Photobucket

Sahabat Maya :

Friday, January 27, 2012

Institut Wasatiyyah bukti komitmen pemimpin perkasa peradaban Islam





Institut Wasatiyyah bukti komitmen


pemimpin perkasa peradaban Islam




Oleh Dr Adanan Mat Junoh

KETIKA Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, beliau menubuhkan Institut Islam Hadhari selaras dengan konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan ketika itu. Institut yang ditempatkan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu antara lain berperanan sebagai pusat penyelidikan yang memperkasa peradaban Islam di samping mewujudkan jaringan ilmiah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dalam kalangan cendekiawan peradaban.





Kini institut itu berkembang pesat dan berperanan aktif memperkasakan peradaban Islam melalui pelbagai aktiviti ilmiah seperti seminar, forum, penyelidikan dan penerbitan. Kita yakin Institut Islam Hadhari akan terus berfungsi dengan berkesan dalam membangunkan masyarakat dan negara secara menyeluruh berdasarkan perspektif tamadun Islam seperti yang dihasratkan oleh mantan Perdana Menteri itu.
Beliau tentu mengharapkan lebih banyak institut akan ditubuhkan untuk menangani isu semasa khususnya berkaitan umat Islam kerana Institut Islam Hadhari saja tidak memadai untuk berdepan pelbagai permasalahan yang semakin kompleks.





Penubuhan institut ini akan membuka mata masyarakat dunia khususnya Barat bahawa Malaysia adalah antara negara Islam yang terawal mempromosi kesederhanaan global. Lebih penting daripada itu, inisiatif ini memperlihatkan keupayaan Malaysia sebagai contoh kepada dunia.





Justeru, ketika merasmikan Persidangan Pergerakan Kesederhanaan Global di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penubuhan Institut Wasatiyyah. Saya sangat yakin bahawa, idea menubuhkan institut itu sudah lama bersarang dalam fikiran Perdana Menteri, cuma menunggu masa dan ketika sesuai untuk diumumkan.




Sehubungan itu, pengumuman penting dibuat di hadapan hampir 300 delegasi dari dalam dan luar negara termasuk pemimpin utama dunia dilihat amat tepat pada masanya. Lebih-lebih lagi pengumuman itu dibuat ketika dunia berdepan pelbagai krisis seperti krisis kemanusiaan, budaya, ekonomi dan politik serta kegiatan ekstrem yang semakin berleluasa.




Komitmen kerajaan meletakkan Islam sebagai agama dihormati pada peringkat global semakin terpancar apabila Perdana Menteri turut mengumumkan penubuhan Kerusi Wasatiyyah di Universiti Malaya serta Yayasan Pergerakan Kesederhanaan Global pada majlis sama. Iltizam kuat kerajaan untuk melihat institut itu menjadi pemangkin kepada gerakan kesederhanaan di Malaysia dan antarabangsa terserlah apabila pemimpin nombor satu negara itu membuat keputusan yang sangat tepat dengan meletakkan Institut Wasatiyyah di bawah pengawasan Jabatan Perdana Menteri.




Istilah wasatiyyah mungkin agak baru bagi sebahagian daripada rakyat Malaysia dan umat Islam walaupun konsep wasatiyyah adalah pendekatan sangat dituntut Islam. Menurut Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin dan Prof Datuk Dr Khairil Annas Jusoh, dua nama besar di Jabatan Perdana Menteri dalam penulisannya yang berjudul Pendekatan Wasatiyyah Dalam Mengahayati 1 Malaysia, wasatiyyah berasal dari perkataan ‘wasat’ bermaksud pertengahan dan seimbang.




Perkataan lain yang sama dengan perkataan ini adalah i’tidal yang membawa maksud tidak melampau dalam setiap perkara dan menunaikan hak kepada yang berhak. Penulis ini seterusnya menjelaskan dalam bahasa Inggeris perkataan wasatiyyah bermaksud ‘middle’ atau ‘balance’. Oleh demikian, secara umumnya pendekatan wasatiyyah bermaksud amalan kesederhanaan dan berimbang yang berpaksi kepada ajaran Islam secara menyeluruh demi kesejahteraan ummah dan dunia sejagat.




Sama seperti Institut Islam Hadhari, penubuhan Institut Wasatiyyah adalah agenda besar kerajaan menyelesaikan permasalahan umat Islam. Di institusi pengajian tinggi, kita menyaksikan penubuhan pusat kecemerlangan khusus untuk menyelesaikan isu berdasarkan bidang tujuhan universiti melalui kegiatan penyelidikan, penerbitan dan konsultasi.




Demikian juga dengan Institut Wasatiyyah. Seluruh lapisan masyarakat sama ada di dalam atau luar negara sedang menunggu dengan penuh minat impak penubuhan institusi ini terhadap umat Islam. Penubuhan institusi ini adalah landasan terbaik memastikan segala intipati wasatiyyah diaplikasikan dalam kehidupan manusia khususnya dalam kalangan umat Islam.




Pada masa sama Institut Wasatiyyah dijangka berperanan secara aktif menjawab segala kekeliruan berkenaan Islam melalui pelbagai penerbitan ilmiah serta dialog dan forum bertaraf antarabangsa. Penubuhan institut ini akan membuka mata masyarakat dunia khususnya Barat bahawa Malaysia adalah antara negara Islam yang terawal mempromosi kesederhanaan global. Lebih penting daripada itu, inisiatif ini memperlihatkan keupayaan Malaysia sebagai contoh kepada dunia yang mengamalkan kesederhanaan dalam pelbagai aspek termasuk pentadbiran, ekonomi, politik dan pembangunan fizikal.




Perdana Menteri tentu mempunyai perancangan tersendiri dalam menentukan hala tuju Institut Wasatiyyah demi kepentingan Islam dan rakyat khususnya penganut agama Islam. Segala perancangan dan gerak kerja institut ini tentu sekali selari perencanaan sedia ada kerajaan seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Model Baru Ekonomi (MBE).




Masyarakat Islam Malaysia perlu yakin bahawa Institut Wasatiyyah bakal memacu umat Islam ke hadapan seperti dilakukan oleh Institut Islam Hadhari. Umat Islam juga perlu yakin bahawa penubuhan kedua-dua institut ini adalah bukti bahawa kerajaan komited terhadap pembangunan Islam di negara ini.




Persoalannya, apakah kita bersedia untuk sama-sama memberi sumbangan bermakna dan berganding bahu bagi memajukan institut ini? Sesungguhnya komitmen dari setiap lapisan masyarakat amat diperlukan untuk memajukan sebuah institusi yang bakal menjadi kebanggaan bersama.




Penulis ialah Pensyarah Kanan


di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,


Universiti Sains Islam Malaysia











Teruskan membaca..

4 lagi universiti dapat autonomi



4 lagi universiti dapat autonomi





pix_gal0






Langkah wujud IPTA jadi institusi taraf antarabangsa, berdaya saing








PUTRAJAYA: Selepas Universiti Teknologi Malaysia (UTM), empat lagi universiti, Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) diberi autonomi semalam, bagi membolehkan pusat pengajian terbabit membuat perancangan sendiri dalam usaha menjadi institusi bertaraf antarabangsa.
Pemberian autonomi itu hanya diberikan dalam empat bidang iaitu tadbir urus institusi, kewangan dan penjanaan kekayaan; pengurusan sumber manusia dan pengurusan akademik serta kema-sukan pelajar.






Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata autonomi adalah prasyarat penting untuk mewujudkan persekitaran kampus yang dinamik melalui pengurusan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang lebih berdaya saing, kreatif dan anjal.






“Universiti selalu menyatakan mereka tidak mendapat kecemerlangan kerana wujud halangan dan kekangan akibat terikat dengan kaedah dan polisi kerajaan, jadi pemberian autonomi dengan penurunan kuasa bermakna tiada lagi alasan untuk mereka mencapai kecemerlangan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Amanat Tahun Baru 2012 yang bertemakan ‘Berfikiran Global Bertindak Glokal’ di sini, semalam.







Pemberian autonomi kepada lima universiti itu dibuat selepas melaksanakan proses audit menggunakan instrumen ‘Tadbir Urus Baik Universiti’ dan ‘Petunjuk Tadbir Urus Baik Universiti’.







Beliau berkata, walaupun lima universiti diberikan autonomi dalam kemasukan pelajar, pelajar tetap perlu memohon kemasukan universiti menerusi Unit Pusat Universiti (UPU).
“Bagaimanapun, lima universiti akan dapat memilih dulu mana-mana pelajar yang memohon menerusi UPU dan mereka sendiri yang akan menentukan kesesuaian kursus kepada pelajar berkenaan serta pemberitahuan mengenai kemasukan ke lima universiti itu dibuat oleh pihak universiti sendiri,” katanya.







Mengenai Pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, Mohamed Khaled berkata, ia bukan tiket kebebasan mutlak, jauh sekali membenarkan pelajar melakukan aktiviti subversif sehingga mengganggu keselamatan awam.







Beliau berkata, pindaan AUKU juga akan mengekalkan persekitaran kampus yang terus menjamin kebebasan akademik.







“Kita amat sedih kerana akhir-akhir ini, kebebasan akademik disalah guna, disalah erti, disalah tafsir dan lebih membimbangkan, ia menjadi modal politik jalanan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.







Mohamed Khaled juga melahirkan kebimbangan dengan kurangnya pelajar yang berminat mengikuti aliran sains di sekolah dan universiti yang semakin kritikal.






“Tahun ini, hanya 29 peratus pelajar jurusan sains di sekolah. Keadaan ini berterusan ke tahap universiti yang mana hanya 40 peratus pelajar bidang sains sedangkan sasaran kita adalah 60 peratus. Jika ini berterusan, ia boleh membantutkan usaha meningkatkan inovasi teknologi ke arah tranformasi ekonomi negara maju berpendapatan tinggi,” katanya.











Teruskan membaca..

3,996 lulus 10 subjek STAM



3,996 lulus 10 subjek STAM




MOHAMMAD Azrul  (kiri) meraih keputusan 10A+ (Mumtaz Sofi) dalam keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2011 bersama rakannya, Muhammad Irfansyah Mahdi Farid  berkongsi kejayaan  ketika ditemui di Maahad Johor, semalam. Untuk berita lanjut, dapatkan akhbar Berita Harian hari ini. - Foto Dazar Suarman
MOHAMMAD Azrul (kiri) meraih keputusan 10A+ (Mumtaz Sofi)
dalam keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2011
bersama rakannya, Muhammad Irfansyah Mahdi Farid
berkongsi kejayaan ketika ditemui di Maahad Johor, semalam.




Kelulusan 60.7 peratus melayakkan calon lanjut pelajaran di universiti






PUTRAJAYA: Seramai 3,996 atau 60.7 peratus calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2011 memperoleh sijil dengan sekurang-kurangnya pangkat Maqbul (Lulus) dalam semua 10 mata pelajaran yang diambil pada peperiksaan itu, tahun lalu.







Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan Malaysia, Dr Na'imah Ishak, berkata daripada jumlah itu, 326 calon mendapat pangkat Mumtaz (Cemerlang), 529 pula Jayyid Jiddan (Sangat Baik), 1,602 Jayyid (Baik) dan selebihnya, Maqbul.





Lembaga akan cari mekanisme terbaik untuk menambah baik penguasaan bahasa Arab calon. - Dr Na'imah Ishak, Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan Malaysia
“Seramai 6,584 calon menduduki peperiksaan itu pada tahun lalu di 108 pusat peperiksaan berbanding 6,537 orang pada tahun sebelumnya, ” katanya ketika mengumumkan keputusan STAM 2011, di Kementerian Pelajaran, di sini, semalam.
Na'imah berkata, Gred Purata Nasional (GPN) bagi STAM 2011 turut menunjukkan peningkatan 0.04 peratus berbanding 3.23 pada 2010.







Peperiksaan STAM yang mula dilaksanakan sejak 2000 melayakkan pelajar yang memperoleh sijil itu untuk memohon mengikuti program ijazah pertama di Universiti Al-Azhar, Mesir dan universiti tempatan dalam bidang yang sesuai dengan kelayakan masing-masing.






Mengenai prestasi mata pelajaran, Na'imah berkata, enam mata pelajaran iaitu Fiqh, Balaghah, Hadith dan Mustolah, Insya' dan Mutala'ah, Tafsir dan Ulumuhu serta 'Arudh dan Qafiyah mencatatkan peningkatan calon lulus (Mumtaz hingga Maqbul) lebih tinggi berbanding 2010.





Selain itu, katanya, empat mata pelajaran lagi mencatatkan penurunan peratusan kelulusan calon iaitu Hifz al-Quran dan Tajwid, Nahu dan Sarf, Adab dan Nusus serta Tauhid dan Mantiq.






Sehubungan itu, katanya, satu kajian terperinci akan dilakukan bagi mengenal pasti aspek yang boleh diperbaiki untuk meningkatkan peratusan calon lulus pada semua mata pelajaran untuk peperiksaan akan datang.






“Antara yang boleh dikaji mungkin aspek pengajaran dan pembelajaran, lokasi atau faktor calon sendiri yang menjadi punca penurunan empat subjek itu dan peningkatan jumlah calon yang mencatat semua Rasib (gagal).






“Lembaga akan cari mekanisme terbaik untuk menangani perkara ini, termasuk menambah baik penguasaan bahasa Arab dalam kalangan calon.






“Calon yang kurang berjaya boleh menduduki semula atau memperbaiki pencapaian mata pelajaran yang kurang memuaskan dalam tempoh tiga tahun sebelum melanjutkan pengajian mereka ke universiti,” katanya.






Teruskan membaca..

Tuesday, January 24, 2012

Beautiful Sunsets







30 Beautiful Sunsets

From Around The World




5. Great Britain

Via: dcdead

12. Spain

Via: hikenow

19. The Antarctic

21. New Zealand

24. Argentina









Teruskan membaca..

'Harapkan pegar, pegar makan padi'








Mewah Bahasa:



'Harapkan pegar, pegar makan padi'


Oleh


Prof Madya Dr Nor Hisham Osman


DALAM sebuah bilik darjah pada hari pertama persekolahan ….





Zali: Huh!! Tak boleh harap ….







Ramli: Apanya?!







Zali: Ni ha, berita ni ….






Ramli: Berita apa? Aku tak baca lagi ….






Zali: Tu la lain kali, bacalah berita-berita tempatan ni,
jangan asyik baca berita liga bola sepak luar negeri je.







Ramli: Hey! Macam mana aku nak baca?!
Dari tadi surat khabar tu kat tangan kau aje.
Dah habis teh tarik segelas, kau tak habis baca lagi.
Bagilah aku pulak ….







Zali: Hehehhee ... maaf le, nah!
Kau tengok berita ni, kanak-kanak dirogol bapa saudara sendiri.







Ramli: Bapa saudara?






Zali: Ha’ ah!! Emak ngan bapa budak tu kerja luar negara,
tinggal budak tu dengan adik bapanya.
Masa bini dia pergi kerja, dikerjakannya pulak budak tu,
anak abang dia sendiri tu!!







Ramli: Huh!! Betul dahsyat punya perangai,
memang tak boleh diharap.
Bak kata orang tua-tua,
harapkan pagar, pagar makan padi!!







Zali: Tak betul pepatah tu ….






Ramli: Tak betul?! Apa tak betulnya pulak?
Orang tua-tua kita dah cakap macam tu dulu.







Zali: Pepatah tu betul dah, tapi perkataan pagar tu yang tak betul!!






Ramli: Eh!! Loyar buruk pulak, kan pepatah ni ada
dalam buku teks sekolah, kita dah belajar sejak sekolah rendah lagi
dan memang selalu orang pakai dalam surat khabar, dalam radio, dalam tv.







Zali: Memang orang guna,
tapi sebenarnya salah!!







Ramli: Apanya yang salah?






Zali: Cuba kau fikir secara logik, boleh ke pagar tu makan??
Dan satu lagi, mana ada sawah padi yang berpagar ….







Ramli: Eh!! Betul juga ek! Tapi ….
Mungkin ini hanya pepatah, bukannya betul-betul.







Zali: Memanglah pepatah,
tetapi orang dulu-dulu buat pepatah ni berdasarkan
pemerhatian mereka pada perlakuan alam sekitar.
Kalau pagar, itu bukan benda hidup,
mana boleh pagar makan.
Yang makan adalah ayam pegar,
ayam pegar ni makan padi ….







Ramli: Ayam pegar? Ayam apa tu?
Tak pernah dengar pun!







Zali: Sejenis burung, tapi orang kampung
panggil ayam sebab saiznya
sebesar ayam dan melata macam ayam
dan boleh terbang macam burung.







Ramli: Ooo ... tapi tak pernah jumpa pun?!






Zali: Memang le kau tak pernah jumpa,
ayam ni bukan ayam belaan tapi jenis liar,
duduk dalam hutan. Sekarang ni dah nak hampir pupus ….







Ramli: Tapi macam mana pula dikatakan
boleh menjaga padi??






Zali: Haa … dulu-dulu ayam ni banyak,
dekat pinggir hutan tepi sawah, makan serangga perosak padi
dan makan siput gondang. Itulah sebabnya dikatakan
ayam pegar ni boleh menjaga padi.







Ramli: Tapi kenapa kemudian dikatakan tidak boleh diharap pulak??






Zali: Sebabnya ... sebab, selain dia makan serangga perosak
seperti belalang, siput gondang dan juga ketam,
ayam pegar ni juga makan padi!!







Ramli: Ooo …. Gitu ke?!





Zali: Itulah yang timbulnya pepatah harapkan pegar,
pegar makan padi!!







Ramli: A’aa yek! Nak harapkan pegar memakan musuh padi,
tapi pada masa yang sama dia makan padi!







Zali: Hah! Pandai pun, sekarang kau dah faham
kenapa aku kata yang sebenarnya pegar, bukan pagar.






Ramli: Tengok orang la! Hehhehee ….






Glosari




  • Ayam pegar - sejenis burung yang menyerupai ayam dan terdapat di dalam hutan (crested fireback)






  • sumber - cakklepi.blogspot.com - Blog Kisah Seorang Budak U








  • Nota Kaki
  • Kolum Mewah Bahasa memperlihatkan adanya beberapa cara untuk menyampaikan sesuatu konsep yang sama dengan perkataan berbeza disebabkan perbezaan slanga, dialek, taraf sosial dan generasi. Dialog menggunakan dialek dan juga bahasa pertuturan yang mungkin tidak sama dengan tatabahasa baku.








  • Prof Madya Dr Nor Hisham Osman adalah Pensyarah Jabatan Linguistik, Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya.













  • Sumber














  • Teruskan membaca..

    Pertandingan Menanam Biji Benih Cili Angkasa Malaysia 2012








    Pertandingan Menanam Biji Benih

    Cili Angkasa Malaysia 2012








    PELAJAR sekolah menengah seluruh negara dipelawa menyertai Pertandingan Menanam Biji Benih Cili Angkasa Malaysia 2012 anjuran Agensi Angkasa Negara.





    Program dengan kerjasama Japan Aerospace Exploration Agency (JAXA), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pertanian.






    Pertandingan terbuka kepada satu pasukan bagi setiap sekolah terdiri daripada 20 pelajar dan empat guru pembimbing. Setiap peserta dikehendaki menanam biji benih cili angkasa di sekolah sebagai suatu eksperimen sains.






    Sekolah yang berminat menyertai program boleh mendaftar menerusi laman web http://astronomi.angkasa.gov.my/spaceseeds. Pendaftaran dibuka sehingga 20 Januari manakala pertandingan hanya bermula pada Februari dan berakhir pada Jun ini.




    Maklumat lanjut berkenaan program ini boleh diperoleh dengan menghubungi Farahana Kamarudin pada talian 03-88888668 atau e-mel farahana@angkasa.gov.my.

















    Teruskan membaca..

    UTM pilihan utama profesional



    UTM pilihan utama profesional

    KAMPUS induk UTM di Skudai Johor.
    KAMPUS induk UTM di Skudai Johor.





    Banyak syarikat hantar pekerja untuk ikuti program PhD industri






    UNIVERSITI Teknologi Malaysia (UTM) membina reputasi tinggi dengan mengeluarkan hampir separuh daripada graduan peringkat pascasiswazah dalam bidang kejuruteraan dan teknologi dalam kalangan universiti penyelidikan.





    Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Zaini Ujang, berkata inisiatif UTM memperkenal ijazah doktor falsafah (PhD) industri berjaya menarik tenaga kerja profesional daripada golongan bekerja melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang.






    Katanya, kini ada 57 kakitangan industri mengikuti pengajian di UTM menerusi program PhD industri melalui pembiayaan Kementerian Pengajian Tinggi, bertujuan melahirkan 500 tenaga kerja industri berkelulusan PhD menjelang 2015.






    “Jumlah 57 penyelidik dari industri ini menjadikan UTM sebagai universiti paling banyak menerima biasiswa PhD industri daripada jumlah 100 peruntukan yang disediakan kementerian untuk semua universiti sepanjang tahun lalu.




    “Antara syarikat yang menghantar pekerja menyertai program berkenaan ialah Proton Berhad, Morotola Solutions Malaysia Sdn Bhd, Telekom Malaysia Berhad, TM R&D Sdn Bhd, TM Applied Business Sdn Bhd, UCSI and Aviation Sdn Bhd dan Optimal Olefins Sdn Bhd,” katanya dalam kenyataan yang diterbitkan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.




    Zaini berkata, sehingga November tahun lalu, UTM antara universiti yang mempunyai bilangan mahasiswa lepasan ijazah paling ramai di negara ini dengan jumlah 10,888 pelajar.




    Katanya, jumlah itu meliputi 46 peratus daripada jumlah keseluruhan mahasiswa yang sedang mengikuti pengajian di pelbagai peringkat di UTM. Kini seramai 12,955 mahasiswa sarjana muda di UTM.




    “UTM mempunyai 3,439 mahasiswa, sedang mengikuti pengajian di peringkat PhD membabitkan 1,823 mahasiswa tempatan dan 1,616 antarabangsa.




    “Seramai 7,449 mahasiswa pula mengikuti pengajian peringkat sarjana yang terdiri daripada 5,343 warga tempatan dan 2,106 antarabangsa,” katanya.




    Beliau berkata, semua mahasiswa PhD mengikuti pengajian secara penyelidikan dan secara tidak langsung menyemarakkan lagi aktiviti berkenaan selaras dengan status UTM sebagai universiti penyelidikan.




    Katanya, bagi program sarjana, seramai 1,576 mahasiswa mengikuti pengajian secara penyelidikan, 4,655 secara kerja khusus dan 1,218 campuran penyelidikan dan kerja khusus.




    Zaini berkata, pertambahan jumlah mahasiswa lepas ijazah mampu mengekalkan UTM sebagai universiti paling banyak mengeluarkan graduan dalam bidang kejuruteraan dan teknologi peringkat pascasiswazah di negara ini.









    Teruskan membaca..

    Pencarian Bakat Pelajar Pintar Cerdas



    Pencarian Bakat


    Pelajar Pintar Cerdas


    Saringan Peringkat Pertama


    Ujian Dalam Talian UKM 1





    Tarikh : 1 Februari - 30 April 2012


    Bagi pelajar berusia 7 - 15 tahun





    Berminat untuk menyertai:



    1. Program Perkhemahan Cuti Sekolah (PPCS) PERMATApintarTM Negara Universiti Kebangsaan Malaysia - Johns Hopkins University - Center for Talented Youth (JHU-CTY)
      (Pelajar 9 - 15 Tahun: di UKM)

    2. Perkhemahan PERMATA Insan
      (Pelajar Islam 8 Tahun: di USIM)

    3. Program Pendidikan PERMATApintarTM (PPPp)
      (15 Tahun Sahaja)

    4. Program Laluan Pintas (PLP) bagi Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT)
      (untuk pelajar berumur 7 tahun sahaja)






    Ujian UKM1 boleh diambil di sekolah, rumah, kafe siber dan pusat komuniti berinternet
    1 Hari, 1 Sekolah, 1 Pelajar
    1 hari, 10,000 Sekolah, 1 Pelajar = 10,000 Pelajar
    50 Hari, 10,000 Sekolah, 100 Pelajar = 5,000,000 Pelajar







    Pendaftaran:


    a) Pelajar baru: masukkan Mykad/Mykid, maklumat pelajar,sekolah & ibu/bapa/penjaga





    b) Pelajar lama: kemaskini Mykad/Mykid, maklumat pelajar,sekolah & ibu/bapa/penjaga






    Jangka masa ujian: 1 jam 30 minit





    Sila layari:




    http://www.permatapintar.edu.my













    Teruskan membaca..

    Sunday, January 22, 2012

    DASAR MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA MEMPERKUKUH BAHASA INGGERIS (MBMMBI)



    SOALAN LAZIM BERKAITAN

    DASAR MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA

    MEMPERKUKUH BAHASA INGGERIS

    (MBMMBI)










    1.
    Apakah itu Dasar MBMMBI?


    Dasar MBMMBI ialah dasar Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk memastikan penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di semua sekolah kebangsaan dan sekolah menengah serta memastikan murid boleh menguasai bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris dengan fasih dan betul.


    2.
    Apakah perbezaan antara Dasar PPSMI dan Dasar MBMMBI?


    Dasar PPSMI menetapkan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengajaran dan pembelajaran (p&p) sains dan matematik di sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Tamil dan sekolah menengah.

    Dasar MBMMBI menetapkan penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa p&p sains dan matematik di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah, bahasa Cina di sekolah jenis kebangsaan Cina dan bahasa Tamil di sekolah jenis kebngsaan Tamil.


    3.
    Bagaimanakah Dasar MBMMBI dilaksanakan di sekolah?


    Dasar MBMMBI dilaksanakan di sekolah melalui pendekatan mengembalikan peranan bahasa Malaysia sebagai bahasa p&p sains dan matematik, meningkatkan penguasaan bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris melalui pelaksanaan tambahan waktu p&p, transformasi kurikulum, peningkatan kapasiti guru dan sumber manusia, penyediaan bahan dan peralatan serta mengintegrasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dalam p&p.


    4.
    Mengapakah Dasar MBMMBI diperkenalkan?


    Kajian yang dijalankan oleh pelbagai pihak mendapati PPSMI tidak dapat dilaksanakan seperti yang dihasratkan. Hasil kajian juga mendapati murid sukar memahami mata pelajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris. Murid mengambil masa yang lama untuk memahami konsep matematik dan sains kerana mereka tidak faham bahasa Inggeris. Hal ini memaksa guru-guru untuk mengajar dalam bahasa Malaysia supaya murid dapat memahami kedua-dua mata pelajaran tersebut. Masalah seperti ini bukan sahaja dialami oleh sekolah-sekolah di luar bandar, tetapi juga di bandar. Oleh yang demikian, sekiranya PPSMI diteruskan, sebahagian besar murid di negara kita tidak akan dapat menguasai ilmu matematik dan sains dengan baik dan mereka akan terus ketinggalan. Kajian KPM juga menunjukkan bahawa kebanyakan sekolah telah melaksanakan p&p sains dan matematik dalam bahasa Malaysia.


    5.
    Bagaimanakah pendekatan soft landing dilaksanakan di sekolah?


    Dasar MBMMBI dilaksanakan secara berperingkat-peringkat (soft landing) mulai tahun 2010. Dalam proses peralihan ini, p&p sains dan matematik boleh menggunakan bahasa Inggeris dan/atau bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah, bahasa Inggeris dan/atau bahasa Cina di sekolah jenis kebangsaan cina, bahasa Inggeris dan/atau bahasa Tamil di sekolah jenis kebangsaan Tamil. Ini bertujuan membantu guru dan murid menyesuaikan diri dengan perubahan dasar berkenaan. Soft landing membolehkan murid sekolah rendah dan sekolah menengah yang telah mengikuti p&p sains dan matematik dalam BI pada atau sebelum tahun 2010 meneruskan penggunaan BI sehingga tamat Tingkatan Lima berdasarkan kesediaan guru dan murid di sekolah. Dengan pendekatan soft landing ini, p&p matematik dan sains di sekolah rendah akan dilaksanakan dalam bahasa Malaysia sepenuhnya pada tahun 2016. Manakala di sekolah menengah, penggunaan bahasa Malaysia sepenuhnya bagi kedua-dua mata pelajaran ini adalah pada tahun 2021.


    6.
    Bagaimanakah guru dilatih untuk melaksanakan Dasar MBMMBI?


    KPM telah merancang dan melaksanakan pelbagai program di bawah dasar MBMMBI untuk melatih guru Bahasa Inggeris dalam perkhidmatan untuk meningkatkan profesionalisme guru dan juga melengkapkan guru dengan kemahiran selaras dengan pembangunan pendidikan nasional. ELTC telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan program serta kursus berikut:
    1. Training of Trainers for English Language Lecturers in Institutes of Teacher Education (ELITE-ToT) untuk Pensyarah IPG
    2. Certificate in the Practice of English Language Teaching (C-PELT) untuk guru bukan opsyen bahasa Inggeris
    3. Reinforcing English Language Teaching for Non-Option English Language Teachers (RELTNOTe) untuk guru bukan opsyen bahasa Inggeris yang tidak mengikuti C-PELT
    4. Oral Proficiency in English for Secondary Schools (OPS-ENGLISH) untuk meningkatkan kemahiran bertutur dan berkomunikasi dalam kalangan pelajar Tingkatan 1 di sekolah-sekolah Band 3 – 5

    BPG juga mengendalikan program latihan dan peningkatan profesionalisme guru bagi mata pelajaran BM dan BI:

    Latihan untuk bahasa Malaysia:
    i. Kursus Pendek Kelolaan Institusi (KPKI)
    ii. KDP 4 Minggu
    iii. Kursus Kolaboratif Dengan Dewan Bahasa Dan Pustaka

    Latihan untuk bahasa Inggeris:
    i. Kursus Pemantapan Profisiensi Guru Bukan Opsyen bahasa Inggeris
    ii. Kursus Peningkatan Pedagogi Guru Opsyen bahasa Inggeris
    iii. Latihan Guru Kontrak bahasa Inggeris



    7.
    Bagaimanakah kita memastikan guru bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris yang berkualiti?(BPG/ELTC/IPGM)

    Institut Pendidikan Guru

    a. IPG akan memantau prestasi / penglibatan guru-guru baru ini selama 6 bulan selepas tamat pengajian dan di tempatkan disekolah.
    b. “Teacher Study “ untuk guru-guru bagi memastikan prestasi mereka di sekolah.
    c. Lengkapkan guru pra perkhidmatan dengan kemahiran pedagogi yang sesuai dengan pelbagai kebolehan dan gaya pembelajaran murid.
    d. Bagi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) – ada komponen Amalan Professional, Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) dan Praktikum.

    Bagi PBS, pelajar akan mengikuti setiap semester pengajian.
    Praktikum – 3 kali praktikum :
    a. Semester 5 – 4 minggu
    b. Semester 6 – 8 minggu
    c. Semester 7 – 12 minggu

    Semester 8 – pelajar akan menjalani internship di mana kajian permasalahan dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Kajian ini dapat membantu pelajar ini di sekolah sebagai guru permulaan.

    Pedagogy Standards for English Language Teaching (PSELT) telah dibangunkan sebagai satu inisiatif ELTC untuk membantu guru-guru bahasa Inggeris mengenalpasti keperluan latihan professional mereka serta memberi petunjuk untuk pembangunan profesionalisme secara berterusan. Selain itu, ianya juga boleh dijadikan panduan dalam merancang, mereka bentuk dan mengurus program pembangunan profesionalisme untuk guru-guru bahasa Inggeris.

    Di samping itu, instrumen PSELT yang berunsur self-evaluative juga telah dibina dan akan dapat diakses secara atas talian oleh guru bahasa Inggeris untuk mengenalpasti keperluan latihan profesional serta memohon untuk mengikuti kursus yang diperlukan untuk pembangunan profesionalisme secara berterusan.


    8.
    Bagaimanakah KPM memastikan guru bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris mencukupi bagi menampung penambahan waktu pengajaran matapelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris?


    ELTC melaksanakan Certificate in the Practice of English Language Teaching (C-PELT) untuk guru bukan opsyen bahasa Inggeris yang mengajar matapelajaran Bahasa Inggeris di sekolah rendah di seluruh Malaysia. Kursus ini merupakan kursus tambah opsyen.
    BPG melaksanakan 2 jenis program bagi tujuan tersebut:
    i. Program Intervensi Tambah Opsyen guru-guru Sains dan Matematik sekolah menengah yang telah berkhidmat antara 1 – 5 tahun
    ii. Program Latihan Guru Kontrak bahasa Inggeris guru-guru bahasa Inggeris yang telah bersara dari seluruh negara


    9.
    Apakah peranan guru penutur jati dalam membantu meningkatkan pencapaian Bahas Inggeris?


    Pada tahun 2008 KPM telah bersetuju untuk mengambil penutur jati bahasa Inggeris sebagai pakar atau mentor kepada guru dan pensyarah Bahasa Inggeris di sekolah rendah dan institusi pendidikan guru di negara ini. Keputusan dibuat untuk melaksanakan Program Penutur Jati Bahasa Inggeris mulai 2011 hingga 2013.

    Petunjuk Prestasi Utama Program Penutur Jati adalah untuk meningkatkan kapasiti guru bahasa Inggeris di 1800 buah sekolah rendah dan pensyarah di lima Institut Pendidikan Guru (IPG) yang telah dikenal pasti sebagai Pusat Kecemerlangan Bahasa Inggeris (PKBI, iaitu:
    1. IPG Kampus Batu Lintang, Kuching, Sarawak
    2. IPG Kampus Gaya, Kota Kinabalu, Sabah
    3. IPG Kampus Dato’ Razali Iamail, Kuala Terengganu, Terengganu
    4. IPG Kampus Bahasa Antarabangsa, Kuala Lumpur, dan
    5. English Language Teaching Centre, Kuala Lumpur
    Peranan Training Fellows (TF) yang ditempatkan di setiap PKBI adalah untuk menjadi mentor dan coach kepada pensyarah Bahasa Inggeris dengan tujuan membantu dalam pembangunan profesionalisme pensyarah tersebut. Selain itu, TF juga bekerjasama dengan pensyarah dalam membangunkan program latihan. Tugas yang dilaksanakan oleh TF adalah sejajar dan selaras dengan keperluan dankehendak institusi.

    Mentor yang terlibat di sekolah rendah adalah untuk membantu guru bahasa Inggeris dalam aspek seperti berikut:
    a. Perancangan dan pelaksanaan program peningkatan profesionalisme guru Bahasa Inggeris;
    b. Pengendalian program/kursus/ bengkel/ latihan dalam kluster dan zon
    c. Kerjasama dengan pakar dari luar negara yang lain dalam kluster dan zon
    d. Perkhidmatan pakar dalam perancangan dan pelaksanaan aktiviti ko-kurikulum
    e. Bantuan dalam aktiviti sokongan pengajaran dan pembelajaran
    f. Pelaksanaan aktiviti penyelidikan yang sesuai
    g. Kerjasama dengan pihak KPM dalam pengendalian penilaian program
    h. Pembentukan pasukan jurulatih yang berpotensi di dalam kalangan guru sekolah


    10.
    Apakah bahan yang dibekalkan untuk menjayakan Dasar MBMMBI?


    English Language Teaching Centre (ELTC) telah menyediakan bahan bagi meningkatkan profesionalisme serta memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan guru:
    a. Pedagogy Standards for English Language Teaching (PSELT)
    · Untuk pembangunan profesionalisme guru bahasa Inggeris, ELTC telah menerbitkan buku Pedagogy Standards for English Language Teaching yang membolehkan guru bahasa Inggeris mengenalpasti keperluan latihan profesional mereka.

    b. Oral Proficiency in English for Secondary Schools (OPS-ENGLISH)
    · Buku Panduan Guru OPS-English yang membolehkan guru melaksanakan P & P untuk pelajar Tingkatan 1 tahun 2012 dalam kemahiran bertutur dan berkomunikasi dengan lebih berkesan.
    · CD Audio-Video (Teacher’s CD) yang membolehkan guru melaksanakan pengajaran kemahiran bertutur dan berkomunikasi dengan lebih efektif.
    · OPS-ENGLISH Student’s Handbook untuk pelajar.

    Bahagian Teknologi Pendidikan telah menyediakan dan membekalkan bahan digital pengajaran dan pembelajaran ke semua sekolah. Bahan tersebut merupakan bahan perisian kursus pendidikan khusus bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Bahan digital ini berbentuk CD Stand-alone yang dapat dijalankan di semua komputer. Bahan diterapkan dengan unsur didik hibur di samping menitikberatkan kemahiran berbahasa.


    11.
    Bagaimanakah penggunaan makmal bahasa dapat membantu dalam penguasaan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris?


    Makmal bahasa merupakan salah satu inisiatif ICT yang menjadi agenda utama dalam pelaksanaan dasar MBMMBI. Infrastruktur makmal bahasa akan dilengkapi dengan alat pandang dengar, perisian kawalan murid dan perisian interaktif Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris yang lebih menitikberatkan dalam penguasaan berbahasa.


    12.
    Bagaimanakah pentaksiran dilaksanakan di sekolah?


    Pentaksiran di sekolah akan dilaksanakan dalam dua bentuk iaitu;
    • Pentaksiran Formatif iaitu pentaksiran pada peringkat pembentukan dengan tujuan untuk memperbaiki dan meningkatkan pembelajaran (pentaksiran pembelajaran atau assessment for learning)
    • Pentaksiran Sumatif iaitu pentaksiran pada peringkat merumuskan dengan tujuan untuk mengetahui sejauh mana murid telah belajar dan menguasai apa yang dipelajari (pentaksiran tentang pembelajaran atau assessment of learning)
    Pentaksiran formatif memberi tumpuan bukan semata-mata kepada membuat ujian, memeriksa, merekod skor murid dan membuat analisis kepada skor malahan yang lebih penting ialah melihat perkembangan pembelajaran murid dan aktiviti memberi maklumbalas kepada sesiapa sahaja yang memerlukan terutama murid sendiri. Oleh itu, pelaporan bertulis tidak perlu dibuat secara berkala sebaliknya, guru mestilah mampu memberinya secara bertulis atau verbal apabila dikehendaki pada bila-bila masa oleh mana-mana pihak berkepentingan seperti ibu bapa, guru besar atau nazir.

    Pentaksiran sumatif dilaksanakan dengan guru membuat pertimbangan tentang tahap penguasaan murid dalam pembelajaran menggunakan pelbagai maklumat (kuantitatif dan kualitatif) yang diperoleh melalui pelbagai aktiviti pentaksiran. Maklumat tersebut perlu dinilai dan dilaporkan oleh guru untuk digunakan pula oleh guru lain yang akan meneruskan pengajaran murid di semester atau tahun berikutnya. Sekali lagi guru tidak perlu membandingkan murid dengan murid yang lain sama ada secara kuantitatif atau kualitatif.


    13.
    Adakah soalan peperiksaan awam bagi mata pelajaran Sains dan Matematik di peringkat UPSR, PMR dan SPM dalam Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris atau dwibahasa?

    Selaras dengan soft-landing MBMMBI, soalan peperiksaan awam bagi mata pelajaran Sains dan Matematik di peringkat UPSR, PMR dan SPM akan dibuat dalam dwibahasa sehingga tahun 2020. Selepas daripada tahun 2020 semua soalan bagi kedua mata pelajaran tersebut akan dibuat dalam Bahasa Malaysia. Ini adalah selaras dengan hasrat MBMMBI.


    14.






    Bagaimanakah Dasar MBMMBI akan membantu murid menghadapi cabaran dari segi bahasa pengantar dalam pembelajaran Matematik dan Sains di peringkat prauniversiti?

    Di bawah Dasar MBMMBI, KPM sedang melaksanakan pelbagai inisiatif baru yang lebih efektif untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid. Antara inisiatif tersebut ialah penambahan masa p&p bahasa Inggeris, penambahbaikan kurikulum bahasa Inggeris di bawah pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), penyediaan guru, pengambilan penutur jati bagi meningkatkan kapasiti pensyarah dan guru Bahasa Inggeris, penyediaan bahan sokongan yang berkualiti seperti bahan bacaan tambahan dan bahan digital bagi menyokong pelaksanaan p&p di bilik darjah. Oleh itu, pelaksanaan Dasar MBMMBI diharapkan dapat meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid bagi membantu mereka meneruskan pengajian di peringkat prauniverisiti mahupun universiti.















    Teruskan membaca..

    LinkWithin

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...