Photobucket

Sahabat Maya :

Thursday, December 22, 2011

SULTAN Ibrahim bertemu mangsa banjir



Jangan main air: Sultan Ibrahim

SULTAN  Ibrahim   bertemu mangsa banjir,  Siti Hawa Tamim, 23, yang memangku  bayinya berusia sebulan, Mohd Alfatih Zarif Mohd Riduan  di pusat pemindahan di Sekolah Agama Sri Kampung Tengah 1, Kampung Tengah, Kluang, Johor.

SULTAN Ibrahim bertemu
mangsa banjir, Siti Hawa Tamim, 23,
yang memangku bayinya berusia sebulan,
Mohd Alfatih Zarif Mohd Riduan di pusat pemindahan
di Sekolah Agama Sri Kampung Tengah 1,
Kampung Tengah, Kluang, Johor.



Sultan Johor habiskan masa 45 minit melawat mangsa banjir




KLUANG: “Jangan main air,” titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, secara ringkas, sebagai pesanan kepada semua penduduk kawasan terjejas banjir di negeri ini ketika mencemar duli melawat pusat pemindahan banjir sementara di Sekolah Agama Sri Kampung Tengah 1 di sini, semalam.



Sultan Ibrahim bertitah demikian sebagai ingatan kepada penduduk di kawasan terjejas banjir supaya sentiasa mengutamakan keselamatan diri dan nyawa ahli keluarga masing-masing.



Baginda yang tiba kira-kira jam 1.50 petang di pusat pemindahan banjir itu, mengenepikan protokol yang diatur apabila bergegas menemui mangsa banjir di situ sejurus turun daripada kenderaan.



Sultan Ibrahim menghabiskan masa kira-kira 45 minit untuk bersalaman serta beramah mesra dengan 685 mangsa banjir daripada 179 keluarga di pusat pemindahan berkenaan. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr Robia Kosai.



Terdahulu, baginda yang sempat meluangkan masa melawat seramai 330 mangsa banjir yang berlindung di Sekolah Kebangsaan Sri Kenchana, Machap.



Sementara itu, Pegawai Daerah Kluang, Abdul Karim Abu Bakar, ketika ditemui selepas lawatan diraja itu, menasihatkan mangsa banjir daerah ini tidak pulang ke rumah masing-masing walaupun banjir mulai surut berikutan cuaca baik semalam.
“Dalam keadaan cuaca tidak menentu sekarang, mangsa banjir dinasihatkan supaya tinggal dulu di pusat pemindahan sementara sehingga Jumaat ini sebelum pihak berkuasa memberi kebenaran untuk pulang ke rumah masing-masing.



“Dikhuatiri air banjir naik semula sekali gus membahayakan penduduk kerana hujan lebat dijangka berlaku dalam masa terdekat ini.



"Saya berharap mangsa banjir mematuhi nasihat Sultan Johor yang mahu mereka supaya lebih mengutamakan keselamatan ahli keluarga melebihi segala-galanya," katanya.



Abdul Karim berkata, paras Sungai Kahang terus mencatatkan peningkatan menyebabkan jalan masuk ke beberapa perkampungan Orang Asli masih ditutup kerana tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan kecuali bot penyelamat.



“Bantuan serta bekalan makanan kepada masyarakat Orang Asli yang berlindung di beberapa penempatan pinggir daerah ini yang terputus hubungan sudah dihantar sejak lewat petang semalam (kelmarin) dan masih diteruskan hari ini (semalam),” katanya.



“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menghantar bekalan makanan untuk seminggu bagi mengelakkan sebarang kesulitan dan kemungkinan air terus naik di kawasan itu,” katanya.



Sementara itu, sehingga jam 10 malam tadi, hanya tinggal 902 orang daripada 218 keluarga yang masih ditempatkan di 14 pusat pemindahan banjir di Johor.
Cuaca baik sejak kelmarin membolehkan air surut bagi membenarkan mangsa banjir balik ke rumah masing-masing.



Menurut laporan portal banjir Majlis Keselamatan Negara, jumlah pusat pemindahan yang masih dibuka ialah empat di Kluang dengan 469 mangsa, empat di Segamat (173 mangsa); lima di Batu Pahat (224 mangsa) dan sebuah pusat pemindahan di Pontian (36 mangsa).



Kawasan yang masih dilanda banjir ialah di Kampung Isnin Maarof, Kampung Sungai Linau, Parit Haji Hassan, Parit Seri Paya dan Kampung Contoh di Kluang serta Kampung Batu Badak, Kampung Pogoh, Kampung Paya Dalam dan Kampung Spangloi di Segamat.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...