Menghadapi cabaran  2012
 
 BEBERAPA hari lagi kita semua akan menyambut tahun baru masehi 2012.  Masa terus berlalu dengan pantas dan jika kita tidak bersedia atau tidak  membuat tindakan bijak kita akan terus tertinggal malahan cabaran baru  kian menghimpit kita.
 Menyedari perkara itu, Islam telah menyarankan agar umatnya sentiasa  peka dan bersedia untuk menghadapi cabaran masa depan bagi memastikan  kehidupan umat dan Islam terus terjamin.
 Pada hari ini pihak kepimpinan negara telah menyarankan agar kita  melakukan transformasi bagi memastikan kejayaan dapat dicapai dalam  aspek ekonomi, politik dan sosial dan juga memperbaiki keadaan negara  dan rakyat seluruh agar lebih baik dan sempurna.
 Dalam Islam transformasi disebut sebagai islah. Ia bermaksud  perubahan ke arah kehidupan atau keadaan yang lebih baik. Proses islah  atau transformasi pada asasnya terdapat dua aspek yang perlu dilihat  iaitu al-islah al-insan (transformasi kehidupan manusia) dan al-islah al-manhaj (transformasi sistem kehidupan manusia).
 Dalam transformasi kehidupan insan, Islam telah menetapkan manusia  sebagai alat yang dapat mengubah atau mencipta sesuatu perubahan. Oleh  yang demikian segala bentuk perubahan atau pembaikan adalah bertujuan  membina kualiti kemanusiaan.
 Kitab suci al-Quran yang mengandungi pelbagai aspek pengajaran yang  menyentuh aspek akidah, hukum-hakam, akhlak, sirah dan juga sains dan  teknologi. Kesemua aspek tersebut disebut oleh Allah SWT sebagai satu  petunjuk kepada manusia untuk mencapai perubahan atau membina peradaban  kemanusiaan.
 Ini jelas seperti firman Allah yang bermaksud:
Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa
 yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka
 mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.
(ar-Ra'd: 11)
 Perubahan diri (taghir al-anfus) atau disebut sebagai self reform dapat dilakukan dengan wujudnya kesedaran dalam diri seseorang untuk melakukan perubahan.
 Ini disebut sebagai self introspection atau muhasabah diri dan  selanjutnya disusuli dengan tindakan untuk membangun semangat ke arah  kebaikan dan juga pembaikan diri.
 Muhasabah diri merupakan suatu tuntutan yang penting pada hari ini kerana kehidupan yang kian mencabar dari pelbagai aspek.
 Amat sedih kerana ramai di kalangan umat Islam pada hari ini hanya  sibuk melemparkan pelbagai tuduhan dan sering mencari kesalahan orang  lain sehingga tidak mampu dan gagal menemukan faktor-faktor kelemahan  diri sendiri.
 Oleh yang demikian, kita perlu mengingati apa yang telah disebut oleh  Khalifah Umar al-Khattab yang telah mengingatkan: "hitunglah diri kamu  sebelum kamu dihitung."
 Walaupun ramai yang mentafsirkan peringatan tersebut merujuk kepada  persiapan kematian, tetapi kepentingan untuk bermuhasabah dalam pelbagai  aspek kehidupan perlu kita lihat dalam konteks yang lebih luas.
 Untuk itu kita perlu bermuhasabah dan tindakan tersebut perlu  dimulakan oleh diri kita sendiri seperti mana saranan Rasulullah SAW  yang menyebut ibda' binafsika (mulakan daripada diri kamu sendiri).
 Perlu kita sedari bahawa umat Islam tidak akan terjatuh atau  terperosok ke lembah kehinaan jika seluruh umat Islam mengamalkan dan  memegang teguh ajaran Islam. Pelbagai cabaran dan kehinaan akan menimpa  umat jika umat Islam gagal untuk mengambil ajaran Allah sebagai petunjuk  dan panduan kehidupan.
 Berdasarkan keadaan tersebut, beberapa tindakan memperbaiki diri dan  membetulkan keadaan umat perlu dilakukan. Keadaan ini perlu dimulakan  dengan membetulkan dari aspek visi keislaman yang jelas, akidah yang  murni, ibadah yang kukuh dan disertai dengan ilmu serta sifat ikhlas  yang mantap.
 Jika ini dapat dilakukan ia akan melahirkan akhlak yang baik dan semangat penyebaran syiar Islam yang menyeluruh.
 Proses yang disebutkan di atas akan memacu setiap insan Muslim ke  arah yang lebih baik dan melakukan perubahan diri. Perlu kita sedari  bahawa seorang Muslim yang baik, tidak akan pernah dalam dirinya  bersifat statik dalam melakukan perubahan dalam diri.
 Pada asasnya kehidupan hari ini perlu lebih baik daripada semalam dan  kehidupan hari esok perlu lebih baik daripada hari ini. Jika berlaku  keadaan yang statik atau jumud, ini bererti berlaku kemunduran dan jika  tidak dibaiki, keadaan akan menjadi bertambah buruk dan akan menuju  kehancuran atau kebinasaan.
 Perkara ini perlu disedarkan kepada seluruh umat dan kesedaran  fahaman wasatiah atau ummatan wasatan perlu digerakkan bagi mencapai  ciri-ciri umat yang terbaik (khaira ummah).
 Jika kesedaran ini dapat digerakkan dan dapat dicapai sudah pasti  umat Islam akan dapat menjadi pemimpin dunia bukan sahaja dalam  penguasaan politik tetapi juga dalam segala aspek kehidupan manusia  seluruhnya kerana umat Islam pernah menjadi pemimpin dunia dalam bidang  sains, teknologi, ekonomi, politik dan juga peradaban secara umumnya.
 Al-Islah al-manhaj
  
 Untuk al-islah al-manhaj iaitu transformasi sistem kehidupan  manusia berdasarkan fikrah manusia yang merupakan makhluk sosial yang  perlu kepada saling berkomunikasi dan berinteraksi di antara satu sama  lain.
 Dalam melakukan hubungan sosial atau interaksi, manusia memerlukan  peraturan atau sistem yang dapat mengatur kehidupan dengan lebih baik  dan sempurna.
 Sehubungan itu, Islam telah mengatur atau membentuk sistem kehidupan  manusia secara jamaie yang mampu membentuk sistem hidup manusia yang  sempurna.
 Ini semua terkandung dalam peraturan dan hukum-hakam yang terdapat  dalam ibadah, munakahat, muamalat dan juga jenayah. Selain itu, Islam  juga mementingkan aspek kepimpinan kerana manusia bukan makhluk haiwan  yang hidup tanpa ikatan peraturan dan norma-norma tertentu.
 Untuk itu, dalam hidup yang berperaturan dan bersistem, memerlukan  kepimpinan yang mampu mengurus manusia ke arah yang lebih baik.
 Ia tidak sekadar menumpukan kepada ibadah-ibadah khusus yang  berbentuk individu semata-mata tetapi ia perlu terus dimantapkan dengan  pengukuhan pelbagai aspek kehidupan dan peraturan Islam yang merangkumi  aspek ibadah khusus dan ibadah umum yang melibatkan kepentingan seluruh  umat.
 Sirah nabawi juga telah mencatatkan terdapat dua orang nabi yang  telah membawa syariat Islam dan diikuti oleh ramai umat manusia iaitu  Nabi Musa a.s dan Nabi Muhammad SAW.
 Kedua-dua pemimpin manusia utusan Allah itu tidak sahaja mengajak  manusia melakukan ibadah secara khusus seperti puasa, solat, zakat dan  zikir semata-mata tetapi kedua-dua utusan Allah itu mengajak manusia  melakukan ketaatan Allah berlandaskan sistem Islam yang dibawa oleh  mereka.
 Untuk itu, dalam usaha membina sistem kehidupan yang bertujuan untuk  membentuk manusia ke arah yang lebih sempurna dan berjaya, seluruh umat  Islam perlu melihat ibadah serta aspek kehidupan bermasyarakat dan  peraturan yang telah ditetapkan oleh Islam mampu membentuk masyarakat  melakukan perubahan secara menyeluruh dalam kehidupan bermasyarakat dan  bukan tidak mempercayainya atau meminggirkannya.
 Sesungguhnya transformasi atau islah dalam konteks Islam yang berteraskan dua aspek yang disebutkan iaitu al-Islah al-insan (transformasi kehidupan insan) dan al-Islah al-manhaj  (transformasi sistem kehidupan manusia) adalah saling berkait.  Kegagalan pada satu aspek akan memberi kesan kegagalan kepada aspek yang  satu lagi.
 Ia umpama benih dan juga tanah yang saling berkaitan dalam bidang  pertanian. Manusia seumpama benih yang perlu ditanam di tanah yang  sesuai dan sistem (manhaj) merupakan tanah yang subur perlu bagi pertumbuhan benih yang baik.
 Benih-benih yang baik tidak akan tumbuh pada tanah yang gersang atau  kering. Jika sebaliknya, walaupun tanahnya subur dan baik tetapi  benihnya tidak baik atau rosak, kita tidak boleh mengharapkan pokok akan  tumbuh dengan subur dan akan berbuah dengan lebat dan segar.
 Justeru, dalam menghadapi tahun baru 2012 kita perlu membina semangat  baru dan berazam menjadi individu yang bersedia melakukan perubahan  yang lebih baik dan berkesan serta menjadi insan yang berguna.
 Ia seperti mana peringatan Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 24-25.
Sumber