Photobucket

Sahabat Maya :

Wednesday, August 22, 2012

Ibadah Syawal





Ibadah Syawal


BULAN Ramadan baru sahaja berlalu, saat ini kita telah memasuki bulan Syawal. Saya sangat merindukan keseronokan beribadat yang dilalui sepanjang di bulan Ramadan. Apakah amalan-amalan ibadah yang dianjurkan untuk kita lakukan pada bulan Syawal ini?




Pertama-tama, saya ingin mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh kaum Muslimin dan Muslimat di tanah air. Semoga Allah menerima semua amal ibadah yang kita lakukan sepanjang bulan suci Ramadan. Kita meminta kepada Allah semoga mempertemukan kita kembali dengan Ramadan pada tahun-tahun hadapan.




Bulan Syawal memang masa untuk kita bergembira. Namun begitu, jarang yang menyedari bahawa bulan Syawal sebenarnya merupakan bulan kesinambungan ibadah-ibadah yang kita lakukan di bulan Ramadan.




Beribadah di bulan Syawal membuktikan bahawa tarbiyah Ramadan benar-benar berkesan di dalam diri kita. Benih-benih keimanan yang kita taburkan sepanjang bulan Ramadan seharusnya tumbuh dan mengeluarkan buahnya pada bulan ini.




Para ulama mengatakan bahawa beribadah di bulan Syawal merupakan petanda ibadah Ramadan kita diterima oleh Allah SWT.




Berkata Imam Ibn Rajab al-Hanbali dalam kitab Lataif al-Ma'arif:





"Apabila seseorang selesai daripada satu amalan ibadah,

maka tanda ibadah itu diterima oleh Allah adalah

ia menyambungnya dengan ibadah yang baru.

Dan tanda ibadah itu tertolak adalah ia menyambung ibadah itu

dengan amalan maksiat."




Justeru, beberapa amalan ibadah sangat dianjurkan untuk kita laksanakan pada bulan ini. Semuanya merupakan kelanjutan amalan kita di bulan Ramadan.




Yang pertama ialah puasa sunat enam hari. Rasulullah SAW bersabda:





" Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan,

kemudian ia melanjutkannya dengan

puasa enam hari di bulan Syawal,

maka seolah-olahnya dia telah berpuasa

setahun penuh."


(Riwayat Muslim)




Itu kerana setiap amalan ibadah akan dibalas dengan 10 kali ganda. Tiga puluh hari kita berpuasa, pahalanya seperti 300 hari. Jika ibadah ini diikuti dengan enam hari berpuasa setelahnya, maka seakan-akan kita telah berpuasa 360 hari. Dan itulah bilangan hari-hari dalam satu tahun.





Puasa Syawal ini boleh dilakukan bila-bila masa sahaja selagi kita masih berada di bulan Syawal. Asalkan sahaja kita tidak melakukannya pada Hari Raya Aidilfitri itu sendiri. Puasa ini boleh dilakukan berturut-turut, boleh juga terpisah-pisah. Semuanya terpulang kepada kemampuan kita.




Antara fungsi puasa sunat ini adalah menutupi kekurangan yang mungkin terdapat dalam puasa Ramadan kita seperti mengumpat atau berdusta tanpa disedari. Puasa enam di bulan Syawal dapat menutupi kekurangan-kekurangan tersebut sehingga ibadah Ramadan kita menjadi sempurna di sisi Allah SWT.




Selain itu, melanjutkan bacaan al-Quran yang kita baca pada bulan Ramadan. Imam Al-Tirmidzi meriwayatkan daripada Ibnu Abbas: seseorang bertanya kepada Nabi Saw: "Wahai Rasulullah, amalan apakah yang paling dicintai oleh Allah?"




Baginda menjawab:




"Orang yang segera berangkat setelah tiba.

Yakni orang yang membaca al-Quran

dari awal hingga ke akhir.

Apabila ia tiba di akhirnya,

ia memulai bacaan

kembali dari awalnya."




Al-Quran bukan untuk dibaca hanya di bulan Ramadan sahaja, malah ia mesti dibaca di bulan-bulan yang lain juga.




Terbukti sesiapa yang melanjutkan bacaan al-Qurannya di bulan Syawal, insya Allah ia akan dapat beristiqamah untuk terus membacanya ke bulan-bulan yang lain.




Namun sesiapa yang tidak lagi membaca al-Quran apabila Syawal menjelang, maka biasanya orang ini tidak akan berjumpa lagi dengan al-Quran hingga ke bulan Ramadan di tahun hadapan.




UMAR MUHAMMAD NOOR


sedang menyambung pengajian


peringkat Doktor Falsafah (PhD)


di Universiti Malaya (UM).



Sumber








No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...