Sahabat Maya :

Friday, August 31, 2012

Erti merdeka kepada yang faham




Tunku Abdul Rahman memimpin rakyat
melaungkan 'MERDEKA' sebanyak tujuh kali.



Erti merdeka kepada yang faham


KEMERDEKAAN adalah sesuatu yang amat bermakna. Ia membebaskan diri insan daripada belenggu dan memberi ruang untuk warga sesuatu negara membangunkan negaranya berasaskan acuan sendiri.



Pengorbanan Masyarakat Pribumi



MALAYSIA mencapai kemerdekaan dengan kompromi yang sangat tinggi. Memberikan kerakyatan kepada pihak imigran untuk tinggal di Tanah Melayu dan sekarang ini Malaysia dengan jumlah yang besar adalah suatu pengorbanan luar biasa daripada orang Melayu. Secara timbal-baliknya pendukung kemerdekaan terdiri daripada pemimpin pelbagai kaum memahami bahawa hak-hak fundamental orang Melayu seperti bahasa, agama dan hak istimewa perlu dihormati dan menjadi asas penting dalam Perlembagaan.



Ia bermaksud supaya asas perpaduan wujud dan asas keseimbangan orang Melayu dengan kaum-kaum lain dapat dirapatkan. Sekiranya orang Melayu terasa dirinya ketinggalan dalam pencapaian ekonomi, pendidikan dan sosial, ia memberi kesan terhadap kesejahteraan dan keselamatan negara.



Justeru ia menuntut kesabaran dan pengorbanan yang tinggi di kalangan setiap warganegara Malaysia supaya kedudukan orang Melayu dapat ditingkatkan dan dalam masa sama masyarakat bukan Melayu mempunyai kebebasan untuk hidup dan menikmati peluang ekonomi yang meningkat. Setelah lebih setengah abad kemerdekaan dicapai, ekuiti atau pegangan orang Melayu di paras 20 peratus (%) dan selebihnya dimiliki oleh orang bukan Melayu.



Dalam zaman globalisasi yang penuh dengan cabaran ini orang Melayu dan pribumi tidak harus rasa selesa dan hilang daya saing untuk maju dan terus mengukuh mentaliti subsidi kerana ia boleh menyebabkan keciciran yang lebih parah terjadi. Ketirisan yang berlaku dalam pelaksanaan dasar kerajaan mesti diperbaiki supaya masa depan Malaysia memberi titik keseimbangan yang lebih baik untuk generasi hari depan.



Kemerdekaan Lebih Separuh Abad



KEMERDEKAAN lebih separuh abad ini kalau diibaratkan seorang manusia, tentunya sudah banyak jasa kepada diri, keluarga dan masyarakat serta menempuh tempoh matang dengan memiliki banyak pengalaman yang berguna.



Dalam konteks sebuah negara seperti Malaysia terdapat jurang antara generasi dulu dengan generasi penerus terutama dalam pemahaman terhadap perjalanan sejarah dan budaya. Generasi dulu dan kini sepatutnya seperti mata rantai yang sifatnya sambung menyambung.



Perjuangan kemerdekaan ialah perjuangan mengisi makna kemerdekaan. Ia tidak saja berlegar sekitar isu-isu pembangunan fizikal dan prasarana, sains dan teknologi supaya perubahan kelihatan semasa tetapi ia menuntut keteguhan peribadi dan kekuatan sahsiah kerana tanpa acuan sendiri dalam pembangunan dan perubahan kita hanya menjadi penciplak kepada kekuatan Barat dan orang lain.



Tidak salah mengambil manfaat yang memberi dukungan terhadap pembangunan dan perubahan yang sihat daripada Barat dan Timur tetapi saripati tamadun yang dimiliki oleh bangsa-bangsa di Malaysia harus dapat diolah dengan bijaksana supaya ia menyumbang ke arah masyarakat yang lebih sejahtera.



Jati Diri Yang Utuh



RUKUNEGARA yang terasas selepas Peristiwa 13 Mei harus dijadikan rujukan falsafah bagi setiap warga Malaysia sekiranya keamanan dan kesejahteraan ingin dicapai. Memang perbezaan dari sudut budaya dan pemikiran terdapat dalam proses bina negara. Tetapi ada asas yang fundamental seperti yang terkandung dalam Rukunegara yang sepatutnya menjadi rujukan asasi warga Malaysia.



Asas-asas ini sewajarnya menjadikan setiap warga Malaysia memiliki jati diri yang asasi supaya falsafah dari Rukunegara itu dapat menjadi landasan saling memahami dan menghormati dan dijadikan tunjang untuk memajukan Malaysia dalam acuan kita sendiri.



Penulis sewaktu belajar di Amerika Syarikat sekitar hujung tahun 1980-an berada dalam gelombang ‘Desert Storm’ iaitu peperangan kuasa besar Amerika Syarikat dengan Iraq dan sekutunya. Walaupun dukungan terhadap Parti Demokrat dan Republikan di kalangan warga Amerika mempunyai perbezaan tetapi dalam soal maruah dan keselamatan Amerika menjadikan mereka memiliki rasa patriotisme yang tinggi.



Tetapi bagi Malaysia ada semacam kenipisan bagi warganya bila asas-asas fundamental yang menyentuh jati diri ini berbangkit. Sudah kedapatan di kalangan sesetengah pihak tidak merasa bangga dan bersyukur menjadi warga Malaysia.



Elemen perpecahan dan peminggiran kerap terjadi dan menyebabkan jati diri terhakis dan menghasilkan warga Malaysia yang cenderung memikirkan kepentingan kelompok dan tidak mendukung agenda muafakat yang menjadi syarat penting kepada persefahaman dan pengertian terhadap titik persamaan yang terlalu banyak dan titik perbezaan yang menuntut kesabaran tinggi.



Ramai dalam kalangan kita yang menjadi kaya dan senang, berharta dan menambah harta sehingga menjadikan kelompok kelas menengah semakin meningkat jumlahnya. Namun terdapat golongan yang tidak bersyukur, sebaliknya mengutuk negara sendiri di tempat orang atau meninggalkan Malaysia dan membawa kekayaan ilmu dan harta ke tempat orang lain.



Mereka melihat Malaysia dalam keadaan serba cela dan tidak nampak langsung kebaikan sedangkan kekayaan yang mereka kecapi dan ilmu yang mereka terima asasnya bermula di negara ini.



Sebahagian mereka berfikir cara orang Barat atau orang Amerika. Mereka lupa sejarah Malaysia baru melepasi setengah abad dan sejarah kemerdekaan dan kemajuan Amerika dan kuasa-kuasa Barat sudah terjadi ratusan tahun.



Mengimbangi Idealisme dan Realiti



MUTAKHIR ini timbul dua kecenderungan yang saling meresahkan. Satu, menukar sistem di Malaysia atas nama negara Islam yang didekati secara simplistik dan retorik yang penuh emosional. Ia dijadikan pancing untuk mendapat pengaruh dan dukungan politik sempit.



Islam dalam Perlembagaan adalah agama Persekutuan. Daripadanya Islam diperkasa dalam pendidikan, ekonomi, pembaikan bidang syariah, pengukuhan asas-asas pembangunan sosial dan pentadbiran negara. Realiti Malaysia memerlukan pendekatan bijaksana dengan memahami maqasid syariah secara mendalam dan strategik supaya aplikasi syariah dalam sistem terjadi.



Pendekatan ke arah ketamadunan ini perlu supaya dengan tenaga modal insan yang cukup terlatih dengan ilmu-ilmu diniah (agama) terhubung dengan kepakaran yang pelbagai, ia mampu memberi pendekatan baru terhadap ilmu turath atau tradisional supaya wujud penyegaran yang seiring dengan zaman.



Kecenderungan kedua ialah terdapat pihak yang satu ketika dulu memperjuangkan cita-cita Islam cuba membawa fahaman liberal dan pluralisme Barat sehingga rupa dan warna hak asasi Barat hendak dijadikan celupan baru dalam wajah Islam di Malaysia. Ia jauh lebih bahaya kerana pendekatan ini boleh mengelirukan umat Islam dan menjadikan perpecahan di kalangan fikrah umat lebih ketara lagi.



Di mana Bumi Dipijak

Di situ Langit Dijunjung



BAGI sesetengah kumpulan pendesak yang berhajat merungkai asas-asas fundamental dalam Perlembagaan seperti Islam, bahasa Melayu, hak istimewa dan sebagainya harus berfikir banyak kali kerana asas-asas fundamental itu bermaksud baik bagi kestabilan Malaysia.



Kemerdekaan yang dinikmati sejak 55 tahun lalu seharusnya memberi kita keyakinan ‘di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung’. Malaysia adalah rumah kita. Di sinilah tempat kita berlindung, mencari rezeki dan menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bagi.



Setiap warganya harus berfikir secara muafakat dan tolak ansur kerana tidak mudah untuk mengurus sebuah masyarakat majmuk. Harus ada pengorbanan dan kecenderungan untuk mencari titik persamaan lebih dari titik perbezaan supaya kelebihan yang dinikmati dan kekurangan yang dirasai dikongsi bersama dengan keinsafan dan tekad untuk terus menyumbang ke arah kebaikan dan kemajuan Malaysia.



PENULIS ialah


Profesor Pendidikan


Universiti Islam Antarabangsa Malaysia


(UIAM).



Sumber


p/s :


Merdeka negara dari penjajah,

Pemerintahnya adil dan saksama,

Jom kita menggenggam amanah,

Menjaga negara menjunjung agama.












No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...