Sahabat Maya :

Saturday, October 13, 2012

Kaedah beribadat jadi panduan lancarkan tugas


Kaedah beribadat jadi 

panduan lancarkan tugas


 Begitu pantas masa berlalu dan kini kita sudah berada pada Zulkaedah. Ada kala kerja seharian dirasakan semakin bertambah apabila berada di hujung tahun terutama menyedari ada laporan belum disiapkan, permohonan belum diteliti, pembayaran belum dilunaskan dan sasaran kerja belum dicapai.


Bak kata pepatah, ‘sudah terhantuk baru terngadah’. 



Tinggal hanya dua bulan baru menggelabah. Saya sendiri berasakannya apabila melihat kerja yang sepatutnya disiapkan beberapa bulan lalu, masih tidak terusik. Begitulah dalam bekerja, kita sering bertangguh serta tidak mengambil serius sehingga selepas didesak masa, majikan dan pelanggan.



Firman Allah SWT: 

“Dan
 janganlah engkau berkata
 mengenai sesuatu (yang hendak dikerjakan)
 bahawa aku akan lakukan yang demikian itu
 kemudian nanti.” 
(Surah al-Kahfi, ayat 23)



Kita juga sering mengatakan beban kerja semakin tinggi menyebabkan sering tidak sempat menyiapkannya. Namun, kita juga lupa bebanan boleh berpunca daripada diri sendiri disebabkan cara kita bekerja dan meletakkan keutamaan.




Antaranya suka bertangguh, sambil lewa, tidak teliti membuatkan kerja jadi berganda, tanpa perancangan, melakukan sesuatu tanpa mendapatkan penjelasan dan faham tujuannya, tidak berpasukan dan sudah sedia dimaklumi tugasan perlu dilakukan.




Rasulullah bersabda: 
“Wahai sekalian manusia, 

hendaklah kamu beramal soleh

sesuai dengan kemampuan kamu 

kerana sesungguhnya

Allah SWT  tidak akan jemu 

sehingga kamu berasa jemu. 

Amalan yang paling

dikasihi Allah SWT

adalah yang terus-menerus dikerjakan 

walaupun sedikit.” 

(Riwayat Tirmizi)

 
Di takuk lama


Pendek kata, selain faktor tuntutan kerja, cara kita bekerja juga masih di takuk lama dengan tidak mempertingkatkan daya usaha dan menggunakan kemudahan secara optimum seiring peningkatan keperluan.


Justeru, pelbagai pendekatan Islam boleh dijadikan panduan antaranya Islam menitikberatkan cara yang betul dalam melaksanakan ibadat yang menjadikannya sah dan diterima Allah SWT.



Seperti cara mengerjakan solat, berwuduk, berpuasa dan menunaikan haji. Semua kewajipan ini perlu betul cara pelaksanaannya. Cara melakukannya pula ditunjukkan Rasulullah sebagai contoh yang baik.


Justeru, dalam bekerja, ketua atau majikan perlu menunjukkan contoh yang baik sebagai ikutan kakitangan sesuai slogan ‘kepemimpinan melalui teladan.’


Antara cara bekerja yang berkesan untuk mencapai matlamat dan berkualiti menurut Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam Fiqh al-Awlawiyyat berdasarkan keutamaan atau awlawiyyatnya.



Sahabat seperti Ibn Mas’ud, Abu Zar, Abu Darda’ dan Anas Malek, sering bertanyakan apakah perkara utama yang boleh menjadikan amalan mereka yang terbaik dan mereka menjadi hamba Allah paling dikasihi.


Mudahnya apabila ingin melaksanakan tugasan perlu dipertimbangkan apakah yang perlu didahulukan. Soalan asas ini kadangkala terlepas dalam perhitungan menyebabkan kita berkerja secara caca-marba.




Akibatnya ada tugasan lebih penting tidak dilakukan dulu atau tidak berjaya disiapkan pada tempoh ditetapkan dan bebanan kerja menjadi semakin meningkat. Akibatnya, ada yang disiapkan secara tergesa-gesa dan tidak sempurna.

 


Sabda Rasulullah SAW:
 “Sesungguhnya 

Allah mencintai orang

yang apabila dia melakukan sesuatu 

dilakukan dengan sebaik-baiknya.”

(Riwayat al-Baihaqi)

 


Satu ‘cara kerja’ ialah berasaskan keutamaan tugas yang boleh ditentukan melalui senarai semak yang menetapkan 13 keutamaan iaitu berdasarkan matlamat yang jelas; sasaran kerja mingguan, bulanan atau tahunan; tempoh masa ditentukan serta tugasan di bawah bidang kuasa.

 


Tugasan yang boleh disiapkan dengan segera; tugasan yang mudah dengan keputusan sendiri diutamakan; tugasan yang menggembirakan dan melegakan kebimbangan atau kesusahan pelanggan; tugasan yang memberi kebaikan besar kepada kelompok ramai termasuk pelanggan.

 


Tugasan membawa kebaikan dalam tempoh jangka panjang; tugasan tidak memudaratkan diri tanpa jaminan keselamatan; tugasan mengikut prosedur dan peraturan; tugasan boleh menjejaskan imej organisasi jika tidak dilaksanakan dan tugasan yang mengutamakan kualiti berserta kuantiti.

 


Mengambil kira cara bekerja berasaskan keutamaan, kita membentuk strategi kerja yang sistematik ke arah pencapaian matlamat sekali gus menjauhkan pekerja daripada pelbagai bentuk kemudaratan dan kerugian sama ada kepada diri, pelanggan, majikan mahupun organisasi.

 

Penulis Prof Madya
 di Jabatan Siasah Syariyyah, 
Akademi Pengajian Islam,
 Universiti Malaya (UM)

 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...