Sahabat Maya :

Tuesday, February 14, 2012

Hindar amalan bidaah Hari Kekasih lahirkan rasa cinta













Hindar amalan bidaah


Hari Kekasih lahirkan rasa cinta




Oleh Fadlan Mohd Othman







ISLAM ialah agama yang menjaga fitrah dan naluri manusia.
Segala amalan yang disyariatkan memenuhi tuntutan zahir dan batin manusia.
Antara perkara yang ditekankan oleh Islam ialah cinta,
sifat penting dalam kehidupan dan peradaban manusia.










Cinta juga menjadi antara faktor kelangsungan generasi manusia.
Apa yang pasti, ia berbeza tingkat dan lapisannya.
Ada cinta terhadap Allah, Rasulullah, Islam, ibu dan bapa, anak dan cucu,
pasangan suami atau isteri, sahabat, bahkan terhadap binatang dan alam sekitar.



Bagaimanapun, cinta orang beriman terhadap Allah
adalah cinta suci yang tiada bersyarat. Allah berfirman
dalam Surah al-Baqarah ayat 165, yang bermaksud:






“Ada juga antara manusia

yang mengambil selain Allah

untuk menjadi sekutu Allah, mereka mencintainya,

memuja dan mentaatinya seperti mereka mencintai Allah,

sedang orang yang beriman itu

lebih cinta dan taat kepada Allah.”








Cinta orang beriman terhadap Allah lebih hebat
daripada cinta orang tidak beriman terhadap Allah.
Cinta orang kafir dibahagi antara Tuhan dan berhala sembahannya,
tidak seperti orang beriman yang semata-mata kepada Allah.











Begitulah sepatutnya cinta mukmin terhadap penciptanya.
Namun, Iblis penghulu segala syaitan menyatakan tekadnya
di hadapan Allah akan mengganggu anak Adam.










Ikrar Iblis dirakamkan al-Quran,
Surah al-A’raf ayat 16 dan 17 bermaksud:









“Iblis berkata,

oleh kerana Engkau (wahai Tuhan)

menyebabkan aku tersesat,

maka aku akan mengambil tempat menghalangi mereka

daripada jalan-Mu yang lurus.

Kemudian aku datangi mereka,

dari hadapan mereka serta dari belakang mereka,

dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka;

dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur”.











Kerja keras syaitan ini berhasil dengan
dua bentuk kelemahan manusia.











Pertama, lemah ilmu, manakala kedua kelemahan pegangan diri.
Al-Imam Ibnul Qayyim menjelaskan dalam karya agungnya,
Zadul Ma’ad bahawa setiap mukmin wajib memerangi syaitan
yang menabur syubuhat dan syahwat.
Syubuhat bererti ideologi terseleweng,
maka caranya ialah menimba ilmu mengenai kebaikan untuk diamalkan,
di samping menimba ilmu mengenai keburukan agar dapat ia dihindari.
Syahwat pula bererti hawa nafsu. Caranya dengan menanam
keyakinan terhadap segala janji baik Allah
bagi hamba-Nya yang berjaya mengekang kebuasan nafsu.











Melihat kepada kalendar Masihi,
akan muncul Hari Kekasih pada 14 Februari.
Berdasarkan penerangan ringkas sebentar tadi,
dapatlah ditegaskan menyambut Hari Kekasih
sesuatu yang menyalahi Islam, bidaah lagi mungkar.











Dari sudut ilmu, kita dapati Hari Kekasih
bukan perayaan umat Islam,
tetapi untuk kaum Nasrani atau Kristian.
Seorang paderi bernama Valentine
dibunuh lalu hari pembunuhannya itu dijadikan Hari Kekasih.
Ia dijadikan hari untuk melahirkan cinta pasangan kekasih
dengan pemberian hadiah dan seumpamanya.











Apabila kita mengetahui Hari Kekasih
bukan untuk umat Islam, adalah wajar kita menjauhinya.
Jika ada yang pernah menyambutnya,
mohon keampunan daripada Allah dan bertekadlah
untuk tidak mengulanginya pada tahun ini.
Semoga dengan taubat nasuha,
keburukan dan maksiat yang pernah kita buat diampunkan Allah,
bahkan diubah menjadi ganjaran kebaikan.











Kedua, dari sudut hawa nafsu.
Jika benar seseorang cinta kekasihnya,
maka lihatlah adakah ekspresi cinta itu menepati keredaan Allah
atau hanya mengundang kemurkaan-Nya?
Jika pasangan belum berkahwin,
cara terbaik melahirkan cinta ialah dengan berkahwin.
Jika pasangan sudah berkahwin,
cara terbaik ialah saling memberi hadiah dari semasa ke semasa.
Mengapa perlu dikhususkan 14 Februari,
sedangkan kita mempunyai hari lain
yang tiada keraguan padanya.
Janganlah perbuatan manusia yang diutamakan,
akan tetapi utamakanlah firman Allah dan sabda Rasulullah SAW.











Ingatlah wahai saudaraku
ketinggian cinta terhadap Allah
akan diuji dengan melihat tahap ikutan seseorang mukmin
terhadap Rasulullah. Allah berfirman dalam
Surah Ali Imran ayat 31 bermaksud:








“Katakanlah wahai Muhammad:

Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku,

nescaya Allah mengasihi kamu
serta mengampunkan dosa kamu.”







Penulis ialah

Pengerusi Sekretariat Ulama Muda

UMNO (iLMU)



http://1.bp.blogspot.com/_23wtJkBRyCs/TU5ag1s6bUI/AAAAAAAAACE/pVPkoFOZbko/s1600/4347649988_99bc3e6924_o.jpg





No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...