Semenanjung sudah tentu memberi makna yang mendalam kepada mereka. Walaupun ia tidak merubah wajah kampung itu dalam sekelip mata, mereka percaya kawasan itu akan lebih dikenali dan menjadi sebutan kerana kedudukannya yang begitu unik berbanding tempat lain di negara ini. Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Rantau Panjang, Zainal Abidin Mat Taha berkata, Kampung Paya Siput adalah antara tiga kampung yang terletak di bawah pentadbiran JKKK Kampung Rantau Panjang selain Kampung Bukit Wau dan kampung Orang Asli Bukit Licin.













"Lebih menarik, titik tengah sebenarnya terletak betul-betul di bawah sebuah pondok di pusat pengajian agama, Madrasah Darul Ulum yang diusahakan Sabaruddin Othman sejak lima tahun lalu. "Sehubungan itu, kami berharap pihak Pejabat Daerah dan Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) akan membangunkan kawasan terbabit untuk menjadikannya sebagai tarikan pelancongan ke negeri ini," katanya. Zainal Abidin berpendapat, suatu mercu tanda perlu dibangunkan di kawasan itu bagi membolehkan orang ramai sama ada penduduk setempat atau pelancong luar tahu kedudukan sebenar titik tengah berkenaan.














Selain itu, beliau berkata, beberapa kemudahan lain juga boleh disediakan di kawasan terbabit seperti jalan masuk, tempat jualan cenderahati dan ruang perniagaan yang boleh dimanfaatkan penduduk setempat. Bagi Sabaruddin, 43, beliau tidak keberatan membenarkan sebahagian tanahnya dibangunkan untuk kepentingan awam kerana percaya pemilihan kawasan itu ada hikmah tersendiri. "Saya tidak mahu mengambil kesempatan di atas perkembangan ini, sebaliknya menerima apa juga keputusan pihak berkuasa tempatan. "Saya difahamkan, titik tengah yang dimaksudkan itu terletak betul-betul di bawah satu daripada pondok yang digunakan sebagai asrama oleh penghuni madrasah ini.














Apa yang saya tahu, pihak berkuasa bercadang mewartakannya untuk dibangunkan dengan prasarana.
"Cuma, saya berharap beberapa pondok yang berada dalam lingkaran titik itu dapat dialihkan ke tempat lain yang lebih sesuai," katanya. Madrasah Darul Ulum kini mempunyai kira-kira 100 penghuni termasuk dari kalangan remaja, anak yatim dan pasangan warga tua yang ingin mendalami ilmu agama secara percuma.

















Teruskan membaca..

Galak calon UPSR mengulang kaji secara maya



UEM Land beri percuma portal guru.net.my

RUSLI (tengah) bersama peserta seminar UPSR sekolah Pintar UEM Land yang diadakan di UTM skudai, Sabtu dan Ahad lalu.
RUSLI (tengah) bersama peserta seminar UPSR
sekolah Pintar UEM Land yang diadakan di UTM skudai, Sabtu dan Ahad lalu.





Galak calon UPSR mengulang kaji secara maya







UEM Land menerusi Program Sekolah Angkat Pintar mempertingkatkan khidmat sosialnya apabila menyediakan pembelajaran secara maya percuma menerusi portal guru.net.my kepada calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Majlis penyampaian ID nombor guru.net.my itu disempurnakan oleh Pengurus Besar Perancangan & Infrastruktur Bandar Nusajaya, Rusli Zainal Abidin kepada 250 murid tahun enam yang menyertai Seminar UPSR 2012 (Fasa 1) Sekolah Pintar UEM Land, di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, sabtu lalu.






Calon UPSR hendaklah berusaha dengan gigih dan mendapatkan pelbagai input terkini termasuk membuat latihan menggunakan sisipan Didik supaya berjaya mencapai hasrat merangkul 5A. - Rusli Zainal, Pengurus Besar Perancangan & Infrastruktur Bandar Nusajaya






Berucap dalam majlis itu, Rusli menasihatkan semua calon UPSR daripada sekolah angkat UEM Land itu supaya memanfaatkan pembelajaran secara maya terutama bagi meningkatkan kemahiran menjawab soalan.








Beliau berkata, pemberian portal guru.net.my secara percuma itu juga membuktikan kesungguhan organisasi korporat itu bagi melahirkan modal insan yang cemerlang dalam akademik pada masa depan.







Menurutnya, calon hendaklah rajin melayari portal berkenaan bagi membuat latihan yang disediakan sebagai latih tubi dan juga ulang kaji selepas mengikuti pembelajaran di dalam kelas.







“Calon UPSR hendak berusaha dengan gigih dan mendapatkan pelbagai input terkini termasuk membuat latihan menggunakan sisipan Didik supaya berjaya mencapai hasrat merangkul 5A,” katanya.







Turut hadir dalam majlis itu, Pengarang Pendidikan Berita Harian, Yusuf Abu Bakar.








Rusli berkata, program seminar UPSR yang dianjurkan dengan kerjasama Unit Pendidikan Berita Harian sejak 2008 itu sudah banyak membawa kejayaan kepada murid sekolah angkat UEM Land.







Beliau berkata, badan korporat itu berharap murid yang cemerlang akan meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dan muncul sebagai tenaga pakar untuk kembali bertugas di tempat kelahiran.







”Pembangunan di kawasan Nusajaya itu sendiri memerlukan ramai tenaga pakar dalam pelbagai bidang dan ia akan lebih bermakna jika n ia daripada kalangan anak tempatan,” katanya.












Teruskan membaca..

DBP audit bahasa Melayu

DBP audit bahasa Melayu



pix_gal0
Garis panduan hampir siap, kemuka kepada kerajaan Jun








PETRA JAYA: Masih ada kementerian, jabatan dan agensi kerajaan tidak menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam dokumen urusan rasmi masing-masing, sebaliknya menggunakan bahasa Inggeris, termasuk dalam surat pekeliling dan minit mesyuarat bulanan.
Sehubungan itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menubuhkan jawatankuasa khas untuk mengaudit penggunaan bahasa Melayu dalam semua dokumen rasmi kerajaan bagi mengenal pasti tahap penggunaan bahasa kebangsaan itu setakat ini.
Ketua Pengarah DBP, Dr Awang Sariyan, berkata ia berlaku kerana ada pegawai atasan dan penjawat awam tidak memahami atau terlepas pandang Dasar Bahasa Kebangsaan yang turut disokong Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.








Katanya, setakat ini ada beberapa kementerian, jabatan dan agensi kerajaan mencapai tahap 80 hingga 90 peratus penggunaan bahasa Melayu dalam semua dokumen rasmi.








"Pada masa sama, masih ada kementerian, jabatan dan agensi kerajaan tidak menggunakan bahasa Melayu dalam beberapa dokumennya, iaitu surat pekeliling dan laporan tahunan.








"Cara terbaik meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dalam sektor awam adalah mengadakan audit bahasa dari semasa ke semasa," katanya selepas menyampaikan ucaptama Dasar Bahasa Kebangsaan: Tuntutan Iltizam Kepada Seluruh Warga Negara, di DBP Cawangan Sarawak, di sini semalam.








Ia dianjurkan DBP Cawangan Sarawak dan Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA) sempena Hari Pejuang Bahasa 152 Peringkat Negeri Sarawak 2012.








Awang berkata, mungkin ada pihak yang ketawa dengan langkah itu, tetapi DBP beriltizam melaksanakannya kerana ia bukan satu kesalahan, malah dapat meningkatkan penggunaan bahasa Melayu di kalangan penjawat awam di negara ini.








Katanya, cara kerajaan memperbaiki pencapaian dalam pengurusan dan pentadbiran adalah menerusi proses audit, termasuk aspek kewangan.








“Jadi, dalam penggunaan bahasa Melayu, wajar juga dilaksanakan audit. DBP kini dalam peringkat akhir menyediakan garis panduan untuk digunakan dalam audit berkenaan dan jika semua berjalan lancar, garis panduan itu akan dikemukakan kepada kerajaan Jun ini,” katanya.







Sumber














Teruskan membaca..

Wednesday, February 15, 2012

Gabungan sains, iman bentuk insan bertakwa



Gabungan sains,


iman bentuk insan bertakwa

GENERASI muda wajar digalak meminati sains.
GENERASI muda wajar digalak meminati sains.






Gesaan menuntut ilmu jelas terkandung dalam al-Quran, patut dijadikan panduan






ISLAM adalah satu-satunya agama yang sangat menumpukan kepada ilmu pengetahuan. Ini boleh dibuktikan melalui penurunan wahyu Allah SWT yang pertama kepada Nabi Muhammad SAW iaitu Surah Al-Alaq yang mencerminkan bahawa Islam ingin mewarnakan gaya hidup umatnya dengan budaya keilmuan. Pemerolehan dan pembelajaran terhadap ilmu itu termasuklah dalam lapangan sains dan teknologi.
Walaupun begitu, baru-baru ini kita dikejutkan dengan laporan yang memberitahu kemerosotan ketara minat pelajar terhadap bidang sains. Fenomena itu adalah sesuatu yang seharusnya diselidiki secara mendalam dan tindakan susulan harus dilakukan untuk meningkatkan minat terhadap bidang sains.





Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa al-Quran itu benar. - Surah Fussilat, Ayat ke 53
Dalam al-Quran tidak terdapat istilah sains yang dinyatakan oleh Allah secara jelas, akan tetapi secara epistimologinya bidang sains dan teknologi jelas terangkum apabila kita merujuk secara mendalam dalam banyak ayat Allah yang memperkatakan mengenai ilmu pengetahuan.




Perhatikan firman Allah yang jelas mengajak umat manusia mengkaji dan meneroka alam ciptaan-Nya menerusi ilmu sains menerusi Surah Fussilat, ayat ke-53 bermaksud: “Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa al-Quran itu benar.”





Ayat Allah itu terkandung pentingnya ilmu sains seperti biologi, fizik, kimia, astronomi, oseanologi, botani malah banyak lagi cabang sains. Ini kerana untuk memperhatikan apa saja tanda kekuasaan Allah di alam jagat ini, pendekatan pengkajian sains diperlukan untuk memantapkan penghayatan serta pemahaman.




Melalui ilmu sains yang mantap, maka akan hadir keinsafan kita bahawa segala yang diciptakan Allah ini sangat bermakna dan berharga, sekali gus akan memperkukuhkan keimanan dan takwa.




Kita perlu sedar dan insaf bahawa nabi dan rasul Allah diutuskan selain daripada menyampaikan ajaran tauhid, mereka juga diamanahkan untuk menjadi perintis dalam ilmu sains. Misalnya mereka memberitahu umat manusia berkenaan asal usul kejadian manusia, fungsinya serta kesudahannya. Hal ini sebenarnya jelas terangkum dalam ilmu sains.




Malah ilmu sains sudah bermula sejak zaman Nabi Adam lagi. Ertinya ilmu sains setua sejarah manusia di muka bumi ini. Hanya dunia Barat saja yang memesongkan fakta yang kononnya merekalah yang menjadi peneroka awal ilmu sains.




Kita ambil contoh di sini supaya kita sama-sama jelas akan hal itu. Allah mengajar Nabi Adam mengenai ilmu sains boleh kita tafsir menerusi ayat ini, “Dan Dia telah mengajarkan Nabi Adam akan segala nama-nama benda dan gunanya….” -(Surah al-Baqarah ayat 31).




Bukankah ayat itu tergolong dalam pendekatan pengajaran ilmu sains. Menurut Ibnu Abbas, kata ‘benda-benda’ dalam ayat itu bermaksud sesuatu yang terdapat di dunia seperti manusia (anatomi), gunung, laut, tanah, haiwan dan sebagainya (Ilmu biologi dan oseanologi).




Sambil itu seorang pengkaji lagi, Ibnu Al-Athir pula mengatakan bahawa Nabi Adam juga diajarkan oleh Allah melalui malaikat Jibril mengenai kaedah membuat besi dan menanam pokok. Jadi, di sini cukup bukti bahawa Allah begitu mementingkan umat-Nya memperoleh ilmu sains dalam usaha menjana kehidupan yang bermakna dan sejahtera.




Sekarang kita tinjau pula perkembangan ilmu sains dan teknologi pada era Nabi Nuh. Nabi Nuh adalah nabi keempat diutuskan Allah selepas Nabi Adam, Syis dan Idris serta lahir selepas 126 tahun kewafatan Nabi Adam. Baginda adalah pakar dalam bidang ilmu sains dan teknologi pembuatan.




Ini dapat dilihat dengan jelas melalui perintah Allah kepadanya agar membina bahtera atau kapal sebagai persiapan menghadapi taufan dan banjir besar. Hal itu dijelaskan Allah, “Nuh berdoa; “Wahai Tuhanku, bantulah aku kerana mereka mendustakan seruanku. Lalu Allah mewahyukan kepadanya: Buatlah bahtera dengan pemerhatian dan petunjuk Allah.” -(Surah al-Mukminun ayat 26-27).




Menurut sejarawan Islam, kapal Nabi Nuh diperbuat daripada kayu dan logam besi. Kayu-kayu diperoleh daripada pokok yang ditanamnya sendiri. Maka, dapatlah kita rumuskan di sini bahawa Nabi Nuh adalah seorang pakar dalam ilmu fizik dan matematik tinggi, juga sangat mahir dalam kemahiran pelayaran atau boleh dianggap sebagai seorang nakhoda yang hebat.




Bidang teknologi pembuatan kapal dikuasai Nuh yang memiliki kepakaran memilih bahan seperti kayu dan logam untuk dibuat bahtera.




Ini menjadi bukti bahawa dunia Islam seharusnya dicorakkan secara aktif dan berdaya dinamik dalam aspek ilmu sains dan teknologi. Kita sebagai mukmin tidak boleh ketinggalan dari arus dunia yang nampaknya lebih condong kepada penguasaan bidang berkenaan.




Namun begitu, perlu diingatkan, galakan dari Allah agar kita meneroka bidang sains dan teknologi itu tidak menjadikan kita lupa daratan dan hilang pedoman sehingga mengakui kehebatan diri sendiri.




Seharusnya semakin mendalam memperoleh ilmu itu, semakin menebal keimanan dan takwa terhadap Allah.




Dengan kesepaduan antara ilmu dan keimanan, akan terbina watak insan mengenali dan mengetahui mengenai Tuhan penciptanya, Allah lalu mencerna karakter iman dan takwa yang tinggi.




Oleh yang demikian, kita tidak seharusnya memandang isu menguasai ilmu sains dan teknologi sebagai hal yang remeh-temeh, sebaliknya hendaklah seluruh mukmin menjadikan bidang itu sebagai pemangkin kepada keunggulan ummah.













Teruskan membaca..

Tuesday, February 14, 2012

Hindar amalan bidaah Hari Kekasih lahirkan rasa cinta













Hindar amalan bidaah


Hari Kekasih lahirkan rasa cinta




Oleh Fadlan Mohd Othman







ISLAM ialah agama yang menjaga fitrah dan naluri manusia.
Segala amalan yang disyariatkan memenuhi tuntutan zahir dan batin manusia.
Antara perkara yang ditekankan oleh Islam ialah cinta,
sifat penting dalam kehidupan dan peradaban manusia.










Cinta juga menjadi antara faktor kelangsungan generasi manusia.
Apa yang pasti, ia berbeza tingkat dan lapisannya.
Ada cinta terhadap Allah, Rasulullah, Islam, ibu dan bapa, anak dan cucu,
pasangan suami atau isteri, sahabat, bahkan terhadap binatang dan alam sekitar.



Bagaimanapun, cinta orang beriman terhadap Allah
adalah cinta suci yang tiada bersyarat. Allah berfirman
dalam Surah al-Baqarah ayat 165, yang bermaksud:






“Ada juga antara manusia

yang mengambil selain Allah

untuk menjadi sekutu Allah, mereka mencintainya,

memuja dan mentaatinya seperti mereka mencintai Allah,

sedang orang yang beriman itu

lebih cinta dan taat kepada Allah.”








Cinta orang beriman terhadap Allah lebih hebat
daripada cinta orang tidak beriman terhadap Allah.
Cinta orang kafir dibahagi antara Tuhan dan berhala sembahannya,
tidak seperti orang beriman yang semata-mata kepada Allah.











Begitulah sepatutnya cinta mukmin terhadap penciptanya.
Namun, Iblis penghulu segala syaitan menyatakan tekadnya
di hadapan Allah akan mengganggu anak Adam.










Ikrar Iblis dirakamkan al-Quran,
Surah al-A’raf ayat 16 dan 17 bermaksud:









“Iblis berkata,

oleh kerana Engkau (wahai Tuhan)

menyebabkan aku tersesat,

maka aku akan mengambil tempat menghalangi mereka

daripada jalan-Mu yang lurus.

Kemudian aku datangi mereka,

dari hadapan mereka serta dari belakang mereka,

dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka;

dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur”.











Kerja keras syaitan ini berhasil dengan
dua bentuk kelemahan manusia.











Pertama, lemah ilmu, manakala kedua kelemahan pegangan diri.
Al-Imam Ibnul Qayyim menjelaskan dalam karya agungnya,
Zadul Ma’ad bahawa setiap mukmin wajib memerangi syaitan
yang menabur syubuhat dan syahwat.
Syubuhat bererti ideologi terseleweng,
maka caranya ialah menimba ilmu mengenai kebaikan untuk diamalkan,
di samping menimba ilmu mengenai keburukan agar dapat ia dihindari.
Syahwat pula bererti hawa nafsu. Caranya dengan menanam
keyakinan terhadap segala janji baik Allah
bagi hamba-Nya yang berjaya mengekang kebuasan nafsu.











Melihat kepada kalendar Masihi,
akan muncul Hari Kekasih pada 14 Februari.
Berdasarkan penerangan ringkas sebentar tadi,
dapatlah ditegaskan menyambut Hari Kekasih
sesuatu yang menyalahi Islam, bidaah lagi mungkar.











Dari sudut ilmu, kita dapati Hari Kekasih
bukan perayaan umat Islam,
tetapi untuk kaum Nasrani atau Kristian.
Seorang paderi bernama Valentine
dibunuh lalu hari pembunuhannya itu dijadikan Hari Kekasih.
Ia dijadikan hari untuk melahirkan cinta pasangan kekasih
dengan pemberian hadiah dan seumpamanya.











Apabila kita mengetahui Hari Kekasih
bukan untuk umat Islam, adalah wajar kita menjauhinya.
Jika ada yang pernah menyambutnya,
mohon keampunan daripada Allah dan bertekadlah
untuk tidak mengulanginya pada tahun ini.
Semoga dengan taubat nasuha,
keburukan dan maksiat yang pernah kita buat diampunkan Allah,
bahkan diubah menjadi ganjaran kebaikan.











Kedua, dari sudut hawa nafsu.
Jika benar seseorang cinta kekasihnya,
maka lihatlah adakah ekspresi cinta itu menepati keredaan Allah
atau hanya mengundang kemurkaan-Nya?
Jika pasangan belum berkahwin,
cara terbaik melahirkan cinta ialah dengan berkahwin.
Jika pasangan sudah berkahwin,
cara terbaik ialah saling memberi hadiah dari semasa ke semasa.
Mengapa perlu dikhususkan 14 Februari,
sedangkan kita mempunyai hari lain
yang tiada keraguan padanya.
Janganlah perbuatan manusia yang diutamakan,
akan tetapi utamakanlah firman Allah dan sabda Rasulullah SAW.











Ingatlah wahai saudaraku
ketinggian cinta terhadap Allah
akan diuji dengan melihat tahap ikutan seseorang mukmin
terhadap Rasulullah. Allah berfirman dalam
Surah Ali Imran ayat 31 bermaksud:








“Katakanlah wahai Muhammad:

Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku,

nescaya Allah mengasihi kamu
serta mengampunkan dosa kamu.”







Penulis ialah

Pengerusi Sekretariat Ulama Muda

UMNO (iLMU)



https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgzQ6b-yiPNasulqNRtTEw8ggUMbxn7PWWxYkesaj5yNflfujcnhGdTMQPwthp7zsA1gvzCduHcMnr3bn04pqVH-0usuFfD1Ds8C5HwmvnO5DKHbYXF74J0TnvonpYUVwsAMZxTKLkdsPGP/s1600/4347649988_99bc3e6924_o.jpg





Teruskan membaca..

Sunday, February 12, 2012

Doa Rabitah

Undang-undang adab dan budi pekerti
membentuk kemerdekaan bekerja.
Undang-undang akal membentuk kemerdekaan berfikir.
Dengan jalan menambah kecerdasan akal,
bertambah murnilah kemerdekaan berfikir. (Hamka).






Orang beradab pasti pandai









menghormati keyakinan orang lain,









walaupun dia sendiri









tidak sesuai dengan keyakinan itu.










(Hamka).













Kata Hukama,









” Hendaklah adab sopan anak-anak itu








dibentuk sejak kecil kerana ketika kecil








mudah membentuk dan mengasuhnya.









Belum dirosakkan oleh








adat kebiasaan yang sukar ditinggalkan”.







(Hamka).




















Teruskan membaca..

Friday, February 10, 2012

Kelepung gantung, kelepung makan







Mewah Bahasa:


Kelepung gantung, kelepung makan



Oleh



Prof Madya Dr Nor Hisham Osman




DI sebuah pejabat agensi kerajaan ....






Ramli:
Huih!! Banyak juga makanan ni yek?






Aza: Ha! Inilah untungnya muafakat ….






Ramli: Muafakat??




Aza:
Muafakat membawa berkat!!
Kan ke kita dah bermuafakat hari tu nak buat jamuan ni
dan masing-masing bawa makanan.
Ha la, kita dah agih-agihkan sesama kita kan?!
Masing-masing dah ada makanan dan minuman yang perlu dibawa,
masing-masing dah ada tugas yang perlu dibuat.








Ramli:
Buat jamuan persaraan macam ni tak ada dalam peruntukan jabatan,
kita kena kumpul duit sesama kita. Tapi cara ini lagi baik,
kita tetapkan siapa yang bawa apa, kumpulkan jadi banyaklah!!
Hah!! Ada nasi dagang, laksa, roti jala ….







Aza: Dah nak bersara Encik Arif tu yea?!
Nampak macam muda aje lagi, masih sihat, masih kuat!








Ramli: Dia sepatutnya boleh kerja lagi tu,
tapi dia ambil bersara umur lima puluh lapan.
Kenapa dia tak mau sambung nam puluh ek?
Orang lain tu, dah bersara pun sibuk nak sambung kontrak lagi.






Aza: Aku pernah tanya dia pasal tu, dia kata cukup dah,
hutang pun dah habis langsai, anak-anak dah kerja semua,
cukuplah makan laki bini dengan duit pencen tu.
Dia boleh gitu sebab perancangan dia betul,
dah dekat umur pencen dia tak buat hutang baru dan dia kahwin awal,
sampai umur pencen semua anak dah lepas!!
Hah!! Engkau tu la, umur dah lebih tiga puluh,
tapi tak kahwin lagi, nanti sampai umur bersara,
anak masih sekolah rendah. Masa tu mulalah merengek-rengek
nak sambung kontrak!! Hehehehe ….







Ramli:
Ke situ pulak perginya ….







Aza:
Hehehehe …. Eh!! Tugas yang aku bagi pada kau tu macam mana?






Ramli: Tugas?




Aza: Ha la …. Tugas yang dah diagih-agih masa mesyuarat
untuk buat jamuan ni dulu la ….







Ramli: Oooo ... itu ke?! Beres!!







Aza:
Mana dia? Tak ada pun kat meja ni?








Ramli:
Tak kan nak letak kat meja?







Aza: Kau letak kat mana? Bak sinilah, boleh susun ….








Ramli:
Dah!! Dah gantung dah ….







Aza:
Gantung?!!







Ramli: Ha!! Tu … kat syiling, kat dinding, kat pintu tu ….







Aza: Kat syiling?? Itu belonlah!!






Ramli:
Itu laa ... apa pulak lagi?







Aza:
Kan dulu kita dah setuju, hal hiasan ni bagi kat orang lain.
Bahagian kita tanggungjawab pasal makan ….







Ramli: Tapi kau juga yang suruh aku sediakan kelepung!






Aza:
Hah! Betul le tu, kau ditugaskan bawa pencuci mulut, bawa kelepung!






Ramli:
Aku bawa kelepung le ni, tapi tak boleh le jadikan pencuci mulut.
Kelepung tak boleh dimakan, buat hiasan, buat main boleh le ….








Aza:
Yang kau bawa tu bukannya kelepung, bukan kuih kelepung tapi belon!!








Ramli:
Betullah tu, kelepung tu belon! Kau suruh aku bawa kelepung, aku bawalah.







Aza: Tapi aku suruh bawah kuih kelepung!!
Bukannya belon ….








Ramli:
Kuih kelepung tu apa?







Aza: Eh?! Tak tau ke? Laa … aku ingatkan kau tau!!







Ramli: Memang tak tau, setahu aku, kelepung ni belon.
Orang kampung aku tak panggil belon benda ni,
mereka panggil kelepung.







Aza: Kuih kelepung la ... yang bulat-bulat dan dalamnya ada inti gula Melaka tu!







Ramli: Ooo ... itu ke?! Tu buah melaka kan?







Aza: A’ laa …. Setengah orang panggil buah Melaka,
orang kampung aku panggil kelepung!







Ramli: Laa ... awat hang tak habaq dari awai!!
Aku mati-mati ingat belon!!








Aza:
Alamak, salah faham lak dah!! Habis tu macam mana ni?
Tak de pencuci mulut le jawabnya yek?!
Tak kan nak makan belon ….







Ramli: Isy!! Orang dah datang, dah sampai masa makan ni!
Tak dan dah nak pi beli pun. Makan ajelah apa yang ada ....










Glosari










Kelepung - (dialek Kedah) belon -



(dialek Negeri Sembilan) kuih buah Melaka






Nota Kaki









Kolum Mewah Bahasa memperlihatkan adanya beberapa cara
untuk menyampaikan sesuatu konsep yang sama dengan perkataan berbeza disebabkan perbezaan slanga, dialek, taraf sosial dan generasi.
Dialog menggunakan dialek dan juga bahasa pertuturan
yang mungkin tidak sama dengan tatabahasa baku.










Prof Madya Dr Nor Hisham Osman

adalah Pensyarah Jabatan Linguistik,

Akademi Pengajian Melayu (APM),

Universiti Malaya.









RALAT BERLAKU






Kesilapan dalam Mewah Bahasa minggu lepas,
‘Harapkan pegar, pegar makan padi’ meletakkan peribahasa berkenaan
dalam glosari sebagai bahasa Melayu Sarawak. Ia sebenarnya
peribahasa sebenarnya yang sebelum ini sering ditulis sebagai
‘harapkan pagar, pagar makan padi’.
Penjelasan penggunaan perkataan pegar
yang betul dan bukannya pagar dipetik daripada
cakklepi.blogspot.com - Blog Kisah Seorang Budak U.


































Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...