Terus berjuang mendidik anak bangsa tanpa mengira agama, bangsa, dan warna kulit. Semoga anak didik menjadi anak Malaysia. Berwawasan, berilmu, berdaya saing, majulah negaraku Malaysia.
Thursday, August 23, 2012
Kisah raja pecut
Kisah raja pecut
rekod dunia yang dicatat ketika menyertai Kejohanan Dunia 2009 di Berlin.
SUKAN Olimpik akhirnya melabuhkan tirainya hari ini. Sejak ia bermula pada 27 Julai lepas, kehangatan dan kemeriahan sukan ini sememangnya amat dirasai. Namun antara acara yang paling mendapat perhatian kebanyakan penduduk dunia sudah tentu acara pecut 100 meter.
Acara ini sememangnya ditunggu-tunggu, namun masih belum jelas kenapa ia begitu didambakan berbanding pelbagai sukan lain di Olimpik.
Ada yang menyatakan kerana persaingan sengit antara atlet yang bertanding termasuk beberapa nama besar mengakibatkan ia menjadi tumpuan.
Mungkin juga kerana peranan media termasuk akhbar yang memberi liputan meluas terhadap pemenang acara ini selain persaingan sengit antara atlet yang terlibat.
Namun hakikatnya sukan ini mula mendapat perhatian sekitar 1980-an dengan menjadikan pelari Amerika Syarikat (AS), Carl Lewis sebagai ikon.
Ini kerana Lewis telah berjaya mengubah hidup para atlet balapan dengan menjadikan dirinya rebutan media dan syarikat swasta yang berminat menjadikannya model iklan komersial.
Sejak acara ini diperkenalkan pada 1896, ternyata ia telah mencatat sejarah yang bukan sedikit. Malah ia hampir digunakan sebagai alat propaganda pemimpin Nazi Jerman, Adolf Hitler pada kejohanan Olimpik 1936 di Munich.
Waima apapun yang diperkatakan tentang acara penuh prestij ini, namun yang pasti pemenangnya akan diangkat sebagai “manusia terpantas di dunia".
Jaguh pecut negara
Malaysia turut mempunyai beberapa nama besar dalam arena sukan pecut negara. Antaranya Sidique Ali Merican yang mencipta nama sekitar 1949 dan 1954 lalu dinobatkan Raja Pecut Malaya, selepas mencatatkan masa 10.3 saat dengan berkaki ayam dalam acara 100 ela (acara pecut ketika itu yang kemudian digantikan dengan acara 100 meter) pada satu kejohanan di Kota Bharu.
Bagaimanapun kejayaan Sidique yang paling mengagumkan ialah muncul rakyat Malaysia pertama berjaya melakukan catatan di bawah 10 saat bagi acara 100 ela pada 1952. Catatan 9.8s dilakukannya pada satu kejohanan antara universiti di Britain ketika melanjutkan pelajaran di Kolej Loughborough.
Beliau pernah bertugas sebagai guru dan Ketua Pengarah Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan selain pernah menjadi Penolong Setiausaha Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dari 1974 hingga 1986. Beliau meninggal dunia pada 12 Mei 2009.
Dikenali sebagai The Flying Doctor, Tan Sri Dr. M. Jegathesan merupakan legenda sukan pecut negara. Memegang status pelari terpantas Asia selama lapan tahun pada era 1960-an, beliau mula mengorak langkah dalam arena olahraga ketika dibesarkan di Kuala Lumpur.
Kedudukannya pada ketika itu sukar digugat oleh mana-mana pelari benua Asia setelah memenangi pingat emas di Kejohanan Sukan Asia Bangkok 1966 dalam acara 100, 200 dan 4x100 meter. Jegathesan juga pelari pertama Malaysia yang melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Sukan Olimpik di Rom pada 1960 dalam acara pecut 100 meter.
Beliau pernah melayakkan diri ke gelanggang Olimpik sebanyak tiga kali berturut-turut pada 1960, 1964, 1968 dan menjadi atlet Malaysia pertama ke separuh akhir 200 meter pada 1964 dan mengulanginya empat tahun kemudian.
Seorang lagi pelari pecut yang berjaya mengharumkan nama negara ialah Rabuan Pit. Anak penoreh getah dari Melaka ini berjaya memperoleh kejayaan cemerlang ketika mewakili negara dalam kejohanan Sukan SEA 1979 dengan memenangi emas dalam acara 400 dan 200 meter.
Beliau berjaya membuktikan anak tempatan boleh melakar nama di peringkat antarabangsa apabila memenangi pingat emas acara 100 meter di Kejohanan Sukan Asia 1982 di New Delhi, 16 tahun selepas Jegathesan berjaya melakukannya.
Rumah terbuka sinonim Syawal

Rumah terbuka Aidilfitri Agong, PM meriah
Rumah terbuka sinonim Syawal
Rumah terbuka bukan saja diadakan untuk menjemput tetamu bertandang ke rumah menikmati juadah hari raya semata-mata, tetapi juga bagi memanjangkan silaturahim sesama kerabat dan sahabat.
Menjemput mereka ke rumah atau majlis yang diadakan tidak bermakna kita tidak akan meraikan mereka pada hari atau masa lain. Ironinya, hari ini, rumah terbuka sudah menjadi satu kemestian, terutama kepada mereka yang tinggal di bandar yang pulang beraya di kampung.
Oleh kerana mereka tiada di rumah pada minggu pertama hari raya, maka mereka akan menjemput tetamu bertandang pada masa lain.
Mengadakan rumah terbuka adalah antara amalan sinonim dengan Syawal. Ia amat bererti demi silaturahim serta hubungan baik sesama manusia, bertanya khabar dan mengambil berat antara satu sama lain.
Amalan berziarah ke rumah saudara dan sahabat handai adalah sebahagian daripada usaha mengeratkan tali persaudaraan dan persahabatan sedia terjalin. Tetapi ada yang segan silu mengunjungi rumah sahabat handai, melainkan dijemput sewaktu mengadakan rumah terbuka.
Menjemput tetamu ke majlis yang diadakan adalah sunnah Rasulullah SAW, begitu juga memenuhi undangan. Malah, sahabat digalakkan mengadakan kenduri dengan menjemput saudara mara, jiran tetangga dan sahabat taulan untuk menyambung silaturahim.
Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Barang siapa yang beriman kepada Allah
dan hari akhirat,
maka sambunglah hubungan silaturahim.”
(Riwayat Imam Al-Bukhari)
Rumah terbuka banyak dianjurkan hingga ada kala lebih lima jemputan kenduri harus dihadiri dalam sehari. Melainkan ada halangan besar, undangan sudah tentu tidak akan dihampakan walaupun penat tidak terkata.
Makan dan minum hanyalah sampingan sebaliknya yang paling bermakna ialah menggembirakan tuan rumah dengan kehadiran tetamu yang memeriahkan majlis mereka.
Hari ini, ada rumah terbuka dianjurkan dengan menjemput orang kaya saja. Majlis pula diadakan di hotel mewah yang menghidangkan juadah mahal dan eksklusif. Ia sudah tentu tidak menjadi masalah kepada yang berkemampuan, kerana belanja yang besar tidak menyukarkan mereka.
Namun, Islam menegaskan tidak wajar membezakan antara tetamu kaya dengan miskin, sehingga mereka diundang ke majlis berbeza, bahkan diberi layanan berkasta juga.
Rasulullah SAW bersabda:
“Seburuk-buruk makanan ialah
makanan walimah yang dijemput orang kaya saja
dan ditinggalkan orang miskin.”
(Riwayat Imam al-Bukhari)
Ada juga jemputan hanya dilakukan dengan mengirim khidmat pesanan ringkas ataupun mesej pendek melalui laman sosial ditujukan secara umum. Mala, orang yang menerima jemputan pula langsung tidak mengenali pihak menjemput.
Santunnya tentunya berlainan jika tuan rumah menjemput setiap tetamu secara lebih terhormat, berbahasa dan menjemput orang yang dikenalinya saja.
Tetamu yang menerima undangan pula harus menghadiri majlis diadakan tanpa membezakan sama ada jemputan itu datangnya dari orang yang kaya atau miskin. Dengan memahami tujuan jemputan untuk memanjangkan silaturahim, tidak sepatutnya tetamu memilih undangan.
Bahkan untuk menyenangkan hati tuan rumah juga, tetamu tidak boleh sesekali menguzurkan diri disebabkan berpuasa kerana menghadiri majlis rumah terbuka bukanlah semata-mata untuk menikmati juadah.
Jika berpuasa sunat, kita dibolehkan berbuka dan tetap mendapat pahala sekiranya niat berbuka puasa untuk menggembirakan tuan rumah yang bersusah payah menyediakan hidangan.
Sebaik-baiknya ialah merancang untuk tidak berpuasa jika menerima jemputan, melainkan puasa qada’ yang tidak boleh dilakukan pada hari lain lagi.
Rasulullah SAW bersabda:
“Barang siapa beriman dengan Allah dan hari akhirat,
maka hendaklah ia memuliakan tetamunya.”
(Riwayat Imam Al-Bukhari)
Sebaliknya, jika rumah terbuka diadakan di tempat yang menyediakan makanan tidak halal atau terdapat kemungkaran mengundang maksiat dan kejahatan, tidak menjadi kesalahan kita tidak memenuhi jemputan. Ia adalah lebih baik demi menjaga thiqah sebagai seorang Muslim yang hidup berlandaskan hukum dan syariat.
Penulis Pensyarah Kanan
Fakulti Syariah dan Undang-Undang,
Universiti Sains Islam Malaysia
Pelajar nyaris buta demi mahu gaya
Pelajar nyaris buta demi mahu gaya
Kanta lekap yang mengakibatkan penglihatan Nabila hampir menjadi buta.
Malah, mangsa, Nabila Rosli, 18, terpaksa mengeluarkan belanja besar untuk mendapat rawatan dan pakar mata yang ditemuinya mengesahkan, penggunaan kanta lekap tidak berkualiti menjadi punca dia mengalami masalah mata yang teruk.
"Saya bersama tiga lagi rakan membeli kanta lekap itu di Seremban pada harga kurang RM25 sepasang beberapa hari sebelum raya. Warna kanta lekap itu amat cantik dan sangat murah. Apabila dipakai, anak mata saya kelihatan berwarna kelabu.
"Pada mulanya saya pakai kanta lekap itu seperti biasa tetapi selepas bangun pagi pada Jumaat lalu, pandangan saya kabur dan mata terasa amat sakit," katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Nabilah berkata, dia tidak menyangka perkara itu akan terjadi kepadanya kerana dia sering memakai kanta lekap yang mahal selain menjaga kebersihan yang disarankan.
Belanja RM500 rawat mata
“Mata bengkak teruk serta berair dan pakar mata turut mengesahkan ini disebabkan kanta lekap murah," katanya yang hanya duduk di rumah pada Aidilfitri lalu kerana pandangan terlalu kabur.
Bapa mangsa, Rosli Palil, 45, berkata, beliau terpaksa berbelanja kira-kira RM500 untuk rawatan mata anak sulungnya itu dan hanya pada Sabtu lalu, penglihatan anaknya mula pulih sedikit demi sedikit.
"Dua hari dia seperti orang buta. Persoalannya adakah kanta lekap itu diluluskan Kementerian Kesihatan. Bagaimana ia boleh dijual berleluasa," katanya.
Sementara itu, Ketua Pusat Mata dan Lasik Pusat Perubatan Prince Court, Prof Dr Muhaya Mohamad, berkata individu memakai kanta lekap perlu menjaga kebersihan kanta lekap dengan rapi dan teliti.
"Kebersihan adalah aspek paling penting dalam pemakaian kanta lekap kerana mata sangat sensitif dengan kekotoran yang boleh menyebabkan jangkitan kuman yang serius.
"Saya nasihatkan pengguna jangan cepat terpengaruh dengan harga murah kerana kebersihan dan kualiti kanta lekap berkenaan tidak terjamin," katanya.
'Sangka rakan rupanya buaya'
Austin menunjukkan betisnya yang cedera
digigit buaya ketika berkelah di Pasir Pandak, semalam.
'Sangka rakan rupanya buaya'
Kuching: “Mulanya saya sangka rakan bergurau dengan menerkam paha saya dalam air, namun sebaik menoleh ke belakang, saya lihat lima rakan berada agak jauh.
“Saya terus meraba ke bawah sebelum terpegang benda keras dan menggerutu, sebelum menyedari ia seekor buaya besar,” kata Ashley Austin Chin, 14.
Dia yang ditemui di Hospital Umum Sarawak (HUS), di sini menceritakan detik cemas diserang buaya ketika berkelah di pantai Pasir Pandak, Santubong, pada jam 7.30 pagi semalam. Gigitan itu menyebabkan dia cedera di paha dan betis kanan.
Dalam kesakitan selepas kedua pahanya digigit buaya, pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Maong itu terus melepaskan tumbukan ke arah mata dan mulut buaya berkenaan.
Tumbuk mata buaya
“Selepas tumbukan yang saya lepaskan mengena mata buaya berkenaan, barulah reptilia itu melepaskan gigitan dan saya terus menendangnya sebelum menyelamatkan diri dengan dibantu rakan,” katanya.
Austin berkata, dia bersama lima rakan lain pergi berkelah ke Pasir Pandak sempena cuti sekolah dan cuti Aidilfitri.
Katanya, dia tidak menyangka sama sekali ada buaya di situ berikutan pantai berkenaan sentiasa menjadi tumpuan ramai.
Remaja itu juga kesal kerana tidak mengendahkan larangan ibunya supaya tidak pergi ke pantai lagi, selepas pulang daripada berkelah di Pantai Sematan, kelmarin.
“Mujur saya selamat dan serik untuk pergi ke pantai berkenaan lagi selepas ini,” katanya.
Wednesday, August 22, 2012
Ibadah Syawal
Ibadah Syawal
BULAN Ramadan baru sahaja berlalu, saat ini kita telah memasuki bulan Syawal. Saya sangat merindukan keseronokan beribadat yang dilalui sepanjang di bulan Ramadan. Apakah amalan-amalan ibadah yang dianjurkan untuk kita lakukan pada bulan Syawal ini?
Pertama-tama, saya ingin mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh kaum Muslimin dan Muslimat di tanah air. Semoga Allah menerima semua amal ibadah yang kita lakukan sepanjang bulan suci Ramadan. Kita meminta kepada Allah semoga mempertemukan kita kembali dengan Ramadan pada tahun-tahun hadapan.
Bulan Syawal memang masa untuk kita bergembira. Namun begitu, jarang yang menyedari bahawa bulan Syawal sebenarnya merupakan bulan kesinambungan ibadah-ibadah yang kita lakukan di bulan Ramadan.
Beribadah di bulan Syawal membuktikan bahawa tarbiyah Ramadan benar-benar berkesan di dalam diri kita. Benih-benih keimanan yang kita taburkan sepanjang bulan Ramadan seharusnya tumbuh dan mengeluarkan buahnya pada bulan ini.
Para ulama mengatakan bahawa beribadah di bulan Syawal merupakan petanda ibadah Ramadan kita diterima oleh Allah SWT.
Berkata Imam Ibn Rajab al-Hanbali dalam kitab Lataif al-Ma'arif:
"Apabila seseorang selesai daripada satu amalan ibadah,
maka tanda ibadah itu diterima oleh Allah adalah
ia menyambungnya dengan ibadah yang baru.
Dan tanda ibadah itu tertolak adalah ia menyambung ibadah itu
dengan amalan maksiat."
Justeru, beberapa amalan ibadah sangat dianjurkan untuk kita laksanakan pada bulan ini. Semuanya merupakan kelanjutan amalan kita di bulan Ramadan.
Yang pertama ialah puasa sunat enam hari. Rasulullah SAW bersabda:
" Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan,
kemudian ia melanjutkannya dengan
puasa enam hari di bulan Syawal,
maka seolah-olahnya dia telah berpuasa
setahun penuh."
(Riwayat Muslim)
Itu kerana setiap amalan ibadah akan dibalas dengan 10 kali ganda. Tiga puluh hari kita berpuasa, pahalanya seperti 300 hari. Jika ibadah ini diikuti dengan enam hari berpuasa setelahnya, maka seakan-akan kita telah berpuasa 360 hari. Dan itulah bilangan hari-hari dalam satu tahun.
Puasa Syawal ini boleh dilakukan bila-bila masa sahaja selagi kita masih berada di bulan Syawal. Asalkan sahaja kita tidak melakukannya pada Hari Raya Aidilfitri itu sendiri. Puasa ini boleh dilakukan berturut-turut, boleh juga terpisah-pisah. Semuanya terpulang kepada kemampuan kita.
Antara fungsi puasa sunat ini adalah menutupi kekurangan yang mungkin terdapat dalam puasa Ramadan kita seperti mengumpat atau berdusta tanpa disedari. Puasa enam di bulan Syawal dapat menutupi kekurangan-kekurangan tersebut sehingga ibadah Ramadan kita menjadi sempurna di sisi Allah SWT.
Selain itu, melanjutkan bacaan al-Quran yang kita baca pada bulan Ramadan. Imam Al-Tirmidzi meriwayatkan daripada Ibnu Abbas: seseorang bertanya kepada Nabi Saw: "Wahai Rasulullah, amalan apakah yang paling dicintai oleh Allah?"
Baginda menjawab:
"Orang yang segera berangkat setelah tiba.
Yakni orang yang membaca al-Quran
dari awal hingga ke akhir.
Apabila ia tiba di akhirnya,
ia memulai bacaan
kembali dari awalnya."
Al-Quran bukan untuk dibaca hanya di bulan Ramadan sahaja, malah ia mesti dibaca di bulan-bulan yang lain juga.
Terbukti sesiapa yang melanjutkan bacaan al-Qurannya di bulan Syawal, insya Allah ia akan dapat beristiqamah untuk terus membacanya ke bulan-bulan yang lain.
Namun sesiapa yang tidak lagi membaca al-Quran apabila Syawal menjelang, maka biasanya orang ini tidak akan berjumpa lagi dengan al-Quran hingga ke bulan Ramadan di tahun hadapan.
UMAR MUHAMMAD NOOR
sedang menyambung pengajian
peringkat Doktor Falsafah (PhD)
di Universiti Malaya (UM).
Tuesday, August 21, 2012
Hayati maksud sebenar Aidilfitri

Hayati maksud sebenar
Aidilfitri
Hati dan jiwa yang bersih akan sedih dan merasai kehilangan besar apabila tibanya penghujung Ramadan. Disamping berdoa, persoalan terbayang di fikiran ialah apakah Ramadan kita kali ini mencapai matlamatnya?
Apakah kita akan diberikan peluang sekali lagi oleh Allah SWT untuk bertemu Ramadan akan datang? Hakikatnya, ilmu dan amal adalah jawapan kepada persoalan di atas.
Bulan dimakbul doa
Daripada Jabir, Baginda SAW bersabda:
“Apabila tibanya malam terakhir Ramadan,
langit, bumi dan para malaikat bersedih
atas satu musibah besar bagi
umat Muhammad SAW.
Sahabat bertanya,
apakah musibah itu wahai Rasulullah?
Jawab Baginda SAW:
Perginya Ramadan meninggalkan kita.
Bulan yang dimakbulkan doa, amalan diangkat
dan diterima, pahala kebajikan digandakan
dan azab ditangguhkan.
Apakah ada musibah yang lebih besar
daripada berpisah dengan Ramadan?
Apabila langit dan bumi serta
malaikat bersedih untuk kita,
sudah semestinya kita sebagai manusia
akan lebih bersedih atas perpisahan ini.”
(Hayatul Qulub)
Kita akan menempuh hari raya yang umpama satu kerehatan dalam kehidupan manusia. Oleh itu, setiap umat menjadikan hari raya sebagai hari kegembiraan meraikan kemenangan dan kejayaan dalam sesuatu ujian.
Menang hadapi ujian
Bagi umat Islam, Aidilfitri adalah kemenangan menghadapi ujian puasa selama sebulan. Hari raya ini dikaitkan dengan fitrah kerana manusia kembali kepada fitrah asal yang dihalalkan segala perkara terlarang semasa berpuasa.
Baginda SAW bersabda:
“Dua kegembiraan
bagi seorang yang berpuasa iaitu
ketika berbuka dan ketika bertemu Tuhannya
dengan amalan ibadah puasa itu.”
Maksud kegembiraan ketika berbuka adalah ketika berbuka pada hari Ramadan dengan taufik dan inayahNya. Keduanya, kegembiraan berbuka di akhir Ramadan sebagai pengumuman selesainya puasa dengan penuh ketaatan kepada Allah SWT.
Firman Allah SWT bermaksud:
“Katakanlah wahai Muhammad
bahawa dengan kurniaan dan rahmat Allah SWT
mereka bergembira dan itulah yang terbaik
hasil daripada apa yang mereka usahakan.”
(Surah Yunus, ayat 58).
Jelas kegembiraan ini dilihat pada wajah mereka yang berpuasa. Hari raya pada Muslimin membawa dua pengertian besar iaitu penghayatan rabbani (ketuhanan) dan penghayatan insani (kemanusiaan).
Penghayatan rabbani membawa maksud manusia tidak sekali-kali melupakan Allah SWT pada hari raya kerana mereka tidak dipengaruhi nafsu, bahkan lidah mereka sentiasa bertasbih dan bertakbir memuji kebesaran Allah SWT.
Naluri manusia
Mereka mestilah memahami bahawa hari raya bukan bermaksud bebas daripada melakukan ketaatan seperti disalahertikan sesetengah pihak.
Penghayatan insani pula bermaksud keinginan naluri manusia bersuka ria, gelak tawa, berketrampilan baru dengan pakaian dan wajah berseri, bertemu sahabat handai serta keluarga yang disayangi.
Ketika Baginda SAW menghadiri suatu perayaan, beliau mengizinkan satu kumpulan bersuka ria di rumah Baginda SAW yang selari dengan Masjid Nabawi. Baginda SAW juga mengizinkan Saidatina A’ishah bersuka ria bersama sahabatnya bagi meraikan naluri kemanusiaan di samping memelihara tatasusila agama Islam.
Begitu juga peristiwa berlaku kepada Saidina Abu Bakar, ketika A’ishah berhibur bersama seorang temannya. Lantas dilarang oleh Abu Bakar seraya berkata:
“Seruling syaitan berkumandang di rumah Rasulullah?
Beliau menyangka Rasulullah SAW sedang tidur dalam keadaan wajahnya tertutup. Apabila mendengar perkataan Abu Bakar, Baginda menyingkap wajahnya lalu bersabda:
“Biarkan mereka wahai Abu Bakar kerana setiap kaum ada perayaannya tersendiri dan ini adalah perayaan kita. Semoga kaum Yahudi menyedari agama kita juga memberi ruang kepada perkara sedemikian.”

Garfu sembilan inci dalam perut lelaki
10 tahun garfu dalam perut
GARDNER menunjukkan garfu yang dikeluarkan dari perutnya.
BARNSLEY: Apabila Lee Gardner bergegas ke hospital selepas muntah darah dan mengalami sakit perut yang amat sangat, dia bimbang keadaannya kesihatannya itu lebih teruk lagi.
Bagaimanapun, doktor di Barnsley terkejut apabila menemui garfu sembilan inci dalam perut lelaki itu dan lebih mengejutkan, ia berada di situ sejak lebih 10 tahun lalu.
Pakar perubatan itu bertambah keliru lagi apabila Garner, 40 berkata, dia langsung tidak ingat tertelan garfu berkenaan.
Sepuluh tahun lalu, doktor berkata, garfu itu akan melalui sistem penghadamannya secara semula jadi dan dia menjangka ia sudah tidak ada lagi.
Tetapi, ia sebenarnya masih berada di dalam perutnya.
Garner kini sudah pulih sepenuhnya.
“Saya muntah darah dan apabila mereka memeriksa perut saya dengan kamera, doktor bertanya: ‘Adakah anda pasti anda tidak menelan sesuatu?’” katanya.
“Saya memberitahu mereka tidak tetapi doktor itu bertanya lagi: ‘Anda pasti?
Saya melihat sesuatu seperti garfu?’ Saya teringat menelannya secara tidak sengaja beberapa tahun lalu.
“Saya begitu terkejut. Saya tidak pernah menghadapi masalah dengan perut saya, kecuali beberapa tahun sebelum ini apabila saya merasakan ada sesuatu di dalam perut saya apabila saya membongkok.”
Tetapi nasihat doktor selepas saya tertelannya ialah ia akan melalui sistem penghadaman dalam perut saya dan itu sudah lama berlaku. Saya tidak pernah terfikir ia disebabkan garfu itu.
Gardner teringgat bagaimana dia bermain dengan garfu plastik dalam mulutnya beberapa tahun lalu apabila dia tercekik dan menelannya secara tidak sengaja.
Doktor di Hospital Barnsley menggunakan kamera untuk melihat dalam perutnya bagi mencari punca kesakitan yang dialami Garner apabila menemui objek misteri itu.
Imej menunjukkan kepala garfu itu terletak dalam perutnya dengan pemegangnya tersembul pada usus kecil.
Kepala garfu itu menekan pada perutnya hingga menyebabkan ulser yang membawa kepada pendarahan. - DM









