Sahabat Maya :

Friday, August 30, 2013

Erti kemerdekaan hakiki







Erti kemerdekaan hakiki


ESOK genaplah ulang tahun ke-56 negara tercinta kita Malaysia. Laungan merdeka, merdeka, merdeka yang bergema di setiap pelosok negara pastinya perlu dihayati sepenuhnya agar semangat laungan tidak tinggal laungan semata-mata. 





Alhamdulillah, pencapaian rakyat Malaysia kini sudah semakin dikenali dan diiktiraf, sama ada di dalam negara mahupun di luar negara. Malah ada antara lakaran kejayaan-kejayaan ini perlu dibanggakan semua warganya.





Pun begitu dalam keghairahan menyambut kemerdekaan ini, perlu ditanyakan dalam diri setiap daripada kita, adakah kita benar-benar memahami serta menguasai erti kemerdekaan itu? Ataupun ia sekadar rutin melepasi tarikh 31 Ogos yang ditempoh setiap tahun. 





Hakikatnya, sebuah negara boleh dikatakan merdeka secara hakiki apabila kemerdekaan tersebut terjadi secara menyeluruh dalam semua bidangnya. Kemerdekaan tersebut bukan hanya dalam konteks negara semata-mata tetapi juga individu dan masyarakat yang menjadi pengisi sebuah negara. 





Dalam konteks individu, kemerdekaan bererti terbebasnya seseorang itu daripada tekanan hawa nafsunya dalam melakukan segala aktiviti yang membinasakan dirinya.




Pengertian individu yang merdeka ialah seorang yang ketika ia bersikap dan berperilaku selalu didasarkan kepada pertimbangan rasional. 





Bagi orang yang beriman, pertimbangan rasionalnya adalah apabila ia melandaskan segala perbuatan dan tingkah lakunya bermatlamat kepada undang-undang dan sunnatullah. 





Saidina Ali mengibaratkan hal
 tersebut dalam satu ungkapan:




 "Seorang hamba beramal 
kerana takut hukuman, 
pedagang beramal 
kerana menginginkan keuntungan 
dan orang merdeka beramal 
kerana mengharap 
keredaan Allah SWT."





Jika ada seorang manusia dalam kehidupannya yang sentiasa dikendalikan hawa nafsunya, maka bererti dia belum menjadi orang yang merdeka sebenarnya. Kerana ia terbelenggu oleh hawa nafsunya yang sentiasa memaksanya untuk melakukan perbuatan yang tidak sesuai dengan akal sihat manusia. 






Kehidupannya yang selalu terjajah oleh hawa nafsunya sendiri sehingga mengakibatkan dirinya sendiri terjerumus ke jurang kebinasaan di dunia mahupun di akhirat. 






Allah SWT berfirman
 yang bermaksud:  






" Adapun orang
 yang melampau batas dan 
lebih mengutamakan
 kehidupan dunia, maka 
sesungguhnya nerakalah 
tempat tinggalnya. "

 (an-Naazi'at: 37-39)





Dalam Tafsir Fathul Qadir, Imam as-Syaukani menyatakan, orang yang melampau batas adalah dalam kekufuran dan maksiat kepada Allah. Lebih mengutamakan dunia berbanding akhirat. 






Manakala Imam al-Baidhawi menyebutkan, maksud ayat di atas adalah orang yang melampaui batas hingga dia kufur serta memilih kehidupan dunia dan tidak mempersiapkan diri untuk kehidupan akhirat dan membersihkan diri daripada hawa nafsu, maka tempat kembalinya adalah neraka.





Sedangkan dalam konteks masyarakat pula, erti kemerdekaan adalah apabila mereka tidak lagi menjadi pengikut pemikiran dan budaya bahkan agama penjajah. Masyarakat yang merdeka memiliki pemikiran, budaya dan agama yang khas yang membezakan mereka dengan masyarakat lain. 






Kita boleh mencontohi masyarakat Madinah (Madani) sebagai masyarakat yang merdeka secara hakiki. Setelah Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, Baginda mulai membina masyarakat di sana dengan kehidupan yang Islamik jauh berbeza dengan sebelumnya. 





Kemudian diubah Nabi SAW menjadi berlandaskan agama yang kukuh serta memunculkan ketenteraman dan keselamatan. 





Budaya yang dahulunya jahiliah yang diwarisi daripada nenek moyang, dipenuhi tahyul dan khurafat diganti menjadi budaya yang Islamik, rasional dan bernilai luhur.





Adakah masyarakat kita memiliki 
pemikiran dan budaya yang terlepas
 daripada budaya para penjajah?





Jawapannya kita sendiri yang perlu menilaikannya di sekeliling kita hari ini. Mulai dari cara berpakaian, makan, bergaul, berjiran dan lain-lainnya. Apa lagi jika disebut hal-hal jenayah, tembak sana sini, rompak, bunuh, ragut, buang bayi, rempit, rasuah, dadah, pecah rumah, curi kenderaan, pergaulan bebas dan macam-macam lagi, masyarakat kita sangat jauh daripada ciri khas masyarakat Madani dan Islam.







Ternyata kita baru terlepas daripada belenggu penjajahan secara fizikal sahaja walaupun sudah 56 tahun merdeka. Mengapa hal ini terjadi? Kerana racun yang ditinggalkan oleh para penjajah terus kita 'minum' dan kita 'makan' setiap hari. Bahkan, seolah-olah kita masih ketagihan meminum racun tersebut. 





Racun itu bermakna pemikiran dan budaya para penjajah. Kebebasan berekspresi, pornografi dan pornoaksi, sikap individualistik, hedonisme dan seumpamanya adalah sederet pemikiran penjajah yang masih membudaya, malah seperti telah menjadi ciri khas masyarakat kita.






Padahal masyarakat kita adalah masyarakat yang kuat beragama, memiliki budaya luhur yang berlandaskan kepada agama Islam sebagai Agama Persekutuan.
Semua itu diresap oleh badai dan gelora budaya asing penjajah sehingga kita tidak lagi memiliki identiti yang unik dan kental sebagai sebuah masyarakat yang berlandaskan agama.





Negara yang merdeka adalah yang terbebas daripada penjajahan secara fizikal, politik, ekonomi, sosial dan budaya. Negara tersebut bebas menerapkan undang-undang yang tegas serta peraturannya dan hukum-hukumnya dalam melindungi rakyat dan tanah air daripada pencerobohan luar dan dalam. Tidak ada tekanan dari negara-negara penjajah dan luar.





Bagi umat Islam tentu sahaja negara tersebut haruslah sesuai dengan apa yang diperintahkan Allah dan dicontohkan oleh Rasulullah SAW iaitu sebuah negara yang menerapkan peraturan Allah dalam berbagai dasar dan kebajikannya. 





Ini kerana dengan menjalankan peraturan Allah mereka akan menjadi umat yang selamat, maju dan dinamik serta tidak boleh dijajah oleh negara mana sekalipun jua di dunia ini. Hal ini telah dibuktikan oleh kaum muslimin di masa lalu. 





Inilah kemajuan dan kebangkitan umat
 yang dijanjikan Allah dengan
 firman-Nya bermaksud :





" Dan Allah
 telah berjanji kepada 
orang-orang yang beriman
 di antara kamu dan mengerjakan
 amalan soleh, bahawa Dia
 sungguh-sungguh akan
 menjadikan mereka berkuasa
di muka bumi, sebagaimana 
Dia telah menjadikan 
 orang-orang sebelum 
mereka berkuasa. "



(an-Nur: 55)


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...