Photobucket

Sahabat Maya :

Sunday, February 5, 2012

Umat Islam berpegang kepada kebaikan dibawa Rasulullah



Kesederhanaan, keseimbangan hindar kemungkaran




Sifat wasatiyyah kunci umat Islam berpegang kepada kebaikan dibawa Rasulullah





SEDAR atau tidak, kita sudah pun berada semakin jauh daripada zaman Rasulullah SAW. Seribu empat ratus tiga puluh tiga tahun sudah berlalu sejak peristiwa Hijrah Rasulullah SAW ke kota suci Madinah. Dalam tempoh ini, umat Islam sudah mengecapi pelbagai kegemilangan, merasai pelbagai kesakitan dan tidak kurang juga menyaksikan begitu banyak penyelewengan.








Fenomena ini menghasilkan tiga aliran utama, iaitu satu aliran asal dan dua aliran baru, hasil daripada tindak balas. Aliran asal itu ialah aliran Wasat iaitu yang menepati kebaikan dan keadilan, manakala dua aliran baru itu pula ialah Ifrat iaitu berlebihan dan aliran Tafrit iaitu pengabaian.







Al-Imam Ibnu al-Qayyim berkata dalam kitabnya Madarij al-Salikin (jil. 2/ hlm. 108): “Sebahagian ulama salaf berkata:






“Apa yang diperintahkan oleh Allah,

pasti syaitan akan mengganggu dengan dua tarikan;

sama ada ke arah pengabaian ataupun ke arah berlebihan.

Syaitan menganggap mana-mana daripada dua perkara ini

sebagai kejayaan, iaitu pertambahan atau pengurangan.”






Kesucian dakwah Rasulullah SAW ialah berlandaskan Basirah iaitu hujah yang nyata. Hakikat ini digambarkan oleh Allah dalam pelbagai ayat di dalam al-Quran. Antara lain ialah firman Allah dalam Surah Yusuf 12:108) yang bermaksud:






“Katakanlah:

Inilah jalan (agama)ku,

aku dan orang yang mengikutiku

mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujah yang nyata.

Maha Suci Allah, dan aku

tiada termasuk orang yang musyrik.”









Pada saat manusia berada dalam kesempitan minda dan kehilangan fakta sehingga menyembah sesama makhluk, Rasulullah SAW menyelamatkan mereka dengan membawa mereka kepada kebaikan dan keadilan iaitu menyembah Tuhan segala makhluk. Ketika manusia memandang rendah kepada wanita dan memperhambakan mereka, Baginda menyelamatkan mereka dengan membawa mereka kepada kebaikan dan keadilan iaitu memberi hak yang tinggi kepada wanita yang menjamin kelangsungan umat manusia. Wahyu daripada Allah telah menjadikan dakwah Rasulullah SAW gemilang.






Kebaikan dan keadilan inilah yang dinyatakan oleh Allah, antara lain dalam ayat berikut (Al-Baqarah 2:143) yang bermaksud:





“Dan demikianlah (pula) Kami

telah menjadikan kamu (umat Islam),

umat yang adil lagi pilihan agar kamu menjadi saksi

atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad)

menjadi saksi atas (perbuatan) kamu.”







Begitulah umat Islam ini disifatkan dengan sifat wasatiyyah yang membawa maksud al-Khairiyyah iaitu kebaikan dan al-‘adalah iaitu keadilan serta al-tawassut bayn al-Ifrat wa al-Tafrit iaitu pertengahan antara melampau dalam berlebihan dan melampau dalam berkurangan seperti yang dirumuskan oleh Dr Muhammad Ba Karim dalam kitabnya Wasatiyyah Ahlis Sunnah. Inilah juga yang ditekankan oleh al-Imam Ibn al-Qayyim dalam kitabnya Madarij al-Salikin (jilid 2/ hlm. 496), seperti yang dinukilkan Perdana Menteri beberapa minggu lalu bahawa “wasatiyyah iaitu kesederhanaan atau keseimbangan bermakna tidak terlalu berlembut dan tidak terlalu ekstrem adalah seperti sebuah oasis di antara dua gunung.”






Umat Islam yang bersifat wasatiyyah ialah umat yang berpegang kuat kepada kebaikan yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Perkara ini juga dijelaskan oleh Allah dalam firman-Nya (Ali Imran 3:110) yang bermaksud:






“Kamu (wahai umat Muhammad)

adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan

bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh

berbuat segala perkara yang baik dan melarang

daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji),

serta kamu pula beriman kepada Allah

(dengan sebenar-benar iman).”








Ayat ini menunjukkan bahawa kebaikan yang ada pada umat yang sederhana ini ialah apabila adanya perintah kepada kebaikan dan larangan daripada kemungkaran. Ini adalah satu amanah iaitu mengajak kepada makruf iaitu perkara baik yang diketahui oleh Rasulullah SAW dan sahabat. Seterusnya menghindari daripada mungkar iaitu perkara buruk yang bukan menjadi kebiasaan Baginda SAW dan sahabat dalam urusan agama.





Wasatiyyah memerlukan keikhlasan.
Wasatiyyah juga menuntut agar umat Islam menepati kebenaran
yang dijunjung oleh Rasulullah SAW dan sahabat. Rasulullah SAW telah menyatakan perkara ini dengan sabdanya yang bermaksud:







“Kumpulan yang unggul ialah

yang menepati peganganku dan pegangan sahabatku”


(Hadis riwayat al-Tirmizi (no. 2641) dan
dihukum Hasan oleh al-Albani).







Kebenaran yang dijunjung dan diamalkan ini mestilah disampaikan
walaupun pahit, sesuai dengan perintah Rasulullah SAW yang bermaksud:







“Ucaplah yang benar walaupun pahit”




(Hadis riwayat al-Baihaqi dalam al-Targhib wa al-Tarhib
(no. 2233) dan dihukum Sahih Li Ghairih oleh al-Albani).







Justeru, Wasatiyyah bukanlah menyesuaikan Islam dengan suasana, sebaliknya menyesuaikan suasana dengan Islam.







Sifat wasatiyyah inilah yang menjadikan umat Nabi Muhammad SAW dipanggil menjadi saksi terhadap sengketa antara Rasul dan umat mereka di hadapan Allah kelak. Di dalam sebuah hadid, apabila umat Islam ditanya:







“Apa hujah kamu bagi kenyataan itu?”





Mereka menjawab:





“Nabi kami datang kepada kami dan memberitahu bahawa semua rasul telah menyampaikan wahyu, lalu kami membenarkannya.”









Maka itulah firman Allah yang bermaksud:








“Dan demikianlah (pula)

Kami telah menjadikan kamu (umat Islam),

umat yang adil lagi pilihan agar kamu menjadi saksi

atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad)

menjadi saksi atas (perbuatan) kamu.”




(Hadid direkod oleh al-Suyuti dalam al-Jami‘ al-Saghir
dan dihukum Sahih oleh al-Albani
dalam Sahih al-Jami‘ al-Saghir (no 8033).






Penulis ialah Pengerusi Sekretariat Ulama Muda UMNO (ILMU)








Teruskan membaca..

Tekad azam contohi kehidupan Rasulullah





Tekad azam contohi kehidupan Rasulullah



NABI Muhammad SAW diutuskan Allah menyebarkan Islam kepada seluruh manusia dan menjadi pemimpin contoh untuk diikuti sepanjang zaman. Seluruh cendekiawan, ahli agama, pemikir dan pemimpin, sama ada beragama Islam atau kafir mengakui Nabi Muhammad sebagai “The Saviour of Humanity” atau Penyelamat Manusia Sejagat.








Baginda juga digelar pemimpin agung sepanjang zaman dan paling sempurna akhlak.
Memang tepat jika Rasulullah dijadikan contoh dan idola untuk diikuti dalam segenap segi cara kehidupan baginda. Sesungguhnya tidak ada sifat buruk pada diri baginda untuk dijadikan bahan momokan atau cacian oleh musuh-musuh Islam.






Dalam kalangan orientalis, mereka cuba mengkaji dan mencari sunnah Rasulullah yang boleh dikaitkan sebagai sikap buruk dan bukti Rasulullah hanya manusia biasa sama seperti orang lain. Antara sunnah yang dilambangkan tidak baik ialah poligami dan perkahwinan Rasulullah dengan Siti Aisyah. Baginda dilambangkan sebagai kuat seks atau gila seks.






Jika kita mengkaji sirah, tentunya kita faham mengapa Rasulullah berkahwin lebih daripada seorang dan mengahwini Siti Aisyah ketika masih berusia kanak-kanak. Rasulullah bukan gila seks dan tidak sekali-kali menjadikan kedudukan dan kuasa untuk memiliki banyak isteri. Tindakan Kelab Taat Suami menganjurkan forum Rasulullah Tokoh Seks Suci Islam sempena Maulidur Rasul boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan bukan Islam dan penganut Islam sendiri yang tidak betul-betul mendalami sirah.








Selama ini pun, suami yang ingin berpoligami sering mengatakan ia sunnah Rasulullah, sedangkan dalam hal lain tidak pula mengikut apa yang dilakukan baginda.
Perkara ini tentu sekali akan digunakan pula oleh orientalis untuk menyokong dakwaan mereka selama ini. Sepatutnya, sempena Maulidur Rasul ini perkara lain yang dibincangkan atau ditonjolkan.









Banyak sumbangan besar lain patut dijadikan topik perbincangan dan dicontohi yang mana baginda berjaya membentuk masyarakat sempurna dan syumul yang tidak ada batasan geografi dan zaman.
Tidak ada individu lain mampu mencapai status seperti mana dicapai Nabi Muhammad SAW.







Lihatlah hasil dakwah Nabi Muhammad yang berjaya membawa perubahan besar peradaban manusia. Risalah yang dibawa Nabi Muhammad membawa pakej sempurna kepada kehidupan manusia dan tidak setakat berkaitan tauhid kepercayaan kepada Allah semata-mata.
Rasulullah sudah berjaya merubah kehidupan manusia secara rohani, fizikal dan intelektual yang mencetus revolusi perubahan membawa manusia dari dunia kegelapan kepada cahaya kebenaran. Kesempurnaan akhlak, kepimpinan dan ajaran yang dibawa Nabi Muhammad dijadikan ikutan bagi sesiapa mengharapkan kesejahteraan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.









Baginda memiliki peribadi mulia sehingga digelar al-Amin oleh masyarakat Makkah, yakni lambang kebenaran dan kesempurnaan pekerti.
Nabi Muhammad mengajar manusia mengenai ketuhanan, kebenaran, keadilan dan kebahagiaan hidup. Baginda menunjukkan cara hubungan manusia dengan Allah, manusia dengan manusia dan manusia dengan alam. Setiap ajaran dan amalan Nabi Muhammad adalah sunnah yang perlu diterapkan dalam kehidupan setiap insan untuk mencapai kejayaan hidup di dunia dan akhirat. Untuk memastikan iman sentiasa kuat dan sempurna, hendaklah sentiasa tertanam perasaan mencintai Nabi Muhammad sepenuh hati.









Sabda Rasulullah bermaksud:







“Tidaklah beriman seseorang kamu

sehingga aku lebih dicintainya daripada anaknya,

ibu bapanya dan manusia seluruhnya.”







(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Kasih sayang terhadap Nabi Muhammad tidak cukup sekadar ucapan di bibir atau mengadakan sesuatu secara ritual berkaitan baginda. Kasih sayang memerlukan pembuktian berupa amalan seperti yang diperintahkan oleh Allah dan Rasulullah. Kita perlu penuh yakin bahawa apa yang dilakukan Nabi Muhammad ada yang contoh ikutan terbaik. Sesiapa mengikut sunnah Rasulullah mendapat jaminan beroleh kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.







Kita hari ini tidak hidup bersama-sama Nabi Muhammad. Apa yang ditinggalkan sebagai pedoman hidup adalah al-Quran dan sunnah. Sesiapa mencontohi kedua-duanya, samalah seperti hidup pada zaman Rasulullah. Fahaman yang menolak sunnah dalam mentafsir kehendak agama membawa kepada kesesatan.








Ditambah pula dengan keadaan umat Islam yang dirosakkan oleh fahaman bidaah, khurafat, syirik, rosak akhlak dan aliran liberal.
Nabi Muhammad mengingatkan agar umatnya terus berpegang kepada sunnah biarpun berdepan halangan. Mempertahankan sunnah satu tanggungjawab yang berat.





















Teruskan membaca..

Persefahaman Asas Perpaduan Ummah







Tema Sambutan Maulidur Rasul 1433H / 2012M




" Persefahaman Asas Perpaduan Ummah "








Sabda Nabi S.A.W :















" Tiadalah dua hamba yang saling cinta-mencintai






kerana ALLAH yang berjumpa salah seorang yang lain






lalu berjabat tangan (bersalam) dan berselawat






kepada Nabi S.A.W melainkan ALLAH mengampuni






dosanya sebelum mereka berpisah, baik yang telah






lalu ataupun yang akan datang . "














- Hadis Riwayat Ibnu Sunni -













Sabda Nabi S.A.W :







" Dari Abu Hurairah r.a... berkata :






Rasulullah S.A.W bersabda :





Janganlah kamu jadikan kuburku sebagai tempat perayaan






dan berselawatlah kepadaku, maka sesungguhnya






bacaan selawatmu itu akan sampai kepadaku






di mana sahaja kamu berada. "








-Hadis Riwayat Abu Daud-




































Teruskan membaca..

Saturday, February 4, 2012

14 sekolah lagi dapat taraf SBT



14 sekolah lagi dapat taraf SBT






MUHYIDDIN bergambar bersama pengetua, guru besar dan pelajar serta murid Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) selepas menyampaikan watikah pengiktirafan SBT di Auditorium Kementerian Pelajaran di Putrajaya, semalam.

MUHYIDDIN bergambar bersama pengetua,
guru besar dan pelajar serta murid Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT)
selepas menyampaikan watikah pengiktirafan SBT
di Auditorium Kementerian Pelajaran di Putrajaya, semalam.








Perisytiharan angkat mutu pendidikan, beri autonomi laksana inovasi pengurusan









PUTRAJAYA: Sebanyak 14 sekolah lagi, iaitu 10 sekolah rendah dan empat sekolah menengah, diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) tahun ini menjadikan jumlah keseluruhan SBT sehingga ini ialah 66.






Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pencapaian itu meletakkan Malaysia di landasan yang sepatutnya supaya negara setanding dengan pendidikan di negara maju, selaras wawasan kerajaan mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.






Beliau, yang juga Menteri Pelajaran, menjangkakan selepas fasa penilaian semula dan hala tuju sistem pendidikan negara dimuktamadkan, tanggungjawab kecemerlangan yang dipikul warga SBT akan lebih mencabar.






"Perisytiharan sebagai SBT ini bertujuan mengangkat mutu sekolah terbaik menerusi peningkatan pencapaian institusi pendidikan dengan memberi lebih autonomi dan tanggungjawab serta membenarkan sekolah melaksanakan inovasi dalam pengurusan masing-masing.






"Ini mampu menghasilkan pelajar holistik yang cemerlang dan bertaraf antarabangsa selain menjadi personaliti unggul dalam semua bidang.





"Seterusnya, kita mahu SBT memainkan peranan sebagai sumber inspirasi dan rujukan kepada sekolah lain, sekali gus merapatkan jurang antara mereka menerusi jaringan dan bimbingan dalam kalangan sesama sendiri," katanya ketika berucap pada Majlis Pengiktirafan SBT Kohort 3 bagi tahun 2012, di sini semalam.






Sebelum ini, 20 sekolah diumumkan sebagai SBT bagi Kohort 1/2010 manakala 23 sekolah lagi disenaraikan dalam Kohort 2/2011 disusuli sembilan lagi sekolah yang diumumkan sebagai tambahan kepada senarai SBT Kohort 2/2011.





Sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Infant Jesus, SK (P) Sultan Ibrahim, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Foon Yew 2, Sekolah Menengah Sains (SMS) Johor dan SMS Kota Tinggi di Johor serta SK Ibrahim, SJKC Keat Hwa (H) dan SMS Sultan Mohamad Jiwa di Kedah.





Sekolah lain termasuk SK Minden Heights dan SJKC Kwang Hwa di Pulau Pinang; SK Sultan Sulaiman 1 dan SK Tengku Mahmud di Terengganu; SK Assunta Convent di Pahang serta SMS Tuanku Jaafar di Negeri Sembilan.





Setiap sekolah terbabit masing-masing menerima peruntukan RM700,000 sebagai insentif menambah baik kecemerlangan pada masa depan.





Muhyiddin berkata pengiktirafan SBT, yang juga sebahagian daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi Kementerian Pelajaran, bertujuan meningkatkan pencapaian pelajar secara keseluruhan dengan meningkatkan akses kepada pendidikan bermutu.













Teruskan membaca..

Thursday, February 2, 2012

Kesatuan guru bantah PTD isi jawatan penolong kanan





Kesatuan guru bantah PTD

isi jawatan penolong kanan






Menafikan peluang kenaikan pangkat cikgu







KESATUAN guru membantah klausa khas sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang membuka peluang kepada Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) membolot jawatan Penolong Kanan di sekolah menengah.
Jika PTD dibenarkan mengisi jawatan berkenaan, dikhuatiri sebanyak 2,282 jawatan Penolong Kanan pada Gred DG48 akan diisi PTD sekali gus menafikan peluang kenaikan pangkat guru.





Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) melihat kemasukan PTD khas untuk memegang jawatan Penolong Kanan (Pentadbiran) tidak akan menyelesaikan isu pengurusan sekolah yang dikatakan tidak profesional.




Pengerusi KGMMB Cawangan Terengganu, Abdullah Mamat, berkata ketika ini guru pada Gred DG44 yang dilantik sebagai Penolong Kanan (DG48) menguruskan hal ehwal kewangan (pentadbiran) dan juga akademik.




“Penolong Kanan sekarang menjaga dua bahagian pengurusan dan banyak tugas perlu diselesaikan hingga didakwa PTD sebagai tidak profesional.




“Jika PTD memasuki sekolah dengan hanya menjaga bahagian pentadbiran atau kewangan, guru pun boleh melakukan tugas ini kerana sekarang pun mereka sudah menjalankan dua tugas sekali gus.




“Lebih baik Kementerian Pelajaran membuka dua jawatan Penolong Kanan kepada guru, satu untuk pentadbiran dan satu lagi untuk akademik supaya pengurusan lebih kemas,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, baru-baru ini.




Sementara itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) meminta warga pendidikan bersifat terbuka dengan langkah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membuka jawatan di sekolah dan institusi lain di bawah Kementerian Pelajaran untuk pegawai daripada skim bukan pendidikan.




Presidennya, Hashim Adnan, berkata pelantikan pegawai bukan skim pendidikan bertujuan menggunakan kepakaran mereka bagi penambahbaikan sistem penyampaian di sekolah dan institusi lain seperti institut pendidikan guru atau Pejabat Pelajaran Daerah.




Beliau berkata, ketika ini, PTD sudah diterima di peringkat Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dengan memegang jawatan Ketua Sektor (Pengurusan).




“Ini strategi lautan biru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memaksimumkan kepakaran pegawai jabatan lain dengan diminta bertugas di jabatan baru yang bukan secara tradisinya tempat mereka bertugas.




“Pada masa sama, kita berharap pegawai kanan Kementerian Pelajaran daripada skim pendidikan (DG) juga diterima bertugas di kementerian lain jika ada keperluan berbuat demikian,” katanya.




Namun, Hashim berkata, PTD yang sudah ditempatkan di JPN atau Kementerian Pelajaran perlu membuktikan mereka mahu memudahkan urusan guru, bukan sebaliknya.




Beliau berkata, KPPK menerima banyak aduan daripada guru bahawa PTD di Bahagian Kewangan enggan meluluskan tuntutan guru yang bergerak ke luar daerah. Keengganan itu katanya dengan alasan guru berkenaan sepatutnya bertugas di dalam daerah penempatan masing-masing sedangkan guru berkenaan perlu menjalankan tugas rasmi.

Teruskan membaca..

Wednesday, February 1, 2012

Kaji punca kemerosotan pelajar sains sebelum beri elaun khas




Minda Pengarang:


Kaji punca kemerosotan pelajar sains

sebelum beri elaun khas


KEMEROSOTAN bilangan pelajar jurusan sains di institusi pengajian tinggi (IPT) bukan perkara baru. Permasalahan itu berpunca sejak di sekolah lagi dan ada tiga sebab utama mengapa masalah itu berlaku iaitu kurang minat, tanggapan subjek sains susah dan prospek kerjaya yang terhad. Apa yang membimbangkan ialah ketiga-tiga faktor yang berakar umbi sejak di sekolah menengah itu menyebabkan bilangan pelajar sains peringkat universiti turut merosot dengan ketara.









Sekiranya sekolah gagal membekalkan pelajar sains diperlukan, ia boleh menjejaskan matlamat kerajaan mencapai sasaran nisbah 60 peratus pelajar sains dan 40 sastera di universiti. Kekurangan graduan cemerlang dalam jurusan sains pula akan membantut matlamat kerajaan yang memerlukan modal insan berkepakaran dalam bidang berkenaan kerana merekalah penentu untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.








Bagi menangani masalah itu, cadangan dikemukakan Majlis Profesor Negara (MPN) kelmarin supaya kerajaan memberikan elaun bulanan sekurang-kurangnya RM200 setiap bulan kepada pelajar sains adalah antara opsyen yang boleh ditimbangkan tetapi kita berpendapat ia bukanlah jalan penyelesaian terbaik. Cadangan itu memerlukan kajian mendalam kerana ia bukan saja membabitkan peruntukan tinggi, malah kita khuatir ia boleh mencetuskan masalah lain di kalangan pelajar.







Apakah dengan pemberian wang kita mampu menarik minat dan kecenderungan pelajar untuk mengikuti jurusan sains? Kita bimbang langkah itu akan mewujudkan amalan diskriminasi di kalangan pelajar aliran sains dan sastera, terutama yang cemerlang.







Cadangan itu juga dibimbangi akan melahirkan generasi manja, lemah dan tidak mempunyai jati diri. Pemberian ganjaran kepada semua pelajar tanpa mengira cemerlang atau sebaliknya boleh dianggap merendahkan moral individu berkenaan walaupun niat asalnya baik iaitu sebagai dorongan supaya memilih bidang lebih mencabar.







Cadangan MPN itu berbeza dengan pemberian biasiswa kerana penerima biasiswa dipilih berdasarkan merit dan diberi kepada pelajar cemerlang serta berkelayakan. Sekiranya cadangan itu mahu dilaksanakan, suatu mekanisme perlu diwujudkan bagi menentukan kriteria pelajar yang layak seperti menggunakan sistem meritokrasi atau mewajibkan pelajar menduduki peperiksaan khas.






Apa pun, satu kajian menyeluruh perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kemerosotan pelajar sains. Jika pasaran kerjaya terhad menjadi punca, kerajaan harus mengambil langkah memastikan pelajar sains mendapat jaminan pekerjaan apabila tamat pengajian.
















Teruskan membaca..

Sunday, January 29, 2012

Bina keberanian dalam diri anak








Bina keberanian dalam diri anak






Oleh Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad




Anak-anak yang berjaya di sekolah sama ada dalam pelajaran atau ko kurikulum adalah mereka yang ada keberanian.





Berani mencapai kecemerlangan, bercakap di depan orang ramai, bergaul, bertanya apabila tidak faham, menjadi ketua, memegang jawatan, mewakili kelas atau sekolah.





Apabila anak-anak menunjukkan keberanian, mereka akan diberikan pelbagai peluang. Mereka yang aktif di alam persekolahan adalah kerana mereka berani untuk membabitkan diri dalam kelas serta program sekolah.







Keberanian membolehkan mereka mendapat pelbagai anugerah dan pengiktirafan. Ini membantu anak-anak di alam dewasa nanti.


Bayangkanlah, ketika anak orang lain boleh berdikari, anak kita hendak bertanya sesuatu pada cikgu pun masih minta orang lain temankan.






Ketika anak orang lain berani ikuti program perkemahan, anak kita enggan turut serta sebab tiada kawan.






Sebab itulah anak-anak perlu ditanam dengan sifat berani pada usia muda. Berani bukanlah sesuatu yang hadir ketika lahir sebaliknya bergantung kepada cara ibu bapa mendidik dan membesarkan anak-anak.






Kita tidak mahu anak-anak berani tidak bertempat lalu dia melawan dan biadap dengan guru, merempit dan menyertai lumba haram, mencuri atau bergaduh.






Berikut adalah beberapa tip boleh

dilakukan ibu bapa bagi menjadikan

anak-anak seorang yang berani:






1. Usah cepat membantu anak dalam pelbagai perkara.




Setiap ibu bapa sayangkan anak-anaknya tetapi usah jadikan rasa sayang sebagai alasan untuk cepat membantu mereka.






Bukanlah salah membantu anak-anak tetapi ada ketikanya anak-anak perlu mencuba dan melakukan kesilapan.






Daripada kesalahan dan kesilapan inilah mereka belajar. Ketika anak masih bayi, apabila dia mula pandai berjalan maka dia mula belajar naik tangga.






Biasanya ibu bapa akan terus dukung anaknya dan bawa naik ke tingkat atas sebab takut anak jatuh. Ibu bapa yang prihatin sebaliknya akan mengawasi dan membiarkan anak-anaknya menapak satu anak tangga ke anak tangga yang lain. Dari situ anak itu belajar.







2. Biarkan anak dimarahi guru apabila mereka melakukan kesalahan.






Ada ibu bapa yang sanggup menghantar buku latihan anaknya semula ke sekolah kerana bimbang anaknya dimarahi guru atau didenda.






Mungkin jika itu kesalahannya yang pertama, kita hulurkan bantuan dengan menghantar buku itu ke sekolah tetapi bagaimana jika masalah yang sama dilakukan si anak? Bermakna anak kita membentuk satu tabiat tidak bertanggung jawab.






Oleh itu, biarkan anak dimarahi dan didenda gurunya. Dari situ, dia belajar dan menjadi seorang yang berani menerima kesalahan dan berhadapan dengan risiko. Ibu bapa usah campur tangan.






3. Berikan anak-anak peluang bergaul.




Dunia internet hari ini meluaskan pergaulan anak-anak. Mereka boleh kenal sesiapa melalui laman sembang, facebook dan twitter.






Namun, pergaulan bentuk ini tidak sama seperti pergaulan secara langsung. Anak-anak tidak boleh dikurung di rumah dan dihalang daripada keluar bersosial. Biarlah anak berkawan asalkan kita tahu siapa rakannya, ibu bapa mereka, aktiviti yang dilakukan serta lokasi pertemuannya.






Pada masa sama lakukan pemantauan sebab kita tidak mahu anak-anak terbabit
dengan aktiviti tidak sihat.






4. Dedah anak-anak dengan aktiviti lasak.






Aktiviti lasak seperti ‘flying fox’, panjat dinding batu, berkuda, memanah dan berenang dapat meningkatkan keberanian dalam diri anak.






Bayangkan di barat ada aktiviti ‘bungee jumping’. Aktiviti ini memerlukan kaki kita diikat dan kemudian terjun dari satu kedudukan yang tinggi langsung ke bawah. Pasti menakutkan dan menggerunkan.






Tetapi, apabila selesai mencuba, pastilah keberanian diri meningkat. Sebenarnya banyak lagi aktitivi yang boleh dilakukan bagi menguji keberanian anak-anak. Misalnya adakah anak kita berani naik ‘roller coaster’ atau sentiasa mengelak.






Jadikanlah anak kita seorang yang lasak dan berani kerana ia penting dalam pembentukan jati diri mereka.







5. Bawa anak ke majlis orang dewasa.




Berikan anak-anak bergaul dengan orang tua atau mereka yang lebih dewasa daripada usianya.





Berikan dia ruang bertanya dan bercerita.






Pengalaman ini akan menjadikan dia seorang yang berani berdepan dengan orang ramai nanti.






Ada ibu bapa yang masih berpegang pada kepercayaan bahawa membawa anak-anak ke majlis orang tua sebagai kurang adab.






Kita tengoklah apa bentuk majlisnya itu. Memang ada yang tidak sesuai di bawa anak. Tetapi jika majlis menyambut bayi, hari lahir, kenduri atau perkahwinan, bawalah mereka.






6. Latih anak mengambil risiko.






Anak-anak perlu dilatih agar berani mengambil risiko. Ini bukan bermakna mereka melakukan sesuatu pekerjaan secara membuta tuli.






Ada bezanya melakukan kerja bahaya dengan kerja berisiko.






Memanjat pokok itu kerja berisiko tetapi jika bergayut di dahan tinggi tanpa sebarang langkah keselamatan, itu kerja berbahaya.






Begitu juga memberi peluang anak remaja belajar membawa motosikal itu kerja berisiko tetapi membiarkannya membawa motosikal tanpa memakai topi keledar dan memecut laju itu kerja berbahaya.






7. Bercakap secara positif.





Bagi menanamkan keberanian dalam diri anak, ibu bapa perlu bercakap secara positif dan sentiasa menunjukkan pada anak kita yakin serta percaya akan kebolehan dirinya.






Anak-anak juga perlu tahu dan sedar yang ibu bapanya bersedia menerima kekurangan, kesalahan dan kesilapan mereka dengan hati yang terbuka asalkan belajar sesuatu dari pengalaman itu.






Sifat terbuka ibu bapa penting bagi menjadikan anak-anaknya seorang yang berani mencuba dan bertindak.






Sebenarnya, sifat berani itu boleh dididik.






Dalam program Motivasi Alihan Pelajar, anak-anak dilatih berani tampil di pentas dan bercakap di khalayak ramai hinggakan ada ibu bapa yang menitiskan air mata terharu melihat perubahan anaknya.






Tetapi, ibu bapa perlu berkorban sedikit bagi memastikan anak-anaknya lebih berani selepas ini.






Dengan memasukkan anak-anak ke program Motivasi Alihan Pelajar, ibu bapa akan mendapati anak-anak mereka lebih bersedia berbanding pelajar lain.






Motivasi Alihan Pelajar adalah satu program motivasi yang wujud sejak 1995.






Program yang diadakan mampu membuka mata dan menggerakkan hati serta meningkatkan kemahuan anak-anak bagi mencapai kecemerlangan.






Hubungi 03-22734622/016-5580719 atau 05-3134622/016-5580619 atau layari laman web kami di www.laman-map.com untuk maklumat lanjut.












Sumber











Teruskan membaca..

Saintis Russia kesan makhluk jengking di Kejora


https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhrrIr7SFN1T2_Q3Zj_TB29m_Nan4of1ndOG_4aWR8CahHSO5Osn6S7ynJ1R7swALIDALH9P28NS0C47nYP0FAZy7Kx6X9I2T-vz_DqGXOsGiklhVSP2DObvpFH1x1h-xgaDFnl6bWO9c3y/s1600/Kalajengking.jpg


Saintis Russia

kesan makhluk jengking di Kejora



MOSCOW: Sekumpulan penyelidik di Russia mendakwa wujud hidupan di planet Kejora (Venus) selepas menganalisis gambar yang diambil satelit negara itu 30 tahun lalu.







Saintis di Institut Penyelidikan Angkasa Lepas, Akademi Sains Russia, Leonid Ksanfomaliti, berkata penelitian berulang kali ke atas imej yang diambil satelit Venus-13 pada 1982 menunjukkan sejenis makhluk berbentuk kala jengking dan ketam yang bergerak ketika dirakam.
“Makhluk itu ‘muncul, bergerak dan kemudian menghilang. Lupakan teori yang menyatakan bahawa tiada hidupan di Kejora kerana teori terbaru ialah Kejora dan Bumi kelihatan mempunyai persamaan,” katanya dalam laporan di jurnal Penyelidikan Saintifik Sistem Suria yang dipetik akhbar Daily Mail.






Suhu di planet Kejora sebelum ini dikatakan mencapai 464 darjah Celcius dan permukaannya sentiasa dipenuhi kabus tebal berasid akibat kesan gas rumah hijau di atmosfera.






Saintis di Universiti Teknologi California, Profesor Andrew Ingersoll, berkata teori baru ketika ini memang menunjukkan bahawa Bumi dan Kejora ada persamaan.
Beliau berkata ada kemungkinan banyak air di Kejora dan ada banyak karbon dioksida di Bumi.






Suatu masa dulu mungkin pernah wujud lautan di Kejora, tetapi saintis percaya tiada cecair di planet itu selama hampir dua bilion tahun.






Bagaimanapun, Ksanfomaliti berkata kemungkinan wujud hidupan di planet itu masih tidak boleh dinafikan.






Sementara itu, beberapa pihak berpendapat, kenyataan Ksanfomaliti memerlukan banyak lagi penyelidikan lanjut berikutan wujud beberapa keraguan.






Seorang profesor di Universiti Arizona berpendapat imej bergerak diambil satelit Venus-13 mungkin tidak menunjukkan adanya hidupan di Kejora.
“Ia mungkin hanya komponen mekanikal,” katanya.






Agensi Penyelidikan Angkasa Lepas Amerika (NASA) pula berpendapat, imej bergerak itu besar kemungkinan adalah lensa kamera yang tertanggal dan jatuh di permukaan Kejora.






“Kita perlu kajian lanjut,” kata seorang pegawai agensi itu. - Agensi







Teruskan membaca..

Mengimbangi kerjaya dan kehidupan



Stres jejaskan produktiviti

Menjalankan tugas harian di pejabat banyak memerlukan kesabaran kerana tidak semuanya akan berjalan lancar seperti yang dirancang. Adakalanya sesuatu yang di luar jangkaan berlaku dan di sinilah terserlahnya kemahiran anda mengendalikan situasi tersebut.




Ada yang berasa seronok menghadapi cabaran baru dan mencari langkah untuk menyelesaikan tugas tersebut. Namun tidak kurang juga yang akan melenting dan bersungut kerana terpaksa berfikir dan berusaha lebih sedikit. Apabila keadaan ini berlaku, segala perasaan tertekan atau stres ini akan berkumpul dan terperangkap di dalam tubuh. Itu belum lagi suasana sekeliling yang banyak mempengaruhi keadaan kita bekerja. Jika dibiarkan, keadaan ini boleh menjejaskan cara kita berfikir dan mengakibatkan berbagai-bagai penyakit seperti darah tinggi, sakit dada, sengal-sengal badan dan macam-macam lagi. Masalahnya adakah anda sedar bahawa anda mengalami stres dan memerlukan penyelesaian?




Menurut Pakar Perunding Psikiatri Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr. Nor Hamidah Mohd. Salleh, walaupun stres dikategorikan penyakit yang serius tetapi sayangnya ia tidak diambil berat.




"Ini mungkin kerana masyarakat beranggapan bahawa stres hanya memberikan kesan seketika tanpa menyedari ia juga boleh menjejaskan seluruh badan dan minda," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.




Beliau menjangkakan, stres akan menjadi penyakit kedua tertinggi di Malaysia menjelang 2020.




Berdasarkan pengalaman Dr. Nor Hamidah, kebanyakan kes stres berpunca daripada masalah di tempat kerja.




Ia secara tidak langsung memberi kesan terhadap institusi kekeluargaan sehingga memporakperandakan perkahwinan itu sendiri.




Justeru, beliau berharap masyarakat akan sedar bahawa stres yang tidak dirawat dengan baik boleh memberi kesan kepada produktiviti kerja.




Bijak




Beliau menjelaskan, apabila seseorang mengambil berat tentang kesihatan mental, ia membantu untuk merasa lebih sihat secara fizikal. Begitu juga sebaliknya kerana kedua-dua perkara itu saling berkait.




"Seandainya seseorang bijak melalui setiap stres yang dialami, mereka mampu menjalani hidup dengan lebih berkualiti," katanya.




Dr. Nor Hamidah menasihatkan mereka yang mengalami masalah supaya mengambil masa untuk rehat dan berbincang dengan saudara atau teman terdekat.




"Anda sendiri mungkin sedar dengan perbezaan diri apabila mengalami masalah mental seperti kemurungan. Malah rakan-rakan terdekat juga pasti menyedarinya.




"Jika anda mengalaminya di tempat kerja, anda boleh berkongsi dengan rakan sekerja. Seandainya ada yang menasihati anda agar bertemu pakar untuk mendapatkan rawatan, jangan tunggu lagi. Ini kerana ubat bukanlah penyelesaian bagi stres," katanya.




Dr. Nor Hamidah memberitahu, kerja, keluarga dan kawan-kawan memberi kesan kepada kesihatan mental dari sudut kebaikan dan keburukan.




Cuti sakit




Justeru katanya, setiap individu perlu pandai mengimbangi kerjaya dan kehidupan mereka agar sihat mental dan fizikal.




"Sebab itulah setiap organisasi perlu ada pengurusan stres di tempat kerja agar tidak mengganggu produktiviti pekerja.




"Kita lihat banyak kejayaan menerusi pelaksanaan pengurusan stres di pejabat. Kajian syarikat McDonnel Douglas pada 1989 menunjukkan pengurusan stres di pejabat menurunkan 35 peratus kos penjagaan kesihatan pekerja. Pada 1995, Perkhidmatan Salah Tingkah Laku dan Kesihatan Mental mendapati pengurusan stres di tempat kerja menurunkan 35 peratus masalah stres pekerja dan meningkatkan produktiviti sebanyak 14 peratus," ujarnya.




Justeru tegasnya, setiap organisasi perlu merujuk pekerja yang stres kepada pakar psikiatri, psikologi atau kaunselor.




Kebiasaannya, pekerja yang berhadapan dengan stres akan diberi cuti sakit sehingga seminggu. Jika kes serius berlaku, rawatan boleh dilanjutkan sehingga tiga bulan.




"Ini penting untuk mengurangkan berlakunya beberapa masalah penyakit seperti darah tinggi, lelah, masalah kulit yang teruk seperti jerawat, psoriasis, ekzema, serangan jantung, sinus atau resdung, hilang fungsi seksual dan pembiakan, strok, masalah berat badan, gangguan tidur, cirit-birit atau sembelit, migrain, gangguan kebimbangan, ulser perut, sakit kepala dan kemurungan," katanya.




Oleh itu, kenali diri anda dan pastikan stres tidak berada pada tahap yang tinggi. Jangan sombong atau malu sekiranya anda mengalami stres kerana ia proses kehidupan yang semula jadi.




Anda sendiri perlu bijak mengatasinya untuk mengelakkan masalah stres ini berlarutan.









Sumber






Teruskan membaca..

Hidupkan budaya hormati perbezaan pandangan





Hidupkan budaya hormati perbezaan pandangan





Manfaatkan kebebasan bersuara mencari titik persamaan ASAS kepada kehidupan masyarakat majmuk ialah menghormati perbezaan pandangan iaitu situasi biasa dilalui setiap manusia yang berfikir. Apa pun justifikasi mendorong kepada sesuatu pendapat, ia tentulah berasaskan pengetahuan seseorang, tidak kira ia tepat atau sebaliknya. Meskipun ada pandangan bersifat emosi dan mentah, ia tetap hak yang boleh disuarakan serta perlu dihormati. Ini sejajar peruntukan hak asasi manusia dalam Islam yang mengizinkan setiap yang mampu berbicara supaya bersuara.








Di Malaysia, hak bersuara terjamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Setiap warga Malaysia tidak boleh dinafikan hak melontarkan pandangan, apa juga cara. Walau bagaimanapun, seiring perintah hak dan tanggungjawab, hak bersuara di bawah Perlembagaan tidaklah mutlak atau tanpa batasan. Ini kerana manusia mempunyai batasan tidak terlangkau oleh fitrahnya yang lemah, berbanding hak Allah SWT yang mengatasi hak makhluk-Nya.








Memang setiap manusia mempunyai hak atas kapasiti sebagai individu, tetapi hak itu selagi mana tidak melanggar hak seluruh masyarakat.
Justeru, hak bersuara tidak dibenarkan sehingga menggadaikan keselamatan negara, menjejaskan hubungan baik dengan negara luar, menggugat keharmonian, memfitnah, menghina, bersumpah palsu dan sebagainya. Sebarang perbuatan yang menyebabkan perpecahan antara individu atau ummah adalah satu dosa dan maksiat serta mengakibatkan kebinasaan. Berbeza dengan golongan yang memperjuangkan hak asasi tanpa mengiktiraf hak Yang Maha Pencipta, umat Islam haruslah memahami ada banyak percanggahan timbul dalam isu hak asasi disebabkan adanya teori memisahkan agama dan undang-undang, yang menjadi ikutan sesetengah pemikir hak asasi di dunia hari ini, termasuklah yang beragama Islam.










Di Barat, bukan semua pemilik teori hak asasi memisahkan undang-undang dan Tuhan, bahkan mereka sangat mengagumi teori dan perspektif hak asasi dalam Islam yang dicernakan melalui aplikasi syariah di sesetengah negara.
Malangnya, ada dalam kalangan kita sendiri cuba menolak doktrin agama dalam memperjuangkan hak sehingga sanggup menolak fatwa dan ijtihad serta menggunakan logik akal semaksimum mungkin untuk meyakinkan orang lain hak perlu diperjuangkan sedangkan hakikatnya ia melampaui syarak. Hak untuk bersuara disalah guna untuk memburukkan agama dan ahlinya sehingga menimbulkan keributan.









Berkhilaf dalam sesuatu isu adalah perkara biasa dan perdebatan timbul hasil daripada mencari pemurniaan di atas sebarang perselisihan adalah petanda umat Islam mempunyai iltizam tinggi mencari kebenaran serta kesempurnaan.
Adakalanya tiada titik akhir yang sama dikongsi, justeru mereka berlapang dada dengan perbezaan pandangan, tetapi ia bukan petanda hilang muafakat. Aliran pelbagai mazhab yang terdapat dalam Islam contohnya, mempunyai keistimewaan masing-masing yang harus diteladani umat Islam hari ini. Mereka harus pelajari bagaimana ilmuwan dulu menghormati pandangan orang lain, selagi mana ia berasaskan ilmu dan bukannya nafsu. Pada waktu itu, tiada siapa merasakan mereka lebih bijak atau tepat berbanding yang lainnya.










Bahkan Rasulullah SAW mengingatkan umatnya supaya bersifat tawaduk dan rendah diri. Sabda Baginda yang bermaksud:










“Sesungguhnya Allah telah memberi wahyu

kepada aku yang memerintahkan supaya kamu semua

bersifat tawaduk sehingga tidak ada seseorang pun

merasa dirinya megah (lebih bangga diri) dari orang lain

dan tidak boleh seseorang itu menzalimi dan

melampaui batas terhadap orang lain.”

(Hadis riwayat Muslim)









Demi mencari titik persamaan, kebebasan bersuara haruslah dimanfaatkan sebaik-baiknya. Kita perlu cuba berlapang dada dengan pendapat yang tidak menyokong pandangan kita serta sedia menerima kritikan terhadap cetusan idea dilahirkan. Tiadanya perbahasan bukan bermakna ada penyatuan, bahkan ia menimbulkan keraguan terhadap sesuatu keputusan, manakala di pihak yang berbeza pandangan, tutur kata mulia perlulah dijadikan asas penyampaian kerana jika maksud ingin disampaikan bertujuan membina kehidupan lebih baik, ia tidak perlu ditokok tambah dengan sumpah seranah dan fitnah.










Walaupun kebal dengan undang-undang, syarak tidak pernah membenarkan manusia tergelincir daripada landasan. Justeru, setiap pandangan bersumberkan wahyu Allah dan sunnah Rasulullah SAW, tanpa dibelenggu faktor dan kepentingan peribadi haruslah dihormati. Tentulah tidak mudah merubah sikap manusia yang sering merasakan mereka betul atau yang tidak sanggup memperakui pandangan orang lain lebih baik, tetapi budaya menghormati perbezaan pandangan harus segera dipupuk. Ia bukan saja membantu perkembangan ilmu dan perbahasan mengikut teori tertentu, tetapi juga menjadikan manusia lebih beretika dalam bermuamalah sesama sendiri.






Penulis ialah

Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang

Universiti Sains Islam Malaysia,

kini melanjutkan pelajaran di United Kingdom
















Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...