Photobucket

Sahabat Maya :

Saturday, December 3, 2011

Kasihi, selalu dekati anak


ANAK-anak adalah permata paling berharga setiap pasangan. Mereka menjadi pelengkap kepada kebahagiaan yang dikecapi ibu bapa di dunia ini.



Ibu bapa bertanggungjawab mendidik anak mereka menjadi insan soleh dan solehah. Paling penting, anak perlu dilatih bersolat, dilatih mencium tangan serta memeluk dengan penuh kasih dan sayang.



Jika anak bijak dan sering memenangi pertandingan di sekolah, jangan lupa ucapkan tahniah, peluk dan cium mereka tanda penghargaan. Ketika usia mereka mencapai 14 hingga 21 tahun, jadikan mereka kawan.




Jangan pula pada usia begini ibu bapa mula merenggangkan hubungan dengan anak-anak hingga mereka menjadi anak derhaka. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:



“Berguraulah dengan anak kamu

ketika usianya satu hingga tujuh tahun.

Berseronok dengan mereka, bergurau

hingga naik atas belakang pun tak apa.

Jika suka geletek, kejar atau usik

anak asalkan hubungan rapat.

Selepas tujuh hingga 14 tahun

kita didik dan ajar, kalau salah pukullah dia

(sebagai pengajaran).”



Ibu bapa mungkin mempunyai alasan tidak rapat dengan anak kerana sibuk. Kita boleh cuba cara lain iaitu apabila pulang di tengah malam, anak-anak sudahpun tidur, kita boleh pergi bilik dan mencium dahi mereka.




Walaupun anak tidur tetapi jiwanya sentiasa hidup. Jangan tunjuk sikap panas baran dan pemarah kepada mereka. Jangan sesekali mengherdik mereka dengan perkataan negatif seperti kurang ajar, bodoh atau dengan sumpah seranah kerana ia boleh jadi doa buat mereka.




Orang tua biasanya, pantang sungguh apabila anak menegur kesalahan. Jangan berasa tercabar kerana bisa ular tidak hilang walaupun menyusur akar.




Saidina Umar berkata, kanak-kanak tidak berdosa dan doa mereka mudah diterima.



Begitu juga dengan Rasulullah s.a.w, kalau berjumpa anak kecil, baginda hormat dan sayang.




Lagipun kanak-kanak kalau menegur memang ikhlas dan jangan ambil endah tidak endah. Perasaan anak juga mesti dihargai.




Sesetengah orang tua kurang bercakap dengan anak-anak dan kalau menegur pun dengan herdikan.




Anak rasa tersisih dan tidak dihargai. Kepada kawan tempat mereka mengadu, apabila jumpa kawan baik tidak mengapa. Jika Allah menurunkan hidayah, segeralah insaf dan bertaubat.




Tetapi apa caranya jika orang tua sudah meninggal tetapi ketika hidupnya kita derhaka? Apabila insaf, selalulah ziarah kubur emak ayah dan bacakan ayat suci untuknya.




Jumpa semula kawan atau jiran dan buat baik dengan mereka. Sedekah ke masjid atas nama ibu ayah. Walaupun ibu ayah sudah meninggal, minta maaf berkali-kali semoga ibu reda dan Allah ampunkan dosa mereka.




Allah Maha Pengampun dan luas rahmatnya. Tetapi jangan ambil kesempatan buat jahat kemudian bertaubat. Hidup pasti tidak tenteram.




Justeru, pertama, pastikan hubungan kita dengan Allah adalah baik kemudian turun pula ke peringkat kedua iaitu hubungan dengan ibu. Pastikan hubungan dengan ibu sentiasa harmoni dan lancar.




Hubungan dengan bapa sepatutnya sama dengan ibu tetapi dalam konteks Islam, kalau berlaku pertembungan, Nabi s.a.w suruh utamakan ibu.




Sebaik-baiknya, kasih sayang dan perhatian biarlah sama supaya kedua-duanya tidak berkecil hati. Begitu juga dengan nenek, walaupun kata-katanya ada yang mengarut tetapi jangan melawan.



Sebenarnya golongan nyanyuk dan tua mencabar kesabaran kita. Walaupun Allah tidak ambil kira kata-kata mereka, kita wajib mentaati dan menghormati golongan tua.




Begitu juga dengan keluarga mentua. Kita sayang anaknya kenapa tidak sayang orang yang melahirkan serta menjaga mereka juga? Tidak dinafikan, ada menantu yang berkecil hati dan memendam perasaan terhadap mentuanya.




Bersabarlah dan teruskan hubungan baik dengan mereka. Kewajipan anak lelaki pertama sekali kepada Allah, kedua kepada Rasul, ketiga emak dan emak mentua, keempat bapa dan bapa mentua dan kelima baru isteri.




Isteri kena faham, kalau suaminya sayang dan melebihkan ibu bapanya, itu memang wajar. Bagi anak perempuan pula keutamaan pertama adalah kepada Allah, kedua Rasul dan ketiga suami.




Justeru, jalan pintas ke syurga bagi anak-anak selain Allah adalah emak dan ayahnya. Perasaan mentua perlu dijunjung kerana mereka berhak ke atas menantu.




Seperti kisah Nabi Allah Ibrahim dengan anaknya Nabi Ismail a.s. Suatu hari, Nabi Ibrahim ke rumah anaknya dan kebetulan Nabi Ismail tidak ada di rumah.




Isterinya pun tidak kenal mentuanya. Menantunya bersikap kasar menyebabkan Nabi Ibrahim berkecil hati. Sebelum pulang dia berpesan kepada menantunya, menyuruh suaminya supaya menukar alang rumah kepada yang baru.




Apabila Nabi Ismail pulang, isterinya pun menggambarkan rupa lelaki itu, menyampaikan pesan kepada suaminya itu. Nabi Ismail sedar itu adalah ayahnya.




Nabi Ismail insaf di sebalik simbol kata-kata ayahnya, yang isterinya bukan daripada kalangan wanita berakhlak, lalu diceraikan.



Sumber : myMetro









Teruskan membaca..

Bandar Kajang lumpuh ditenggelami air



Kajang banjir besar!




TERENDAM...parkir pusat beli-belah dilanda banjir menyebabkan banyak kenderaan tenggelam.
TERENDAM...
parkir pusat beli-belah dilanda banjir
menyebabkan banyak kenderaan tenggelam.




TOLAK...seorang drebar cuba menyelamatkan teksinya.
TOLAK...
seorang drebar cuba
menyelamatkan teksinya.


KAJANG: Bandar Kajang lumpuh apabila ditenggelami air melebihi satu meter menyebabkan puluhan kenderaan tenggelam dan premis perniagaan dimasuki air selepas hujan lebat selama dua jam bermula jam 2.30 petang semalam.



Selain beberapa jalan utama di pusat bandar, beberapa kawasan penempatan turut ditenggelami air yang dikatakan melanda secara mendadak bermula jam 3.30 petang menyebabkan sembilan penduduk Kampung Jalan Kelapa terpaksa dipindahkan. Antara kawasan lain yang turut terbabit Jalan Bukit, Jalan Reko, Jalan Semenyih, Jalan Kampung Sungai Kantan dan Jalan Sungai Jelok.




Berpuluh kenderaan yang diletakkan di ruang meletak kereta di tepi jalan dan di dalam kompleks beli-belah, Metro Kajang dilaporkan tenggelam, malah air turut masuk ke aras bawah kompleks itu menyebabkan peniaga serta orang ramai kelam kabut. Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Sani Harul, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian berkenaan kira - kira jam 3.51 petang dan 20 anggota dari Balai Bomba Kajang dan Cheras digerakkan ke lokasi kejadian.



“Lima orang termasuk tiga warga emas yang terperangkap di dalam rumah di Kampung Sungai Kantan berjaya dikeluarkan manakala empat orang lagi termasuk dua wanita diselamatkan di kawasan Kampung Jalan Kelapa.




“Usaha menyelamatkan mangsa dilancarkan di tiga kawasan utama yang dinaiki air sehingga ke paras dada iaitu Kampung Sungai Kantan, Kampung Jalan Kelapa dan Pasar Kajang,” katanya ketika dihubungi.




Katanya, berdasarkan maklumat penduduk Kampung Jalan Kelapa, kejadian banjir semalam terburuk sejak 40 tahun lalu di mana 12 buah rumah di situ tenggelam sepenuhnya.




Sumber : myMetro


Gempar


Plaza Metro Kajang


banjir!


doposen.com









https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg2z4-bYcthYgRRZO8GAjO-Vu_iLF2uYJhim-UB-7YsznIlO7IwPZ8CwQrp4E3byqQGXLOAmFUbA5s7TS60MdV8cSH6wF2n2gUSHiOKuQzZRpZhyRj1R4yqXCjriDbEQb5ZtI96cmo5d2GD/s1600/2011-12-02+15.50.26.jpg

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEioo5dTwv1LJ9sMMJGmFJ5Gs7ExLQtpDUTG2SbacqPoGKqznTwdXOotDLp6Ll_vPohbe_1O-XkEGhNv57qD7Vg6LKTRX075ZO1Xl_UFyd47QjzYIUR6j6OtPVjk_HrjcnXYNIhtAmNJHoTm/s1600/2011-12-02+15.43.13.jpg

Kredit foto : doposen.com


Keadaan selepas banjir

di

Plaza Metro Kajang



www.doposen.com

















Teruskan membaca..

Program matrikulasi tak boleh di takuk lama


Program matrikulasi


tak boleh di takuk lama



MERUJUK kepada tulisan Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Pelajaran Malaysia mengenai program matrikulasi, ingin saya nyatakan fenomena pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kurang berminat memasuki program matrikulasi perlu dilihat dari sudut positif.





Jika ia dilihat dari sudut positif, maka langkah penyelesaian jangka panjang boleh dirangka. Saya berpendapat langkah penyelesaian jangka panjang yang boleh difikirkan oleh Kementerian Pelajaran ialah dengan bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi untuk menyatakan universiti dan program yang akan diikuti pelajar lepasan matrikulasi di dalam surat tawaran memasuki matrikulasi.
Jika keunikan ini dapat direalisasikan, program matrikulasi akan menjadi lebih menarik dan akan terus diminati calon. Statistik yang diberikan menunjukkan bilangan calon memohon untuk memasuki program matrikalusi hampir sama setiap tahun walau pun berlaku peningkatan di dalam bilangan calon yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia.





Keadaan ini bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan, malah dianggap berbahaya kepada survival program matrikulasi. Bagaimana pula dengan kualiti pemohon yang memohon dan juga bilangan calon yang mendaftar program matrikulasi? Adakah ia menunjukkan peningkatan atau penurunan?



Isu utama yang ditekankan oleh penulis ialah fenomena kecenderungan pelajar cemerlang lepasan memasuki program diploma di universiti tempatan. Kesan fenomena ini kepada kualiti soalan hanyalah isu sampingan yang akan selesai jika isu pokok dapat diatasi. Isu pokok ini perlu ditangani dengan lebih serius dan bukannya dengan cara penafian yang tidak akan menyelesaikan masalah.



Penulis ingin mencadangkan promosi yang lebih agresif dibuat di semua sekolah berasrama penuh (SBP), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan sekolah sekolah elit yang lain. Jalinan kerjasama dengan sekolah ini perlu diwujudkan supaya dalam jangka panjang, mereka dapat membekalkan calon pelajar yang berkualiti untuk program matrikulasi. Jalinan sebegini dilakukan oleh beberapa institut pengajian tinggi awam (IPTA) yang lain. Usaha mereka mencari keunikan harus diteladani kerana ia menentukan kelangsungan jangka panjang sesebuah organisasi.



AMIN ALI,


Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perakaunan


Universiti Utara Malaysia.









Teruskan membaca..

Mesti Tonton



Pengembaraan si kucing wira




pix_gal0


Filem: Puss In Boots (3D)




Tayangan: Mulai 24 November 2011




Pengarah: Chris Miller




Genre: Pengembaraan/Komedi/Animasi Pelakon (suara): Antonio Banderas, Salma Hayek, Zach Galifianakis, Billy Bob Thornton dan Amy Sedaris.
DARIPADA DreamWorks Animation, syarikat produksi yang sinonim dengan penghasilan siri filem Shrek, sebuah lagi persembahan menghiburkan kini menemui penonton di pawagam. Masih lagi ada kaitannya dengan si gergasi hijau melucukan, cuma kali ini filem terbabit memfokuskan kepada kucing yang bijak bermain pedang, sebelum ia bertemu watak popular berkenaan.





Siapa yang tidak mengingati watak Puss in Boots, si kucing comel yang membulatkan mata untuk membuatkan sesiapa yang memandang jatuh hati dan kasihan kepadanya. Kini, Puss bukan lagi watak tambahan, sebalik animasi terbaru ini memberikan segala laluan buatnya menunjukkan kehebatan, sebagai karakter utama!




Bukan seperti kucing biasa, Puss In Boots kembali menghiburkan penonton dengan aksi pengembaraannya. Si kucing berkasut but, Puss, menjadi wira apabila ia terpaksa berdepan dengan perjalanan penuh cabaran bersama Kitty Softpaws dan Humpty Dumpty, demi menyelamatkan bandar mereka.





Filem animasi pengembaraan yang menggunakan suara aktor Antonio Banderas sebagai Puss dan Salma Hayek (Kitty Softpaws) ini turut menceritakan bagaimana kucing pahlawan ini bertemu kawan lama, Humpty Dumpty, selain menyingkap asal-usul dirinya.




Sutradara Chris Miller menggambarkan filem ini sebagai cereka mengenai persahabatan yang penuh dengan pancaroba, di mana ia tidak selamanya manis. Seperti pepatah, bumi mana yang tidak ditimpa hujan, begitulah persahabatan Puss dan Humpty Dumpty yang disulami perasaan iri hati dan dendam, namun tetap kental dengan elemen komedi.





Humpty Alexander Dumpty ialah sahabat lama Puss yang sama-sama membesar di sebuah rumah anak yatim, dan dari sinilah timbulnya perselisihan yang memaparkan pelbagai babak menarik.





Namun adakah nilai persahabatan dapat menghapuskan perasaan dendam Puss terhadap Humpty Dumpty? Inilah kisah yang ingin disampaikan dalam filem ini.





Persembahan plot yang memaparkan perjalanan memperbaiki perhubungan yang sudah terjalin sekian lama itu menguasai jalan cerita. Pada masa sama pengarah juga membiarkan penonton tertanya-tanya, sama ada Humpty Dumpty sudah berubah menjadi baik ataupun sebaliknya?





Filem dengan kisah yang digambarkan berlaku di kawasan perkampungan koboi ini tambah menarik dengan kesan visual yang hebat, serta latar belakangnya, bersesuaian dengan kisah dongeng kanak-kanak.





Menggunakan format 3D, secara tidak langsung membuatkan adegan tampak lebih realistik. Bagaimanapun, penonton masih boleh berhibur dengan Puss in Boots sepuas-puasnya walaupun mereka menonton animasi ini dalam bentuk 2D.





Tidak dinafikan, ia hadir sebagai sebuah filem yang sesuai untuk seisi keluarga, lebih-lebih lagi untuk kanak-kanak yang menggemari judul animasi.





Selain Antonio dan Salma, pelakon yang turut menyumbangkan suara untuk filem arahan sutradara Shrek the Third ini ialah Billy Bob Thornton, Zach Galifianakis dan Amy Sedaris.













Teruskan membaca..

Kanak-kanak empat tahun maut ditimpa pokok ditebang jiran




Kanak-kanak empat tahun


maut ditimpa pokok ditebang jiran



BESUT: Seorang kanak-kanak berumur empat tahun maut ditimpa sebatang pokok kelapa yang ditebang jirannya di Kampung Gong Dasar, Jabi, dekat sini, petang semalam.

Muhammad Faiz Hakimi Aziz yang cedera parah di kepala dan badan, mati dalam perjalanan ke Hospital Daerah Besut.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, dalam kejadian pada jam 3.15 petang itu, kanak-kanak, itu dikatakan melintas secara tiba-tiba di bawah pokok kelapa yang ketika itu sedang tumbang selepas ditebang.


Penebangan pokok kelapa yang condong ke arah rumah jiran kanak-kanak itu dilakukan oleh jiran mereka dengan bantuan keluarga kanak-kanak itu.

Ibu kanak-kanak itu, Rogayah Mohamad, 41, turut menyaksikan kerja penebangan pokok itu dan Muhammad Faiz Hakimi melintas di bawah pokok berkenaan untuk pergi ke arah ibunya," kata Kamaruddin kepada pemberita di sini hari ini.

Rogayah, ketika ditemui berkata, beliau tidak menyangka anak bongsunya itu akan berlari ke arahnya ketika pokok sedang tumbang.

"Sebaik melihat anak saya ditimpa bahagian tandan dan daun-daun pokok kelapa itu, saya dan keluarga yang lain segera mencarinya di celahan daun kelapa.

"Kami menemuinya terbujur di situ dalam keadaan berlumuran darah," kata ibu kepada lapan anak itu. - BERNAMA
















Teruskan membaca..

Seorang lagi pelajar Malaysia meninggal dunia di Indonesia



Seorang lagi pelajar Malaysia


meninggal dunia di Indonesia


JAKARTA: Dalam masa kurang dari sebulan selepas rakyat Malaysia dikejutkan dengan pembunuhan kejam penuntut Malaysia Adrian Jay Pereira dari Universiti Brawijaya, Malang, Jawa Timur, seorang lagi penuntut Malaysia dari universiti yang sama meninggal dunia malam tadi.

Namun kematian penuntut yang dikenali sebagai Theven Adrian Joseph, 20, itu dipercayai akibat masalah kesihatan.

Atase Pendidikan, Education Malaysia (EM) Indonesia, Ludinata Misnun berkata, Theven Adrian meninggal dunia pada kira-kira pukul 8 malam tadi di Hospital Islam Dinoyo, Malang selepas usaha menyelamatkannya gagal.
"Beliau dipercayai mengalami kekejangan dan serangan sawan dan dikejarkan ke Hosptal Islam Dinoyo, Malang. Pihak hospital telah berusaha menyelamatkannya dengan memberikan bantuan CPR dan penafasan melalui mesin, malangnya beliau tidak dapat diselamatkan," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, EM Indonesia difahamkan bahawa penuntut yang berasal dari Subang Jaya, Selangor itu sebelum ini mempunyai sejarah penyakit itu.

Theven Adrian ialah penuntut tahun pertama Universiti Brawijaya, yang menuntut atas pembiayaan sendiri. Tidak dinyatakan bidang jurusan pelajaran yang sedang beliau ikuti.

Ludinata berkata, pihaknya berlepas ke Malang pagi ini bagi menguruskan penghantaran pulang jasad Theven Adrian dengan bantuan Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia. Pihak keluarga pelajar itu juga dijangka sampai ke Malang pagi ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda Surabaya.

Pembiayaan penghantaran pulang jasadnya ditanggung sepenuhnya oleh ejen yang menguruskan kemasukan beliau ke universiti itu kerana beliau masih dilindungi insurans.

Pada 7 November lalu, penuntut Malaysia Adrian Jay Pereira, penuntut Fakulti Perubatan di Universiti Brawijaya, Malang mati ditetak dengan senjata tajam dilehernya oleh seorang penyerang ketika beliau cuba menghalang lelaki itu daripada mencuri motosikalnya di luar rumahnya di bandar Malang.

Polis masih menyiasat kejadian kes pembunuhan itu.

Seramai 173 penuntut Malaysia kini menuntut di Malang, dan daripada jumlah itu, 161 belajar di Universiti Brawijaya. - BERNAMA



Teruskan membaca..

Friday, December 2, 2011

Terhakisnya nilai-nilai kemanusiaan di China

Terhakisnya nilai-nilai kemanusiaan di China







KLIP video kamera televisyen litar tertutup (CCTV) di sebuah jalan di Foshan, Guangdong, China yang memaparkan insiden seorang kanak-kanak perempuan dilanggar dua buah kenderaan tanpa dibantu oleh sesiapa pada Oktober lalu memang menyayatkan hati.


Kejadian itu berlaku ketika ibu Wang Yue atau sinonim dengan nama Yue Yue sedang menyidai pakaian manakala bapanya pula sibuk menguruskan kedai perkakasan milik keluarganya.



Demi kelangsungan hidup, ibu bapa Yue Yue terpaksa membiarkan anak mereka yang berusia dua tahun itu berkeliaran seorang diri tanpa pengawasan.



Menerusi rakaman video itu, Yue Yue dilihat berdiri di sebatang jalan di sebuah pasar seorang diri sebelum dilanggar sebuah van yang seterusnya menggilis tubuhnya yang kecil itu.



Tidak lama kemudian, Yue Yue sekali lagi digilis sebuah kenderaan lain.



Ramai penonton You Tube menyangkakan pemandu tersebut akan membantu kanak-kanak itu.



Namun apa yang mengejutkan ialah dia terus dibiarkan tanpa bantuan.



Seramai 18 orang awam melihat kesengsaraan Yue Yue bertahan untuk terus hidup, tetapi apa yang merasuk fikiran mereka untuk berlagak selamba tanpa menunjukkan sebarang riak emosi dan membiarkan sahaja Yue Yue bergelut dengan kecederaan.



Akhirnya, Yue Yue diselamatkan oleh seorang tukang sapu sampah wanita yang mengangkat tubuh badan Yue Yue yang longlai ke tepi jalan sebelum ibu mangsa yang berada di kawasan berdekatan berlari mendapatkan anak perempuannya itu.



Yue Yue koma seminggu hospital. Kanak-kanak malang itu tidak dapat diselamatkan ekoran kegagalan sistem tubuhnya berfungsi.




SELEPAS koma seminggu, Yue Yue akhirnya menghembuskan nafas terakhir.





Kematian Yue Yue ibarat memberi peringatan kepada dunia khususnya penduduk China tentang nilai kemanusiaan yang kian terhakis disebabkan kepesatan ekonomi dan urbanisasi yang tercipta di negara gergasi ekonomi dunia itu.



Pelbagai reaksi dilemparkan orang ramai berhubung insiden itu. Ada yang menyalahkan sistem perundangan China dan ada juga yang menjadikan kes berprofil tinggi melibatkan seorang lelaki bernama Peng Yu pada tahun 2006 sebagai punca kepada masalah tersebut.



Empat tahun lalu, Peng Yu dikatakan menghentikan kenderaannya bagi membantu seorang wanita berusia 66 tahun yang cedera di Nanjing, Jiangsu dan membawanya ke hospital bagi mendapatkan rawatan.



Makan diri



Sifat kemanusiaan yang ditonjolkan Peng Yu memakan diri apabila dia dituduh oleh wanita itu sebagai individu yang bertanggungjawab melanggarnya hingga mengakibatkan kecederaan dan seterusnya membawa kes tersebut ke mahkamah.



Hakim yang mengendalikan kes itu menjatuhkan hukuman denda sebanyak 45,000 yuan (RM22,296) ke atas Peng Yu atas alasan hanya individu yang bersalah akan membantu menyelamatkan wanita tua itu.



"Keputusan hakim terhadap Peng Yu telah menghancurkan nilai murni dalam diri masyarakat China dan ia merupakan penyakit yang sukar untuk dirawat," luah seorang rakyat China di laman sosial Sina Weibo, yang digelar Twitter versi China.



"Diharapkan anda menemui erti kasih sayang di syurga, dunia ini penuh dengan sikap tidak endah," kata seorang lagi pengguna Sina Weibo, Winter Space.


YUE YUE (kanan) kanak-kanak malang dari China

menjadi bukti kepada ketidakprihatinan masyarakat setempat di negara tersebut.





Sementara itu, polis di Foshan memberitahu kedua-dua pemandu kenderaan yang bertanggungjawab melanggar kanak-kanak malang itu telah ditahan dan akan menjalani perbicaraan.



Namun pihak berkuasa enggan mengulas lanjut berhubung penahanan dua pemandu tersebut dan atas dakwaan apa mereka ditahan juga masih belum diketahui.



Jurang perbezaan antara golongan kaya dan miskin sering kali mendominasi topik perbalahan di China.



Video insiden tersebut yang tersebar pantas di internet membangkitkan manusia yang alpa tentang erti belas kasihan dan definisi kemanusiaan.



Hasilnya, rakyat China menggesa kerajaan memperkenalkan undang-undang Good Samaritan (rakyat berhati mulia) bagi menghukum orang awam yang enggan membantu individu yang memerlukan pertolongan.



Gubal undang-undang



Komentar untuk akhbar Friday's Global Times menyatakan tragedi Yue Yue telah membogelkan sisi gelap komuniti China dan menyokong penggubalan undang-undang buat Good Samaritan.



"Adalah lebih wajar mewujudkan sistem ganjaran bagi mereka yang rela membantu mangsa seperti Yue Yue berbanding menghukum mereka yang enggan menghulur bantuan," dedah komentar itu lagi.



Seorang peguam negara itu, Zhu Yongping, mencadangkan agar penubuhan undang-undang Good Samaritan diwujudkan di Foshan tetapi motif setiap individu terhadap sesuatu kes sebegitu sukar untuk ditentukan.



Zhou Chengxin, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan di Pejabat Hal Ehwal Perundangan Shenzen berkata, tarikh draf penggubalan undang-undang baharu itu diserahkan ke Kongres Rakyat Shenzen masih belum diketahui.



Menerusi draf itu, cadangan undang-undang merangkumi pengecualian tanggungjawab ke atas individu yang membantu seseorang yang memerlukan pertolongan tetapi bertemu kegagalan, selagi tiada unsur-unsur pengabaian dan sabotaj ditemui.



Good Samaritan juga menetapkan jika individu yang menerima bantuan mahu mengemukakan saman ke atas orang yang membantunya, mereka perlu mengemukakan bukti kukuh sebelum membawa perkara itu ke mahkamah.



Tambah Zhou, China tidak memiliki undang-undang seperti itu sebelum ini, jadi tiada contoh yang boleh dijadikan garis panduan bagi menggubal undang-undang baharu itu.



"Perkara ini masih dalam perbincangan, sama ada sesuai atau tidak Shenzen mengaplikasikan undang-undang itu ataupun menyerahkannya kepada perundangan negara bagi membuat keputusan.



"Kita berharap agar Kongres Rakyat, badan perundangan dan mahkamah tinggi dapat memberi langkah-langkah penyelesaian sewajarnya," ungkap Zhou.



Draf undang-undang tersebut sebenarnya mula dicadangkan pada awal tahun ini ekoran reaksi Timbalan Presiden sebuah hospital tempatan di Shenzen, Xu Long terhadap insiden yang menimpa seorang lelaki warga emas pada 2010 yang mati akibat sesak nafas selepas rebah di tempat awam, namun tiada sesiapa yang membantu.




KREDIBILITI ibu bapa Yue Yue dipersoalkan
kerana membiarkan anak mereka tanpa pengawasan.






Profesor Sains Politik dan Undang-Undang, Universiti China, Wu Ming'an menganggap kes Yue Yue sebagai seruan kepada masyarakat untuk berubah.



"Bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang, Good Samaritan sememangnya diperlukan bagi melindungi mereka yang berhati mulia.



"Usul awal yang dikemukakan Shenzen mungkin menjadi contoh terbaik untuk kerajaan dalam menguatkuasakan undang-undang tersebut untuk semua daerah di China," jelas Wu.



Pentingkan diri



Seorang pemimpin parti Komunis tempatan menerusi akhbar Guang Zhou Daily menggesa rakyat China mencari refleksi di sebalik kejadian itu dan menjadikannya sebagai pengajaran.



Kejadian yang menimpa Yue Yue itu juga menimbulkan persoalan sejauh mana keberkesanan slogan dan sasaran Presiden China, Hu Jintao yang memperkenalkan polisi masyarakat harmoni selama lapan tahun dia memegang tampuk pemerintahan China.



Dilempar dengan pelbagai hamburan kata-kata rakyat dan negara luar, kerajaan China membuat kenyataan balas bahawa kerajaan telah berjaya mengeluarkan 400 juta rakyat daripada kepompong kemiskinan dan hidup sebagai golongan kelas pertengahan.



Majoriti rakyat China juga kini berpendidikan tinggi dan golongan miskin pula tidak berdepan kebuluran dan masih mampu untuk hidup.



Obsesi China dalam meningkatkan ekonomi dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara Barat dilihat bersifat peribadi iaitu mereka mahu disanjungi dan tanpa disedari mereka telah melahirkan masyarakat yang mementingkan diri dan kebendaan.










Teruskan membaca..

Murid 'balang' lega


WARTAWAN Eksekutif Utusan Malaysia cawangan Sungai Petani,
Opat Rattanachot menyerahkan cek sumbangan seorang doktor wanita
yang enggan dikenali berjumlah RM10,000 dan mesin pembekal oksigen
kepada Norizan Yeop untuk kegunaan Mohamad Zulhilmi Marzuki (kiri)
di Taman Makmur, Lunas, Kedah, semalam.



Murid 'balang' lega





KULIM 1 Dis. - Keluarga kepada 'murid balang gas', Mohamad Zulhilmi Marzuki, 12, yang sebelum ini bimbang kerana mesin pembekal oksigen rosak, lega apabila menerima sumbangan peralatan tersebut daripada seorang doktor wanita hari ini.



Mesin Oxy Concentrator yang bernilai kira-kira RM5,000 itu dikirimkan melalui syarikat pembekal di Pulau Pinang.



Selain itu, doktor bergelar 'Datin Seri' yang enggan namanya didedahkan turut mengirimkan cek berjumlah RM10,000 ke pejabat Utusan Melayu (M) Berhad di sini untuk diserahkan kepada keluarga kanak-kanak itu.



Ibu murid itu, Norizan Yeop, 44, berkata, dia dan suami amat bersyukur dengan sikap murah hati doktor itu meskipun tidak mengenalinya secara peribadi.



"Kini kami sekeluarga lega kerana masalah yang dihadapi dapat diselesaikan. Terima kasih kepada penderma dan harap Tuhan dapat membalas budi baiknya.



"Saya juga menghargai pihak media yang banyak membantu mendedahkan kisah anak saya ini," katanya selepas majlis penyerahan cek berkenaan di rumahnya di Taman Makmur, Lunas dekat sini.



Utusan Malaysia baru-baru ini menyiarkan kisah Mohamad Zulhilmi yang menghadapi masalah berganda apabila mesin Oxy Concentractor yang digunakan di rumahnya sejak tujuh tahun lalu rosak.



Murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Seluang, Lunas yang memperoleh keputusan 3A 2B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini, menghidap simptom jangkitan paru-paru kronik Bronchiolitis Obliterans sejak berusia empat tahun.



Mohamad Zulhilmi memerlukan mesin pembekal oksigen bagi memastikan sentiasa bernafas ketika tidur pada waktu malam.



Norizan berkata, dia dan keluarga menganggap bantuan tersebut merupakan permulaan yang baik kepada anaknya untuk terus berusaha bersungguh-sungguh mendapat keputusan cemerlang dalam pelajaran.



"Kami akan terus memberinya semangat supaya berusaha meningkatkan prestasi pelajaran. Biarpun anak saya mempunyai masalah kesihatan, namun kami sekeluarga tidak mahu ia menjadi penghalang kepadanya untuk berjaya," katanya.



Sementara itu Mohamad Zulhilmi bersyukur dan lebih bersemangat selepas pelbagai pihak tampil menghulurkan bantuan.



"Terima kasih kepada semua, saya berjanji akan belajar rajin-rajin dan harap boleh lanjutkan pelajaran ke luar negara suatu hari nanti," katanya.














Teruskan membaca..

Buku teks selesai diedar ke sekolah


Pendidikan Islam Tahun 1 (Buku Aktiviti)


15.9j buku teks selesai diedar ke sekolah November lalu




KUALA LUMPUR 1 Dis. - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mengedarkan 15.9 juta buku teks ke sekolah di seluruh negara bermula November lalu.



Ketua Pengarahnya, Datuk Termuzi Abdul Aziz berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 7.9 juta buku teks judul baru.



"DBP juga telah mencetak semula sebanyak 200 buku teks judul lama, manakala 53 buku teks judul baru dan telah pun diedarkan di sekolah-sekolah bermula bulan lalu.



"Proses pengedaran yang akan mengambil masa selama tiga bulan ini telah bermula pada 1 November lalu untuk sekolah-sekolah di Sabah dan Sarawak, manakala di Semenanjung (15 November)," katanya.



Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Setitik Budi Selautan Kasih anjuran bersama DBP dan pelajar semester lima Fakulti Pengurusan Maklumat (FPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, hari ini.



Hadir sama, Timbalan Dekan FPM, Dr. Azman Mat Isa dan Pengerusi Badan Keluarga DBP, Kusni Ahad.



Ditanya mengenai krisis DBP dengan Dawama, Termuzi yang enggan mengulas lanjut berkata, beliau menyerahkan segala keputusan kepada pihak mahkamah.



Pada 17 Oktober lalu, Dawama memfailkan saman terhadap DBP dan Termuzi atas dakwaan ketua pengarah berkenaan telah mengeluarkan satu kenyataan berbaur fitnah terhadap syarikat terbabit ketika diwawancara dalam program terbitan Radio Bernama, Kerusi Panas pada 24 April lalu.



Menurutnya, jika tugasan mencetak dan menerbitkan buku teks ini tidak diambil alih oleh DBP maka akan timbul pelbagai masalah terutamanya ketiadaan buku teks apabila sesi persekolahan baru dibuka.



"Kami tidak mahu pihak sekolah mahupun ibu bapa 'menuding jari' kepada kerajaan sekiranya kegagalan mendapatkan buku teks ini berlaku di sekolah-sekolah anak mereka," katanya.



Teruskan membaca..

Wanita dominasi Debat 211 Jam Tanpa Henti



Wanita dominasi Debat 211 Jam Tanpa Henti




PENDEBAT, Nor Adibah Rozain dari Fakulti Pendidikan UiTM Shah Alam (kiri)
membentangkan usul pada sidang ke-173, Laman Sosial: Pembunuh
pada Debat Bahasa Melayu 211 Jam Tanpa Henti anjuran
Utusan di UiTM, Shah Alam, semalam.



SHAH ALAM 1 Dis. - Pendebat wanita mendominasi Program Debat Bahasa Melayu 211 Jam Tanpa Henti (Debat 211 Jam) dengan penyertaan sebanyak 656 orang sejak ia mula dipertandingkan pada 24 November lalu.



Jumlah tersebut mewakili 61.7 peratus daripada bilangan peserta keseluruhan seramai 1,063 orang setakat sidang ke-173 yang berlangsung di Anjung Sri Budiman, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.



Peserta lelaki yang mengambil bahagian berjumlah 407 orang atau sebanyak 38.3 peratus.



Penuntut UiTM, Nor Aqida Jeffridin, 19, berkata, fenomena ini berlaku kerana bilangan pelajar lelaki sememangnya kurang berbanding pelajar wanita di institusi pengajian tinggi (IPT) sama ada awam mahupun swasta.



"Mungkin juga pelajar lelaki lebih rasa malu berbanding kaum wanita yang bersuara lantang untuk menyuarakan pendapat mereka dalam sesuatu isu," katanya.



Bagaimanapun, ujarnya, kualiti perbahasan di kalangan pelajar lelaki adalah lebih baik berbanding wanita dan mereka mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang tinggi.



Terdahulu, Nor Aqida yang mewakili kumpulan pencadang telah berdebat dengan pembangkang pada sidang ke-171 dengan tajuk perbahasan Subjek Sejarah Mampu Memantap Jati Diri Pelajar.



Pada sidang tersebut, kesemua ahli kumpulan pencadang dan pembangkang terdiri daripada wanita.



Program Debat 211 Jam anjuran UiTM dengan kerjasama Kumpulan Utusan ini disertai pelajar IPT, sekolah dan maktab perguruan dari seluruh negara.



Dalam pada itu, perdebatan akan diteruskan lagi bagi menamatkan tempoh 211 jam yang dijangka berakhir esok (Sabtu) pukul 4 pagi untuk mencatat rekod baru dalam Malaysia Book of Records (MBR).



Rekod debat MBR paling lama ialah selama 100 jam, 10 minit dan 44 saat yang juga dicipta oleh penuntut UiTM pada 2006.



Debat 211 Jam pupuk semangat 1Malaysia




SHAH ALAM 30 Nov. - Usaha Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam menjayakan Debat Bahasa Melayu 211 Jam Tanpa Henti (Debat 211 Jam) berupaya memupuk semangat 1Malaysia terutamanya di kalangan para peserta yang terlibat.



Buktinya, program ini berjaya menarik minat penglibatan seramai 40 pelajar berbilang kaum mewakili empat pasukan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Empat, Bandar Baru Bangi pada sidang 148, 149, 150 dan 151 yang berlangsung di sini, hari ini.



Guru pembimbing yang juga Guru Cemerlang Bahasa Melayu sekolah itu, Nazilah Mohd. Yusof berkata, penglibatan pelajar pelbagai kaum dalam program debat ini adalah salah satu usaha untuk menambahkan minat mereka terhadap bahasa Melayu terutamanya bagi pelajar Cina dan India.

Beerita penuh dan teruskan membaca di sini UM


Sumber: Utusan Malaysia Online





Teruskan membaca..

Usia 30 Tahun Umpama Bayi 9 Bulan

Wanita Berusia 30 Tahun Umpama Bayi 9 Bulan [+Video]






Siapa sangka ‘kanak-kanak’ ini sebenarnya telah berusia 30 tahun. Maria Audete do Nascimento berasal dari Brazil dilahirkan pada 7 Mei 1981. Wanita ini dilahirkan dalam sebuah keluarga yang miskin di Ceara, Brazil.



Wanita berusia 30 tahun ini dijaga oleh ayah dan ibu tirinya, selepas ibu kandungnya meninggal dunia ketika Maria berusia 17 tahun. Seperti mana bayi yang berusia 9 bulan, begitulah sifat yang dialami oleh Maria. Dia tidak mampu untuk melakukan perkara seperti manusia normal yang berusia 30 tahun malah dia juga tidak mampu bertutur.




Atas sebab kemiskinan, keluarga Maria tidak mampu untuk memberikan rawatan yang sewajarnya ketika beliau masih kecil dan ketika ini semuanya seakan sudah terlambat untuk diubati.



Kemiskinan bukan bermakna tiada kasih sayang. Maria tetap dijaga oleh ayah dan ibu tirinya dengan baik. Bagi mereka Maria adalah kurniaan tuhan dan amanah tuhan kepada mereka.






Pakar di Fakulti Perubatan di Universiti Caera menyatakan yang punca perkara ini terjadi disebabkan Maria mengalami masalah kekurangan hormon tiroid yang teruk menyebabkan tumbersaranya terbantut.



Menurut pakar, masalah ini sebenarnya dapat diatasi dan Maria mampu untuk membesar secara normal jika dirujuk kepada pakar ketika dia masih kecil.



Namun segalanya sudah terlambat dan Maria tidak mampu membesar sehingga ke hari ini walaupun sudah berusia 30 tahun.








Teruskan membaca..

Anak sangka bapa tidur


AJAL...keadaan Lokman yang tidak bernyawa tersandar pada cermin pintu pemandu. Gambar kecil, Lokman, sakit jantung


AJAL...keadaan Lokman yang tidak bernyawa
tersandar pada cermin pintu pemandu.
Gambar kecil, Lokman, sakit jantung




Anak sangka bapa tidur




KOTA TINGGI: Seorang kanak-kanak perempuan berumur enam tahun menyangka bapanya tertidur ketika memandu sedangkan lelaki berkenaan sebenarnya meninggal dunia akibat serangan jantung.



Dalam kejadian jam 10.15 pagi Jalan Pedada, Taman Kota Jaya itu, Dina Alisa Lokman hanya mendiamkan diri apabila kepala bapanya, Lokman Ramlan, 42, tersandar pada tingkap sebelah pemandu sebelum Proton Wira Aeroback dipandu lelaki berkenaan berhenti perlahan-lahan.




Dia juga masih terus mendiamkan diri apabila orang ramai datang membantu dan hanya menangis selepas pasukan perubatan Hospital Kota Tinggi (HKT) yang bergegas ke lokasi kejadian mengesahkan bapanya meninggal dunia.



Orang ramai menghubungi isteri mangsa, Yusniza Yusof, 37, yang bertugas sebagai pembantu tadbir di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan wanita berkenaan tiba ditemani rakan sekerja sebelum ibu Lokman, Dinah Abu Bakar, 68, sampai bersama kakaknya, Zaleha Ramlan, 49.




Menurut Zaleha, Lokman pernah bekerja di sebuah bank di daerah berkenaan sebelum meletak jawatan setahun lalu untuk menceburkan diri dalam dunia perniagaan.




“Lokman mengedar produk hasil pertanian kepada pekedai sekitar bandar ini. Dia tidak pernah mengadu sakit dan gigih bekerja,” katanya yang ditemui di Unit Forensik HKT.



Menurut Zaleha, Dina yang juga anak kedua daripada empat beradik tidak faham dengan apa yang menimpa bapanya.




“Dina menyangka bapanya tertidur dan kerana itu dia mendiamkan diri sehinggalah menyedari bapanya sudah tiada lagi.



“Walaupun sedih, kami reda dengan kejadian dan menganggapnya sebagai takdir,” katanya.




Seorang lelaki yang enggan dikenali pula menyatakan Lokman serta Dina dilihat bersarapan di sebuah kedai berhampiran lokasi berkenaan sejam sebelum itu.




“Mangsa sempat membelikan aiskrim untuk anaknya sebelum mereka berlalu pergi,” katanya.




Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Che Mahazan Che Aik mengesahkan kejadian.




“Setiba di Jalan Pedada, mangsa mendapat serangan jantung lalu memperlahankan kereta ke bahu jalan.




“Laporan bedah siasat mengesahkan punca kematian Lokman akibat serangan jantung dan jenazahnya dituntut ahli keluarga,” katanya.




Jenazah Lokman dibawa pulang ke Kampung Bukit Lintang, Lukut, untuk dikebumikan.







Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...