Sahabat Maya :

Saturday, March 10, 2012

Pemantauan, pengawasan jamin keberhasilan kualiti







Pemantauan, pengawasan

jamin keberhasilan kualiti




Oleh Sharifah Haayati




Proses menguat kuasa elak
kesilapan berterusan, pastikan amanah tidak terabai







SETIAP hari, kita melakukan pelbagai urusan
termasuk urusan kerjaya dan rumah tangga.
Namun, kadangkala urusan itu
belum tentu berhasil jika tanpa pemantauan atau pengawasan
berterusan selain menerusi izin Allah SWT.







Lihat saja kepada peranan ibu bapa di rumah.
Mendidik, mengasuh, memberi segala bentuk kasih sayang
belum tentu dapat melahirkan anak yang salih dan berjaya
jika kita tidak mengikuti, memantau atau mengawasi
perkembangan mereka secara dekat dan rapat.







Tugas memantau, mengawasi, mengawal,
memeriksa dan menguatkuasa bukan untuk mencari salah
tapi mengelak kesalahan atau kesilapan berterusan,
memastikan prosedur dipatuhi






Sehinggalah kita mengenali
perwatakan anak yang berbeza
walaupun seibu dan sebapa.
Ada anak rajin belajar tanpa perlu disuruh
tetapi apabila dipantau, cara belajarnya kurang berkesan.
Ada pula anak perlu sentiasa diingatkan atau disuruh
untuk mengulang kaji pelajaran tetapi apabila melakukannya
dia bersungguh-sungguh.








Ada yang sering lewat
menghantar atau menyiapkan kerja sekolah dan ada pula
asyik hilang saja alat tulis yang dibawanya.
Macam-macam lagi keadaan
yang semua boleh diketahui apabila ibu bapa
memantau hal anak mereka.








Seringkali aspek pemantauan ini
dilupakan sehinggalah
berlaku keadaan tidak disangka
oleh ibu bapa kerana mereka anggap
sudah bermacam-macam usaha dilakukan.
Justeru, memantau atau mengawasi
perkembangan anak juga adalah
sebahagian daripada
tanggungjawab serta bukti kasih sayang
dan sifat ambil berat ibu bapa.








Samalah keadaan
dalam urusan kerja seharian
yang memerlukan pemantauan berterusan.
Hampir setiap hari
pelbagai isu akibat kegagalan pemantauan,
pengawasan dan pemeriksaan pelbagai pihak
dipaparkan dalam media.








Proses kerja tidak akan lengkap dan berhasil
dengan kualiti walaupun selepas dirancang, disusun atur,
dilaksana jika dibiarkan tanpa pemantauan berterusan.









Tugas memantau, mengawasi, mengawal,
memeriksa dan menguat kuasa bukan untuk
mencari salah tapi mengelakkan
kesalahan atau kesilapan berterusan, memastikan prosedur dipatuhi,
keutamaan didahulukan dalam pelaksanaan, meningkatkan kewibawaan, profesionalisme, menyelaras tugasan, mengelak pembaziran sumber,
mengelakkan pertambahan kos disebabkan kelewatan serta menilai
pencapaian projek semasa berbanding apa yang dirancangkan.









Justeru, Islam amat menekankan aspek pemantauan
bagi menguatkuasakan amalan berteraskan ajarannya
serta untuk mengelakkan berlakunya keburukan melalui konsep kerja
yang dinamakan al-hisbah.








Firman Allah SWT dalam Surah al-Imran ayat 110 bermaksud:










“Kamu (wahai umat Muhammad)

adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan

bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu

menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang

daripada segala perkara yang buruk dan keji.”









Al-Mawardi dalam al-Ahkam al-Sultaniyyah menyatakan,
ayat itu bermaksud menggesa kepada perbuatan baik dan mencegah
keburukan daripada berlaku dan termasuk dalam tanggungjawab agama
serta perlu diinstitusikan sebagai agensi atau badan penguatkuasaan
bagi menjamin keberkesanannya.









Ibn Khaldun dalam Muqaddimah juga menegaskan
kepentingannya terutama kepada mereka yang gagal
dalam mematuhi peraturan undang-undang.
Pelbagai unit, agensi, badan penguatkuasaan, pemantauan dan audit
juga ditubuhkan secara khas dalam pelbagai kementerian dan institusi
di negara ini bagi tujuan itu.









Pemantauan dilaksanakan sejak zaman Rasulullah
yang sering meninjau peniaga di pasar supaya tidak menipu
dalam perniagaan mereka dan gemar mencari golongan miskin untuk dibantu.








Rasulullah bersabda yang bermaksud:








“Bantulah aku mencari orang miskin di antara kamu,

kerana kamu dilimpahi rezeki dan diberi kemenangan

semata-mata berkat orang miskin di antara kamu”.



(Riwayat Abu Daud & al-Nasaie)









Bahkan Saidina Umar al-Khattab juga sering berjalan malam
untuk meninjau keadaan masyarakatnya. Daripada amalan inilah
Saidina Umar mengetahui perbualan antara seorang ibu
yang menyuruh anak perempuannya mencampurkan susu
dengan air bagi menambah pendapatan mereka seperti dikisahkan
oleh al-Baihaqi dan pengembala haiwan yang enggan menjual haiwan
yang dijaga kepada Saidina Umar kerana takut perbuatannya dilihat
oleh Allah SWT.









Gambaran sifat ihsan mereka diketahui melalui
pemantauan secara langsung oleh khalifah Saidina Umar.
Malah, zakat juga dapat diagihkan dengan berkesan
pada zaman ini kerana adanya
pemantauan dan pengawasan teliti.









Firman Allah SWT dalam surah al-Hasyr ayat 18-19 bermaksud:







“Wahai orang-orang yang beriman!

Bertakwalah kepada Allah

(dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya),

Dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan

apa yang disediakan (dari amalan-amalannya)

untuk hati esok (hari akhirat). Dan bertakwalah kepada Allah,

sesungguhnya Allah Amat meliputi pengetahuan-Nya

akan segala yang kamu kerjakan”.








Dalam pengurusan kerja,
pemantauan boleh dibuat dengan beberapa cara
iaitu penyediaan penjadualan kerja termasuklah sumber tenaga,
aliran kewangan dan tempoh, penentuan aliran proses kerja,
penyediaan terma rujukan, penyediaan petunjuk pencapaian,
pengauditan dan penyediaan laporan.








Hasil pemantauan, pengawasan diperoleh melalui mesyuarat.
Laporan status projek, minit mesyuarat, laporan berkala dan tahunan
serta maklum balas pelanggan.









Justeru, bagi memastikan penghasilan kerja berkualiti,
janganlah kita abaikan aspek pemantauan kerana ia juga
adalah sebahagian daripada amanah dan proses dalam tanggungjawab kerja.
Setiap proses tindakan untuk memastikan keberhasilan atau output
yang berkualiti itu pula tidak akan sia-sia.













1 comment:

  1. Assalamualaikum.

    Salam kenal dan terima kasih singgah di blog saya.

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...